Dalam rinduku tersebut kisah rindu. Rinduku padamu yang jauh di mata. Mungkin ada rasa terkilan dijiwaku kerana tidak dapat bersua denganmu. Bukan angkara ego tetapi kerana ku malu. Malu dengan kelembutanmu. Malu dengan setiap tutur bicaramu yang terlalu manis dan indah. Dikaulah wanita ciptaan terindah sebagai Hawa peneman Adam.
Ku tahu akan kesucian itu sangat bernilai maka hatimu bak kristal yang bersinar harus digilap dan sentiasa dijaga. Sungguh ku tidak mahu mengulit kasih dalam akrab cinta bimbang nanti keterlanjuran. Biarlah jarak terus memisahkan kita, namun sekiranya itu jodoh kita maka kita akan berada dalam dakapan halal disisi-Nya bila sudah suratan.
Resah ku menyebut sayang, khuatir aku akan kelemasan. Payah untuk aku ungkapkan cinta bimbang akan ada yang terluka, maka ku mampu diamkan sahaja biarlah iman berkata-kata dari hati yang mendamba cinta, dari hati yang inginkan bahagia. Begitulah ku mahu kau tahu bahawa aku akan menunggu tibanya waktu untuk kita bersama di mahligai redha, di kayangan kesyukuran, di dataran rumput menghijau tanda kebesaran Ilahi sebegitu untuk cinta kita pada-Nya.
Jika kau milikku maka kita akan bersama saat ijab dan kabul sah di sisi agama. Di situlah akan aku buktikan bahawa dikaulah wanita yang benar-benar terpelihara dari noda. Kerana ku terlalu sanjungi kamu sebagai peneman setia hidupnya kaum Adam sepertiku. Dikau Hawa serikandi cinta, mohon sekelumit bahagia biarpun berjauhan berlimpah air mata tetapi rindu tetap ada. Jangan bersedih esok masih ada dan sekiranya bukan untuk kita maka redhalah akan ketentuan-Nya. Pasti ada bahagia dalam derita.
[sayangi wanita - miqael arshad]
baca seterusnya : Kerana Wanita Ingin Dimengerti