Entri Terkini :

Novel : Hati Jadi Rindu - Bab 5

BAB 5


Dua tahun berlalu....

PERUBAHAN mula ketera, dan bertahan hanya dua tahun sahaja. Kini perangai Rashid berubah lagi dan jarang balik rumah. Jika dahulu sehari dua sahaja sekarang berminggu-minggu. Zarina cuba memahami situasi itu dan menerima ketiadaan buat sementara.
Apabila diajak berbincang, Rashid akan beri pelbagai alasan. Itu tak senang, ini tak senang. Semuanya jadi tidak menentu. Sebagai seorang isteri, sudah tentu dia merasakan perubahan itu. Hidup selama dua tahun banyak memberi impak kepada diri sendiri. Bukan setakat menjaga makan dan minum atau membasuh pakaian, tetapi segala tanggujawab ditunaikan. Apa lagi yang tidak kena dengan tindakan Zarina di mata Rashid?
“Saya ni tak nak cakap banyak, lebih baik awak diam dari banyak tanya.” Rashid memang suka memarahi Zarina. Selalu dan sudah menjadi rutin setiap minit, setiap jam malah setiap hari.
Tanya pun dah melenting. Kalau tak tanya nanti mengata pula Zarina ini bisu atau pekak badak. Mana boleh jadi dibiarkan begini. Sudah kerap ditanya, tapi Rashid buat tak tahu. Cara Rashid macam ada simpan sesuatu sahaja. Takkan hal tiada anak menjadi isu besar selama dua tahun ini? Ketika makan malam, Rashid terus makan tanpa berbicara sepatah pun. Di dalam bilik tidur pula, cepat-cepat Rashid tarik selimut. Tidur membelakangi isteri. Tiada lagi pelukan mesra melainkan sikap dingin yang ditunjukan.
Selama dua tahun, memang Zarina menghadapi kesukaran. Bukan hendak jadi ‘queen control’ mengawal segala tindakan Rashid tetapi sekadar menasihati sahaja. Namun, itu macam mencurahkan air di daun keladi. Tiada makan langsung nasihat.
“Selalu balik lewat, dari bujang sampai kita kahwin, abang masih macam ni.” Zarina berpesan namun si suami, menjuih bibir sahaja. Maka, jelas di sini Rashid agungkan keegoan. Kadangkala Zarina dibuatnya seolah-olah tidak wujud di mata. Kalau sudah sampai tidak tertahan, kepada Mak Mah dia meluahkan rasa. Mak Mah ini sudi mendengar luahan hati Zarina.
Ketaatan Zarina begitu jelas sekali selepas dia mempelajari tentang adab dan adat sebagai isteri. Segalanya dia jaga, seperti auratnya. Dia tidak mahu memacakkan dosa pada bahu suami sewenang-wenangnya. Bayangkanlah kalau menjadi seorang isteri yang langsung meremehkan tentang solat, tentang ibadah-ibadah yang lain mahukan perkara yang berkaitan dengan munakahat pasti akan mengundang murka ALLAH. Hubungan tiada redha adalah hubungan yang tiada makna apa-apa. Perkahwinan bukan sekadar untuk hidup tetapi untuk bekalan mati. Isteri bagaikan pakaian bagi suami begitu juga suami merupakan pakaian bagi isteri. Saling memerlukan.
Telinga itu mendengar dan selalu sahaja menghayati makna perhubungan. Nasihat Mak Mah juga diambil kira tidak hanya untuk hari ini tetapi untuk selama-lamanya. Apa sahaja tutur bicara Rashid hinggap ke dalam hati. Jiwa wanita sangat halus. Kalau dihiris, sudah tentu ia terluka. Lukanya pasti lambat sembuh. Ia tersemat jauh dalam ingatan, yang digelar memori hitam.
“Jangan menangis, tak ada apa-apa yang berlaku.” Zarina dipujuk Mak Mah. Sebagai seorang isteri, dia dapat membezakan perubahan itu dan dia merasakan sesuatu yang ganjil namun dia bertahan dan bertahan. Setahun perkahwinannya sudah menimbulkan keresahan. Baru dua tahun, sudah bergoyang tetapi orang lain masih elok bahkan ada yang lima tahun pun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Zarina merasakan dirinya yang tidak kena. Kalau begini bagaimana? Aku tak boleh mengandung ke? Kenapa masih tak ada apa-apa yang berlaku sehingga sekarang?
Zarina membuat andaian sendiri. Hanya Mak Mah tempat dia meluahkan rasa. Segala rahasia keluarga ada di tangan Mak Mah. Pembantu rumahnya itu sangat dipercayai.
Episod duka telah melingkari hari-hari Zarina. Jiwanya menjadi hambar dan lesu mengenangkan kesunyian yang kian melanda. Betapa bahagia seperti diragut pergi mengakibatkan semangat menghilang.
Semenak itu, Rashid mula dingin. Rashid mahukan anak tetapi sehingga sekarang Zarina belum lagi hamil. Sudah banyak cara diusahakan.
“Mungkin belum ada rezeki lagi, Ina.” Mak Mah meredakan hati Zarina sambil melipat pakaian.
Zarina dari tadi lagi berhenti melipat pakaian kerana kekusutan yang melanda. Rashid berkerja di luar kawasan. Sebagai seorang isteri, dia terpaksa akur.
Tiada yang lain dapat menyelamatkan institusi rumahtangga melainkan sikap bertolak ansur. Begitulah yang cuba dilakukan oleh insan bernama Zarina. Jauh di sudut hatinya begitu sayang dan cintakan suaminya. Segala yang dilakukan adalah untuk menyinari alam rumahtangganya.
Di manakah lagi tempatnya untuk dia mengadu seandainya kemelut melanda jika Mak Mah tiada? Apa yang pasti adalah gelora jiwanya yang akan meledak bila-bila masa sahaja. Namun tidak pernah pun dia mengalah pada bahana nafsu syaitan yang menghasut agar dirinya mencurangi suami. Walaupun sering ditinggalkan namun kesetiaan cintanya pada suami tetap utuh bagaikan karang di lautan menahan setiap gelombang yang mendatang.



***



“SETIAP kali abang balik awak mesti buat muka macam tu? Awak ada masalah ke dengan abang?” Rashid suaminya tercinta baru pulang dari kerja. Sudah seminggu suaminya berkerja di luar kawasan. Hari ini baru pulang. Kepulangan suaminya mungkin seketika cuma. Barangkali selepas ini dia akan bertugas di tempat lain pula. Begitulah hidup Zarina bersuamikan seorang engineer.
Zarina mencebik menahan sebak dalam dada di atas pertuturan kasar dari suaminya. Zarina sedia menyambut suaminya yang baru pulang itu. Suaminya tidak memaklumkan kepadanya lebih awal untuk pulang. Kenapa begini? Fikir Zarina.
“Kenapa awak diam?” Sekali lagi Rashid bertanya. Kebisuan Zarina dianggap bersalah.
Bagaimana Zarina tidak buat muka begitu sedangkan dia seorang isteri? Salahkah menelefon dirinya terlebih dahulu dan beritahu akan pulang pada malam ini? Sekarang sudah pukul satu pagi. Tadi Rashid mengamuk minta dibukakan pintu. Zarina dimarahi kerana menyelak pintu dari dalam. Tidak tahukah Rashid isterinya tinggal sendiri dalam ketakutan? Di rumah ini memang ada pembantu namun itu tidak cukup selamat baginya.
Kalau benar Rashid masih sayang, berilah tahu terlebih dahulu walaupun sepatah. Sekurang-kurangnya Zarina dapat menyiapkan apa-apa yang patut. Zarina sendiri tidak sempat berhias untuk suami tercintanya itu. Apakah Rashid ingin membuat kejutan? Kejutan yang tidak ikhlas terpamer dari raut wajah. Zarina dapat merasakannya.
Zarina tahu suaminya berkerja di luar kawasan tetapi sikap suaminya banyak berubah. Dulu Rashid akan memberitahu dirinya akan pulang, ada di mana? Sedang buat apa ? Tetapi dalam seminggu lepas sudah beberapa kali Zarina menghubungi Rashid tidak pernah pun berjawab.
“Abang tak nak minum dulu?” Soal Zarina sambil mengambil kot Rashid.
“Minum apa dah pukul satu pagi ni? Sudahlah saya nak berehat. Balik rumah sahaja awak buat muka macam tu. Tak boleh ke awak senyum sikit?” Tegur Rashid dengan egois sekali.
“Abang, kenapa abang cakap begini dengan Ina, bang?”
“Cakap apa lagi? Saya dah malaslah nak bercakap dengan awak ni, tengok muka awak macam ni pun sudah hilang mood saya, tahu tak?” Balas Rashid sambil melangkah laju naik ke tingkat atas.
Zarina ditinggalkan terkulat-kulat di situ. Zarina tertunduk hiba. Dia benar-benar hairan dengan sikap suaminya sejak kebelakangan ini. Zarina terus melangkah naik setelah pintu rumah dikunci. Dia melangkah dengan rasa hiba bersarang kukuh di relung hati.
‘Kau harus sabar Zarina. Kau sayangkan Rashid, bukan? Kuatkan semangat kau Zarina,’ Zarina memberikan kekuatan semangat untuk dirinya sendiri.
Zarina memalsukan senyuman. Dia tidak berniat untuk buat muka hairan sebentar tadi. Dia juga tidak patut memuncungkan mulut panjang sedepa. Dia terlupa bahawa suaminya pantang melihat dirinya berwajah begitu.
Pintu bilik dikuak perlahan. Dia masih menguntum senyuman yang dipalsukan itu untuk Rashid yang sedang mencapai tuala mandi.
“Abang nak mandi pagi-pagi macam ni ke? Tak elok untuk kesihatan bang,”
“Awak jangan sibuk boleh tak? Kalau awak nak tidur awak tidur sahajalah, jangan nak membebel pulak. Sakit telinga saya ni tahu tak dengar suara awak macam makcik tua,” sinis Rashid dan Zarina tersentak lagi. Zarina menarik nafas dalam-dalam untuk terus bersabar dengan perangai Rashid itu.
Zarina terdiam. Rashid terus meluru ke bilik air. Zarina menyangkut kot suaminya itu lalu dia melangkah ke birai katil dan duduk di situ sambil memeluk bantal. Fikirannya menerawang jauh. Jauh sekali teringat saat manisnya percintaan antara dia dan Rashid sebelum perkahwinan. Ternyata semuanya berbeza. Sejak dua tahun mendirikan rumahtangga inilah kelainan yang dirasakan. Baru saat ini dia berasa suaminya berubah. Zarina ingin tahu punca suaminya berubah sedemikian rupa. Hendak dia bertanya takut pula dimarahi. Dia tahu Rashid seorang panas baran namun Rashid pernah berjanji dengannya tidak akan marah-marah.
Sikap suaminya itu membuatkan hati Zarina tersentuh. Suaminya memungkiri janjinya. Janji untuk tidak memarahi Zarina tanpa sebab yang munasabah. Amarah itu bertahan selama dua tahun sahaja. Kini ia kembali merusuh di relung hati.
“Apa yang awak menungkan tu? Kalau nak tidur, tidur sahajalah tak payah  nak tunggu saya,” terkejut Zarina mendengar suaminya sudah selesai mandi. Lamunannya sebentar tadi berkecai begitu sahaja.
Dia berpaling melihat wajah tanpa suaminya. Lama dia memandang suaminya dan pandangan itu bertaut. Suaminya juga memandang wajahnya. Tanpa disedari, Zarina cepat-cepat berpaling dan melarikan wajahnya. Sebenarnya tubir matanya hampir bergenang. Dia menahan rasa ingin menangis.
‘Aku tidak boleh menangis dihadapan dia. Aku tidak mahu tunjukkan diriku lemah. Aku mesti kuat. Zarina, kau mesti kuat!’ bersungguh-sungguh dia menasihati dirinya sendiri di dalam hati.
Sebenarnya, dia mahu dipujuk. Tapi Rashid buat tidak tahu. Dia juga ingin  suaminya membelai dirinya dengan penuh kasih sayang. Tidak boleh ke dia merasai semua itu lagi? Kenapa sampai setakat ini sahaja? Mana dia campakkan kasih sayangnya sebelum ini? Bertalu-talu pertanyaan menhentak tempurung kepala.
“Sayang...” hati Zarina tiba-tiba lembut mendengar panggilan itu. Mudah benar suaminya berubah sikap. Lirih sahaja nada itu. Zarina menoleh semula ke arah suaminya.
Dia terus bangun dan mendapatkan suaminya. Dia tidak menyahut panggilan itu tapi sebaliknya dia mencapai tuala yang lain. Tuala yang bersih.
“Macam mana la abang mandi ni, lap pun tak kering,” Zarina tolong suaminya lapkan badan sampai betul-betul kering. Begitu indah sekali kasih sayang Zarina untuk suaminya. Terpinga-pingga Rashid melihat gelagat Zarina.
Tidak semena-mena hati Rashid sedikit tenang dengan cara Zarina sebentar tadi walaupun agak pelik. Api kemaharannya mula dingin sejenak. Lantas tangan Zarina dipegang dan diramas perlahan. Rashid menarik Zarina duduk di birai katil itu.
“Abang minta maaf.” Ucap Rashid sambil menguis dagu Zarina. Berjuta kali ucapan itu. Lali Zarina mendengarnya. Selepas meminta maaf, tidak sampai lima minit pasti buat lagi. Kata-kata yang terpacul dari mulut Rashid banyak menyakitkan hati.
“Untuk apa bang minta maaf dekat Ina? Jujurlah bang, apa sebenarnya yang tengah abang fikirkan?” Soal Zarina.
“Tak ada apa-apa.”
“Bohong.”
“Ya.” Jawab Rashid bersama wajah kemerahan. Pantang bercanggahan pendapat, maka mula hendak naik angin.
Zarina terlalu rindukan Rashid. Berjauhan dengan Rashid membuatkan dirinya begitu lemah. Jiwanya sering dihantui rasa bimbang dan takut. Rasa itu kian membukit. Zarina bukanlah seorang isteri yang cukup kuat tatkala berjauhan dari suami namun hatinya kebal dengan kesetiaan. Itulah cinta seorang isteri untuk si suami.
Kalau sudah tiada di mata, kadangkala fikiran Zarina selalu fikir yang bukan-bukan. Apabila di hadapan mata, dia mahu sentiasa di dalam pelukan. Rashid tidak pernah faham.
Rashid pula sudah letih. Malas pula hendak melayani Zarina sekarang. Lagi pula dia tak ada mood langsung untuk berbual panjang. Zarina kaku di situ. Rashid memasang niat hendak tidur.
“Abang...” lembut Zarina menyembutnya.
“Sayang... abang letih. Kita borak esok sahajalah,” Rashid memberi alasan.
“Esok abang cuti?” Zarina mahukan kepastian. Soalan itu diajukan demi mahukan kejujuran. Setahu Zarina esok Rashid cuti, kalau diberikan alasan kerja memang Rashid sengaja mahu melukakan hati Zarina. Esok cuti umum. Kalau letih mesti berehat secukupnya. Rashid mengangguk perlahan. Zarina begitu gembira mendengar jawapan itu walaupun dari anggukan. Dia ingin lakukan yang terbaik untuk suaminya.

Rashid harus mengerti akan pengorbanan dari seorang isteri seperti Zarina. Perempuan seperti Zarina tidak boleh dikasari. Usahlah bertindak melulu. Zarina sarat menanggung rindu. Nilai rindunya perlu dibayar dengan kasih sayang, bukannya marah-marah. Sudah lama ditinggalkan ini pula balasan. Rashid mudah berubah dan baru sekejap tadi dia elok pula.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.