Bab 5
“Man, kau ada masalah lain ke?”
Pertanyaan itu menghentak tempurung kepalaku. Dia tanya aku tentang masalah
peribadi. Masalah aku sebenar sudah sedia maklum. Tidak perlu lagi ditanya
berulang kali. Aku hadapi masalah cinta. Cinta aku kecundangan. Dia ni tak
faham bahasa ke? Tiba-tiba sahaja hati aku memberontak resah.
“Ya!” Darah aku mengalir laju.
Pertanyaan Fauzi tadi seperti peluru yang terbenam ke jantung. Tersentak Fauzi
dengan raut wajahnya juga turut pucat.
“Kenapa kau macam ni?”
“Macam mana apa? Kau asyik
Tanya aku soalan yang sama.” Jawabku lalu bangun dari kerusi. Aku melangkah
keluar dari kamarku. Aku dapat merasakan bahawa Fauzi mengekori langkahku.
“Relaks la Man. Aku cuma nak
tahu. Salah ke kau berkongsi dengan aku?” Fauzi pegang bahu aku dan langkah aku
serta merta terhenti. Aku menoleh dengan nafas yang laju. Aku mencerlung
kepadanya.
“Berapa lama kau nak suruh aku
relaks? Suri lari bersama Nordin. Tahu tak? Kau pun tahu kan, dan kau sengaja
pura-pura tak tahu. Hati aku sakit. Sakit tahu tak!” Jiwaku keruh mengenangkan
angkara itu.
“Habis tu? Kau sendiri yang
fikir tentang tu.” Ujar Fauzi sambil memegang kedua-dua bahuku lantas segera
aku menolaknya.
“Ah! Lebih baik kau biarkan aku
sendiri!” Bentak aku lagi terus melangkah keluar. Entah kenapa aku terasa mahu
bawa diri seketika keluar dari rumah. Aku mahu ambil angin luar. Fauzi kaku tak
ikut aku. Dia perhatikan aku dari jarak aku sedang melangkah keluar.
“Kau jangan ikutkan sangat hati
kau tu. Ingat Man, ikut hati mati. Ikut rasa binasa!” Pekik Fauzi berpesan pada
aku yang tak mungkin akan memikirkan tentang hal itu.
“Aku ikut je apa yang aku nak
ikut!” Balas aku penuh emosi.
Tiba-tiba angin melanggar
tubuhku. Ia sepintas lalu. Angin yang mungkin menyebabkan aku jadi tidak
keruan. Jantung aku terus berdebar-debar. Aku selalu mengalami situasi seperti
itu. Sehingga ke saat ini aku masih tidak mengerti.
Perlahan-lahan aku melangkah
keluar dari rumah. Seluruh kawasan gelap. Tiada lampu jalan, tiada terang
bulan. Yang wujud di hadapan mata aku adalah kabus tebal. Aku segera menoleh ke
belakang setelah tiba di laman. Mana rumah? Aku tercari-cari rumah sewa aku.
“Gie!!!” Aku menjerit sepuas
hati memanggil nama Fauzi tetapi tiada sahutan. Hampa!
Mana dia pergi? Rumah tak
nampak. Aku teraba-raba dalam kegelapan. Aku dah macam orang buta. Kaki aku
pula terasa sangat berat untuk melangkah bagaikan ada sesuatu yang sedang
berpaut menumpang lalu. Aku tidak dapat melihatnya tetapi aku dapat merasakan kehadirannya!
Ya, aku tidak nampak! Aku tidak nampak apakah benda itu?!
“Rahman…” Namaku diseru.
“Pergi! Jangan ganggu aku.
Siapa aku yang selalu ganggu aku, sial?” Aku beranikan diri untuk bertanya
walaupun aku gemuruh. Aku kaku di situ. Sekelilingku gelap gelita. Tolonglah
aku merayu. Jangan seksa jiwaku sedemikian rupa. Apa kesalahan aku? Aku ingin
tahu.
“Rahman…” Sekali lagi namaku
disebut. Apa dia mahu?
Aku ingin tahu siapa dan angkara
siapa? Kenapa harus aku? “Kenapa ganggu aku?!” Bentak aku lagi. Aku memandang
sekeliling kawasan itu. Tidak semena-mena aku dengar desiran dedaun berguguran
ditiup angin. Aku di mana?
***
Aku bertanyakan pada hati,
dalam banyak-banyak perkara, apakah yang menyulitkan? Hati pun menjawab,
sebenarnya adalah soal cinta. Lihatlah hati pun selalu menyebut tentang cinta.
Cinta mampu merosakan hati! Itupun kalau terlalu memikirkan tentangnya. Aku
menyatakan ia adalah kejam kerana si pemilik hati itu tidak bertimbang rasa.
Pemilik hati yang memberikan cinta adalah zalim. Dia adalah kekasih yang tidak
mengenang budi. Sampai hatinya mempermainkan hati dan perasaanku. Dia
memperjudikan kepercayaan yang aku berikan kepadanya selama ini.
Diperolokkan oleh cinta memang
membinasa jiwa nuraniku sehingga ke hari ini pun aku masih tidak dapat
melupakan bayangannya. Aku tidak dapat melepaskan jiwanya. Aku juga tidak mampu
keluar dari lilitan kasih dan sayangnya terhadapku. Sebelum diburu Nordin, aku
memang terpaut hati padanya. Sebelum wujud Nordin, Suriani yang kulihat begitu
menenteramkan jiwaku. Dari situ aku merasakan dialah cinta pertamaku. Cinta
pertama memang sukar dilupakan. Cinta pandang pertama!
Nah! Nordin kacau daun. Wujud
di mata merebut cinta. Katanya Suriani tunangnya. Memang tak masuk akal. Aku
bertanyakan pada Fauzi, “Betul ke?” Fauzi pun tak tahu. Jawab Fauzi, “Mungkin
teman biasa.” Kata-kata Fauzi menguatkan semangat aku untuk menerima hati
mesra. Beramah mesra dengan Suriani kerani di situ. Hanya kerani sahaja.
Walaupun kerani biasa, Suriani sangat cantik dengan rambut ikal mayang dan
bermata bundar. Susuk tubuh Suriani memang menawan. Dia layak jadi supermodel
antarabangsa. Dia sekadar itu, dia juga memiliki pelajaran yang tinggi tetapi
kerjanya begitu. Suriani pernah berkata, “Zaman sekarang susah nak dapat kerja
bang, semua main kroni.” Itu katanya.
Dia panggil aku abang.
Panggilan itu memang menggetarkan sukmaku. Pertama kali masuk kerja, dia pun
dah pandang semacam. Itu waktu aku mula-mula kenal dia. Aku kerja penghantar
surat dan tak aku hairan pun daripada duduk goyang kaki. Pekerjaan ini lebih
mulia dari rembat barang orang dan pergi jual. Itu kerja Mat Pet!
Suatu hari aku kena bedal.
Bedal dengan Nordin. Dia tu budak pejabat. Suka buli aku. Aku tahu aku ni tak
sesuai lawan dia. Sekali dia hentak aku, lempeng aku jadinya. Tapi aku masih
menyimpan dendam. Dendam keramat setelah gigi aku patah dek ditumbuk olehnya.
Dia ingat gigi aku ni apa? Argh!
Kalau aku kenangkan sikap dia,
bernanah jiwa aku. Cis! Aku memang tak suka dia. Dia berlagak bagus. Semua
benda nak tunjuk hebat. Di hadapan Suriani dia akan berlagak baik. Baik nak
mampus. Macam pijak semut tak mati. Lelaki macam si Nordin rambut pacak tu
bersepah boleh didapati tepi jalan.
“Aku nak selidik tentang latar
belakang Nordin la, Gie.”
“Kau nak buat apa?”
“Mewah gila la.”
“Itu kan rezeki dia.” Fauzi
bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh. Sekilas dia pandang tempat lain.
“Kerja biasa je tapi pakai
kereta mewah.” Aku meragui Nordin. Dia mungkin memancing cinta Suriani dengan
kemewahan yang dia ada.
“Kau ni tak serik-serik lagi
ke? Dia dah ugut kau macam-macam. Jangan sampai kita berdua kena buang kerja.
Tau tak? Dia tu terlalu baik dengan Encik Zaki. Kau kena ingat tu!” Komen Fauzi
yang agak takut dengan Nordin. Kes sebelum itu pun dah jadi hangat. Nordin si
panas baran berlagak Iron Man Malaysia! Bermacam-macam gelaran yang aku berikan
untuknya tetapi belum cukup memuaskan hatiku yang terlalu sakit.
“Aku tak takut dengan ugutan
dia. Tapi kau tengoklah, aku hairan kenapa Suri dah macam dingin kat aku.” Aku
merasakan Suriani macam sengaja nak uji kesetiaan aku. Tapi kenapa dia ikut
Nordin?
“Hurm…” Fauzi mengeluh pula.
“Jadi betul la Suri tu
tunangnya?” Aku sedut teh o ais limau sampai habis sehingga tidak bersisa.
“Kalau betul pun Man, apa kau
nak peduli? Ramai lagi awek lain yang kau leh cari. Kau lupakan je la Si Suri
tu. Buat menyemak je la. Aku rasa Suri tu player.”
Ucap Fauzi tanpa berlapik. Cakap main lepas je. Sedikit pun dia tak jaga hati
aku.
Aku tak boleh marah Fauzi.
Mungkin tu pendapat peribadinya. Aku kena belajar terima. Fauzi bangun dari
duduknya. Terasa tengok bangunan yang tinggi. Fauzi tu dahlah tinggi, berdiri
dekat-dekat dengana ku pula tu, terpaksa aku mendongak lebih untuk tengok wajahnya.
“Kau nak gi mana ni?” Soalku.
“Kau kena belajar terima
hakikat, Man. Aku tak nak Nordin terus pukul kau.” Fauzi angkat kaki. Aku pun
kejar langkahnya. Setiba di situ aku tarik tangannya. Langkah Fauzi mati
bersama langkahku. Dia tenung aku. “Apa?” Soalnya.
“Aku pernah nampak kereta
Nordin kat sebuah tempat, kelab malam.”
“Kau buat apa dekat situ? Jadi
kau dah mula jadi penyiasat persendirian nak sibuk hal peribadi orang lain?”
Fauzi marah dan merentap tangannya lalu menyambung langkah.
Kawan aku ni tak faham. Dia
memang tak faham langsung apa yang aku maksudnya. Aku bukan ke kelab malam tu.
Aku cuma lalu aje dekat kawasan tu. Aku tak berniat nak masuk tempat tu.
Lagipun secara tak sengaja aku terlihat kereta Nordin. Kereta mewah BMW 4 Series
memang menjadi kegilaan golongan berada. Bukan itu sahaja, kalau dah banyak
duit, perempuan keliling pinggang la jawabnya.
Dah sah! Itulah selama ini aku
fikirkan. Takkan Suriani bodoh sangat memilih lelaki kaki perempuan begitu.
Jadi apa yang Nordin mahukan daripada Suriani? Kalau diikutkan, gaji Nordin tu
bukannya banyak sangat untuk menampung kehidupan mewah. Siapa dia sebenarnya?
Dan apa kaitan dia dengan Suriani? Sekarang itulah persoalan untuk aku beritahu
pada Fauzi. Ini tak, marah aku semacam.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih
'LIKE' dan
'SHARE' Entri Di Sini :)
KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL