Entri Terkini :

Mesin Jahit Hati - 2

MALAM yang kudakap dalam kedinginan begitu membuatkan tulang belulang aku turut membeku. Bantal ku peluk erat-erat. Hujan yang menghempas atap rumah begitu kasar kedengaran sehingga menjadikan hatiku tidak tenang. Lama kelamaan bunyi hujan seolah-olah menyepi sedangkan ia terus menghentam bumbung. Pintu tingkap yang terkunci rapat bagaikan diketuk sahaja. Itulah yang ku rasakan ketika ini. Hatiku dicucuk dengan sikap ibu aku. Dia tak fikirkan perasaan aku. Dia langsung tidak memberikan aku peluang untuk mengenal maksud cinta terlebih dahulu. Aduhai betapa malang ku rasakan kerana terpaksa mencari sendiri erti sebenarnya.
Sekilas mata ini memandang jam di dinding. Lama mata ini tertancap di situ. Jelas kepala ini memikirkan apa yang bakal berlaku selepas ini. Aku perempuan lasak? Ya! Itu aku tahu. Kau gelarkan aku perempuan lasak ya? Tak apa tapi aku masih digelar Minah Pinky oleh Bujet berbanding lelaki itu. Huh! Jangan harap aku nak kahwin dengan kau! Hati aku memberontak.
Jam sudah pukul sepuluh malam. Mata belum mengantuk walaupun suasana dingin terasa. Aku masih ingat lagi sewaktu di sekolah dahulu. Aku berada di dalam kelas Cikgu Azian yang mengajar subjek Bahasa Melayu. Kata cikgu jangan bercinta dahulu, belajar rajin-rajin biar terjamin masa hadapan. Sudah tentu aku tak akan bercinta kerana aku tak mengerti maksud cinta itu sendiri.
Ecah, dia gadis baik. Dia kawan aku. Ecah suka makan budu. Lazat katanya. Aku gelak sendiri kerana aku orang kampung pun tak makan budu. Yang jelas Ecah tak dapat tinggalkan makanan macam tu. Ecah berbeza dari kawan-kawan yang lain kerana Ecah lebih bersikap memilih kawan dan dia hanya suka berkawan dengan aku sahaja. Pelik sungguh namun bagi aku Ecah lebih memahami aku.
“Kau tahu tentang kisah bunga tahi ayam tak?” Ecah, kawan baik aku bertanya aku tentang bunga. Aku memang minat bunga tetapi aku kurang gemar dengan nama bunga sebegitu.
“Bunga tahi ayam ada mitos tersendiri ke?”
“Ya, ada. Kau nak dengar?” Ecah mula menutup buku nota dan memandang aku sambil bersiap sedia memulakan cerita jika aku sudi mendengarnya.
Aku tahu Ecah nak kupaskan isu bunga yang menjadi topik perbualan Cikgu Azian tu. Cikgu Azian minta pelajar menyiapkan satu karangan mengenai bunga. Ecah memilih bunga tahi ayam agaknya sehingga terlalu obses untuk bercerita mengenainya.
“Apa kata kau bercerita dalam karangan sahaja. Kau kan pakar bercerita. Aku ni kurang berminat dengan tajuk tu. Jadi, bukan ke lebih…”
“Apa?” Tanya Ecah kerana aku tak sempat nak habiskan kata-kata. Ada sesuatu yang menghalang aku dari terus menghabiskan ayat.
“Aya, pinjam seringgit.” Bujet muncul di hadapan dengan muka kasihan.
“Jet! Boleh tak kau jangan kacau kami?” Ecah melarang setelah melihat kelibat Bujet tampil membantutkan perbualan.
“Apa kena mengena dengan kau Cah?”
“Kau selalu pinjam duit dekat Aya. Pandai pinjam tapi tak pandai bayar.” Ecah membela aku tapi aku tak perlukan pembelaan dari Ecah. Walau bagaimana pun aku cukup berterima kasih.
“Aku pinjam duit dengan sepupu aku sendiri. Jangan masuk campur boleh tak?” Bujet mula berwajah garang. Kalau aku biarkan nanti Ecah dan Bujet bertegang urat. Makin parah jadinya nanti. Daripada mereka lagi teruk maka aku menyeluk saku baju kurung sekolah aku tu dan terus mendapatkan duit seringgit lalu aku berikan kepada Bujet tanpa banyak bicara.
“Dah la tu Cah…”
“Aya! Esok aku ganti!” Kuat ucapan Bujet. Aku tahu Bujet bengang dekat Ecah. Ecah selalu menghalang niatnya.
Dan pada keesokkan harinya Bujet marahkan aku. Katanya aku banyak mengadu pada Ecah sehingga Ecah sering menyibuk. Bujet tak suka aku memperbesarkan isu pinjam duit tu. Bila aku cakap? Setahu aku dia selalu minta secara terang-terangan. Salah aku ke? Aku cukup pantang kalau orang macam Bujet tu mencari kesalahan orang lain tetapi kesalahan diri sendiri dia tak pernah nak nilai.
“Aya…” Tanpa kusangka, lamunan aku sebentar tadi berderai setelah suara ibuku kedengaran. Suara ibu ku jelas mengetuk gegendang telinga. Rupa-rupanya hujan lebat sudah reda maka bunyi bising dari rintik hujan lenyap.
Tanpa ku suruh akhirnya pintu terkuak. Terjengul kepala ibuku di situ maka aku yang berada di atas katil mengengsot perlahan untuk turun.  Ibu berkerut dahi, kenapa dengan wajah ibu? Aku kehairanan kerana tadi pun begitu. Masih belum habis lagi ke lenterannya terhadap aku? Atau ibu mahu memarahi aku lagi? Aku sendiri tidak tahu apa yang sedang ibu fikirkan
“Ada apa mak?”
“Boleh mak nak cakap sikit?” Ibu meminta kebenaran untuk berbicara tentang sesuatu yang aku nsediri tidak tahu. Mungkin perkara tadi masih berbaki. Ibu sedia menghabiskan segalanya. Maksud aku isu yang dibentangkan itu.
“Masuklah mak.” Aku mempelawa ibu masuk ke dalam bilik dan ibu aku terus masuk dan duduk di birai katil sambil memandang aku yang berdiri seraya melangkah mendekati ibu.
“Mak ubah fikiran.”
“Ubah?”
Aku terkedu.
“Mak tak nak kau kahwin dengan anak saudara Mak Pah kau tu tapi mak nak kau kahwin dengan Bujet.”
“Sepupu Aya sendiri? Mak…”
“Bujet tu okey. Layak jadi suami Aya.”
“Apa yang mak merepek ni? Kenapa harus Bujet? Aya muda lagi mak… janganlah macam ni. Sampai hati mak buat Aya serba salah.” Aku dah tak senang duduk. Memang terkejut besar mendengar ucapan ibu aku tu. Bagaikan mahu luruh jantung ini.
“Nak tunggu sampai bila? Nak sambung belajar? Mana mak nak cari duit nak tampung pembelajaran kau nanti. Macam ni je la, di antara Bujet dan Fahmi, mana yang Aya nak pilih?” Ibu memberikan aku kata dua. Ini tak adil. Ini satu paksaan yang sukar untuk aku halang. Senang-senang ibu aku memaksa. Sungguh aku terkedu.
Aku nak sambung belajar lagi. Di usia aku mencecah 17 tahun ni mana layak ada suami. Aku mesti menghadap buku. Aku nak masuk Universiti. Apa ni? Apa yang perlu aku lakukan? Aku terpinga-pinga mencari jawapan.
“Dua-dua tak nak.” Jawab aku tak jadi duduk sebelah ibu.
“Aya… dengar cakap mak ni. Kalau kau tak nak pilih Bujet sekalipun, terimalah lamaran Fahmi. Esok mereka akan masuk meminang kau.” Ibu dengan selamba memberitahu hal yang menderitakan itu.
“Cepatnya?” Aku hairan.
“Ibu setuju di atas risikan itu.”
“Mak…”
“Dan ayah akan ikut je apa yang mak setuju. Ayah kau akan setuju dan tak akan cakap apa-apa.” Ibu menyambung lagi kata-katanya sedangkan aku sudah mula tidak keruan.
“Mana boleh macam ni mak.”
“Siapa yang boleh tentukan boleh atau pun tidak hanya mak. Semua ni untuk kebaikkan kau. Tak payahlah nak sambung belajar. Abang kamu tu pun tak lepas. Setakat dapat sijil je. Mak tak nak bagi dia sambung belajar pun sebab mak nampak yang dia tak boleh pergi jauh dalam bidang akademik. Tengok abang kamu dah senang sekarang buka workshop di bandar tu. Kau ambil je kelas menjahit dengan Mak Pah kau tu lagi bagus. Mana tahu rezeki kamu boleh buka kedai jahit pula ke. Mak tak harap pun anak mak ni jadi lawyer sebagaimana cita-cita anak mak ni.” Itulah kata pemusnah ibu aku sendiri. Cita-cita aku untuk jadi lawyer dihalang. Aku tak faham dengan sikap ibu aku sendiri. Abang Long aku dulu pun terhalang cita-citanya nak jadi juruterbang. Akhirnya jadi mekanik kereta dekat kota.
“Mak… kenapa mak macam ni?”
“Kau nak lawan cakap mak ke Aya? Dah! Keputusan mak muktamad. Kau tak perlu nak sambung belajar lagi. Mak dah rancang kau dengan Bujet disatukan tapi itupun kalau kau tak mahu pilih Fahmi. Bujet dijadikan sebagai pilihan kedua.” Tegas ibuku membulatkan biji matanya. Takut aku dibuatnya. Hendak bertengkar pun tak boleh kerana orang yang berada di hadapan aku adalah seorang ibu. Ibu kandung aku sendiri. Aku tak nak jadi anak yang derhaka kepada orang tua.
Keputusan yang dibuat ibu seolah-olah satu tindakan berkuasa veto sedangkan aku masih ada ayah. Kenapa ibu aku bersikap ‘queen control’ terhadap ayah aku? Dari dulu lagi begitulah sikap ibuku. Aduhai… aku mengeluh sendiri tatkala tiada bicara yang berbutir dari bibirku ini untuk membalas kata-kata ibu sebentar tadi.


PAGI-PAGI lagi aku dah merengus geram. Bangkit sahaja dari tidur, sejuta masalah timbul. Jadi aku tak dapat nak tidur lena pada malam tadi kerana tidurku sering diganggu oleh perkara yang bukan-bukan. Termasuk bayangan yang mengerikan. Ngerinya jika aku disatukan dengan Bujet dan betapa aku terkedu jika disatukan dengan Fahmi. Aku diminta membuat pilihan. Permainan apakah ini? Kenapa ibu  buat aku macam ni? Aku diulit teka-teki tanpa jawapan pasti. Argh!
Sesudah aku siapkan diri, keadaan bilik aku sedia kemas. Aku melihat jam di dinding sudah pun masuk waktu Subuh. Aku menunaikan kewajipan aku sebagaimana tuntutan sebagai umat yang beragama Islam. Aku mendirikan solat dan hanya kepada Tuhan tempat untuk aku meminta petunjuk. Hanya pada Dia tempat aku mengadu. Semoga Tuhan melembutkan hati ibuku.
Di dalam doaku, tiada lain yang ku pinta hanyalah kebahagiaan dan ketenangan. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Kaya. Dengan limpah dan Rahmat-Nya maka alam ini terus berputar seperti biasa tiada yang kurang maka aku mesti memanjatkan rasa syukur terhadap kurniaan dari-Nya yang Esa.
Ustaz Bakri pernah berpesan padaku, jika aku ada masalah maka hendaklah masalah itu diselesaikan sebaik mungkin. Jika ia masih buntu dan sebaik-baik tindakan adalah berdasarkan keimanan. Iman, hanya keimanan sahaja yang mampu mengunci kebatilan. Aku masih ingat semua itu dan terselit kemas di sanubariku. Untuk menjadi wanita muslimah maka aku harus menjaga penampilan aku. Kata Ustaz Bakri lagi sewaktu dalam kelas agama dahulu, seorang wanita muslimah tidak akan sesekali memperkecilkan sesuatu amalan yang kecil. Tanyaku, apakah amalan kecil itu? Jawab Ustaz Bakri, amalan kecil yang boleh mendatangkan dosa. Aku terdiam dan berfikir, dosa kecil yang bagaimana, tanyaku kepada Ustaz Bakri yang segak bersongkok.
Maka jawab Ustaz Bakri, wanita-wanita yang sedia berbicara mengenai keburukan seseorang yang lain. Tanpa sedar dosa itu kian bertambah menjadi dosa yang sangat besar dan ia terhimpun menjadi sebuah gunung yang tinggi.
Teringat kembali kata-kata itu maka aku membatalkan niat untuk mengadu akan masalah aku kepada Ecah. Baru terfikir untuk menceritakan masalah aku ini kepada Ecah supaya aku mendapat jalan dan membuat keputusan yang bijak. Jadi bagaimana? Aku bukannya menceritakan keburukan tetapi hanya untuk mendapatkan keputusan. Kata-kata Ustaz Bakri itu tidak boleh dipertikaikan. Rasanya… bolej je kut?
Aku sedikit tenang di hamparan sejadah. Telekung yang dipakaiku ditanggalkan dan aku mendapatkan tempat untuk diletakkan telekung itu di penjuru bilik aku. Aku simpan kemas di situ. Sesudah itu aku melipatkan pula sejadah.
Lantaran itu fikiran aku menangkap tabir nama Fahmi. Perlukah aku mengenali jejaka itu? Oh! Tergamaknya ibuku meminta aku menerima lamaran Fahmi jejaka yang terlalu tua untuk aku. Tapi… kalau aku tidak menerima Fahmi, Ah! Bujet, tidak! Takkan Bujet jadi suami aku pula? Tak dapat aku bayangkan, bagaimana Bujet yang aku benci itu menjadi suami aku. Dahlah cerewet! Lepas tu suka kutuk-kutuk aku. Dan, dia tu sepupu aku. Sepupu tetap sepupu!
Cuba beri peluang, sepupu pun boleh kahwin apa? Kata-kata dalam kepala mula merasuk hati. Tidak!!! Hatiku tidak berkenan terhadap diri Bujet. Bujet bukan untuk aku.
Aku meroyan dipagi hari. Terduduk di katil dan termenung sendirian. Lampu bilik yang menyala terang semakin malap. Semalap hatiku. Apa kena dengan mentol lampu tu? Aku melihat mentol lampu yang berkelip-kelip. Ah! Dah nak rosak agaknya. Tapi…
“Aya!”
Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Mana ada orang panggil aku pun? Perasaan aje kut?
“Kalau lampu dalam bilik kau tu berkelip-kelip tu tandanya kau perlukan teman hidup.” Terdengar suara Bujet dicuping telinga. Kata-kata itu pernah menjengah ke cuping telinga aku sewaktu Bujet nak pinjam duit di tepi pantai. Masa tu aku bersama Ecah dan Bujet selalu muncul. Mana aku ada mesti dia ada. Argh! Tension sungguh.
Aku pernah beritahu Ecah berkenaan hal lampu bilik aku tu. Ada ketikanya dia akan berkelip-kelip sendiri. Sudah banyak kali mentol itu ditukarkan namun keadaan masih sama. Terutama sekali apabila waktu subuh. Misteri sungguh. Atau itu hanyalah kebetulan aje kut?
“Diamlah! Aku tak cakap dengan kau pun.” Marah aku pada Bujet yang menyibuk.
“Entahlah, sibuk je kau ni Jet! Pergilah main jauh-jauh. Jangan ganggu kami.”
“Betul Aya… kalau kau tak percaya kau tanya hati kau sendiri.” Jawab Bujet selamba. Aku meraba di atas pasir pantai mencari sesuatu yang boleh dibuat baling ke arah Bujet. Nah!
“Argh!!! Tolong!” Ambik! Aku disempit ketam. Dari mana ketam muncul pun aku tak tahu.
Waktu itu Ecah panik. Dia dah panik apatah lagi aku. Sakit woi! Tindakan spontan aku menyentap tanganku sendiri dan ketam itu masih terus menyempit jari telunjuk kananku.
“Aya! Mari sini aku tolong.” Bujet datang dekat aku dan dia nak tolong. Aku menggelabah tahan sakit lagi dan tahan bengang lagi. Semua itu bercampur menjadi satu.
Tersenyum sendiri aku di dalam bilik mengenangkan peristiwa lucu itu. Akhirnya ketam itu berjaya dijinakkan dengan satu pukulan nakal dari Bujet. Fuh! Berlari ketam tu masuk semula ke dalam laut.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.