Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 2)


Sebagaimana yang mahu dituruti oleh hati, ingin mencari cinta yang betul-betul suci seolah-olah sudah tiada lagi. Memori hitam itu seolah-olah meragut nyawanya sendiri. Kenapa sebegini hebat sabarnya? Maruahnya bagaikan telur dihujung tanduk di ketika itu tetapi masih memberi ruang pada lelaki itu berubah. Nekad membenci sepenuh hati. Tengok muka pun tidak ingin. Kalau boleh tidak mahu langsung terserempak dengan lelaki yang mahu membinasakan dirinya. Kalau sekarang ni muncul di hadapan mata, sudah tentu diganyangnya sehingga lumat. Tetapi jika itu yang berulang. Rasanya sungguh tidak sanggup menghadapi pisang berbuah dua kali.
Walau bagaimana pun bayangan hitam itu tegar muncul. Dia menepis dengan kesabaran dan mengalih ingatannya kepada Tuhan namun tetap juga goyahnya sekeping hati terhadap kenangan pahit itu. Cukuplah, jangan lagi dibelenggu bayangan itu. Bayangan yang mengerikan sehingga trauma bertandang. Tangisan Rin tidak diendahkan.
“Apa ni?”
“Rin … kau cantik… kau cantik Rin …”
“Bard! Apa semua ni Bard?! Apa kau dah buat?” Hazrina terkurung di dalam bilik sebaik tersedar dari pening. Badrul hanya tersengih sahaja. Lelaki buas yang tidak pernah kenal erti puas terus cuba menerkam Rin yang sedang mempertahankan dirinya.
“Kalau aku nak, memang dah lama aku teruskan sahaja tapi aku tak suka lakukan masa kau sedang tidur… permainan kita lebih meriah bila kita sama-sama sedar…”
“Macam mana aku boleh ada dekat sini?”
“Bukan ke perempuan macam kau biasa berada di tempat-tempat macam ni, Rin?” Badrul mendepakan tangan menahan daripada Hazrina bergerak bebas. Hazrina berdiri di atas katil tersandar pada dinding. Ekor matanya meliar mencari arah. Bilik itu terkunci tapi ada satu jalan keluar. Ya! Satu jalan keluar ada tingkap yang terbuka bersama tirai besi juga terbuka.
“Kau tak dapat lari Rin … kau mesti puaskan aku.”
“Syaitan! Kau fikir semua perempuan kau boleh buat sesuka hati?!” Hazrina capai pasu bunga lalu dibalingnya. Dengan mudah Badrul mengelak. Balingan Hazrina tersasar gara-gara menggeletar. Memang ketara Hazrina dalam ketakutan demi mempertahankan mahkotanya.
Badrul datang dekat lagi lalu menarik kaki Hazrina maka dia terjatuh semula atas tilam empuk yang bakal meragut kesuciannya. Dia mesti kuat. Dia mesti berani menentang Badrul lelaki yang berbadan tegap juga merupakan bakal CEO di syarikat ternama di ibu kota. Itu tidak penting baginya. Apa ada pada nama kalau sikap Badrul seperti binatang? Rin tidak sangka, perkenalan sesingkat itu telah mengheret dirinya ke dalam satu perangkap.
Pakaian si gadis malang itu terkoyak. Jelas terlihat kulit bahu yang putih licin. Hazrina menepis lagi namun apalah daya tenaga seorang perempuan. Dalam keadaan begitu, dia tetap berusaha. Berusaha untuk melepaskan diri dari cengkaman Badrul yang tidak kenal erti putus asa demi mempersetankan hawa nafsu. Hazrina nekad menendang di kawasan sensitif milik Badrul. Dia tiada pilihan lalu segera berlari ke arah tingkap ketika Badrul sedang mengerang kesakitan.
Dia menjengul kepala ke luar tingkap itu. Berderau darahnya akibat ketinggian yang terlampau. Biar betul?! Hazrina berada di tingkap itu. Dia menoleh semula ke belakang dan di dapati Badrul telah bangkit dan mendekatinya.
“Jangan dekat!!!” Hazrina beri amaran.
“Kenapa? Kau nak melompat? Apa kau fikir ini tingkat satu? Kita di tingkat dua puluh, Rin…” Badrul senyum sinis.
“Aku lebih rela mati dari jadi mangsa kau!” Hazrina nekad.
“Jadi?”
“Jangan dekat!” Sekali lagi Hazrina memberi amaran kerana mendapati Badrul maju selangkah. Langkah Badrul mati serta merta dan merenung tajam ke dalam mata Hazrina yang sudah bergenangan air mata. Celak yang dipakai Rin sudah cair melarut bersama tangisan. Segala-galanya telah comot.
“Rin sayang… jangan buat kerja gila…”
“Kau lagi gila, Bard. Aku tak sangka ini kau memang terkutuk. Aku menyesal kenal dengan kau.” Kekesalan di hujung ayat ketara menyengat hati Hazrina sendiri. Terlalu pedih untuk diungkapan dengan kata-kata betapa salah pilihan Hazrina. Salah mengenali lelaki yang awalnya nampak polos tetapi ternyata semua itu hanyalah topeng.
“Tak guna kau menyesal sekarang. Marilah kita berseronok. Hari pun dah jauh malam ni, Rin…” Badrul tetap memujuk dalam bongkak.
Hazrina juga ketakutan. Dia sendiri tidak tahu sama ada perlu memilih jalan ini untuk mengakhiri episod hidup remajanya atau menyerahkan dirinya kepada Badrul? Dia hanya ada dua pilihan itu sahaja. Mati atau serah diri. Kalau dia memilih untuk mati, maka satu penghinaan buat dirinya kerana mati sebelum berjuang.
“Kenapa kau layan aku macam ni?”
“Aku suka kau.” Sebenarnya sejak awal perkenalan Badrul hanya sukakan tubuh gadis itu sahaja dan menanam hasrat untuk meniduri Hazrina suatu masa nanti dan masa itu adalah sekarang. Hazrina akan dinodai. Semua perempuan sama sahaja. Itulah fikir Badrul.
“Tidak!!!” Jerit Rin. Seterusnya jeritan itu membangunkan Noris yang sedang nyenyak tidur. Terpisat-pisat jadinya lalu Noris segera mendekati Hazrina setelah menghidupkan suis lampu.
“Kau mengingau lagi ke?”
Hazrina terus menangis teresak-esak lalu memeluk tubuh Noris yang berdiri di birai katil. Air mata berjuraian gugur sia-sia. Tidak dapat ditahan sebak di dada. Tidak cukup lagi dengan apa yang terjadi ditambah pula dengan kes Farhana yang cemburu buta itu. Noris tahu segala-galanya.
“Sudahlah tu… aku minta tolong sangat-sangat. Kau boleh lupakan semua ni.” Sekilas Noris pandang jam di dinding sudah pukul 2:30 pagi. “Tidurlah…” Pujuk Noris lalu melabuhkan punggung di birai katil Hazrina.
“Macam mana aku nak tidur, Noris. Bayangan Badrul asyik ganggu tidur aku aje.” Hazrina menyeka air matanya sendiri. Wajahnya kembali sugul.
“Badrul tu memang tak guna. Kalau aku jumpa dia nak aje aku terajang!” Marah Noris tetapi dia tidak bermaksudkannya. Kalau dilawan kudrat Badrul pun Noris tetap kalah tetapi perlu dilawan dengan kebijaksanaan.
“Tak payahlah, Noris. Nanti benda yang sama berlaku.”
“Eee… tolonglah. Ni Norisyahada binti Asmadi okey! Takkan pernah kalah dengan lelaki dayus macam tu!” Noris pula terlebih emosi.
“Aku dah tak tahu nak buat apa lagi?” Terbutir tanda mati di situ. Tiada jalan keluar dari kepompong hitam.
“Buat tak tahu aje la. Kau tak payah fikir sangatlah.” Itu kata Noris tetapi bagi Hazrina ia memang menyakitkan tetapi dia teringatkan sesuatu. Noris pandang wajah Rin seolah-olah sedang berfikir.
“Eh, kenapa dengan kau ni jadi patung tiba-tiba?” Noris tolak perlahan bahu Hazrina. Hazrina membatu seketika ketika mengetap bibir.
“Hah!” Sergah Hazrina.
“Oih!!! Tak payahlah cucuk pinggang aku!” Marah Noris. Hazrina tidak sengaja. Noris terseringai sakit.
“Esok kita pergi warung nasi bujang. Makan nasi kicap telur goreng.”
“Eh! Tak pernah-pernah kau ajak aku makan macam tu? Ni apasal tiba-tiba ni?” Noris tergaru-garu kepala bersama rambut yang dah kusut.
“Tak apalah… sekali sekali lagipun bukannya selalu.” Wajah Hazrina berbunga-bunga. Ada sesuatu yang Noris belum tahu. Ada perkara yang agak mencurigakan telah berlaku. Noris memandang pelik.
‘Kalau aku boleh scan kepala otak dia sekarang ni kan bagus. Apa yang istimewa sangat dengan nasi kicap telur goreng tu pun aku tak tahu?’ Noris berkata-kata dalam hati.
Kemudian dia bangun dari duduk setelah Rin menyambung tidur semula. Kehairanan betul melihat kelakuan pelik Hazrina semenjak kebelakangan ini. ‘Dah expired ke kawan aku sorang ni?’ Hati kecil Noris tertanya-tanya lagi.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.