Entri Terkini :

Aku Bukan Korea - Bab 6

TIADA tempat lain lagi untuk dia mengadu. Pasti Zafril juga merupakan orang yang dicari. Pintu rumah Zafril diketuk laju berulang kali dengan harapan Zafril yang ada di dalam cepat-cepat buka pintu. Dia tahu Zafril ada di dalam rumah kerana kenderaan milik lelaki itu berada di luar. Vespa nampak berkilat. Eh? Vespa? Terkejut Izad. Baru dia perasan bahawa motor berkenaan terpakir di situ. Mana pergi motosikal dia yang sebelum ni? Banyak pula motor dia… Izad berkerut dahi. Abaikan je la… lagipun aku nak jumpa dia bukan vespanya.
“Zafril… kau ada ke tak?” Tanya Izad seraya mengetuk pintu rumah Zafril.
Lama Izad menunggu mana Zafril pergi? Penantian memang menyakitkan. Mengeluh Izad sambil menggaru tengkuknya. Kebiasaan yang dilakukan Izad sekiranya berada dalam keadaan yang tidak selesa pasti tengkuk itu kerap kali digaru walaupun tidak gatal.
Dah la telefon pun kau tak pakai, susah betul aku nak cari. Gumam Izad dengan penuh geram. Kecewa benar Izad ketika ini.
“Kenapa dengan kau ini?” Zafril tiba-tiba muncul.
“Haiyoo!!!” Terkejut Izad. “Wei kau nak tikam aku ke?” Gelabah!
Zafril muncul bersama sebilah parang di tangan. Terbuntang mata Izad ketika melihat Zafril muncul di belakangnya. Siapa tidak terperanjat setelah bahu disentuh di saat hati tidak tenang. Nasib baik siang hari, kalau malam sudah tentu Izad bertambah gerun.
“Tidaklah. Aku di belakang tadi tebang tebu. Kamu mahu tebu?” Zafril tersengih-sengih.
“Sejak bila kau tanam tebu?”
“Untuk diri sendiri sahaja. Bukan untuk dijual.” Zafril terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi sambil menarik nafas dan dilepaskan perlahan-lahan. Keringat membasahi baju pagoda Zafril menampakkan susuk tubuh yang tegap. Pinggang Zafril dililit pula dengan selendang berwarna merah.
“Dah macam orang tua cara kau berpakaian.” Komen Izad kemudian melilau mata memandang keadaan laman rumah Zafril. Ia sangat bersih. Sebelum ini dia selalu datang pada waktu malam sahaja. Kali ini di siang hari maka jelas terlihat rumah itu yang dijaga dengan baik.
“Aku selesa begini.” Beritahu Zafli. Sememangnya dia tidak perlu mengikut rentak orang lain. Apa yang ada seharusnya dihargai dan jaga. Mungkin ini tradisi yang diwarisi sejak dahulu kala lagi.
Izad sepatutnya mengerti. Sudah dipesan usah ditanya lagi namun Izad sering lupa akan janjinya supaya tidak lagi bertanya yang bukan-bukan atau cuba membantah. Jika mahu menjadi seorang sahabat yang baik, maka dia mesti melahirkan satu pendapat yang releven.
“Memang tak releven. Orang muda macam kau berpakaian macam orang tua, Zaf. Serius aku nak tergelak tapi apa boleh buat aku dah berjanji dengan kau takkan gelakkan kau tapi kali ini aku tak tahan.” Izad melepaskan tawanya juga.
“Kenapa kau ketawa?”
“Kerana kain pelikat kau dah koyak.”
“Apa?” Zafril baru perasan. Malu sungguh!
Patutlah dia berasa ada angin menyerap masuk membelai bahagian pahanya. Dia sendiri tidak sedar bila waktu kain itu terkoyak. Alahai… dirinya ditertawakan pula.
Cepat-cepat Zafril masuk ke dalam rumahnya lalu mengantikannya dengan kain yang lain. Dia kembali semula lalu menghadap Izad.
“Usah kau ketawakan aku lagi. Jika kau masih ketawa aku akan tetak kepala kau lapan belas kali.” Zafril memberi amaran.
“Nampak macam serius.”
“Tidaklah… aku berjenaka sahaja.”
“Diri kau sendiri sudah jadi bahan jenaka, Zaf. Betul ni… aku tak tipu.” Izad duduk di kerusi yang diduduki oleh tadi.
“Sudahlah… aku tidak mahu dengar lagi. Kenapa kau ke sini pagi ini? Kau tiada kelaskah?”
“Cuti.”
“Hari besar?”
Izad mengangguk. “Aku perlukan bantuan kau Zaf. Tolong aku.” Diletakkan tangan pada bahu Zafril. Izad merayu.
“Bantuan apa?”
“Pandangan.”
“Mengenai apa itu?”
“Mengenai cadangan yang pernah kau beritahu aku, sebelum kau berhenti berniaga tu.” Izad mengingatkan Zafril yang seolah-olah lupa.
Zafril senyum lalu bangun. Dia melangkah dua tapak ke hadapan sambil tangan bersilang di belakang. Dia menoleh semula ke arah Izad setelah tadi berfikir sejenak. Sinar matahari pagi kian terik membakar kulit. Izad pula berganjak dan mencari tempat yang sedikit teduh. Bawah pohon mangga. Di dalam pagar rumah Zafril terdapat sepohon pokok mangga dan di bawahnya juga terdapat meja dan kerusi batu. Di situ Izad menala langkah.
Zafril mengheret ekor mata memandang Izad yang sedang duduk itu. Perlahan-lahan Zafril mendekati Izad lalu ditepuk bahu Izad.
“Jadi… kau hadapi masalah yang kau sendiri tidak jangka ya?”
“Memang la aku tak jangka. Aku ingatkan keputusan untuk ajak dia keluar adalah yang terbaik. Rupa-rupanya ampeh.” Izad kecewa.
“Apa pula reaksi orang tua gadis itu?”
“Lingkup.” Izad tunduk.
“Kenapa?”
“Ya Zaf… dia tak benarkan pelajar aku tu keluar walaupun aku dah jemput dia dengan cara baik.”
“Sebenarnya itu tidak baik. Kau mungkin tidak faham mengenai adat dan adab. Orang Melayu yang memegang tradisi mana mungkin membiarkan anak gadisnya keluar bersama lelaki pada waktu malam? Jika kau bertandang ke rumahnya lantas berkenalan dahulu, maka itu baru betul. Tetapi harus diingat, ia tidak boleh melanggar batas sebagai seorang Islam.
“Tapi aku ni lecturer dia.”
“Tidak kira sesiapa pun kau Izad. Selagi kau belum ada ikatan yang sah, maka tiada peluang untuk kau bebas melakukan apa sahaja. Kau harus belajar memujuk hati kau sendiri. Kau tidak boleh mempermainkan perasaan dia.” Zafril menasihati Izad.
“Kau pun cakap, untuk memenangi hatinya, aku mesti gunakan kaedah yang lain. Jadi, aku tulis surat ajak dia keluar.” Izad tarik nafas lalu dilepaskan laju. Melepaskan rasa yang kurang enak.
“Kau silap tafsir. Maksud aku, kau mesti ikhlas. Jika kau gagal maka niat kau itu salah. Barangkali kau berniat lain, Izad. Ada kemungkinan kau sengaja mengumpan dia untuk benar-benar jatuh cinta pada kau. Ya bukan?” Zafril menduga. Kenyataan hampir tepat.
“Tidaklah.” Izad cuba menafikan.
“Baiklah, apa buktinya secepat itu kau suka padanya?”
“Kau juga beritahu aku, hati tak boleh bohong.” Laju Izad menjawab.
“Memang. Tapi apa kata hati kau sekarang?”
“Ya, niat aku lain.” Jujur jawab Izad.
Zafril tersengih.
Ternyata telahannya juga benar. Zafril tetap percaya bahawa setiap sesuatu pekerjaan itu adalah bermula dengan niat. Jika baik niatnya maka baiklah yang akan dia dapat, jika buruk niatnya maka buruklah yang akan dia dapat sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. ;

‘Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.’ H.R. Bukhari dan Muslim.

***

“MANA gerai burger tu, Farah?” Tanya Norisya di sebelah tempat duduk pemandu itu.
Farah memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan yang dikatakan oleh abangnya, Rafiq. Farah bawa Norisya mendapatkan lokasi sebenar gerai burger yang menjadi kegilaan ramai tapi Farah sendiri tidak pasti mana letaknya.
“Tengah cari ni tapi tak nampak pun.” Farah hampa.
“Tanya orang la…” Cadang Norisya. Kalau terus mencari tanpa hala tuju memang sampai esok pun takkan jumpa. Lebih baik bertanya. Kata orang, malu bertanya sesak jalan. Banyak tanya benda sama orang pun jadi  bosan.
“Tanya siapa?”
“Kan aku dah cakap, tanya orang takkan tanya sama pokok pulak kut?” Norisya tersengih.
Farah mengerling.
“Beria-ia nampaknya. Relaks la, aku tahu kau nak rasa burger dia t, kan? Aku pun nak rasa jugak, mesti yang buat burger tu handsome orangnya.” Farah membayangkan wajah pembuat burger itu adalah orang paling tampan dan seksi dalam dunia ini.
“Aku bukan nak rasa burger tapi aku nak rasa cinta.”
Erk!
“Isya, kau ni kenapa? Ada ke rasa cinta dalam burger tu?”
Of course ada. Kalau tak ada rasa cinta dalam burger dia tu tak mungkin burger dia jadi popular. Tu pun kau tak boleh fikir ke?” Amboi! Norisya bersungguh nampaknya.
Mereka rancak berborak. Masing-masing ketawa. Ada patut perisa cinta ditambahkan ke dalam burger? Farah tersengih memikirkan kata-kata Norisya itu.
“Farah!!!” Pekik Norisya.
Menggelebah Farah gara-gara terkejut lalu menekan brek kereta secara mengejut setelah tiba ke sebuah simpang. Sebuah kereta membelok rapat hampir melanggar bahagian hadapan kereta Farah. Farah melepaskan nafas lega. Nasib baik tidak berlaku kemalangan.
Gedebung!
Tiba-tiba bahagian belakang kereta Farah dilanggar kenderaan lain. Argh! Farah panik. Habislah kereta bapak aku! Hati Farah gelisah.
Norisya yang berada di dalam kereta itu turut terkejut dengan insiden yang tidak diduga. Jikalau bukan gara-gara kereta yang membelok masuk itu tidak mengambil ruang yang banyak sudah pasti kemalangan ini tidak akan berlaku. Norisya pula yang jadi bengang.
“Kurang ajar betul kereta tu!” Maki Norisya. “Tapi…” Norisya seperti kenal sahaja kereta yang baru sahaja berlalu itu.
Farah sudah keluar dari perut keretanya untuk melihat keadaan belakang kereta itu. Maka keluarlah seorang lelaki comel dari sebuah kereta Nissan.
Farah bertengkar dengan lelaki comel yang sama saiz. Norisya masih terfikirkan kereta tadi yang menyebabkan Farah terpaksa brek mengejut. Eh? Itu bukan ke kereta Encik Izad?
Oleh kerana keadaan kelam kabut itu, Norisya turut keluar dari perut kereta lalu mendapatkan Farah yang sedang berang. Berkelahi nampaknya. Keadaan itu mesti diselesaikan segera dan kalau tidak buruk jadinya. Memang betul kesabaran amat diperlukan semasa berada di jalan raya. Kalau manusia memandu membabi buta seperti pemandu tadi itu alamatnya haru biru jalan raya ni.
Norisya melangkah mendekati Farah. Lelaki comel itu terpegun melihat Norisya lalu berhenti bertengkar. Kerutan di dahi tiba-tiba hilang. Farah pula tidak berpuas hati. Cepat benar lelaki itu berubah riak setelah melihat wajah ayu Norisya itu. Wajah yang nampak menggoda walhal wajah itu sebenarnya manis bak madu. Tahi lalat bawah bibir itu yang nampak Norisya semakin manis.
“Wei encik, tengok sini la,” Farah memanggil.
“Apa?”
“Sekarang ni macam mana? Siapa nak bayar ganti rugi ni?”
Norisya merapatkan bibirnya dekat telinga Farah.
 “Farah… kau pun bersalah jugak, sama-sama fair lah… kalau masuk mahkamah sekarang ni dua-dua kena bayar tau. Lebih baik settle dekat sini je.” Bisik Norisya.
“Mana boleh Isya, aku mana ada duit.” Farah gelebah.
“Okay, tak apa. I settle. Ala, lagipun sikit je pun. I tak rasa kerugian yang sangat teruk.” Lelaki comel itu terus menghulurkan kad perniagaan sambil tersenyum. Aik? “I dah lambat ada appointment ni.” Jam tangan dilihat.
No way! kalau kau tipu macam mana?” Farah seperti takut sahaja. Manusia memang mudah berjanji tetapi untuk menunaikannya sangat payah. Sama dengan Norisya jugak, Farah dah masak dengan perangai Norisya. Hal sekarang ni bukan kes Norisya tapi kes mamat gendut yang langgar ni.
Don’t worry. I bukannya lelaki yang macam tu. Nama I Ersyad. You datang office I nanti, okay. Alamat ada dekat kad tu, bye.” Ujar Ersyad lelaki gendut itu lalu masuk ke dalam perut kereta terpaksa meninggalkan Norisya dan Farah. Ersyad sempat mengukir senyuman untuk Norisya.
“Bencinya aku!!!” Pekik Farah sambil melihat bumper kereta sudah kemek.
“Sudah la tu, kan dia dah cakap nanti dia tolong settlekan.”
“Tapi aku dengki. Kenapa ramai lelaki suka tengok kau je berbanding aku, lelaki gendut tu pun sama. Syok kat kau la tu?” Farah terkilan setelah perasan sebentar tadi Ersyad asyik tengok Norisya sahaja. Semua lelaki mudah jatuh hati dekat Norisya. Ada amal ilmu apa Norisya ni?
Malas betul, fikir Norisya. Malah nak layan Farah yang sibuk tanya hal tu. Semua tu perasaan. Mana la dia nak tahu kenapa orang suka padanya. Mana boleh halang. Lagi satu, Farah ni pun tak faham-faham ke? Dia kan cantik. Ramai yang suka pad abenda yang cantik ni, jadi tidak hairanlah kenapa dia dijadikan pilihan. Termasuk Izad yang malam tadi cuba ajak dirinya keluar.

***

MALU hendak bertegur sapa dengan pensyarah sendiri. Terserempak pun masing-masing alihkan pandangan. Tidak mahu bertentang mata. Semasa di dalam kelas pula Norisya adalah orang yang sangat malu. Malu kepada dirinya sendiri kerana cuba mempermainkan perasaan pensyarahnya itu. Begitu juga dengan Izad yang terpaksa mengawal emosinya ketika mengajar.
Alahai… Norisya jauh lebih sedih kerana tidak menjangkakan bahawa sekeping surat itu telah melemahkan keegoannya. Telah meranapkan saki baki bumbung tegas. Farah di sebelah Norisya melihat keganjilan. Aneh sungguh kenapa Norisya tidak banyak bercakap? Farah mencuit lengan Norisya.
Lambat-lambat Norisya menoleh. Hambar wajahnya. Mia yang selang dua baris di belakang melihat Norisya. Mia juga ada hati pada Izad, tapi mengalah dan sedar diri kerana Norisya jauh lebih cantik daripadanya tetapi penampilan Norisya pula jauh lebih kolot daripada Mia. Apa yang dipandang oleh Izad terhadap Norisya itu pun Mia sendiri tidak tahu.
Ketika Izad keluar daripada kelas, Mia bangun dari duduknya lantas menghampiri Norisya. Farah menoleh sekilas lalu mencuit lagi lengan Norisya.
“Mia datang tu…” Bisik Farah.
Farah terus menyeluk tangannya ke dalam poket. Sebiji gula-gula diambil lalu dibuka kulitnya kemudian disuap ke dalam mulut dengan penuh nikmat. Norisya tengok sahaja.
“Kau nak ke?” Pelawa Farah.
“Nanti rongak gigi.” Jawab Norisya.
“Eh Isya, aku nak cakap sikit dengan kau.” Mia mencelah dengan berwajah serius. Farah pula buat tidak tahu. Pelajar lain sudah keluar untuk rehat. Tinggal Norisya, Farah dan Mia sahaja di dalam kelas.
Norisya tutup buku dan dimasukkan ke dalam beg. Lalu dia bangun dan menarik tangan Farah.
Eh! Farah sedang layan perasaan nikmatnya makan gula-gula rasa tertanggu dengan kehadiran Mia ke tempatnya.
“Jom Farah…” Norisya ajak Farah.
“Isya!” Tengking Mia.
“Wow! Marah nampak…” Norisya menoleh. Farah terpisat-pisat sendiri melihat ketegangan bakal berlaku. “Aku tak ada mood kalau kau nak discus pasal Encik Izad.” Norisya yakin memang itu yang ingin Mia bicarakan.
“Dah heboh satu kolej ni tau yang kau suka dekat Encik Izad.”
“Cuma suka je kan? So apa masalahnya?” Norisya angkat kening.
“Masalahnya kau cuma nak mempermainkan perasaan dia je, kan?” Mia menduga setelah semalam tidak lena tidur asyik terfikir hal itu sahaja.
Norisya menghampiri Mia lalu wajahnya dirapatkan dengan wajah Mia. Hampir tersentuh hidung mereka berdua. Norisya mencerlung biji mata seperti mahu terkeluar sahaja dari sangkar mata itu. Jelas terasa rengus nafas Norisya menampal ke muka Mia. Farah pula yang gelabah. Takutnya!
“Selama ni aku tak pernah ada masalah dengan kau. Tapi gara-gara seorang lelaki kau dan aku nak bertengkar, apa kes? Kalau kau nak Encik Izad, kau ambik!” Norisya bengang lalu berundur meninggalkan Mia yang syok sendiri itu terkulat-kulat.
“Kau nak ke mana tu? Aku belum habis cakap lagi.” Mia masih tidak berpuas hati.
“Jumpa Encik Izad.” Selama beritahu Norisya.
Grrr…
“Hah?” Farah terus bangun mengejar langkah Norisya. Sempat menoleh ke arah Mia lalu tersengih. “Pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat.” Farah menjelir lidah. Opocot! Gula-gula terpacul keluar. Argh! Membazir aje. Rungut Farah lalu menyambung langkah.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.