Entri Terkini :

Blogger Tips, Tricks and Tutorials

Kita Dan Komputer

Ragam Dan Kehidupan

Muhasabah Diri

Cuit-Cuit

Video

Novel : Hati Jadi Rindu - Bab 3

BAB 3

ZARINA bangun awal pagi dan dia terus mengorak langkah ke bilik Rashid. Mahu diperhatikan sama ada suaminya sudah balik atau belum? Ini hanya untuk kepastian sahaja. Sebaik sahaja tangannya mahu mencapai tombol itu, tiba-tiba pintu bilik Rashid terus terbuka. Terkejut jadinya.
“Apa yang kau tercegat depan bilik aku ni?” Rashid masih berbaju tidur.
“Saya... saya....”
“Apa saya saya? Dah tak boleh nak cakap?”
Wajah Zarina pucat. Rashid ni garang sangat. Tak boleh ke perlahan sikit suara tu? Ni macam singa mengaum pagi-pagi hari. Kebetulan pula Zarina nak pulas tombol Rashid pula buka pintu.
“Saya nak ambil baju kotor. Nak cuci.” Jawab Zarina cemas. Nasib baik akalnya cepat mencerna alasan. Kalau tidak, entah apalah yang berlaku.
“Oh... okey. Tolong kemaskan sekali katil aku tu ya.” Rashid menguap lagi dan mencapai tuala yang tersangkut. Dia nak mandi.
Jadi apa lagi, cepat-cepat dia ambil baju kotor untuk dicuci. Dia sebenarnya lega sebab suaminya balik. Ingatkan tak balik. Mujurlah masih ingat rumah ni. Nanti alasan tertidur di pejabat pula kan lain pula ceritanya.
Tapi ada sesuatu yang menganggu fikirannya sekaligus membuatkan jiwanya tak tenang. Hatinya ni rasa lain macam sikit. Terasa mahu sahaja dilihat telefon Rashid yang berada di atas rak tu. Asyik terpandang sahaja. Namun, dia berat hati.
“Aku nak ingatkan kau, selepas kita kahwin nanti aku tak nak kau usik apa-apa barang milik peribadi aku, faham?” Rashid telah memberikan peringatan pada Zarina untuk tidak mengambil tahu aktiviti hidupnya.
Sekarang dah lepas kahwin, memang tak boleh sentuh barang peribadinya tapi pakaian dalam pun peribadi jugak kan? Kira boleh la! Tangannya cepat mencapai telefon bimbit.
Zrapppp... pintu bilik mandi terbuka. Isy!!! Kenapa cepat sangat dia keluar? Zarina letak semula telefon itu.
“Awak mandi kerbau ke, cepatnya?” Zarina mengambil bakul berisi pakaian Rashid untuk dibawa keluar.
“Aku mandikan diri aku, aku tak pernah mandikan kerbau dekat sini dan jaga baju tu, jangan sampai rosak baju aku tu.” Pesan Rashid.
Dia buat aku ni macam tak reti cuci baju pulak. Selama ni aku juga yang cuci baju dia, baik kat rumah mama mahu kat rumah ni. Bebel Zarina di hati.
“Memang la awak tu tak mandikan kerbau tapi bau badan awak tu macam kerbau.” Desis Zarina perlahan. Sakit pula hatinya dengan kata-kata Rashid tadi. Boleh pula buat lawak pagi-pagi buta ni.
“Apa kau cakap tadi?” Rashid kurang dengar.
“Tak ada apa-apalah.” Zarina terus berlalu.
“Sekejap!” Panggil Rashid mematikan langkah Zarina. Rashid mendekati Zarina lalu cuba dihidu tengkuk. Segera Zarina berganjak. Bukan apa, selama ni Rashid jarang mesra sebegini.
“Kenapa ni?”
“Bau kau pun lebih kurang sama juga dengan kerbau.” Usik Rashid pula.
“Isy! Apa-apa ajelah.” Zarina menyambung langkahnya. Suka benar Rashid buat Zarina bengang. Baru tahu rasa, buat orang lain bengang tak apa pula? Rashid suka tembak semula.
“Awak. Saya nak tanya awak.” Zarina letak bakul tu. “Mana awak pergi malam tadi? Awak janji nak balik awal, kan?”
“Eh? Saya ada janji ke?” Rashid angkat kening.
“Errr...” Zarina berfikir, tak ada kut. Ah! Apa-apa ajelah. Zarina mengambil semula bakul itu dan menuju ke bilik cucian.



***



DATO` SRI RIZAL menghubungi Rashid ada hal untuk dibincangkan. Mereka bertemu Cafe House. Rashid datang tepat pada waktunya pada petang itu.
“Ada apa papa nak jumpa dengan Rash?” Rashid berdiri.
“Duduk dulu.” Suruh papanya.
Kerusi ditarik kemudian Rashid melabuhkan punggungnya. Dia membetulkan kedudukan tali lehernya yang agak senget. Kemudian dia memandang semula ke dalam mata papa.
Semenjak akhir-akhir ini Dato` Sri Rizal dengar banyak cerita yang tak baik mengenai Rashid. Pulang selalu lewat malam jadi dia mahu menasihati Rashid supaya tidak berkelakuan seperti itu. Rashid perlu menghormati isteri sendiri.
Sebagai seorang ayah, dia tahu perangai anaknya itu bagaimana tetapi sampai bila Rashid mesti hidup di dalam dunia sendiri? Sekarang anaknya itu bukan orang bujang, kini sudah bergelar suami. Nanti kalau sudah ada anak bagaimana?
“Papa nak tanya sikit, kenapa kau biarkan isteri kau sendirian di rumah?”
“Ni apa dengar cerita daripada mana pulak ni?”
“Dari mana papa tahu itu tak penting, papa hanya nak tahu, kenapa kau abaikan menantu papa tu?”
“Hah? Menantu?”
“Rash, walau bagaimanapun Ina tu tetap menantu papa. Papa nak kau jaga dia elok-elok. Dari dulu lagi dia dah macam keluarga kita.” Ujar Dato` Sri Rizal.
“Papa... papa lupa ke siapa dia? Dia tak ada kena mengena pun dengan keluarga kita. Dia datang tiba-tiba dan papa terima dia tinggal di rumah kita jadi orang gaji rumah kita. Sekarang kehendak papa dan mama pun Rash penuhi, ikut sukati Rash la nak buat apa pun.” Jawab Rashid tidak berpuas hati kerana dipersalahkan dalam soal ini. Dalam hatinya bertambah geram. Ada sahaja yang mengadu domba.
“Oh, ikut suka hati? Sampai buat Ina sedih, kenapa? Bukan macam ni cara kau melayani isteri kau, Rash.”
“Papa, papa... apa pun yang terjadi di antara saya dengan Ina, papa tak boleh masuk campur.” Rashid bangun. Bukan dia mahu bersikap biadap tetapi dia telah hilang sabar. Kehendak papa dan mama dia dah penuhi. Apa lagi mereka nak?
Why not? Papa masih ada hak, sebab dia adalah menantu papa dan untuk pengetahuan kamu Rash, papa tidak akan memaafkan kau kalau apa-apa berlaku terhadap Zarina, faham?”
“Papa? Kenapa sampai macam ni? Apa pentingnya Zarina tu berbanding Rash ni?”
“Dia memang penting. Papa tak pernah jumpa perempuan seperti Zarina yang penyabar.”
“Kalau papa suka sangat dekat dia, kenapa tak papa aje yang kahwin dengan dia dulu?”
“Kurang ajar!” Dato` Sri Ryzal berdiri lalu melepaskan satu hayunan. Wajah kemerahan terpampang dek menahan geram dengan sikap Rashid yang melampau itu. Tanpa sedar tangan laju berlabuh ke pipi Rashid sekuat tenaga. Silap hari bulang boleh tercabut rahang anaknya.
Pang!
Ah!!! Rashid pegang pipinya. Tidak!!! Papanya menampar dirinya. Hanya kerana Zarina? Sampai hati papa!
“Awak, awak, mimpi disiang hari ke?” Terpisat-pisat Rashid di dalam pejabatnya.
Laju dia menggosok kelopak matanya dengan siku jari. Entah macam mana dia boleh terlelap di meja pejabatnya itu.
“Kau buat apa dalam pejabat aku ni?”
“Saya nak hantar ni?” Zarina tunjukkan mangkuk tingkat berisi makanan untuk santapan tengah hari Rashid. Zarina tahu Rashid tidak ada kesempatan menjamah makanan. Itu belum lagi turun ke lokasi pembinaan. Kalau sudah sibuk mana ada masa mengisi perut.
Selama ini selalu sibuk sehingga pulang lewat malam. Apa salahnya Zarina bawa bekal tu sendiri. Lagi pun ,dia tidak mahu Rashid terlepas makan tengah hari lagi dan makan malam.
“Isy kau ni, buat malu ajelah. Aku boleh makan dekat luar tak perlulah bawa bekal sampai sini.”
“Saya letak atas meja ni ya.”
“Ya.”
“Awak,” panggil Zarina.
“Ada apa?”
“Saya balik dulu.” Zarina meminta izin.
“Ya, baliklah.”
“Saya balik ni.”
“Aku kata balik, baliklah!” Bentak Rashid.
“Erh!” Terkejut Zarina mendengar suara Rashid tiba-tiba tinggi. Tidak pernah Rashid buat perangai macam ni sebegini teruk? Apa ni?
Zarina terus keluar kerana bimbang Rashid naik angin lagi. Manalah tahu nanti tiba-tiba buat gila pulak.
Telefon bimbit Rashid berbunyi. Dia melihat nama yang tertera di skrin. Dia tidak tahu apakah yang bakal berlaku selepas ini? Rashid menjawab panggilan itu.
“Ya papa, ada apa?”
“Papa nak jumpa kamu lepas lunch nanti.”



***



LANGKAHNYA hampa sambil masuk ke dalam rumah. Ingatkan Rashid suka tetapi rupa-rupanya tidak. Kena tengking adalah. Namun, tak apa asalkan Rashid makan masakannya. Dia berharap sangat suaminya itu menjamah sedikit. Paling tidak pun dapat juga buat Zarina gembira untuk sesaat.
“Macam mana Ina?” Tegur Mak Mah melihat Zarina berwajah muram.
Zarina senyum tawar memandang Mak Mah tepinya.
“Okey je Mak Mah.” Jawab Zarina perlahan menala langkah ke sofa.
“Okey saja?” Mak Mah tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Mesti ada yang tidak kena. Kalau tidak takkanlah wajah Zarina begitu?
Anggukkan perlahan diberikan sebagai tanda Zarina tiada apa-apa masalah. Semuanya stabil. Hakikatnya disorokkan dari pengetahuan Mak Mah.
Dari gaya Zarina itu, dapat Mak Mah tafsirkan yang sebenarnya tidak beres. Segalanya tidak stabil. Namun, Mak Mah tidak perlu masuk campur terlalu banyak dalam soal rumahtangga mereka. Biarlah mereka cuba selesaikan sendiri. Pembantu rumah itu meminta diri untuk ke dapur.
Zarina duduk di sofa. Keindahan seolah-olah terhapus sedikit demi sedikit. Mak Mah sudah bagi idea tetapi Rashid susah ditundukkan. Zarina mesti berusaha keras untuk menawan hati Rashid. Tapi kadangkala rasa terhegeh-hegeh pula jadinya kalau terus menerus begini?

Dia teringatkan Salwa, lama tidak dengar khabar kawannya itu. Dia mengambil telefon bimbitnya di dalam tas tangan. Kemudian dia membetulkan sedikit tudungnya. Matanya memandang semula telefon bimbit.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

Novel : Hati Jadi Rindu - Bab 2

Bab 2 

HIDUP di alam rumahtangga bukan perkara mudah. Perjalanan hidup dalam perkongsian itu memerlukan ketabahan dan kecekalan untuk menanggani masalah yang akan datang. Bukannya boleh duga masalah yang diterpa itu jenis yang macam mana? Halangan batu ke, kayu ke, atau kaca? Walaupun hujan, ribut mahu pun gerhana perlu juga ditempuhi.  Kebahagiaan dalam berumahtangga memang menjadi impian sesiapapun. Tiada satu insan yang normal sifatnya mahu hidup melarat dan tertekan.
Dalam hati ada pelangi, hendak dilihat dari luar, bagaimana? Dengan zahir sahaja cuba digambarkan keindahan itu tapi malangnya orang tidak pernah nampak walaupun diambil kapak untuk dibelah dada. Yang ada hanyalah organ yang berkarat duka.
Sejak bergelar suami isteri ni, bertambah rumit pulak kehidupan. Sakit hati makin mengancam. Aduhai, bukan senang hendak melayari bahtera hidup berdua. Tambah lagi hidup di dalam rumah besar ini yang penghuninya ada tiga orang sahaja, Zarina, Rashid dan Mak Mah, pembantu rumah. Sebenarnya rasa berdua sahaja kerana Rashid, buat perangai selalu tak balik rumah.
Hanya pada Mak Mah tempat Zarina bercerita, hendak diharapkan Rashid, huh! Lain tahunlah jawapannya.  “Encik Rashid tu masih rasa dirinya bujang,” Mak Mah beri pendapat dan pendapat itulah yang dipegang Zarina. Nak rasa orang bujang sangat la tu. Aku dah jadi isteri dia pun buat tidak peduli sahaja. Zarina menggeleng.
Keluar siang pergi kerja, balik lewat malam macam gila-gila remaja. Sudah tak sedar agaknya isteri di rumah tertanya-tanya ke mana pergi sampai malam buta?  Sekarang sudah dua bulan perkahwinan mereka. Keadaan masih tidak berubah. Mana bahagianya? Sakit pulak hati tapi apa boleh buat, Zarina harus sedar diri. Dia ni siapa untuk dibandingkan dengan keluarga berada ini.
Tunggu punya tunggu sampai terlelap Zarina di sofa. Si suami tak balik lagi. Zarina hanyut dalam lena. Pintu rumah dibuka dari luar. Melangkah Rashid masuk ke dalam. Dilihat Zarina tidur di situ.
Dia terus melangkah naik, Zarina tersedar lalu mendapatkan Rashid yang nampak keletihan serta selekeh pula pakaian.
“Awak, awak pergi mana sekarang baru balik? Call tak angkat, sms tak reply.”
“Aku, banyak kerja dekat pejabat tadi.” Alasan diberikan.
“Kerja apa sampai balik lewat-lewat malam?”
“Kau jangan sibuk boleh tak?” Mata Rashid dah layu.
“Saya kan isteri awak, of course saya kena ambil tahu. Awak cakap dengan saya, sebenarnya awak pergi mana?”  Soal Zarina.
Rashid buat tidak layan lalu terus naik ke tingkat atas meninggalkan Zarina. Isy dia ni, ingat aku ni apa, patung ke buat tak layan? Zarina membebel.
Menjadi seorang isteri diusia 24 tahun ini sebenarnya banyak yang perlu dipelajarinya. Tentang bagaimana menambat hati suami, harus diketahui caranya. Dengan siapa harus dia menuntut? Dengan pakar cinta ke?
Rashid pula yang dua tahun lebih tua dari Zarina masih tidak dapat menerima perubahan ini iaitu bergelar suami kepada Zarina. Dia tetap rindukan Baby si jantung hati.
Zarina berdiri di hadapan pintu bilik. Boleh ke aku ganggu dia masa ni? Kan tak pasal-pasal Encik Rimau ni mengaum, habis aku nanti. “Orang perempuan tak boleh masuk bilik orang lelaki, faham?” Tergiang-ngiang suara Rashid berpesan sedemikian rupa. Dari kecil sampai besar itulah yang dia ingat. Sampai dah kahwin pun dia tak dibenarkan masuk.
Ah! Peduli! Dia ketuk juga pintu itu sambil memulas tombol. Aik! Tak berkunci? Dia terus melangkah masuk. “Awak, boleh saya masuk tak?”
“Dah masuk baru nak mintak izin ke? Siapa yang ajar kau?” Rashid yang duduk dibirai katil memadang garang. Bola matanya yang layu tadinya dibulat besar.
“Tak, saya cuma nak tahu keadaan awak sahaja.”
“Ouh...” Tiba-tiba Rashid memegang perutnya, “Aduh! aduh!”
“Kenapa awak?” Zarina terkejut. Rashid sakit perut tiba-tiba dan segera dia melangkah mendekati suaminya itu.
“Eh eh! Jangan dekat!” Larang Rashid.
“Tapi awak macam sakit.”
“Kau keluar boleh tak?”
“Tapi...”
“Kau dengar ke tidak.”
“Dengar-dengar.” Zarina terus keluar walaupun berat hatinya untuk meninggalkan Rashid di situ yang sedang mengerang kesakitan. Sakit apa tu? Zarina sendiri tidak tahu. Tapi oleh kerana bimang, dia masuk lagi tapi Rashid tak ada. Dipandang pula pintu bilik air, tertutup rapat tapi terdengar pula suara orang menyanyi perlahan. Diterkap cuping telinganya dekat situ, nah! Sibuk dengan lagu Menceceh dia tu la!
“Eee!!! Geramnya!” Zarina mengumam geram. Buat-buat sakit ya? Sungguh tidak berpuas hati.



***



“ENCIK Rashid memang begitu, umur sahaja dah semakin meningkat tapi perangai macam budak-budak fikir tak panjang. Buat benda-benda tak tanya orang tua dulu, main redah sahaja.” Komen Mak Mah.
Zarina angkat kening. Hairan, Mak Mah terleih tahu pula. Mesti ada yang tak beres ni? Agaknyalah.
“Macam mana Mak Mah tahu semua fasal Rashid ni?” Soal Zarina.
“Mak Mah kenal dia pun dari apa yang mak datin cakap la.” Oh! Patutlah. Zarina sengih.
“Oh... untuk pengetahuan Mak Mah, saya kenal dia semasa saya sekolah menengah lagi. Saya tahu dia memang macam tu, tapi takkan tak boleh berubah, kan?” Ujar Zarina. Itu belum masuk kena buli bawah satu bumbung lagi. Mak Mah ni baru lagi dekat rumah ni. Itupun dihantar oleh Dato` Sri Rizal untuk jadi pembantu di sini.
Sejak mendirikan rumahtangga dengan Rashid sebulan lalu, mereka berpindah di banglo ini. Rumah ini boleh tahan besarnya dan segala isi dalam adalah serba mahal. Itu tidak diambil kira oleh Zarina. Apa yang penting adalah dia mesti belajar menjadi seorang isteri yang baik. Baginya, kemewahan tidak menjaminkan kebahagiaan. Kadangkala dengan kemewahan jugalah dapat menghancurkan perhubungan.
“Ikan tu dah garing, Ina.” Mak Mah menegur.
“Ya!” Sempat lagi Zarina menggelamun. Nasib baik ikan kembung yang digoreng itu tidak hangus.
“Mak Mah, saya nak tanya sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?” Mak Mah hulurkan pinggan supaya ikan tadi diangkat masuk ke situ.
“Rashid tu sayang saya tak?”
“Eh? Selama ni kamu tak rasa dia sayang kamu ke?” Mak Mah pandang Zarina pelik. Bercakap tentang sayang.
“Entahlah Mak Mah, kami kahwin pun bukan atas dasar cinta.”
“Kamu tak mencintai dia ke?”
“Bukan, bukan. Sa... saya...” Zarina menggelabah. Malu hendak mengaku yang dia sebenarnya sayang. Cuma perasaan itu tersembunyi sedalam-dalamnya. Kalau dikatakan sayang pun, Rashid belum tentu faham.
“Dengan Mak Mah pun nak malu. Mak Mah ni pun perempuan jugak Ina...” Lirih nada Mak Mah sambil tersengih.
Zarina memang tidak kekok dengan kerja-kerja di dapur. Dia tahu bagaimana semua itu bermula dan dia pasti setiap yang bermula pasti ada akhirnya. Dia inginkan kebahagiaan.
“Saya nak call dia sekejap.” Zarina beredar menghubungi Rashid dengan telefon bimbitnya.
Assalamualaikum awak, boleh balik awal tak?”
Hello... hello...”
Hello awak, boleh balik awal tak?”
Sorry, tak dengarlah, call back.”
Tut... tut... tut...
Telefon dimatikan. Grrr.... boleh pulak dia buat tak dengar.


SMS :
Boleh tak awak 
balik awal hari
ni?
 






Pesanan dihantar tetapi tidak langsung dibalas. Rashid sibuk agaknya. Kecewanya!!! Orang lepas kahwin ada pergi ‘honeymoon’ ke apa. Ini lepas kahwin lepak dalam rumah ni! Macam ni ke kahwin? Zarina mula merungut.



***



SEORANG budak perempuan tingkatan satu cuba melintas jalan tetapi dalam keadaan itu dia ditarik oleh budak lelaki tingkatan tiga. Sekolah sahaja yang elit tetapi budak perempuan tu agak kurang elit sebab cuba menyeberangi jalan tanpa meninjau keadaan.
“Kalau kau nak melintas boleh tak tengok kiri kanan dahulu?” Rashid bengang dengan Zarina yang cuba membahayakan diri. “Apa guna orang buat jejantas tu kalau kau tak guna?”
“Sorry bang!” Zarina sebenarnya berdebar. Kalau lengannya tidak ditarik oleh Rashid, sudah tentu dirinya berada di bawah perut bas.
“Apa dia? Apa kau cakap tadi? Aku tak dengar. Abang?”
Dengar pulak? Ingatkan pekak badak tadi.
“Ha`ah la, abang lebih tua dari saya.” Jawab Zarina menjeling.
“Tak tak! Jangan panggil aku macam tu. Aku tak suka.” Bidas Rashid memang tak suka langsung dipanggil abang. Tua dua tahun aje pun bukannya lebih seratus tahun! Gatal sangat nak panggil macam tu kenapa? Rashid bengang.
“Tak suka sudah. Terima kasih kerana selamatkan saya.” Ucap Zarina lalu mengatur gerak ke jejantas. Iktibar dari tragedi itu, gunalah jejantas. Kalau tiada hero datang membantu, teruk Zarina nanti. ICU atau pun ‘No More See You’ tempatnya.
“Amboi berlagak. Tak sedar diri betul.” Desis Rashid melihat Zarina melangkah. Orang sudah tolong boleh tunjuk angin ya, tak apa. Ada ubi ada batas!
Rashid tiba-tiba sahaja terfikirkan Zarina. Jauh dia teringatkan hal Zarina itu yang juga degil sebenarnya tetapi sekarang Zarina terlalu penyibuk! Tadi Zarina telefon minta pulang awal. Boleh kut diberi peluang pada Zarina. Apa salahnya buat baik sekali sekala.


 SMS :
Ok. Aku cuba siapkan kerja secepat mungkin.
 






Pesanan dihantar kepada Zarina. Rashid sedang sibuk dipejabat kerana banyak kerja yang dia kena selesaikan. Cuti kahwin pun hanya dapat dua minggu sahaja selepas itu kena sambung kerja. Lagipun dia kena selesaikan banyak perkara. Itu tak jadi masalah. Buat apa nak bercuti lama-lama? Kerja lagi penting.
Setelah dia selesaikan kerja, tiba-tiba Baby menghubunginya. Dia menjawab panggilan itu. “Temankan I shopping malam ni, please...” Baby merayu.



***



PUAS Zarina tunggu suaminya di meja makan. Lauk pauk dah dingin. Sekejap-sekejap dia memandang Mak Mah. Mak Mah pula seolah-olah kasihan pada Zarina yang berusaha menambat hati suami. Kalau dikutkan penat, memang Zarina penat menyediakan semua itu bersama Mak Mah. Tetapi demi suami dia relakan.
“Cuba call dia.” Saran Mak Mah.

“Kalau dia ingat nak balik, dia akan call saya, Mak Mah.” Zarina terus naik ke atas meninggalkan Mak Mah. Dia membawa rajuk di hati. Mak Mah menggeleng perlahan mengenangkan keadaan mereka berdua.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

Novel : Hati Jadi Rindu - Bab 1

BAB 1


CEPAT-CEPAT dia menutup mata dengan kedua-dua belah telapak tangan. Ada sesuatu yang tidak kena. Terkejut Zarina kerana matanya telah terpandang sesusuk tubuh yang baharu sahaja keluar dari bilik dengan keadaan bertuala sahaja. Kepala penuh dengan buih sabun kemudian sibuk menggosok laju kelopak mata seraya berkata dengan kelam kabut mencari air, “Pedihnya! Pedihnya!” Bising Rashid.
“Erh!” Terkejut. Zarina melihat baldi berisi air tertumpah. Dipandang air yang melimpah di atas lantai. Zarina mengumam geram. Grrr....!!!
Secara tidak sengaja Rashid telah tersepak baldi tersebut kerana ia menghalang laluannya untuk ke bilik lagi satu.
“Tak ada tempat lain ke kau nak cuci lantai?” Rashid cepat-cepat masuk ke bilik itu.
Zarina hairan melihat Rashid yang tergesa-gesa itu. Tak ada air ke dalam biliknya? Sebulat tekad Zarina ingin tahu, segera dia melangkah masuk ke dalam bilik Rashid tanpa kebenaran. Dia terus ke bilik air itu lalu dipulas paip, memang tidak keluar air. Oh patutlah.
Pintu bilik ditutup, Zarina masih di situ terperanjat Rashid masuk secepat itu. Habislah aku! Zarina menyorok. Entah macam mana dia boleh terfikir nak masuk tengok paip dalam bilik Rashid ni? Argh!!!
Habislah aku, nanti apa pula yang dia cakap nanti? Zarina panik. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia menyorok di belakang pintu bilik mandi dengan harapan Rashid tidak perasan.
Dia ada lagi ke tidak ni? Zarina cuba mengintai dan terdengar Rashid menyanyi lagi Menceceh. Suara bukan sedap sangat pun ada hati nak menyanyi. Suara katak lagi sedaplah! Merungut Zarina dalam hati.
“Ai... ai... ai...” Pek!!! Laju Zarina tutup hidungnya. Minyak wangi apa yang dia pakai ni? Nasib baik tidak bersin. Kalau kantoi habislah.
Kemudian Zarina terdengar pintu bilik terkatup. Dia menarik nafas lega. Rashid telah keluar. Perlahan-lahan dia mengatur gerak. Terjengul kepalanya dari bilik air itu untuk memastikan keadaan selamat.
Apabila keadaan dirasakan baik dan tidak terancam, maka dia mengorak langkah. Tidak semena-mena lengan bajunya ditarik dari belakang. Hendak tidak hendak sahaja dia menoleh kerana telah menyedari dirinya sudah kantoi. Membulat besar biji mata Zarina bersama darahnya turun naik dengan laju.
“Kau buat apa dalam bilik aku ni?” Soal Rashid yang memang sengaja mahu kantoikan Zarina. Patutlah bunyi pelik sahaja dalam bilik air tadi. Ada orang rupanya.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Zarina.
“Baik kau cakap! Kau nak mencuri ya?” Rashid serkap jarang.
“Apa ni tuduh-tuduh orang?” Zarina mempertahankan dirinya. Suka hati sahaja buat andai sendiri. Kalau ada bukti tu tak apa la jugak, ini tidak main hentam sahaja. Siapa tak sakit hati?
“Kalau kau tak cakap, aku kasi tahu mama.” Ugut Rashid yang mahu melaporkan hal tersebut kepada orang tua. Biar dapat hukuman yang setimpal! Baru padan muka.
“Beritahulah, lagipun saya tak buat apa-apa salah pun.” Zarina berani menyahut cabaran. Mahu dilihat sama ada Rashid berani atau pun tidak. Jangan tahu cakap sahaja tapi tidak tahu buat.
“Kau masuk dalam bilik aku ni kira tak bersalah, lah ya? Ni bilik orang lelaki tahu, kau tu perempuan!” Marah Rashid membeza-bezakan mereka. Sudah jelas lagi mahu cakap apa. Mana boleh nak tegakkan benang yang basah.
“Tapi awak pun pernah masuk juga dalam bilik orang perempuan, kan?” Zarina mencari salah Rashid pula. Biar sama-sama adil.
“Bilik siapa?”
“Saya!” Balas Zarina yang tadi terpaksa melihat sahaja Rashid masuk ke biliknya menuju ke bilik mandi. Kalau macam tu tak apa pula? Kalau diikutkan hati memang dicalar-calarkan sahaja muka tampan Rashid tu dengan kuku ini. Geram aku!
“Bila masa aku masuk bilik kau?”
“Baru kejap tadi.”
“Ya ke?” Erm... patutlah dalam bilik tu ada katil bujang sahaja. Macam mana aku boleh tak perasan pulak? Isy! Rashid tidak mengakui kesilapan.
“Ya!” Zarina mengerling.
“Ah! Apa-apa ajelah. Aku dah lambat nak ke kelas! Kalau aku nampak kau masuk lagi dalam bilik aku ni, siap kau!” Rashid memberi amaran. Rashid sendiri tidak tahu tujuan Zarina menghendap masuk dalam biliknya. Geram pula melihat budak perempuan ni yang main redah sahaja. Zarina terpinga-pinga ditarik lengan baju sampai ke luar bilik. Dia diheret sebegiu oleh Rashid.
“Sakitlah!”
“Tahu pun sakit, jadi lain kali jangan nak memandai-mandai masuk bilik aku, faham?” Rashid memberi amaran. Rasanya telah banyak kali kut diberi amaran pada Zarina. Namun, gadis itu tetap berdegil.
“Tadi saya...”
“Aku dah tak nak dengar apa-apa alasan lagi.” Cepat-cepat Rashid memotong ayat Zarina kemudian terus menuruni tangga. Zarina menggeleng bersama nafas geram berkalung dalam hati.
“Ina!!!” Namanya dipanggil.
“Isy dia ni!”
“Ina, saya datang ni.” Zarina segera turun.
“Ada apa?” Dia terus bertanya selepas tiba di hadapan Rashid.
“Kau fikir aku ni badut sarkis ke apa nak kena pakai stoking lain sebelah?” Rashid menunjukkan stoking yang tadinya terseumbat dalam kasut.
“Eh sorry, sorry.” Zarina mengambilnya semula lalu digantikan dengan stoking yang lain. Macam mana boleh tak sama pula? Aku rasa dah betul kut, Zarina tertanya-tanya dalam hatinya.
Selepas diberikan stoking yang lain, Rashid segera memakainya tetapi selepas memulakan langkah, dia undur semula.
“Wei, siput!”
Zarina yang baru berpaling mahu menyambung cuci lantai itu terhenti melangkah. Geramnya... dia panggil aku siput!!!
“Ya Tuan Rimau!” Zarina memanggil Rashid dengan panggilan yang lain juga.
“Tuan Rimau ya? Aku tertinggal kunci kereta, boleh kau tolong ambil?”
Hek elehhh... macam ni pun ada? Kata tak boleh masuk dalam bilik lelaki? sekarang ni suruh aku ambil kunci keretanya pulak? Gila ke apa dia ni? Zarina merenung tajam.
“Dengan arahan, tak apa.” Rashid tidak mahu mengalah.



***


RASHID seperti terkena renjatan elektrik. Ini satu paksaan atau apa? Mana boleh jadi, Rashid tidak mahu hidupnya diaturkan sedemikian rupa. Patutlah mama dan papanya sejak akhir-akhir ni terlalu banyak beri perhatian pada Zarina. Rupa-rupanya ada rancangan lain.
“Mama dan papa dengan sebulat suara nak jodohkan kamu berdua.” Kata-kata itu membedil telinganya sewaktu makan malam. Datin Sri Delaila tidak mahu permintaan berupa arahan itu ditolak.
“Bulat ma? Tak tiga segi atau empat segi?” Rashid terkejut. “Ma... kenapa saya mesti kahwin dengan dia ma?” Itulah pertanyaan yang Rashid utarakan namun sebagai orang tua, mereka berhak ke atas diri Rashid.
Kahwin begini mana syok, lagipun dia tidak mencintai Zarina. Mana mungkin orang yang membesar dirumah itu bersama-sama dan tidak pernah menganggap Zarina tu istimewa, kini disuruh kahwin pula. Zarina tu hanya orang gaji! Orang gaji tetap orang gaji. Tak pelulah nak dibuat menantu pula. Ini semua kes terhutang budi la ni sampai sanggup jodohkan anak dengan sesiapa sahaja.
“Kahwin sahajalah, apa masalahnya,” itu kata kawan baiknya Fazri setelah diajukan masalah. Mudah sungguh kahwin sahaja. Bersahaja ke apa? Ini kahwin tanpa rela. Kalau dah kahwin nanti susahlah nak keluar lepak. Lagipun Zarina tu kekampungan sangatlah, tak moden. Memang jauh citarasa Rashid. Pendek kata memang tak ada langsung ciri-ciri wanita idaman.
Lainlah Baby, gadis pujaan. Tapi kenapa mama dan papa tu tak suka sangat pada Baby? Baby baik dan penyayang pada Rashid, seharusnya Baby yang lebih layak berbanding Zarina. Ini tidak, gadis kolot itu juga yang disukai mamanya.
Walau bagaimanapun, Rashid harus taat pada cadangan yang berupa arahan. Kalau perkahwinan tanpa restu orang tua, nanti tak berkat. Baiklah, aku bagi peluang tapi jangan harap Zarina akan bahagia dengan aku, bisik hatinya.
Kenapalah dia dihadapkan dengan masalah sebegini? Selepas tamat pengajian kejuturaan mekanikal, dia disuruh kahwin pula. Kerja pun belum selesa lagi. Papa tawarkan bekerja di syarikatnya sahaja. Boleh ke dia nak jaga? Rasanya mahu mencari pengalaman ditempat lain lebih bagus.



***



ZARINA mahu bertemu seseorang. Dia berhajat untuk meluahkan pada kawan baiknya. Selepas berjanji, dia bertemu di taman permainan. Pada petang itu dia mahu meluahkan isi hatinya.
“Apa yang penting sangat sampai kau nak jumpa aku dekat sini?” Soal Salwa yang sebenarnya ada tujuan lain tetapi demi kawan, dia korbankan masa.
“Aku akan berkahwin, Sal.” Beritahu Zarina
“Ya ke? Dengan siapa?” Salwa ingin tahu.
“Encik Rimau.”
Salwa terdiam sejenak. “Siapa Encik Rimau tu?”
“Rashid la.” Beritahu Zarina.
“Ooo...! Baguslah.”
“Apa yang bagusnya?”
“Yalah, dah lama kau tinggal dalam rumah tu, tak manis kalau tak ada apa-apa ikatan. At least kau bakal jadi isterinya dan bakal menantu kepada Dato` Sri Rizal, kan? Hebat title tu.” Ucap Salwa tersenyum.
Ini satu kelemahan dan bukannya kekuatan iaitu termakan budi. Apabila berhadapan dengan situasi ini Zarina jadi lemah. Serta merta jiwanya jadi tidak tenteram. Apa akan terjadi padanya nanti?
“Kahwin sahajalah. Kau rasa rugi ke kalau berkahwin?” Salwa tepuk bahu Zarina.
Berkahwin dengan Rashid bukan satu kerugian tetapi satu malapetaka sebenarnya. Rashid tu suka membuli. Salwa mungkin tidak tahu bahawa setiap hari dia terpaksa berhadapan dengan sikap cerewet Rashid. Bahkan bukan itu sahaja, lelaki perasan bagus itu selalu cari peluang untuk kenakan dirinya di saat sedang leka buat kerja.
“Sal, apa yang kau cakap ni?”
“Ya la, tak lama lagi kawan aku ni dah jadi isteri orang la ya? Tinggal aku je yang belum kahwin.”
“Kau kan dah kahwin...”
Hello... bila masa aku kahwin? kalau aku kahwin, kaulah orang yang akan jadi pengapit aku, tahu?”
“Kau dah kahwin dengan kerja kau. Mana ada masa nak jenguk aku, kan?”
“Eleh...”
Mereka berdua ketawa. Hilang sekejap rasa gementar tapi nanti datang lagi. Entah macam mana nak buat ini. Serba salah rasanya. Kalau tak kahwin kan, nanti menghampakan permintaan majikan pula. Teruklah macam ni. Kalau kahwin nanti, bertambah garanglah si Rashid tu. Maklumlah, orang tu masih belum puas nak berfoya-foya.
“Aku takut satu perkara.”
“Apa dia?”
Zarina masih ragu-ragu.
“Boleh ke aku kawal dia?”
Yes, cuma kau sahaja yang boleh tundukan dia daripada jadi lelaki spesis buaya darat.” Tutur Salwa yang memang kenal dengan perangai Rashid.
Zarina pun tahu, kalau sudah selalu pulang lewat tu apa cerita? Nasihat Datin Sri Delaila dan Dato` Sri Rizal pun tidak diendahkan, inikan pula dirinya. Parah macam ni. Mahu ke Rashid dengar nasihat aku? Zarina bingung.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

Novel : Setia Berdarah - Bab 2

Bab 2

Sungguh rasa terhina kerana di dalam banyak perkara yang dilaluinya adalah perbezaan darjat yang menjadi masalah. Soal rupa itu mungkin orang boleh pertikaikan. Sesekali Rahman berasa hambar dengan sikap sebegini. Berkata-kata sinis di atas apa yang tidak dia miliki. Kereta mewah? Rumah besar? Dia tiada semua itu. Rahman hanyalah seorang penghatar surat. Siang malam hidupnya hanya dibebani persoalan. Kenapa dan mengapa? Sudah suratan agaknya. Kadangkala dia terfikir, adakah ini takdir hidupnya yang hanya diulit angan-angan yang tiada kesudahan? Terperap di dalam bilik setelah meratapi sebuah kehilangan? Persoalan ini seperti batu besar yang menghempap kepala sampai berkecai!
“Sampai bila kau nak macam ni, Aman?” Nasihat daripada Fauzi tidak berkesan di hati.
Telah lama Fauzi bersabar dengannya. Kesabaran lelaki itu ada juga batasnya. Rahman harus pandai menjaga hati sahabat yang dibesarkan bersama-sama di Teratak Embun Pagi itu. Sepatutnya Rahman sudah boleh faham apa yang Fauzi mahu. Fauzi hanya mahu melihat Rahman tersenyum. Sebagai seorang sahabat sejati, hidup mestilah selalu harmoni. Cubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga.
“Bila aku besar nanti aku nak jadi seorang penyiasat yang hebat.” Rahman menyuarakan hasrat terpendam.
“Kau nak siasat apa?”
“Aku nak siasat dekat mana keluarga aku sebenarnya dah hilang.” Beritahu Rahman sambil terangguk-angguk di atas jambatan sambil memerhatikan aliran sungai yang mengalir.
“Kau tak pernah beritahu aku pun yang keluarga kau sudah hilang. Mereka pergi mana ek?” Fauzi pegang bahu Rahman.
“Tu sebab aku ada dekat sini sekarang. Kalaulah aku tahu mereka ada dekat mana, memang sudah lama aku pergi cari.” Beritahu Rahman.
“Ha`ah kan. Kau tiba-tiba je muncul. Pejam celik pejam celik dah tiga bulan kau menumpang dekat Teratak Embun Pagi ni. Aku tengok Mak Peah sayang sangat kat engkau. Apa rahsianya?” Soal Fauzi.
“Senyum tak perlu kata apa-apa.”
“Senyum? Dengan senyum je dah boleh pikat orang?”
“Ya. Senyum.”
“Nanti aku pun nak buat Mak Peah sayang pada aku jugalah. Senyum banyak-banyak.”
“Tak boleh.” Jawab Rahman pula.
“Kenapa tak boleh pulak?” Fauzi angkat kening.
“Habis tu, kalau dia sayang kau dan sayang aku je, mereka yang lain macam mana?” Rahman tersengih.
“Ya tak ya juga ek? Kita suruhlah mereka senyum jugak, biar sayang semua.” Mereka berdua gelak sama-sama.
Mak Cik Peah yang terdengar perbualan mereka berdua terus tergelak. Memang mereka berdua selalu menghiburkan. Kasihan Rahman dan Fauzi, kecil-kecil sudah kehilangan orang tua. Keluarga Fauzi meninggal dalam kebakaran, hanya Fauzi sahaja yang dapat diselamatkan. Rahman pula entah ke mana orang tuanya menghilang. Dia ditemui oleh Mak Cik Peah dalam keadaan koma. Mujurlah Mak Cik Peah yang ketika itu ditakdirkan melalui kawasan berkenaan. Jika tidak, Rahman mungkin tiada di Teratak Embun Pagi. Bertuah sungguh Rahman dijaga dengan baik. Anak-anak yatim piatu begitu dikasihi oleh Mak Cik Peah.
Rahman menanggalkan kaca matanya lalu dilap pada baju. Apabila mahu dipakaikan semula, tiba-tiba ia terlepas dari tangan. Tindakan reflex berlaku, dia cuba menggapai semula kaca matanya itu dan tanpa disangka dia terjatuh pula ke dalam sungai sambil memanggil nama sahabatnya.
“Aji!”
“Aman!” Pekik Fauzi pula.
Mak Cik Peah yang terlihat terus menjerit meminta tolong. Kalau air sungai itu cetek tidak mengapa tetapi air sungai itu dalam malah alirannya juga deras.
“Tolong!!! Tolong!!!” Jerit Mak Cik Peah lalu dia terhenti menjerit selepas terlihat Fauzi telah terjun dan berjaya menyelamatkan Rahman daripada lemas.
Ah! Malaslah nak mengungkit kebaikan yang pernah dia buat. Kalau hendak aku bandingkan dengan setinggi gunung, sungguh tak terdaki. Bisik hati Rahman. Sungguh berhutang nyawa.
Pagi ini dia kaku di birai katil setelah menarik nafas sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan-lahan. Mulanya dia rasa tenang tapi lama kelamaan ia menjadi sarat beban. Otak membenihkan rasa sangsi pada sebuah perubahan. Apa yang berlaku pada setiap malam? Malam yang mengkhayalkan dia tentang waktu. Waktu yang pergi dan berpatah lagi. Ini satu persoalan yang mampu menjadikan dirinya separa gila.
“Rahman Bin Zaidi!” Nama itu mencucuk halwa pendengaran. Kuat nama itu dilaungkan. Ia seakan-akan wujud dalam hayalan. Segera dia menoleh. Langsir di jendela kamar belum lagi dibuka sedangkan cahaya matahari telah menerobos masuk. Sesak rasa nafas kerana pengaliran udara tidak nyaman.
Kiri dan ke kanan ditoleh tetapi masih belum mendapat jawapan. Setiap hari begitulah keadaan yang dialaminya. Ketika waktu malam, seruan nama begitu perlahan, setiba siang ia menjerit. Rahman diburu ketakutan dan rasa takut itu disorok dari pengetahuan Fauzi.


Tajuk : Aku Takkan Menangis!
Penulis : Rahman

Hidup ditinggalkan memang pedih. Tambah lagi kalau hati sudah sayang. Bercinta bagai nak rak tapi digodam dengan pendustaan. Memang sakit hati ni. Siapa tak sakit hati? Cuba beritahu aku? Aku ingat lagi waktu mula-mula berkenalan dengannya. Hari-hari dia pandang aku. Apa yang dia pandang tentang aku ni hah? Dahlah tak seindah kumbang emas, tapi dia syok pada aku. Alahai, memang Suriani mengancam. Renungan matanya bak cahaya bulan. Lenggang lenggok dia berjalan bak ratu yang menawan.

Ada seorang budak pejabat, dahi dia macam Jimmy Neutron! Rambut pacak-pacak macam kulit durian. Ada hati nak bagi amaran pada aku supaya jangan sesekali goda Suriani. Kalau aku cuba ganggu Suriani, nahas aku dikerjakanya. Hei! Dia tu siapa nak warning aku?!

Memang aku kurang suka dia. Kau boleh aku tak nak tengok muka mamat tu. Setiap kali aku masuk ke pejabat tu nak ambil surat, si poyo tu akan berkerut dahi dan menjeling pada aku semacam. Cara dia pandang aku memang tak puas hati. Pernah dia tarik baju aku dan nak lepaskan penumbuk pada muka aku. Aku tahulah badan aku ni kecil! Tapi jangan anggap badan sekecil aku ni tak boleh tumbangkan gajah! Sakit pulak hati ini.

Semua ini gara-gara cinta. Kerana cinta orang sanggup lakukan apa sahaja. Lama juga dia berdendam dengan aku. Suriani ajak aku keluar makan, dia nak cemburu. Suriani pelawa aku tengok wayang, dia pun nak cemburu. Dia suka lebih-lebih.

Aku tak pernah kacau hak orang. Suriani ajak aku keluar. Aku keluar sahajalah. Aku tak berday anak halang. Si lahanat tu nak maki aku macam-macam tu apa kes? Siap main mak bapak lagi. Menggelarkan aku macam-macam tapi diri sendiri tak sedar! Ingat kacak sangat ke style rambut kulit durian lepas tu sibuk agungkan gaya barat! Hak tuih!

Walaupun aku kecewa dengan Suriani, aku takkan menangis depan dia. Bila aku tanya, siapa Nordin dalam hatinya, dia cakap kawan biasa. Kawan biasa boleh cemburu? Nordin selalu nak hentam aku jadi aku beritahu dia yang dia hanya dianggap kawan biasa sahaja oleh Suriani. Sejak dari itu Nordin bertambah liar dan mengganas terhadap aku. Setiap kali ada sahaja isu berbangkit dan ada sahaja hal yang bukan-bukan timbul. Termasuklah motor yang aku bawa selalu pancit. Enjin tak hidup. Bahkan aku pernah kena pukul oleh orang. Aku yakin itu orang upahan dia. Aku sanggup bertahan demi Suriani yang setia berkawan dengan aku. Hari-hari dia berikan aku semangat untuk hidup.


“Aku gerak dulu, Aman.” Kedengaran suara Fauzi dari luar sambil ketuk-ketuk pintu. Rahman juga belum mandi lagi. Awal-awal pagi begini pun dia sibuk kemaskini laman blog. Fauzi dah nak pergi kerja. Rahman pulak masih dalam bilik. Sudah hampir sebulan dia bermuram durja.
“Okey.”
“Kau tak nak masuk kerja ke?” Soal Fauzi lagi.
“Kau kirim salam aje pada Encik Zaki tu.” Jawab Rahman sambil membetulkan urat-urat badan yang terasa lenguh. Kalau bab menaip memang tekun. Rasa malas diganggu.
Apabila keadaan kembali reda. Jantung pun dah seimbang, nafas juga konsisten maka dia mahu menyambung kembali penulisan blog. Luahan rasa yang terpendam mesti ditaburkan pada laman ini kerana ini sahaja satu-satunya ruang untuk dia berkongsi pada pembaca bahawa cinta itu kejam!
Ketika jari jemari mahu menekan punat pada papan kekunci, sekilas angin datang melanggar dirinya. Angin yang datang menerobos masuk dari jendela. Segera Rahman menoleh.
Krekkkk…. Daun pintu kamar pula terbuka sendiri. Ini berlaku di siang hari. Apa ni? Rahman bangun dan melangkah perlahan-lahan mendekati pintu itu. Dia juga yakin bahawa Fauzi belum jauh kerana enjin motosikal belum lagi menderu. Setelah tiba ke pintu itu. Ia tertutup laju. Hentakan yang sangat kuat. Rahman terkejut! Wei!!!
Dia menoleh pula ke arah jendela. Jendela pula tertutup rapat secara tiba-tiba. Ada satu kuasa entah dari mana telah menutup semua itu. Dia terkurung dan benar-benar terkurung di dalam bilik itu.
“Aji!!!” Rahman ketuk pintu itu kuat-kuat. Dia melaungkan nama sahabatnya itu namun tiada maklum balas yang diterima.
Keadaan di dalam kamar menjadi gelap tiba-tiba. Tiada langsung ruang cahaya yang mampu menembus masuk. Peluh mula menitis laju. Bulu roma awal-awal lagi merinding. Dia sudah tidak keruan. Jantungnya berdetak laju dan leher mula mengeras tidak mampu untuk menoleh ke kanan atau ke kiri. Rahman diganggu kejadian yang aneh. Apa semua ini? Dia tidak mengetahui.
Cahaya dari skrin komputer riba tu memang tidak kelihatan. Ia terpadam. Leher yang kaku itu dia cuba longgarkan dengan cubaan menoleh. Ia payah. Dia hanya mampu menoleh seperti robot yang tidak mempunyai alat kawalan. Cara berjalan begitu mengarut dan teraba-raba. Kenapa tiba-tiba gelap. Adakah mata aku sebenarnya terpejam?
Dia seolah-olah tiada daya dan upaya. Habis segala-galanya dilanggar. Dia menjadi bagaikan orang buta. Orang yang hidupnya terlalu sia-sia.
“Aji, tolong aku!!!” Jeritnya sekuat hati. Jeritan itu percuma.

***

“Awak tak apa-apa ke?” Cepat-cepat Rahman meminta maaf. Dia tidak sengaja terlanggar seorang perempuan cantik semasa menaiki tangga. Dokumen yang terlepas dari tangan gadis itu dikutip semula.
“Saya tak apa-apa. Maaf, saya yang salah sebab jalan tak tengok kiri dan kanan.”
“Sepatutnya awak kena tengok depan aje, bukan kiri atau kanan.”
“Oh, sorry. Nama saya Suriani.” Beritahu Suriani memperkenalkan dirinya sambil hulurkan tangan.
“Tahu.” Rahman tidak menyambutnya. Maka fahamlah Suriani kenapa Rahman tidak menyambut tangannya. Suriani jadi malu sendiri.
“Macam mana awak tahu?” Suriani angkat kening.
“Tu…” Rahman menunjukkan tanda nama yang dipakai oleh Suriani di baju. Tersengih Surani.
Rahman kelihatan tergesa-gesa. Hari pertama mula bekerja. Tadi kaku seketika terpandang kecantikan Suriani bak kata pepatah dari mata turun ke hati. Suraini juga tergamam setelah melihat wajah Rahman seorang lelaki Melayu tulen tetapi kurang inci. Tapi itu tidak penting kerana yang penting bagi seseorang itu adalah keindahan hati.
Tuhan telah jadikan manusia itu dengan pelbagai rupa dan bentuk untuk saling kenal mengenali. Jadi, seandainya wajah seiras sahaja maka tiada bezanya hidup tanpa kepelbagaian. Tidak dapat dikenal pasti kelebihan yang tersendiri.
Rahman segera menaiki tangga tapi terlupa sesuatu. Dia menoleh semula pada Suriani untuk bertanyakan soalan yang mengelirukan.
“Awak!”
“Ya saya?” Suriani tersenyum.
“Bilik pengarah Indah Bumiputera ni kat mana?”
“Awak masuk kanan lepas tu belok kiri. Pergi terus dan di situ ada kaunter pertanyaan. Tanyalah dekat situ.”
“Awak main-mainkan saya ke?” Rahman mengerling mata.
“Tak adalah, bergurau sahaja. Situlah biliknya.” Suriani senyum manis.
Boleh bergurau pulak dia ni. Orang tengah serius ni sempat lagi nak main-main. Bisik Rahman dalam hatinya.
“Okey terima kasih.”
“Eh, awak!” Giliran Suriani pula memanggil.
“Nama awak apa?”
“Rahman.” Beritahu Rahman segera berlalu dari situ. Setibanya di atas dia hubungi Fauzi sekali lagi. Dari tadi tak angkat telefon. Apa masalahnya?
Isy dia ni! Baik tak payah pakai telefon! Marah Rahman dalam hatinya. Orang tengah kelam kabut ni. Hari pertama pun dah lambat. Harap-harap bos tak marah.
“Eh Aman. Kau apasal lambat? Buat malu aku je la.” Fauzi muncul dari arah belakang. Terkejut Rahman dek kemunculan yang tiba-tiba itu.
“Aku call kau tak dapat. Kau tak kejutkan aku kenapa?” Soal Rahman seolah-olah menyalahkan Fauzi yang tidak kejutkan dirinya. Kalau sudah tidur, tidur mati jadinya. Maklumlah penat belum reda.
“Handphone aku lupa caj malam tadi. Bos dah tunggu kau tu. Pergilah.” Suruh Fauzi.
“Bilik dia yang mana satu?”
“Tu.” Fauzi tunjukkan arah. Rahman dengan penuh rasa gementar terus meluru ke bilik yang ditunjukkan tadi.
Selepas bertemu dengan bos bernama Encik Zaki itu, Rahman berasa lega. Dia fikir bakal bosnya itu garang rupanya tidak. Baik hati pula. Untunglah dapat bos begitu tidak perlu marah-marah dan melenting tidak tentu fasal. Syukurlah seorang bos mampu mendengar masalah dan cuba mencari penyelesaian. Dia diterima bekerja walaupun tersasar dari cita-cita asal. Itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki. Dia berjumpa dengan Fauzi di sebuah restoran.
“Macam mana tadi?” Soal Fauzi sebaik sahaja Rahman melabuhkan punggung pada sebuah kerusi di dalam restoran yang agak ramai orang.
“Okey je. Bos kau baiklah.” Rahman memuji.
“Bos kita. Sekarang dia dah jadi bos kita berdua.” Balas Fauzi membetulkan ayat Rahman.
“Siapa awek tu Aji? Cun.”
“Yang mana satu?”
“Perempuan cantik mata bundar tu yang jaga dekat pintu masuk tu.”
“Oh… itu kerani syarikat tu. Alah kau tak payahlah ganggu dia.”
“Kenapa? Salah ke kalau aku nak kenal dengan dia?”
“Perempuan cantik mesti orang lain dah punya.” Jawab Fauzi kemudian sedut minuman berkarbonat.
“Kalau tak ada macam mana?”
“Kita baru dua puluh satu tahun kot.” Beritahu Fauzi menyatakan usia mereka. “Dia dah macam kakak kita tahu tak.” Fauzi seolah-olah kurang suka kalau Rahman bercinta dengan orang yang lebih tua.
“Berapa umur dia?”
“Dua puluh lima tahun. Mana sesuai. Kau ni taste dekat kakak-kakak ke? Pelik.” Fauzi menggeleng lalu bersandar.
“Hmmm…”
“Bukan beza setahun tapi empat tahun.” Beritahu Fauzi bersungguh-sungguh.
“Ala… empat tahun je pun bukannya seratus tahun.” Jawab Rahman pula. Fauzi pula nampak macam tidak berpuas hati dengan citarasa Rahman. Dahulu tidak pula berbicara soal perempuan sekarang ni tiba-tiba sahaja jadi macam ni.
“Kau dah jatuh cinta?”
“Agaknyalah.” Rahman terangguk-angguk sambil mengusap dagu sendiri.
Tidak jauh dari mereka, terdapat dua orang gadis sibuk memerhati. Gadis itu datang dekat dan cuba bercakap dengan Fauzi tetapi kaku di situ. Dia berikan sepucuk surat. “Dia bagi.” Perempuan tu tunjuk pada arah rakannya kemudian berlalu.
“Ehh… kau dah ada awek rupanya. Tak beritahu aku pun.”
“Eee… tak nak la aku. Dia tu student. Lagipun aku tak berminat dengan student-student ni. Memang dari awal lagi dia dia stalker aku.”
“Siapa nama perempuan bertocang tu?”
“Tina. Ah… tak payah cakaplah pasal dia. Budak tu study depan tu je. Tak jauh dari ofis ni kan ada kolej. Tu haaa…” Fauzi tunjuk bangunan tempat perempuan itu study.
Rahman menoleh.
“Ohh… sana…” Ucap Rahman. “Aji. Kau tak nak sambung belajar ke?” Tambah Rahman lagi.
“Nak tu nak… tapi…”
“Kita orang susah kan? Apa kata lepas ni kita sambung belajar, nak? Tak rasa rugi ke kerja macam ni. Kerja jadi mat dispatch ni? Sampai bila?” Rahman seperti memperkecilkan pekerjaan ini.
“Man… kau kena betulkan persepsi kau tu. Kerja yang kita buat ni halal tahu tak. SPM kita pun teruk tahu tak. Dah tiga tahun aku jadi dispatch dekat sini dan aku suka kerja ni.”
“Jadi… kau dah kenal dengan dia dah lama la ya?”
“Siapa?”
“Suriani.”
Fauzi terdiam sambil menelan liur. Glurp! Surat tadi dimasukan ke dapal poket. Aku ingatkan dia tanya pasal Tina tadi… Fauzi agak menggelabah. Mungkin Rahman tidak tahu, syarikat Indah Bumiputera ni pun ada jaringan dengan kolej tu serta banyak lagi pusat pengajian yang lain. Jadi banyak dokumen penting  untuk dihantar ke sana. Sentiasa ada urusan dengan pihak kolej. Syarikat Indah Bumiputera ini merupakan sebuah syakirat penting dalam institusi pendidikan yang membekalkan bahan cetakan dan juga pembelajaran serta penghantaran risalah dan iklan.
“Aku gerak dulu. Nanti apa-apa hal kau pergi tanya Suriani okey. Aku ada kerja nak buat.” Fauzi bangun dan segera beredar.
“Eh Aji. Tunggu la.”
“Aku dah lambat.” Fauzi tergesa-gesa.
“Kejar Tina la tu.” Desis Rahman yang tidak jadi mengejar langkah Fauzi. Biarlah dia. Ada hal pentung sangat la tu.
“Apa awak cakap tadi?” Suriani muncul tanpa diduga. Terkejut Rahman.
“Errr…”
“Boleh saya duduk?”
“Duduklah.”
“Terima kasih.” Suriani duduk berhadapan dengan Rahman. Waktu pagi menjelang tengah hari agak terasa hangat. “Saya nak belanja awak makan tengah hari, boleh?” Pelawa Suraini.
Eh dia ni? Baru je kenal dah nak belanja aku makan bagai. Ada peluang ni… bisik hati Rahman.

Tanpa sedar, mereka sedang diperhatikan. Gambar juga ditangkap sebagai bukti selingkuh telah terjadi. Keluar minum sama-sama.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

Artikel Pilihan






Informasi

Cerpen

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng

Novel : Mesin Jahit Hati

Takdir Atau Pilihan

Nukilan

Al-kisah Penulis Kita

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.