Entri Terkini :

Novel : Hati Jadi Rindu - Bab 1

BAB 1


CEPAT-CEPAT dia menutup mata dengan kedua-dua belah telapak tangan. Ada sesuatu yang tidak kena. Terkejut Zarina kerana matanya telah terpandang sesusuk tubuh yang baharu sahaja keluar dari bilik dengan keadaan bertuala sahaja. Kepala penuh dengan buih sabun kemudian sibuk menggosok laju kelopak mata seraya berkata dengan kelam kabut mencari air, “Pedihnya! Pedihnya!” Bising Rashid.
“Erh!” Terkejut. Zarina melihat baldi berisi air tertumpah. Dipandang air yang melimpah di atas lantai. Zarina mengumam geram. Grrr....!!!
Secara tidak sengaja Rashid telah tersepak baldi tersebut kerana ia menghalang laluannya untuk ke bilik lagi satu.
“Tak ada tempat lain ke kau nak cuci lantai?” Rashid cepat-cepat masuk ke bilik itu.
Zarina hairan melihat Rashid yang tergesa-gesa itu. Tak ada air ke dalam biliknya? Sebulat tekad Zarina ingin tahu, segera dia melangkah masuk ke dalam bilik Rashid tanpa kebenaran. Dia terus ke bilik air itu lalu dipulas paip, memang tidak keluar air. Oh patutlah.
Pintu bilik ditutup, Zarina masih di situ terperanjat Rashid masuk secepat itu. Habislah aku! Zarina menyorok. Entah macam mana dia boleh terfikir nak masuk tengok paip dalam bilik Rashid ni? Argh!!!
Habislah aku, nanti apa pula yang dia cakap nanti? Zarina panik. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia menyorok di belakang pintu bilik mandi dengan harapan Rashid tidak perasan.
Dia ada lagi ke tidak ni? Zarina cuba mengintai dan terdengar Rashid menyanyi lagi Menceceh. Suara bukan sedap sangat pun ada hati nak menyanyi. Suara katak lagi sedaplah! Merungut Zarina dalam hati.
“Ai... ai... ai...” Pek!!! Laju Zarina tutup hidungnya. Minyak wangi apa yang dia pakai ni? Nasib baik tidak bersin. Kalau kantoi habislah.
Kemudian Zarina terdengar pintu bilik terkatup. Dia menarik nafas lega. Rashid telah keluar. Perlahan-lahan dia mengatur gerak. Terjengul kepalanya dari bilik air itu untuk memastikan keadaan selamat.
Apabila keadaan dirasakan baik dan tidak terancam, maka dia mengorak langkah. Tidak semena-mena lengan bajunya ditarik dari belakang. Hendak tidak hendak sahaja dia menoleh kerana telah menyedari dirinya sudah kantoi. Membulat besar biji mata Zarina bersama darahnya turun naik dengan laju.
“Kau buat apa dalam bilik aku ni?” Soal Rashid yang memang sengaja mahu kantoikan Zarina. Patutlah bunyi pelik sahaja dalam bilik air tadi. Ada orang rupanya.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Zarina.
“Baik kau cakap! Kau nak mencuri ya?” Rashid serkap jarang.
“Apa ni tuduh-tuduh orang?” Zarina mempertahankan dirinya. Suka hati sahaja buat andai sendiri. Kalau ada bukti tu tak apa la jugak, ini tidak main hentam sahaja. Siapa tak sakit hati?
“Kalau kau tak cakap, aku kasi tahu mama.” Ugut Rashid yang mahu melaporkan hal tersebut kepada orang tua. Biar dapat hukuman yang setimpal! Baru padan muka.
“Beritahulah, lagipun saya tak buat apa-apa salah pun.” Zarina berani menyahut cabaran. Mahu dilihat sama ada Rashid berani atau pun tidak. Jangan tahu cakap sahaja tapi tidak tahu buat.
“Kau masuk dalam bilik aku ni kira tak bersalah, lah ya? Ni bilik orang lelaki tahu, kau tu perempuan!” Marah Rashid membeza-bezakan mereka. Sudah jelas lagi mahu cakap apa. Mana boleh nak tegakkan benang yang basah.
“Tapi awak pun pernah masuk juga dalam bilik orang perempuan, kan?” Zarina mencari salah Rashid pula. Biar sama-sama adil.
“Bilik siapa?”
“Saya!” Balas Zarina yang tadi terpaksa melihat sahaja Rashid masuk ke biliknya menuju ke bilik mandi. Kalau macam tu tak apa pula? Kalau diikutkan hati memang dicalar-calarkan sahaja muka tampan Rashid tu dengan kuku ini. Geram aku!
“Bila masa aku masuk bilik kau?”
“Baru kejap tadi.”
“Ya ke?” Erm... patutlah dalam bilik tu ada katil bujang sahaja. Macam mana aku boleh tak perasan pulak? Isy! Rashid tidak mengakui kesilapan.
“Ya!” Zarina mengerling.
“Ah! Apa-apa ajelah. Aku dah lambat nak ke kelas! Kalau aku nampak kau masuk lagi dalam bilik aku ni, siap kau!” Rashid memberi amaran. Rashid sendiri tidak tahu tujuan Zarina menghendap masuk dalam biliknya. Geram pula melihat budak perempuan ni yang main redah sahaja. Zarina terpinga-pinga ditarik lengan baju sampai ke luar bilik. Dia diheret sebegiu oleh Rashid.
“Sakitlah!”
“Tahu pun sakit, jadi lain kali jangan nak memandai-mandai masuk bilik aku, faham?” Rashid memberi amaran. Rasanya telah banyak kali kut diberi amaran pada Zarina. Namun, gadis itu tetap berdegil.
“Tadi saya...”
“Aku dah tak nak dengar apa-apa alasan lagi.” Cepat-cepat Rashid memotong ayat Zarina kemudian terus menuruni tangga. Zarina menggeleng bersama nafas geram berkalung dalam hati.
“Ina!!!” Namanya dipanggil.
“Isy dia ni!”
“Ina, saya datang ni.” Zarina segera turun.
“Ada apa?” Dia terus bertanya selepas tiba di hadapan Rashid.
“Kau fikir aku ni badut sarkis ke apa nak kena pakai stoking lain sebelah?” Rashid menunjukkan stoking yang tadinya terseumbat dalam kasut.
“Eh sorry, sorry.” Zarina mengambilnya semula lalu digantikan dengan stoking yang lain. Macam mana boleh tak sama pula? Aku rasa dah betul kut, Zarina tertanya-tanya dalam hatinya.
Selepas diberikan stoking yang lain, Rashid segera memakainya tetapi selepas memulakan langkah, dia undur semula.
“Wei, siput!”
Zarina yang baru berpaling mahu menyambung cuci lantai itu terhenti melangkah. Geramnya... dia panggil aku siput!!!
“Ya Tuan Rimau!” Zarina memanggil Rashid dengan panggilan yang lain juga.
“Tuan Rimau ya? Aku tertinggal kunci kereta, boleh kau tolong ambil?”
Hek elehhh... macam ni pun ada? Kata tak boleh masuk dalam bilik lelaki? sekarang ni suruh aku ambil kunci keretanya pulak? Gila ke apa dia ni? Zarina merenung tajam.
“Dengan arahan, tak apa.” Rashid tidak mahu mengalah.



***


RASHID seperti terkena renjatan elektrik. Ini satu paksaan atau apa? Mana boleh jadi, Rashid tidak mahu hidupnya diaturkan sedemikian rupa. Patutlah mama dan papanya sejak akhir-akhir ni terlalu banyak beri perhatian pada Zarina. Rupa-rupanya ada rancangan lain.
“Mama dan papa dengan sebulat suara nak jodohkan kamu berdua.” Kata-kata itu membedil telinganya sewaktu makan malam. Datin Sri Delaila tidak mahu permintaan berupa arahan itu ditolak.
“Bulat ma? Tak tiga segi atau empat segi?” Rashid terkejut. “Ma... kenapa saya mesti kahwin dengan dia ma?” Itulah pertanyaan yang Rashid utarakan namun sebagai orang tua, mereka berhak ke atas diri Rashid.
Kahwin begini mana syok, lagipun dia tidak mencintai Zarina. Mana mungkin orang yang membesar dirumah itu bersama-sama dan tidak pernah menganggap Zarina tu istimewa, kini disuruh kahwin pula. Zarina tu hanya orang gaji! Orang gaji tetap orang gaji. Tak pelulah nak dibuat menantu pula. Ini semua kes terhutang budi la ni sampai sanggup jodohkan anak dengan sesiapa sahaja.
“Kahwin sahajalah, apa masalahnya,” itu kata kawan baiknya Fazri setelah diajukan masalah. Mudah sungguh kahwin sahaja. Bersahaja ke apa? Ini kahwin tanpa rela. Kalau dah kahwin nanti susahlah nak keluar lepak. Lagipun Zarina tu kekampungan sangatlah, tak moden. Memang jauh citarasa Rashid. Pendek kata memang tak ada langsung ciri-ciri wanita idaman.
Lainlah Baby, gadis pujaan. Tapi kenapa mama dan papa tu tak suka sangat pada Baby? Baby baik dan penyayang pada Rashid, seharusnya Baby yang lebih layak berbanding Zarina. Ini tidak, gadis kolot itu juga yang disukai mamanya.
Walau bagaimanapun, Rashid harus taat pada cadangan yang berupa arahan. Kalau perkahwinan tanpa restu orang tua, nanti tak berkat. Baiklah, aku bagi peluang tapi jangan harap Zarina akan bahagia dengan aku, bisik hatinya.
Kenapalah dia dihadapkan dengan masalah sebegini? Selepas tamat pengajian kejuturaan mekanikal, dia disuruh kahwin pula. Kerja pun belum selesa lagi. Papa tawarkan bekerja di syarikatnya sahaja. Boleh ke dia nak jaga? Rasanya mahu mencari pengalaman ditempat lain lebih bagus.



***



ZARINA mahu bertemu seseorang. Dia berhajat untuk meluahkan pada kawan baiknya. Selepas berjanji, dia bertemu di taman permainan. Pada petang itu dia mahu meluahkan isi hatinya.
“Apa yang penting sangat sampai kau nak jumpa aku dekat sini?” Soal Salwa yang sebenarnya ada tujuan lain tetapi demi kawan, dia korbankan masa.
“Aku akan berkahwin, Sal.” Beritahu Zarina
“Ya ke? Dengan siapa?” Salwa ingin tahu.
“Encik Rimau.”
Salwa terdiam sejenak. “Siapa Encik Rimau tu?”
“Rashid la.” Beritahu Zarina.
“Ooo...! Baguslah.”
“Apa yang bagusnya?”
“Yalah, dah lama kau tinggal dalam rumah tu, tak manis kalau tak ada apa-apa ikatan. At least kau bakal jadi isterinya dan bakal menantu kepada Dato` Sri Rizal, kan? Hebat title tu.” Ucap Salwa tersenyum.
Ini satu kelemahan dan bukannya kekuatan iaitu termakan budi. Apabila berhadapan dengan situasi ini Zarina jadi lemah. Serta merta jiwanya jadi tidak tenteram. Apa akan terjadi padanya nanti?
“Kahwin sahajalah. Kau rasa rugi ke kalau berkahwin?” Salwa tepuk bahu Zarina.
Berkahwin dengan Rashid bukan satu kerugian tetapi satu malapetaka sebenarnya. Rashid tu suka membuli. Salwa mungkin tidak tahu bahawa setiap hari dia terpaksa berhadapan dengan sikap cerewet Rashid. Bahkan bukan itu sahaja, lelaki perasan bagus itu selalu cari peluang untuk kenakan dirinya di saat sedang leka buat kerja.
“Sal, apa yang kau cakap ni?”
“Ya la, tak lama lagi kawan aku ni dah jadi isteri orang la ya? Tinggal aku je yang belum kahwin.”
“Kau kan dah kahwin...”
Hello... bila masa aku kahwin? kalau aku kahwin, kaulah orang yang akan jadi pengapit aku, tahu?”
“Kau dah kahwin dengan kerja kau. Mana ada masa nak jenguk aku, kan?”
“Eleh...”
Mereka berdua ketawa. Hilang sekejap rasa gementar tapi nanti datang lagi. Entah macam mana nak buat ini. Serba salah rasanya. Kalau tak kahwin kan, nanti menghampakan permintaan majikan pula. Teruklah macam ni. Kalau kahwin nanti, bertambah garanglah si Rashid tu. Maklumlah, orang tu masih belum puas nak berfoya-foya.
“Aku takut satu perkara.”
“Apa dia?”
Zarina masih ragu-ragu.
“Boleh ke aku kawal dia?”
Yes, cuma kau sahaja yang boleh tundukan dia daripada jadi lelaki spesis buaya darat.” Tutur Salwa yang memang kenal dengan perangai Rashid.
Zarina pun tahu, kalau sudah selalu pulang lewat tu apa cerita? Nasihat Datin Sri Delaila dan Dato` Sri Rizal pun tidak diendahkan, inikan pula dirinya. Parah macam ni. Mahu ke Rashid dengar nasihat aku? Zarina bingung.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.