Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 4)

Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 4)


“Kau ajak aku makan situ semata-mata nak beritahu yang kau dihina oleh Awan? Awan mana? Awan mendung atau awan hujan? Ke Awan nano?” Noris tersentap. Memandu dengan penuh emosi.
“Ada pulak Awan Nano… tu tajuk lagu… ni Awan, H-A-Z-W-A-N.” Hazrina siap mengeja lagi nama betul Hazwan. “Tapi…”
“Apa tapi-tapi? Aku tak peduli la siapa nama dia tu. Dia dah hina kau kan? Jadi mana rumah dia? Kau tunjuk dekat aku sekarang!” Bentak Noris menjegilkan biji mata. Tidak padan dengan perempuan, sifat panas barannya begitu ketara.
Hazrina tidak berpeluang menerangkan hal selanjutnya kerana Noris enggan memberikan ruang. Sambil memandu kereta Proton Iswara warna jingga, dia mengeluh sahaja. Keluhan dan gelengan menjadi salah anggap.
Bukan Hazrina mahu berselindung apa-apa tetapi kalau boleh dia beritahu Noris sedikit demi sedikit. Dia tidak mahu memberitahu semuanya kerana dia tidak mahu Noris menanggung beban. Dia tidak mahu kawan baiknya terlalu pening dengan masalah ini. Kalau diberitahu beginilah jadinya. Ribut taufan melanda.
Kereta itu semakin lama semakin laju. Hazrina sudah kecut perut melihat cara Noris memandu. Ke kiri dan ke kanan memotong kenderaan di hadapan.
“Kau perlahankan sikit boleh tak?”
“Mana boleh! Selagi kau tak tunjukkan mana rumah dia, aku akan pandu laju-laju!”
“Aku dah maafkan dia la.”
“Tak!” Pedal minyak ditekan lagi.
“Okey fine! Kota Damansara.” Hazrina memberitahu lokasi.

***

Termenung mereka di hadapan rumah mewah yang sangat besar. Siap ada pengawal lagi yang menjaga kediaman tersebut. Bagi Hazrina, dirinya sedia maklum tetapi tidak dari Noris. Ternyata masih ada yang dirahsiakan Hazrina kepada Noris. Kalau diceritakan semua maka tiada lagi peribadi. Untuk kali ini, Hazrina harus memberitahu kerana sudah terlalu sarat ditanggung. Sungguh tidak adil sekiranya dia telan sendirian kerana telah berjanji dengan Noris. Walau apapun yang terjadi, mereka tetap bersama. Sahabat sejati tidak akan berjauh hati.
“Jadi ni rumah Awan yang kau maksudkan?” Tanya Noris.
“Ya.” Jawab Hazrina sepatah.
“Dia anak orang kaya?”
Hazrina mengangguk.
“Kau nekad nak masuk?” Hazrina angkat kening.
“Kau ingat aku tak berani?”
“Tapi ada pengawal.”
“Peduli apa?” Noris keras kepala. Hazrina tersengih pula lantas Noris melihatnya. Masing-masing berpandangan sesame sendiri.
“Aku tak fikir kau berani masuk.” Hazrina tarik tangan Noris untuk beredar dari situ. Noris diam seketika kemudian membatu langkah kemudian menyentap tangan.
“Is!” Panggil Hazrina agak terkejut. Sangkaannya meleset sama sekali. Noris pergi juga mebndekati pagar rumah besar itu. Sebaik sahaja menghampiri. Seorang pengawal menghalang.
Hazrina memerhatikan lagak Noris yang bertegang urat dengan pengawal keselamatan tersebut. Hati Hazrina terjentik mahu mendekati Noris.
“Saya tak peduli! Anak dato` tu sudah menyakiti hati kawan saya. Jadi saya nak dia minta maaf!” Bentak Noris.
“Pak Maidin, sudah…” Lirih nada seorang perempuan muncul meleraikan sengketa antara pengawal keselamatan itu dengan Noris.
“Baik Datin…” Pangawal itu masuk semula ke pondok kawalan.
“Buka pintu ni, izinkan mereka masuk.”
Maka pengawal itu mengikut arahan. Hazrina menarik tangan Noris lalu merapatkan bibirnya pada cuping telinga Noris. Hazrina terpaksa tunduk sedikit gara-gara Noris kurang ketinggiannya.
“Apa kau dah buat ni?”
“Yang tu pasti mak dia, kan?”
“Tu adalah Datin… Datin Marlia…” Bisik Hazrina.
“Ah… lantaklah! Datin ke Datun ke, I don’t care!” Tidak habis-habis Noris melepaskan rasa geram. Api itu menyala-nyala walaupun Noris sendiri tidak mengenali siapa Awan sebenarnya.

***

Renungan tajam dari mata Datin Marlia sungguh berbisa. Tusukan itu bagaikan tombak yang memanah pedih hati Hazrina juga Noris. Tengoklah cara Datin Marlia pandang Hazrina, seperti mahu telan. Memang bermuka-muka. Kalau tadi masa mula-mula dijemput masuk, bukan main senyuman menawan tetapi apabila sudah berada di ruang tamu, dijemput duduk pun tidak. Hazrina dan Noris hanya mampu berdiri.
Noris mencuba untuk duduk tetapi dari lagak Datin Marlia, renungan dan deheman sudah cukup menandakan tuan rumah tidak mengizinkan duduk. Tapi malangnya Noris tidak peduli itu semua.
“Siapa suruh kau duduk?”
“Ada kerusi… duduk aje la.” Jawab Noris lantas Hazrina terus menarik tangan Noris.
“Is…” Suara Hazrina merayu agar Noris tidak buah kecoh lagi. Kehadiran mereka untuk masuk kali ini adalah demi sebuah perbincangan. Sekiranya tidak berbincang baik-baik, maka kekecohan pula yang berlaku. Sesiapa sahaja tidak suka hal itu berlaku termasuk pengawal keselamatan. Tidak mahu mendapat susah demi meleraikan persengketaan.
“Aku nak tahu, apa tujuan kau datang ke sini?”
“Sa…saya…” Hazrina gementar.
“Kami datang ni nak jumpa anak puan.” Noris bangun semula.
“Datin… nama aku Datin Marlia.” Jawab Datin Marlia dengan angkuh terhadap gelaran tersebut.
“Tak kisahlah apa pun. Saya nak anak puan minta maaf dengan kawan saya ni sebab dah menghina dia sebagai pelacur! Apakah puan sendiri sebagai seorang perempuan tidak terasa dengan penghinaan macam tu?” Noris mempertahankan hak Hazrina.
“Hazrina… sejak pertama kali aku jumpa kau, aku dah agak kau sebenarnya memang ada hati pada anak aku. Tapi kau jangan ingat Awan akan jadi milik kau.”
Noris terus berpandangan. Sekejap memandang Datin Marlia, sekejap memandang Hazrina silih berganti. Hazrina pula bermain dengan jari jemari menahan rasa gemuruh tatkala berhadapan dengan seorang perempuan yang berpangkat dalam hidup ini. Seorang isteri kepada jutawan dan mempunyai dua orang anak laki-laki. Anak kesayangan sudah tentulah Hazwan Syarhan bin Dato` Musa yang bekerja sebagai jurutera berpangkat besar berusia 27 tahun.
“Tak! Saya memang tak ada apa-apa perasaan pada Awan.”
“Sudah! Kau jangan fikir Awan akan jadi milik kau. Cermin diri kau tu sikit dan kau memang layak dipanggil pelacur! Kalau kau bukan seorang pelacur, macam mana kau boleh ada dalam kondo anak aku bersama Badrul? Aku kenal anak saudara aku tu macam mana. Kalau bukan kau yang pujuk dia, dia takkan bawa balik perempuan dalam kondo tu.” Tangan Hazrina ditarik-tarik lalu diheret sampai ek muka pintu.
Noris mengejar mereka lalu menyentap tangan Datin Marlia supaya tidak mengenggam pergelangan tangan Hazrina. Itu amat menyakitkan. Hazrina gadis berperasaan tidak patut diperlakukan begitu. Ternyata Datin Marlia tidak peduli terhadap fitnah tersebut. Hazrina dilemparkan dengan tuduhan yang sangat berat. Ia perkara yang amat memalukan dan mujurlah perkara tersebut tidak sampai kepada dekan. Jika itu berlaku maka dunia ini seolah-olah gelap.
“Apa ni datin main kasar dengan kawan saya?”
“Habis kau nak buat apa? Kau sekarang berada di dalam rumah aku. Dan aku haramkan kau orang berdua jejakkan kaki lagi dalam rumah ni, faham?!” Bentak Datin Marlia.
“Hek eleh… tadi dia yang suruh masuk, sekarang nak ajar halal haram pulak.” Desis Noris mengherot mulutnya lalu menjuih bibir pada Datin Marlia.
Sedang mereka melangkah keluar tiba-tiba hadir seorang pembantu rumah secara diam-diam lalu memberitahu sesuatu pada Hazrina. Terbuntang matanya mendengar khabar tersebut.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.