Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 5)

Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 5)


Noris asyik menghalang sahaja kemahuan Hazrina sejak dari rumah Datin Marlia tu. Mama Hazwan terlalu sombong. Sakit pulak hati ni! Noris merungut sentiasa. Hazrina mencari bilik khas 701 di mana Hazwan ditempatkan.
Pembantu rumah itu sangat prihatin membantu Hazrina. Dia akan ingat sampai bila-bila pembantu bernama Makcik Asimah yang baik hati. Dalam keadaan begini, Allah membantu hamba-hamba-Nya yang dalam kesusahan dengan menghantar manusia yang baik untuk membantu jalan hidup Hazrina.
“Jom la balik Rin… kau buat apa nak tengok muka jantan tu lagi? Kau jugak yang cakap dia dah hina kau, dah tu pulak mak dia pun perangai lebih kurang sama macam dia jugak. Adui la… kadang-kadang aku tak faham la dengan perangai kau ni.” Noris mati kutu dalam memujuk Hazrina.
Tangan Hazrina ditarik-tarik tetapi Hazrina tetap berdegil mahu melawat Hazwan yang ditahan di wad. Perasaan Hazrina menjadi risau. Entah kenapa ia muncul secara tiba-tiba kemudian gerak hati mengatakan dia mahu melihatnya sendiri.
“Rin!” Bentak Noris.
Langkah Hazrina terhenti lalu menoleh laju. Nafas Hazrina keluar masuk dengan cepat. Tali tas beg dibetulkan. Dipandang Noris yang berwajah bengang. Riak wajah yang begitu tidak berpuas hati di setiap tindakan Hazrina.
“Ni hospital. Tolong hormat sikit.” Pesan tukang sapu.
“Okey, sorry…” Noris meminta maaf pada mak cik tersebut lalu mendekati Hazrina. Hazrina masih kaku. Hazrina tidak mahu dihalang namun Noris tegar berbuat sedemikian. Hazrina tahu Noris bimbang tetapi ini soal hati dan perasaan. Memang dia benci sebenar-benarnya benci tetapi benci terhadap Awan sangat berbeza. Ia tidak sama terhadap Badrul.
Sukar untuk dijelaskan sekarang pada Noris. Tetapi, kalau dipeluang dan ruang, Noris akan tahu juga. Namun, sekiranya Noris mendesak, maka terlalu mustahil ia akan terpacul keluar dari mulut. Biarlah dia memendam rasa sahaja. Nanti, dibuatnya jadi macam di rumah Datin Marlia bagaimana? Hazrina tidak mahu ia terjadi lagi.
“Kau nak benda yang sama berulang?”
“Awan bukan macam tu.” Hazrina menafikannya.
“Jadi kau masih percayakan lelaki macam Awan?”
“Kau tak kenal dia, Noris.” Hazrina tunduk.
Noris menghampiri dan memegang kedua-dua belah bahu Hazrina. Kala ini hati Hazrina berada di sebuah persimpangan. Tidak tahu memilih antara sahabat dan cinta. Percayakan Noris bermakna dia bakal korbankan cintanya. Memang selama ini dia percayakan Noris namun adakalanya kepercayaan itu menjadi desakan hidup. Noris banyak mengatur itu dan ini. Dia akui, Noris banyak membantu tetapi bagaimana pula pada masa hadapan? Dia tidak mahu mengheret Noris ke laluan hitam hidupnya.
“Tengok mata aku.” Suruh Noris tapi Hazrina masih tunduk. “Sini!” Tegas Noris seterusnya dan menggoyangkan bahu itu. Perlahan-lahan Hazrina memandang ke dalam mata Noris yang bersinar. Noris hampir menangis.
“Erm…” Hazrina mengetap bibirnya.
“Walaupun aku tak kenal siapa Awan tu dan bagaimana pun ia bermula, aku takkan maafkan dia. Hanya satu je alasan aku. Dia tak berhak menghukum perempuan yang tak bersalah macam kau. Aku memang terasa terhadap kedua-dua lelaki biadab tu. Mendengar sahaja cakap Datin Marlia yang angkuh tu, Badrul dan Awan manusia keji!”
Pang!
Hazrina melepaskan satu tamparan kemas ke wajah Noris.
“Kau tampar aku?”
Hazrina tidak tahu kenapa tangannya begitu laju mendarat ke pipi Noris. Apa yang dia perasan, hatinya bertindak balas dengan nama Awan yang disebut oleh Noris sebentar tadi. Noris menyamakan Badrul dengan Awan.
“Maafkan aku, Noris.”
“Sampai hati kau tampar aku kerana lelaki tu…” Noris merajuk sambil tangannya menapak di pipi menahan sakit. Noris tidak membalas semula dan berundur lalu beredar dari situ meninggalkan Hazrina terpisat-pisat.
“Is!” Panggil Hazrina.
‘Maafkan aku Noris… Sebenarnya Awan adalah lelaki yang telah menyelamatkan aku pada malam tu…’ bisik hati kecil Hazrina.

***

Sebaik sahaja pintu wad dibuka, tersentak Hazrina melihat seorang gadis lain berdiri di birai katil Hazwan yang terbaring sambil kaki berbalut simen. Hatinya ranap tetapi ditenangkan dengan senyuman. Lagipun dia bukan ada apa-apa pun dengan Hazwan. Sekadar teman biasa. Tambah pula Hazrina begitu berhutang budi setelah diselamatkan oleh Hazwan dari cengkaman Badrul sepupu Hazwan sendiri.
Baru sahaja kakinya mahu melangkah masuk, si gadis seksi itu menghampiri. Lantas tangan Hazrina ditarik setelah tiba dekat dan sempat dia melihat Hazwan terbaring. Kelihatan Hazwan sedang tidur. Kehadiran Hazrina memang tidak disenangi oleh gadis seksi itu. Hazrina tidak mengenalinya bahkan tidak pernah melihatnya. Baru sekarang dia terserempak di wad.
“Siapa benarkan you datang sini? You ni siapa?”
“Saya Rin, kawan Awan…” Hazrina menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi si gadis bernama Maya itu memandang dengan jengkel tanpa menyambutnya. Seolah-olah Hazrina terlalu hina untuk berjabat tangan.
“Hei... I kenal dengan siapa Awan berkawan dan dia tak ada kawan dengan perempuan kampung macam you ni, please la… Eh? Tapi macam mana you tahu nama dia?”
“Dia kawan saya.”
“Kejap-kejap.” Maya yang ramping tinggi lampai itu menyental rambut. Seorang ahli perniagaan yang juga terlalu sibuk tetapi telah mengambil ruang untuk melawat Hazwan setelah mengetahui Hazwan menerima rawatan. “Rin?” Maya menyebut nama itu lagi.
“Nama betul saya Hazrina.” Hazrina memberitahu nama sebenarnya dan Maya pula merasakan pernah mendengar nama itu. Pernah rasanya didengari nama tersebut meniti di bibir Hazwan secara tidak sengaja. Mungkin Hazrina di hadapan sekarang ini.
“Apa kaitan you dengan Awan?” Maya masih bertanya soalan yang sama. Maya masih ragu-ragu dan keadaan tidak selesa terlakar pada wajah. Hidung mancung diangkat tinggi tanda angkuh dan langsung tidak menghormati orang lain malah merasakan orang lain tidak secantik dirinya.
Hazrina tidak menjangkakan akan berhadapan dengan Datin Marlia versi Maya pula. Entah kenapa dunia ini dirasakan sangat kejam. Itulah anggapan Hazrina. Seolah-olah tiada yang nurani. Namun, sudah tersurat, pasti ada permata yang terselit di celah-celah serpihan kaca. Mungkin Hazwan permata itu. Tapi… bukankah Noris juga sahabat yang bersinar bagaikan permata kala sepi? Hazrina terpaksa menepis bayangan Noris ketika ini.
“Saya dah beritahu, saya cuma kawan dia sahaja. Awak ni siapa?”
“Wait! You tak layak tanya I ni siapa? Tapi sebaliknya you patut sedar, siapa diri you tu di mata Awan? Nothing…” Maya menjeling. “F-Y-I… Awan tu tunang I.” Sambung Maya berpeluk tubuh.
Maya rasa tergugat dengan kehadiran Hazrina. Walaupun Hazrina tidak seseksi Maya namun Hazrina memiliki ciri-ciri kecantikan tersendiri. Cara dan tingkah lakunya begitu anggun walaupun tidaklah sehebat wanita tersohor. Dia selesa untuk tidak dikenali bahkan dia bukan mengejar popular diri untuk mengungguli dunia fesyen.
Walaupun sebelum ini dia pernah dilamar oleh sebuah syarikat untuk menjadi model sambilan tetapi Hazrina menolaknya. Dia ada sebab sendiri iaitu tidak mahu dikenali. Sudah pasti dia tidak mahu dikenali tetapi perkenalan dengan Hazwan telah membawakan ke dunia glamour itu ramai gadis-gadis cantik mengejar cinta Hazwan. Gadis-gadis itu akan membawa cerita ke sana ke mari. Sudah pasti menjadi gosip hangat.
“Oh tunang… tak apalah, lagipun saya hanya kawan dia sahaja.” Jawab Hazrina.
“Sikit pun you tak cemburu?”
Hazrina mengetap bibirnya dengan lembut lantas mengangguk. Mengiakan pertanyaan itu dan ia adalah sebuah jawapan yang tidak pasti.
“Ha`ah.” Beritahu Hazrina.
That`s good. Senang sikit kerja I.”
“Boleh saya masuk.”
No!” Marah Maya menghalang Hazrina dari masuk melawat.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.