Bab 2
Sungguh rasa
terhina kerana di dalam banyak perkara yang dilaluinya adalah perbezaan darjat
yang menjadi masalah. Soal rupa itu mungkin orang boleh pertikaikan. Sesekali
Rahman berasa hambar dengan sikap sebegini. Berkata-kata sinis di atas apa yang
tidak dia miliki. Kereta mewah? Rumah besar? Dia tiada semua itu. Rahman
hanyalah seorang penghatar surat. Siang malam hidupnya hanya dibebani
persoalan. Kenapa dan mengapa? Sudah suratan agaknya. Kadangkala dia terfikir,
adakah ini takdir hidupnya yang hanya diulit angan-angan yang tiada kesudahan?
Terperap di dalam bilik setelah meratapi sebuah kehilangan? Persoalan ini
seperti batu besar yang menghempap kepala sampai berkecai!
“Sampai bila kau nak macam ni, Aman?”
Nasihat daripada Fauzi tidak berkesan di hati.
Telah lama Fauzi bersabar
dengannya. Kesabaran lelaki itu ada juga batasnya. Rahman harus pandai menjaga
hati sahabat yang dibesarkan bersama-sama di Teratak Embun Pagi itu. Sepatutnya
Rahman sudah boleh faham apa yang Fauzi mahu. Fauzi hanya mahu melihat Rahman
tersenyum. Sebagai seorang sahabat sejati, hidup mestilah selalu harmoni. Cubit
paha kiri, paha kanan pun terasa juga.
“Bila aku besar nanti aku nak
jadi seorang penyiasat yang hebat.” Rahman menyuarakan hasrat terpendam.
“Kau nak siasat apa?”
“Aku nak siasat dekat mana
keluarga aku sebenarnya dah hilang.” Beritahu Rahman sambil terangguk-angguk di
atas jambatan sambil memerhatikan aliran sungai yang mengalir.
“Kau tak pernah beritahu aku
pun yang keluarga kau sudah hilang. Mereka pergi mana ek?” Fauzi pegang bahu
Rahman.
“Tu sebab aku ada dekat sini
sekarang. Kalaulah aku tahu mereka ada dekat mana, memang sudah lama aku pergi
cari.” Beritahu Rahman.
“Ha`ah kan. Kau tiba-tiba je
muncul. Pejam celik pejam celik dah tiga bulan kau menumpang dekat Teratak
Embun Pagi ni. Aku tengok Mak Peah sayang sangat kat engkau. Apa rahsianya?”
Soal Fauzi.
“Senyum tak perlu kata
apa-apa.”
“Senyum? Dengan senyum je dah
boleh pikat orang?”
“Ya. Senyum.”
“Nanti aku pun nak buat Mak
Peah sayang pada aku jugalah. Senyum banyak-banyak.”
“Tak boleh.” Jawab Rahman pula.
“Kenapa tak boleh pulak?” Fauzi
angkat kening.
“Habis tu, kalau dia sayang kau
dan sayang aku je, mereka yang lain macam mana?” Rahman tersengih.
“Ya tak ya juga ek? Kita
suruhlah mereka senyum jugak, biar sayang semua.” Mereka berdua gelak
sama-sama.
Mak Cik Peah yang terdengar
perbualan mereka berdua terus tergelak. Memang mereka berdua selalu
menghiburkan. Kasihan Rahman dan Fauzi, kecil-kecil sudah kehilangan orang tua.
Keluarga Fauzi meninggal dalam kebakaran, hanya Fauzi sahaja yang dapat
diselamatkan. Rahman pula entah ke mana orang tuanya menghilang. Dia ditemui
oleh Mak Cik Peah dalam keadaan koma. Mujurlah Mak Cik Peah yang ketika itu
ditakdirkan melalui kawasan berkenaan. Jika tidak, Rahman mungkin tiada di
Teratak Embun Pagi. Bertuah sungguh Rahman dijaga dengan baik. Anak-anak yatim
piatu begitu dikasihi oleh Mak Cik Peah.
Rahman menanggalkan kaca
matanya lalu dilap pada baju. Apabila mahu dipakaikan semula, tiba-tiba ia
terlepas dari tangan. Tindakan reflex berlaku, dia cuba menggapai semula kaca
matanya itu dan tanpa disangka dia terjatuh pula ke dalam sungai sambil
memanggil nama sahabatnya.
“Aji!”
“Aman!” Pekik Fauzi pula.
Mak Cik Peah yang terlihat
terus menjerit meminta tolong. Kalau air sungai itu cetek tidak mengapa tetapi
air sungai itu dalam malah alirannya juga deras.
“Tolong!!! Tolong!!!” Jerit Mak
Cik Peah lalu dia terhenti menjerit selepas terlihat Fauzi telah terjun dan
berjaya menyelamatkan Rahman daripada lemas.
Ah! Malaslah nak mengungkit
kebaikan yang pernah dia buat. Kalau hendak aku bandingkan dengan setinggi gunung,
sungguh tak terdaki. Bisik hati Rahman. Sungguh berhutang nyawa.
Pagi ini dia kaku di birai
katil setelah menarik nafas sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan-lahan.
Mulanya dia rasa tenang tapi lama kelamaan ia menjadi sarat beban. Otak
membenihkan rasa sangsi pada sebuah perubahan. Apa yang berlaku pada setiap malam?
Malam yang mengkhayalkan dia tentang waktu. Waktu yang pergi dan berpatah lagi.
Ini satu persoalan yang mampu menjadikan dirinya separa gila.
“Rahman Bin Zaidi!” Nama itu
mencucuk halwa pendengaran. Kuat nama itu dilaungkan. Ia seakan-akan wujud
dalam hayalan. Segera dia menoleh. Langsir di jendela kamar belum lagi dibuka
sedangkan cahaya matahari telah menerobos masuk. Sesak rasa nafas kerana
pengaliran udara tidak nyaman.
Kiri dan ke kanan ditoleh
tetapi masih belum mendapat jawapan. Setiap hari begitulah keadaan yang dialaminya.
Ketika waktu malam, seruan nama begitu perlahan, setiba siang ia menjerit.
Rahman diburu ketakutan dan rasa takut itu disorok dari pengetahuan Fauzi.
Tajuk : Aku Takkan Menangis!
Penulis : Rahman
Hidup ditinggalkan memang
pedih. Tambah lagi kalau hati sudah sayang. Bercinta bagai nak rak tapi
digodam dengan pendustaan. Memang sakit hati ni. Siapa tak sakit hati? Cuba
beritahu aku? Aku ingat lagi waktu mula-mula berkenalan dengannya. Hari-hari
dia pandang aku. Apa yang dia pandang tentang aku ni hah? Dahlah tak seindah
kumbang emas, tapi dia syok pada aku. Alahai, memang Suriani mengancam.
Renungan matanya bak cahaya bulan. Lenggang lenggok dia berjalan bak ratu
yang menawan.
Ada seorang budak pejabat,
dahi dia macam Jimmy Neutron! Rambut pacak-pacak macam kulit durian. Ada hati
nak bagi amaran pada aku supaya jangan sesekali goda Suriani. Kalau aku cuba
ganggu Suriani, nahas aku dikerjakanya. Hei! Dia tu siapa nak warning aku?!
Memang aku kurang suka dia.
Kau boleh aku tak nak tengok muka mamat tu. Setiap kali aku masuk ke pejabat
tu nak ambil surat, si poyo tu akan berkerut dahi dan menjeling pada aku
semacam. Cara dia pandang aku memang tak puas hati. Pernah dia tarik baju aku
dan nak lepaskan penumbuk pada muka aku. Aku tahulah badan aku ni kecil! Tapi
jangan anggap badan sekecil aku ni tak boleh tumbangkan gajah! Sakit pulak
hati ini.
Semua ini gara-gara cinta.
Kerana cinta orang sanggup lakukan apa sahaja. Lama juga dia berdendam dengan
aku. Suriani ajak aku keluar makan, dia nak cemburu. Suriani pelawa aku
tengok wayang, dia pun nak cemburu. Dia suka lebih-lebih.
Aku tak pernah kacau hak
orang. Suriani ajak aku keluar. Aku keluar sahajalah. Aku tak berday anak
halang. Si lahanat tu nak maki aku macam-macam tu apa kes? Siap main mak
bapak lagi. Menggelarkan aku macam-macam tapi diri sendiri tak sedar! Ingat
kacak sangat ke style rambut kulit durian lepas tu sibuk agungkan gaya barat!
Hak tuih!
Walaupun aku kecewa dengan
Suriani, aku takkan menangis depan dia. Bila aku tanya, siapa Nordin dalam
hatinya, dia cakap kawan biasa. Kawan biasa boleh cemburu? Nordin selalu nak
hentam aku jadi aku beritahu dia yang dia hanya dianggap kawan biasa sahaja oleh
Suriani. Sejak dari itu Nordin bertambah liar dan mengganas terhadap aku.
Setiap kali ada sahaja isu berbangkit dan ada sahaja hal yang bukan-bukan
timbul. Termasuklah motor yang aku bawa selalu pancit. Enjin tak hidup.
Bahkan aku pernah kena pukul oleh orang. Aku yakin itu orang upahan dia. Aku
sanggup bertahan demi Suriani yang setia berkawan dengan aku. Hari-hari dia
berikan aku semangat untuk hidup.
|
“Aku gerak dulu, Aman.”
Kedengaran suara Fauzi dari luar sambil ketuk-ketuk pintu. Rahman juga belum
mandi lagi. Awal-awal pagi begini pun dia sibuk kemaskini laman blog. Fauzi dah
nak pergi kerja. Rahman pulak masih dalam bilik. Sudah hampir sebulan dia
bermuram durja.
“Okey.”
“Kau tak nak masuk kerja ke?”
Soal Fauzi lagi.
“Kau kirim salam aje pada Encik
Zaki tu.” Jawab Rahman sambil membetulkan urat-urat badan yang terasa lenguh. Kalau
bab menaip memang tekun. Rasa malas diganggu.
Apabila keadaan kembali reda.
Jantung pun dah seimbang, nafas juga konsisten maka dia mahu menyambung kembali
penulisan blog. Luahan rasa yang terpendam mesti ditaburkan pada laman ini
kerana ini sahaja satu-satunya ruang untuk dia berkongsi pada pembaca bahawa
cinta itu kejam!
Ketika jari jemari mahu menekan
punat pada papan kekunci, sekilas angin datang melanggar dirinya. Angin yang
datang menerobos masuk dari jendela. Segera Rahman menoleh.
Krekkkk…. Daun
pintu kamar pula terbuka sendiri. Ini berlaku di siang hari. Apa ni? Rahman
bangun dan melangkah perlahan-lahan mendekati pintu itu. Dia juga yakin bahawa
Fauzi belum jauh kerana enjin motosikal belum lagi menderu. Setelah tiba ke
pintu itu. Ia tertutup laju. Hentakan yang sangat kuat. Rahman terkejut! Wei!!!
Dia menoleh pula ke arah jendela.
Jendela pula tertutup rapat secara tiba-tiba. Ada satu kuasa entah dari mana
telah menutup semua itu. Dia terkurung dan benar-benar terkurung di dalam bilik
itu.
“Aji!!!” Rahman ketuk pintu itu
kuat-kuat. Dia melaungkan nama sahabatnya itu namun tiada maklum balas yang
diterima.
Keadaan di dalam kamar menjadi
gelap tiba-tiba. Tiada langsung ruang cahaya yang mampu menembus masuk. Peluh
mula menitis laju. Bulu roma awal-awal lagi merinding. Dia sudah tidak keruan.
Jantungnya berdetak laju dan leher mula mengeras tidak mampu untuk menoleh ke
kanan atau ke kiri. Rahman diganggu kejadian yang aneh. Apa semua ini? Dia tidak
mengetahui.
Cahaya dari skrin komputer riba
tu memang tidak kelihatan. Ia terpadam. Leher yang kaku itu dia cuba longgarkan
dengan cubaan menoleh. Ia payah. Dia hanya mampu menoleh seperti robot yang
tidak mempunyai alat kawalan. Cara berjalan begitu mengarut dan teraba-raba.
Kenapa tiba-tiba gelap. Adakah mata aku sebenarnya terpejam?
Dia seolah-olah tiada daya dan
upaya. Habis segala-galanya dilanggar. Dia menjadi bagaikan orang buta. Orang
yang hidupnya terlalu sia-sia.
“Aji, tolong aku!!!” Jeritnya
sekuat hati. Jeritan itu percuma.
***
“Awak tak apa-apa ke?”
Cepat-cepat Rahman meminta maaf. Dia tidak sengaja terlanggar seorang perempuan
cantik semasa menaiki tangga. Dokumen yang terlepas dari tangan gadis itu
dikutip semula.
“Saya tak apa-apa. Maaf, saya
yang salah sebab jalan tak tengok kiri dan kanan.”
“Sepatutnya awak kena tengok
depan aje, bukan kiri atau kanan.”
“Oh, sorry. Nama saya Suriani.”
Beritahu Suriani memperkenalkan dirinya sambil hulurkan tangan.
“Tahu.” Rahman tidak
menyambutnya. Maka fahamlah Suriani kenapa Rahman tidak menyambut tangannya.
Suriani jadi malu sendiri.
“Macam mana awak tahu?” Suriani
angkat kening.
“Tu…” Rahman menunjukkan tanda
nama yang dipakai oleh Suriani di baju. Tersengih Surani.
Rahman kelihatan tergesa-gesa.
Hari pertama mula bekerja. Tadi kaku seketika terpandang kecantikan Suriani bak
kata pepatah dari mata turun ke hati. Suraini juga tergamam setelah melihat
wajah Rahman seorang lelaki Melayu tulen tetapi kurang inci. Tapi itu tidak
penting kerana yang penting bagi seseorang itu adalah keindahan hati.
Tuhan telah jadikan manusia itu
dengan pelbagai rupa dan bentuk untuk saling kenal mengenali. Jadi, seandainya
wajah seiras sahaja maka tiada bezanya hidup tanpa kepelbagaian. Tidak dapat
dikenal pasti kelebihan yang tersendiri.
Rahman segera menaiki tangga
tapi terlupa sesuatu. Dia menoleh semula pada Suriani untuk bertanyakan soalan
yang mengelirukan.
“Awak!”
“Ya saya?” Suriani tersenyum.
“Bilik pengarah Indah
Bumiputera ni kat mana?”
“Awak masuk kanan lepas tu
belok kiri. Pergi terus dan di situ ada kaunter pertanyaan. Tanyalah dekat
situ.”
“Awak main-mainkan saya ke?”
Rahman mengerling mata.
“Tak adalah, bergurau sahaja.
Situlah biliknya.” Suriani senyum manis.
Boleh
bergurau pulak dia ni. Orang tengah serius ni sempat lagi nak main-main. Bisik
Rahman dalam hatinya.
“Okey terima kasih.”
“Eh, awak!” Giliran Suriani
pula memanggil.
“Nama awak apa?”
“Rahman.” Beritahu Rahman
segera berlalu dari situ. Setibanya di atas dia hubungi Fauzi sekali lagi. Dari
tadi tak angkat telefon. Apa masalahnya?
Isy dia ni! Baik tak payah
pakai telefon! Marah Rahman dalam hatinya. Orang tengah kelam kabut ni. Hari
pertama pun dah lambat. Harap-harap bos tak marah.
“Eh Aman. Kau apasal lambat?
Buat malu aku je la.” Fauzi muncul dari arah belakang. Terkejut Rahman dek
kemunculan yang tiba-tiba itu.
“Aku call kau tak dapat. Kau tak kejutkan aku kenapa?” Soal Rahman
seolah-olah menyalahkan Fauzi yang tidak kejutkan dirinya. Kalau sudah tidur,
tidur mati jadinya. Maklumlah penat belum reda.
“Handphone aku lupa caj malam
tadi. Bos dah tunggu kau tu. Pergilah.” Suruh Fauzi.
“Bilik dia yang mana satu?”
“Tu.” Fauzi tunjukkan arah.
Rahman dengan penuh rasa gementar terus meluru ke bilik yang ditunjukkan tadi.
Selepas bertemu dengan bos
bernama Encik Zaki itu, Rahman berasa lega. Dia fikir bakal bosnya itu garang
rupanya tidak. Baik hati pula. Untunglah dapat bos begitu tidak perlu marah-marah
dan melenting tidak tentu fasal. Syukurlah seorang bos mampu mendengar masalah
dan cuba mencari penyelesaian. Dia diterima bekerja walaupun tersasar dari
cita-cita asal. Itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki. Dia
berjumpa dengan Fauzi di sebuah restoran.
“Macam mana tadi?” Soal Fauzi
sebaik sahaja Rahman melabuhkan punggung pada sebuah kerusi di dalam restoran
yang agak ramai orang.
“Okey je. Bos kau baiklah.”
Rahman memuji.
“Bos kita. Sekarang dia dah
jadi bos kita berdua.” Balas Fauzi membetulkan ayat Rahman.
“Siapa awek tu Aji? Cun.”
“Yang mana satu?”
“Perempuan cantik mata bundar
tu yang jaga dekat pintu masuk tu.”
“Oh… itu kerani syarikat tu.
Alah kau tak payahlah ganggu dia.”
“Kenapa? Salah ke kalau aku nak
kenal dengan dia?”
“Perempuan cantik mesti orang
lain dah punya.” Jawab Fauzi kemudian sedut minuman berkarbonat.
“Kalau tak ada macam mana?”
“Kita baru dua puluh satu tahun
kot.” Beritahu Fauzi menyatakan usia mereka. “Dia dah macam kakak kita tahu
tak.” Fauzi seolah-olah kurang suka kalau Rahman bercinta dengan orang yang
lebih tua.
“Berapa umur dia?”
“Dua puluh lima tahun. Mana
sesuai. Kau ni taste dekat
kakak-kakak ke? Pelik.” Fauzi menggeleng lalu bersandar.
“Hmmm…”
“Bukan beza setahun tapi empat
tahun.” Beritahu Fauzi bersungguh-sungguh.
“Ala… empat tahun je pun
bukannya seratus tahun.” Jawab Rahman pula. Fauzi pula nampak macam tidak
berpuas hati dengan citarasa Rahman. Dahulu tidak pula berbicara soal perempuan
sekarang ni tiba-tiba sahaja jadi macam ni.
“Kau dah jatuh cinta?”
“Agaknyalah.” Rahman
terangguk-angguk sambil mengusap dagu sendiri.
Tidak jauh dari mereka,
terdapat dua orang gadis sibuk memerhati. Gadis itu datang dekat dan cuba
bercakap dengan Fauzi tetapi kaku di situ. Dia berikan sepucuk surat. “Dia
bagi.” Perempuan tu tunjuk pada arah rakannya kemudian berlalu.
“Ehh… kau dah ada awek rupanya.
Tak beritahu aku pun.”
“Eee… tak nak la aku. Dia tu student. Lagipun aku tak berminat dengan student-student ni. Memang dari awal
lagi dia dia stalker aku.”
“Siapa nama perempuan bertocang
tu?”
“Tina. Ah… tak payah cakaplah
pasal dia. Budak tu study depan tu
je. Tak jauh dari ofis ni kan ada kolej. Tu haaa…” Fauzi tunjuk bangunan tempat
perempuan itu study.
Rahman menoleh.
“Ohh… sana…” Ucap Rahman. “Aji.
Kau tak nak sambung belajar ke?” Tambah Rahman lagi.
“Nak tu nak… tapi…”
“Kita orang susah kan? Apa kata
lepas ni kita sambung belajar, nak? Tak rasa rugi ke kerja macam ni. Kerja jadi
mat dispatch ni? Sampai bila?” Rahman
seperti memperkecilkan pekerjaan ini.
“Man… kau kena betulkan
persepsi kau tu. Kerja yang kita buat ni halal tahu tak. SPM kita pun teruk
tahu tak. Dah tiga tahun aku jadi dispatch
dekat sini dan aku suka kerja ni.”
“Jadi… kau dah kenal dengan dia
dah lama la ya?”
“Siapa?”
“Suriani.”
Fauzi terdiam sambil menelan
liur. Glurp! Surat tadi dimasukan ke
dapal poket. Aku ingatkan dia tanya pasal Tina tadi… Fauzi agak menggelabah.
Mungkin Rahman tidak tahu, syarikat Indah Bumiputera ni pun ada jaringan dengan
kolej tu serta banyak lagi pusat pengajian yang lain. Jadi banyak dokumen
penting untuk dihantar ke sana. Sentiasa
ada urusan dengan pihak kolej. Syarikat Indah Bumiputera ini merupakan sebuah
syakirat penting dalam institusi pendidikan yang membekalkan bahan cetakan dan
juga pembelajaran serta penghantaran risalah dan iklan.
“Aku gerak dulu. Nanti apa-apa
hal kau pergi tanya Suriani okey. Aku ada kerja nak buat.” Fauzi bangun dan
segera beredar.
“Eh Aji. Tunggu la.”
“Aku dah lambat.” Fauzi
tergesa-gesa.
“Kejar Tina la tu.” Desis
Rahman yang tidak jadi mengejar langkah Fauzi. Biarlah dia. Ada hal pentung
sangat la tu.
“Apa awak cakap tadi?” Suriani
muncul tanpa diduga. Terkejut Rahman.
“Errr…”
“Boleh saya duduk?”
“Duduklah.”
“Terima kasih.” Suriani duduk
berhadapan dengan Rahman. Waktu pagi menjelang tengah hari agak terasa hangat.
“Saya nak belanja awak makan tengah hari, boleh?” Pelawa Suraini.
Eh dia ni? Baru je kenal dah
nak belanja aku makan bagai. Ada peluang ni… bisik hati Rahman.
Tanpa sedar, mereka sedang
diperhatikan. Gambar juga ditangkap sebagai bukti selingkuh telah terjadi.
Keluar minum sama-sama.