Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 7)

Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 7)


Dalam hatinya sangat berdebar-debar dan rasa itu sangat tajam. Gelisah sunggguh setelah menyedari akan sebuah kehilangan. Diselongkar habis satu bilik tetapi tidak juga dijumpainya. Dia bangun lagi dan terus membongkok setibanya bawah katil. Kemudian dia tunduk rapat-rapat mengintainya. Manalah tahu apa yang dicarinya itu ada di bawah katil.
Hazrina bermuncung mulut. Jelas kecewa dengan kerutan di dahi. Sesuatu yang hilang itu sangat berharga pada dirinya. Sudah tentu ia adalah sesuatu yang sangat istimewa sehinggakan keadaan bertukar cemas. Cemas tatkala mahu mendapatkannya semula.
Puas dia meneliti di semua tempat dalam biliknya itu tetapi hampa. Perasaan itu membawanya terjelopok di atas jubin lantai sambil melayani perasaan sendiri. Pagi yang sepatutnya tenang tidak seperti itu. Pagi yang sudah dicemari dengan harapan yang tidak kesampaian.
Langit mendung di hati menjemput hujan di kelopak mata. Bergenang sudah. Hazrina terus menangis. Tangisan itu dirintih sendirian. Mana Noris? Saat begini dia memang perlukan sahabat baiknya itu. Ah! Kenapa aku selalu menangis? Tanya pada diri dan sudah tentu dia mahu kuat tetapi jiwanya tetap lembut dan mudah terguris. Cuma, tidak terlihat dek pandangan mata orang lain. Walaupun ceria di hadapan orang lain tetapi hanya Noris seorang yang tahu. Dan, sememangnya ada yang lebih mengetahui iaitu Dia yang Maha Agung.
Segalanya bermula pada detik itu. Detik atau titik hitam selepas Majlis Amal Anak Yayasan Ehsan yang dianjurkan oleh pihak kolej dan menjemput orang kenamaan untuk datang memeriahkan majlis tersebut.
Di situ ada Badrul yang ikut ibunya iaitu Datin Maimun adik kepada Dato` Musa. Dato` Musa tidak dapat hadir kerana terdapat hal yang tidak dapat dielakkan. Maka seorang adik telah menggantikan tempat abangnya sebagai wakil dari Mordia Holding.
Tugas Hazrina adalah sebagai penari. Penari menghiburkan para hadirin terhormat. Penari tarian tradisional yang begitu gah di mata Badrul sehingga membuatkan Badrul terpikat lalu datang ke belakang pentas.
“Hai.” Badrul menghalang langkah Hazrina.
“Hai…” Balas Hazrina sambil mengukir senyuman.
“Aku Bard.” Tangan dihulurkan tetapi tidak disambut oleh Hazrina. Dia sememangnya tahu batasan sebagai seorang beragama Islam.
Aku? Kasarnya… tapi tak apa ini mungkin permulaan pada sebuah perkenalan. Bisik hati Hazrina.
“Macam mana awak boleh masuk ke sini?”
“Di mana ada jalan, di situ boleh jalan.”
“Walaupun ada roadblock?” Hazrina kaku seketika manakala rakan-rakan yang lain sudah masuk ke dalam bilik persiapan untuk menggantikan pakaian yang lain pula.
“Ha`ah… erm, apa nama kau?”
“Rin…” Hazrina senyum lalu mahu beredar dari situ.
“Nak ke mana tu?” Soal Badrul.
“Bersiap.”
“Boleh kita keluar makan malam esok?” Badrul mengharap.
Hazrina senyuman sahaja sebagai jawapan pada pertanyaan tersebut. Dia tidak tahu sama ada mahu ikut atau pun tidak. Tambah pula dia tidak mengenali siapa Badrul dan apa yang pasti semasa menari, Badrul begitu asyik memandang dirinya seperti mahu terkeluar biji mata.
Ingatkan tidak sudi keluar tetapi Badrul sibuk berusaha ajak dirinya keluar. Setiap malam sibuk jejak kaki ke kolej mencari Hazrina. Sampai Noris pun perasan bahawa Badrul sukakan Hazrina. Mereka dikatakan akrab kerana setiap hari Badrul datang berikan hadiah memujuk untuk makan malam. Hazrina bukan suka menghampakan permintaan orang.
“Alahai… makan malam sahaja. Rasanya boleh kut.”
“Kau yakin dia hanya ajak makan malam je?” Noris was-was.
“Inysa-Allah…” Jawab Hazrina.
“Dengan orang yang kau baru kenal, Rin. Kau mudah percayakan orang. Kita ni perempuan. Lelaki ni kalau belum dapat apa yang dia nak memang akan berusaha sampai ke lubang cacing. Kalau dah dapat, kau tengoklah apa yang terjadi. Masuk angin keluar asap.” Noris memeluk bantal sambil memandang ke lain arah.
“Macam ada pengalaman aje…” Hazrina mengusik sambil duduk sebelah Noris.
“Dalam novel ada tulis macam tu. Dalam filem pun ada.” Noris mengeluh.
“Terpengaruh betul.” Hazrina pegang tangan Noris. “Is… aku rasa Badrul tu ikhlas nak kawan dengan aku.” Tokok Hazrina.
Noris menjuih bibir. Mana tahu ikhlas atau tidak? Itulah yang bercambah di dalam hati Noris. Orang lelaki tidak dapat diramalkan dari pandangan luar. Segalanya mungkin berbeza di hujung perkenalan. Maknanya mula-mula tidak terlihat, nanti kalau sudah lama-lama, maka semuanya jelas. Mahu sahaja Noris cuba fahamkan Hazrina mengenai selok belok hal lelaki.
“Is…” Lirih nada Noris.
“Aku tak setuju dengan Bard tu. Masa menari hari tu, aku perhatikan cara dia pandang kau tu lain macam sikit. Macam…” Susahnya Noris mahu habiskan kata-kata.
“Tak baik buruk sangka.” Laju Hazrina memintas dengan optimis menafikan hakikat itu. Baginya itu pandangan biasa. Mana ada maksud apa-apa. Lagipun lirikan mata Badrul jelas bermakna kawan. Kalau Badrul mahu ambil kesempatan, memang Badrul akan mendesak untuk pegang tangan atau pegang mana-mana bahagian. Sekarang mana ada? Mahu bersalaman pun tidak ada kerana Hazrina tidak menyambutnya.
Noris menggeleng. Ternyata Hazrina lebih degil. Kedegilan yang tiada penghujung. Sudah puas diberi pendapat tetapi dibantah mentah-mentah. Bagi Hazrina, Badrul adalah lelaki terhebat! Alahai sakit pulak hati ini… Noris kesal.
“Aku cuma nak ingatkan kau aje. Aku tak mahu kau menyesal.”
“Isy… kau ni, tak ada apa-apa pun yang berlaku. Kau jangan risau okey. Terima kasih kerana ambil berat pasal aku.” Hazrina memeluk Noris.
Noris menggosok ubun-ubun Hazrina. “Kau syampoo rambut ke tidak ni?”
“Tolong sikit…”
“Gurau je…”
Dan begitulah perasaan Hazrina yang mula cair dengan cara Badrul. Mudah menyerahkan kepercayaan buat Badrul. Sehingga tibalah saat ke suatu pesta di mana Hazrina dilayan bagaikan seorang puteri di atas kayangan. Dikelilingi lelaki-lelaki tampan, ada juga perempuan-perempuan cantik lain asyik berseronok. Bahkan pesta itu bukan pesta biasa. Ia sebuah pesta bebas. Tempat apa ni? Sudah terang lagi bersuluh.
“Bard… kau bawa aku kat tempat apa ni?”
“Kita nak enjoy.”
“Tolong, hantar aku balik. Kau kata nak pergi dinner je, tapi ni apa?”
“Relaks Rin. Tak ada apa-apa. Ni birthday party kawan aku. Kau kan dah janji nak temankan?”
“Tapi sepatutnya minggu depan, right?”
“Dia tak nak lambat, dia buat terus sempena kelahirannya. Jadi, malam ni la.”
Ya Allah… sudah seperti tempat kucing beranak. Ucap hati Hazrina melihat keadaan yang janggal baginya. Untuk berhibur di sinilah tempatnya. Itu kata Badrul pula.
Hazrina melepaskan keluhan berat.
Don’t worry, Rin. Kau selamat bersama aku.” Badrul cuba membuatkan Hazrina berasa selesa. Tidak mahu Hazrina menggelabah di tempat macam ini. “Mari…” Badrul tarik lengan Hazrina.
“Bard…”
“Berlapik…” Badrul senyum.
Lampu berkilauan sakit pula mata Hazrina. Berkelip-kelip bagaikan lampu kelab malam. Memang sudah dipasang begitu. Cahaya bergemerlapan. Sungguh kurang selesa. Suara orang menjerit dan berseronok malah ada yang menari seolah-olah tidak sedar diri. Hazrina lebih suka muzik yang perlahan dan tenang. Bukan muzik seperti sekarang. Ia membingitkan telinga.
“Hei Bard… kenapa lambat?” Badrul disapa kawan. Hazrina dipandang mereka. Bertambah kurang selesa jadinya.
“Kenalkan, my girlfriend… Rin.” Dan Badrul pandang Hazrina. “Rin… ni kawan aku, namanya Johari.” Badrul kenalkan Hazrina pada Johari yang menyambut hari kelahiran. Johari hulur tangan dan Hazrina tidak menyambutnya. Hah! Girlfriend? Hazrina tersentak. Sejak bila aku ni jadi teman wanita dia? Hazrina gigit bibir.
Sorry Joe.” Badrul memohon maaf bagi pihak Hazrina.
Nevermind… jom.” Joe mengajak mereka berdua duduk tetapi tiba-tiba sahaja Hazrina ditinggalkan sendirian. Eh? Mana Bard pergi?
Sudah nasibnya malang, hadir seorang berhati hitam, diberikan padanya minuman khayalan, sehingga rebah tiada tujuan, membawa dirinya ke sebuah kawasan. Maka saat itulah ia merasakan kehilangan jiwa. Sesuatu yang sukar diramalkan tetapi dihadapkan padanya seorang lelaki yang mahu mencabul kehormatannya.
Berdosakah aku dilahirkan sebagai seorang perempuan? Aku kaum Hawa dari tulang rusuk kaum Adam. Kenapa tiada perlindungan? Hazrina sebak. Badrul cuba menerkam. Dia mahu terjun dari tingkap. Itu sahaja terakhir jalannya. Biarlah mati. Mati!!! Itu sahaja yang berlegar dalam fikiran.
Pada saat yang genting itu juga, barulah terngiang-ngiang di halwa pendengarannya akan kata-kata Noris. Barulah dia faham betapa sahabatnya itu cuba melindungi dirinya tetapi kerana kedegilan maka inilah akibatnya tidak mendengar nasihat.
Namun, takdir Tuhan penentu segala. Dalam riak berahi Badrul dalam menerjah Hazrina yang sudah separuh bogel itu jelas bertukar cemas.
“Buka pintu ni Bard!!!” pintu bilik itu diketuk dengan kuat dari luar. Belum sempat Badrul bertindak apa-apa, pintu tersebut dipecahkan.
“Kurang ajar!!!” Seorang lelaki bertubuh sasa dan berambut pacak terus meluru ke arah Badrul lantas menumbuk muka itu. Badrul kaku dan tidak membalas. “Kau jangan nak jadikan rumah aku ni sarang pelacuran!!!” Bentak lelaki itu lagi lantas terus menyambar tangan Hazrina.
Ya Allah… Kau telah kirimkan lelaki ini untuk menyelamatkan aku. Aku bersyukur Ya Allah… aku bersyukur… Hazrina masih terpisat-pisat. Baru sahaja beberapa langkah, Hazrina pengsan setelah kejutan melanda diri. Tetapi itu tidak menghalang lelaki tersebut untuk membawanya pergi.
Kelopak mata Hazrina sangat berat untuk dibuka tetapi digagahkan juga. Perlahan-lahan dia membukanya seolah-olah ada batu yang tersangkut. Hazrina tersedar juga lalu ekor matanya meliar dan mendapati dia sudah berada di dalam perut kereta yang sedang dipandu oleh seorang lelaki kacak.
“A..awak nak bawa sa…saya ke mana?” Hazrina dengan perasaan yang masih gugup dan gementar itu melancarkan roket pertanyaan agar tidak diulit penasaran.
“Baguslah kalau kau dah sedar. Aku nak hantar kau balik.”
“Ba..balik mana?” Masih tergagap-gagap.
“Hantar kau balik ke kolej.”
“Macam mana awak tahu?”
“Kad pelajar.”
“Awak ni siapa sebenarnya?” Hazrina bertanya. Banyak pula soalan yang menghuni dalam tempurung kepalanya.
“Awan.” Hazwan memperkenalkan namanya. Hazrina terus tunduk dan dia masih lagi terkejut. Walaupun begitu dia masih lagi optimis terhadap lelaki yang sedang memandu itu. Dia percaya bahawa lelaki bernama Hazwan itu akan menghantarnya pulang.
“Terima kasih kerana menolong saya.”
“Kalau nak jual tubuh pun tolong jangan buat dekat rumah aku, faham?” Pesan Hazwan. Dan kata-kata itu telah menyebabkan seluruh jiwa raga Hazrina bergegar.
Hazrina membulatkan biji matanya dan sungguh dia tidak berpuas hati. Dia terlalu kecewa dengan tuduhan berat seperti itu.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Hazwan berkerut dahi.
“Sampai hati awak tuduh saya macam tu.” Hazrina menahan sebak dan tanpa disedarinya, luruh juga air mata.
“Kau tak payah berlakon depan aku. Aku tahu sangat perangai pelajar kolej macam kau ni. Sibuk sangat nak cari duit, kan? Nah!” Hazwan mengambil sejumlah wang dari kocek baju kemejanya lantas dibaling ke muka Hazrina. Ini satu tuduhan yang sangat serius.
Hazrina menangis teresak-esak. Sungguh menjarum hati kata-kata Hazwan sebentar tadi. Kata-kata itu bagaikan pisau yang telah menghiris hati. Luka dan berdarah tiada sembuhnya lagi. Tetapi… kalau tidak kerana Hazwan, dia mungkin menjadi mangsa rogol. Sekarang itu tiada makna apa-apa. Hazwan tidak mempercayai Hazrina.
Selepas itu mereka berdua saling membisu sehinggalah sampai ke kolej. Hazrina turun dari kereta tetapi Hazwan segera mendapatkan Hazrina semula dan dia berikan sehelai sapu tangan.
“Lap air mata kau dan aku tak nak kau menangis lagi sampai ke bilik.” Pesan Hazwan. Hazrina seolah-olah terpaksa mengambilnya. Hanya sapu tangan sahaja tetapi bukan wang yang dibaling ke wajahnya semasa di dalam kereta. Hazrina tidak perlukan wang. Hazrina hanya perlukan perhatian dan kasih sayang.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.