"Kita ni apa sebenarnya? Adakah kita hanya layak menjadi mangsa godaan syaitan? Habis tu Syurga tu untuk siapa?" Pertanyaan ini diajukan oleh Erna Talana kepada Zaib yang sedang mengupas kelapa. Erna Talana bercekak pinggang dengan biji matanya membulat besar.
Sedang Erna Talana berbicara dan bertanya akan soalan itu maka hadir pula seorang teman karib Zaib menghampiri mereka berdua. Afzan Hasbullah berbaju Melayu ungu cerah menghadiahkan senyuman. Tatkala ini lelaki yang bertubuh tinggi lampai itu tidak mengetahui apa yang sedang berlaku. Maka langkahnya tiba pada mereka berdua. Erna Talana tetap dengan reaksi tidak berpuas hati.
“Assalamualaikum.” Afzan menghulurkan salam manakala Zaib yang mendengar utusan salam terus membetulkan tulang belakangnya dengan berdiri tegak. Senyuman juga dihadiahkan buat Afzan lantas salam itu disambut dengan baik.
“Wa`alaikumussalam.” Balas Zaib sambil bersalaman dengan Afzan.
“Malam ni ada kuliah maghrib bersama Ustaz Hassan. Kau nak ikut aku tak?” Afzan menyampaikan tujuan sebenarnya dia ke situ. Zaib berkulit sawo matang itu seolah-olah terfikir sejenak. Perlu ke aku ikut? Bicara hatinya sendiri bertanya akan apa jawapan yang harus diberikan kepada Afzan.
“Pergila ke surau tu dengar kuliah. Bagus, boleh jugak cuci hati tu yang berkarat. Tapi macam mana dengan urusan perniagaan? Pelanggan dah tempah banyak santan. Rugilah kalau kau tak settlekan dulu.” Erna Talana mencemikkan bibirnya. Pakaian Erna Talana sungguh seksi menampakkan susuk tubuh yang ramping. Erna Talana berpakaian tetapi kelihatan bagaikan sedang bertelanjang.
Susah la macam ni, ala, lain kali kan masih ada. Peluang macam ni susah aku nak dapat. Tempahan yang berlambak-lambak ni mesti aku siapkan. Aku nak beli rumah baru, kereta baru dan macam-macam lagi aku boleh beli bila aku dah betul-betul kaya nanti, bisik hati kecil Zaib.
“Malam ni tak dapatlah Afzan. Aku kena kupas kelapa ni. Tempahan banyak untuk santan esok.” Zaib memberikan alasan. Afzan yang mendengar jawapan Zaib hanya menggeleng perlahan tetapi bibirnya masih mampu menguntumkan senyuman meskipun jawapan yang diberikan oleh Zaib agak mengecewakan.
Sejak perusahaan Zaib bertambah baik, Zaib sudah jarang ke surau. Jika dulu Zaib adalah orang yang begitu dekat dengan surau. Zaib juga merupakan lelaki yang rajin dalam segala segi tapi dalam bab keduniaan dia seolah-olah telah dilalaikan dengan kesibukkan. Demi mengubah hidup dan mengumpul harta dia kini tiada waktu dan ruang untuk ke surau bagi menghadiri majlis-majlis keagamaan.
“Tak apalah Zaib, kalau kau rasa apa yang kau dapat hari ni sudah memadai maka aku ucapkan selamat bahagia. Aku gerak dululah ya Zaib.”
“Eh, awal lagi ni, duduk la minum kopi dulu. Nanti aku minta isteri aku buatkan kopi tuk kau.” Ucap Zaib bersama hati yang kurang senang akan kehadiran Afzan.
Afzan pula tidak mahu menyusahkan Zaib. Dia hanya datang untuk memaklumkan akan Zaib mengenai perkara itu sahaja dan Zaib sudah pun memberikan jawapan.
“Dia tak nak, tak payah la paksa. Sudahkan kerja tu lagi bagus.” Erna mengeluh dan melangkah ke arah Zaib. Setibanya di bahagian belakang Zaib, jari-jemari Erna mngurut lembut bahu Zaib magu memberikan keselesaan buat Zaib. Barangkali Zaib lenguh jadi dia mahu berehat.
Afzan terus berpaling dan melangkah pergi dengan rasa yang kesal di atas sikap Zaib yang kini sudah jauh berubah. Zaib sangat berbeza sebelum enam bulan yang lalu. Berbeza dari Zaib belum mempunyai apa-apa. Kini perusahaan Zaib bertambah maju dan dengar khabarnya Zaib akan kembangkan lagi perniagaan santan. Pembelian tanah baru untuk penanaman pohon kelapa bagi memenuhi permintaan sudah diuruskan. Tidak lama lagi perniagaan Zaib akan terus meningkat naik.
Zaib tidak pula berasa apa-apa melainkan mindanya hanya tertumpu pada kerja. Oleh kerana dia bakal mempunyai lebih ramai pekerja maka dia perlu menyiapkan segala urusan yang perlu agar segalanya tidak tercicir.
Telefon bimbit Zaib berbunyi di dalam poket maka cepat dia mendapatkan telefon itu. Diperhatikan pada skrin telefonnya tertera nombor telefon pelanggan yang disimpan datanya. Sudah pasti tempahan ingin dibuat dan selepas dijawab panggilan itu ternyata itu adalah benar. Tersenyum lebar Zaib dan hari kian berlabuh menjemput senja. Saat ini pula Erna masih menari-nari dihadapan Zaib untuk menghiburkan Zaib.
Solat Asar lupa dikerjakan dan kini kedengaran suara muazim sedang melaungkan azan menandakan masuknya pula waktu solat Maghrib. Sehingga begitu sekali Zaib dilalaikan dengan urusan dunia. Hanya diberikan sedikit kesenangan tetapi sudah mula lupakan kewajipan. Erna Talana tidak pernah berputus asa dan sentiasa bermuka-muka untuk terus menyesatkan Zaib. Semua ni dilakukan kerana Erna Talana tidak mahu gagal dalam misinya untuk mengheret Zaib ke dalam Neraka bersama-sama.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)