Jari jemari sedang rancak menyusun aksara patah demi patah pada papan kekunci. Matanya memerhatikan setiap aksara yang tersusun di skrin komputer bagaikan sebuah nada irama hati sejajar dengan gerak bicara dan detik yang berlegar di benaknya. Chad menaip sesuatu pada laman blognya. Dia berkongsi idea dan apa yang berlaku dalam dunia penulisan artikel pada laman sesawang miliknya itu. Tidak hanya tertumpu pada kerjayanya sahaja malah dia mengisi waktu lapang dengan menulis puisi dan juga cerpen. Untuk menulis novel rasanya tidak kerana ia terlalu panjang dan mengambil masa yang terlalu lama. Biarlah sahabatnya sahaja berminat ke arah berkenaan iaitu Ayuni Najwa. Chad faham dan mengerti akan minat Ayu yang gemar menulis novel. Cita-cita Ayu adalah untuk menjadi salah seorang novelis yang ada di Malaysia ini.
Chad tidak pernah terlepas daripada mengikuti sebuah kisah yang dikarang oleh penulis e-novel itu. Hampir setiap kalinya Chad membuka tetingkap blog Ayu tanpa meninggalkan jejak komentar apa pun. Bahkan Chad merupakan peminat setia yang hanya mahu dikenali sebagai pembaca senyap sahaja.
Malam yang dingin setelah hujan renyai-renyai merintis di luar rumahnya itu menambahkan lagi perasaan untuk menulis. Malam yang begitu sunyi adalah malam yang dinantikan. Malam-malam yang berlagu dengan udara seperti itu mendodoi perasaan sehingga perkataan yang tercipta umpama leluhur yang subur. Kata-kata Chad dalam ayatnya
“Kita tidak terkejar cinta yang terindah tetapi kita mampu mendakap bahagia seandainya kita tulus mengenal cinta dan belajar daripadanya erti kesetiaan beserta kejujuran.”
Selalunya Chad akan menulis daripada apa yang dia mengerti dan memahaminya dari dimensi yang lain. Bahkan daripada itu dia seolah-olah hanyut dalam dunianya sendiri. Mungkin suatu hari nanti orang lain akan faham apa yang cuba disampaikannya. Biarpun bukan sekarang tetapi dikemudian hari nanti mengenai ungkapan cinta di dunia tanpa sempadan akan menjadi dedaun subuh yang berdesiran ditiup angin kasih.
Fikirannya terganggu pula setelah ingatannya menangkap insiden dalam pejabat dua hari lepas. Nama Elya muncul dibenaknya. Wajah kelmarin mendera jiwanya sehingga Elya sanggup mencampur adukkan urusan pejabat dengan masalah peribadi. Dia terlupa. Dia benar-benar terlupa akan satu temu janji. Salah aku! Cepat-cepat Chad mendapatkan telefon bimbit yang berada di sisi sebaik sahaja menyedari waktu sekarang sudah pukul sebelas malam.
Dia menelefon Elya malangnya panggilannya diputuskan. Elya sengaja tidak mahu menjawab panggilan Chad. Oleh sebab itu Chad mengeluh. Pasti dia marahkan aku, hati Chad berkata-kata. Sekali lagi Chad mencuba namun gagal lagi.
Saat kecewa begitu dia pun meletakkan telefon dekat dengan penjuru meja komputer peribadinya. Dia menopang dagu dan memandang lama ke arah skrin komputer. Otaknya terbang jauh teringatkan kisah semalam sewaktu dia mula-mula mengenali Elya. Pada waktu itu Chad tergesa-gesa dalam mengejar waktu untuk menghadiri satu temu duga. Chad kelihatan kelam kabut dengan keadaan yang tidak terurus. Tali leher yang tidak diikat kemas manakala tali kasut pula tidak diikat dengan sempurna. Dia turun dari kereta dan melangkah laju. Tanpa diduganya dia terlanggar pula seorang gadis seksi yang tiba-tiba sahaja melintas di hadapannya.
“Maafkan saya.” Ujar Chad merasakan dia yang bersalah.
“Ni mamat kampung mana ni yang agak kurang ajar main langgar orang?” Si gadis seksi itu membebel sambil merenung tajam ke arah Chad.
“Saya tak sengaja. Maaf saya dah lambat.” Chad terus menyusun langkah masuk ke dalam lif. Di dalam lif itu dia perkemaskan dirinya. Membetulkan kedudukan tali leher dan mengikat kemas tali kasut.
Saat itu Chad melupakan seketika insiden perlanggaran berkenaan tetapi malang tidak berbau. Orang yang dilanggarnya menjadi salah seorang panel dalam temu duga itu. Sungguh dia tak sangka orang itu adalah Elya. Chad diarahkan dengan bermacam-macam cara. Apa yang lucu tentang Chad, dia menurut sahaja apa yang disuruh Elya.
“I nak you berdiri sambil nyanyi lagu Negaraku. You kena nyanyikan lagu kebangsaan negara kita. Ia salah satu prosedur dalam temu duga ini.” Arah Elya menahan tawa dalam hati. Tergamak sungguh Elya kenakan Chad yang begitu lurus orangnya. Namun demi mendapatkan jawatan yang ditawarkan maka Chad sanggup membadutkan dirinya di hadapan panel yang lain. Sememangnya mereka tahu Elya anak bos. Tidak berani pula membantah.
Satu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon bimbitnya. Lamunannya berkecai dan dia kembali semula ke alam realiti setelah terbang ke waktu lalu. Dia mengambil semula telefon yang berada dekat dengan penjuru meja lantas dilihatnya isi pesanan.
I ada di car park apartment you – Elya
Terbelalak mata Chad sejurus membaca isi pesanan itu. Chad menelan air liur yang terasa berpasir. Dia ni biar betul? Kata hatinya yang seolah-olah tidak percaya Elya benar-benar berada di kawasan appartmentnya. Percaya ataupun tidak, Chad harus pergi mendapatkan kepastian.
Chad bangun dan dia terus menyusun langkah keluar dari bilik dan sejurus kemudian telefon bimbitnya pula berbunyi. Dia fikir Elya yang telefon tetapi panggilan itu datang daripada orang lain. Chad menjawab panggilan itu.
“Hai Nora, tak tidur lagi?” Tanya Chad sambil kakinya masih melangkah. Satu lagi tangannya sibuk mengunci pintu rumahnya itu sebelum meninggalkan rumah.
“Abang ni… kalau saya dah tidur takkanlah saya boleh call abang pulak.” Lirih suara Nora di hujung talian.
“Mana la tau kut-kut mengingau ke.” Lembut pula Chad menjawab.
“Banyaklah abang. Erm, saya ganggu abang ke tak ni?”
“Kalau menganggu rasanya abang dah tak angkat call Nora ni.” Balas Chad yang kemudiannya menyusun langkah menuju ke arah lif. Chad tinggal di tingkat lapan Apartment Seri.
“Oh ye ke. Sebelum saya call abang ni, tadi abang tengah buat apa?” Pertanyaan Nora seolah-olah ingin tahu apa aktiviti Chad pada waktu malam sebelum tidur.
“Duk menung-menung je.” Jawab Chad ringkas sambil menekan butang Ground Floor dekat dengan pintu lif. Chad menunggu sehingga ketibaan lif untuk turun menemui Elya yang menunggu dekat tempat yang dinyatakan.
“Boleh saya tau apa yang abang menungkan?” Soal Nora lagi.
‘Ting’ kedengaran bunyi pintu lif terbuka bersama bunyi loceng dan bunyi loceng itu telah didengari oleh Nora.
“Eh abang dekat mana ni?” Nora ingin tahu. “Kata duk menung-menung je, bunyi macam tengah bergerak je.” Nora menduga.
“Abang ada hal sikit.”
“Laa… kenapa tak beritahu aje yang saya dah ganggu abang? Tak apa la kalau macam tu, okey bye.”
“Tak tak… Nora tak ganggu abang pun.” Jawab Chad yang kini sudah berada di dalam lif. Dia kini dalam perjalanan turun ke bawah sambil bercakap dengan Nora adik Abang Key.
“Kalau macam tu kita borak lagi lain kali ye. Thanks abang sebab sudi jawab panggilan ni.” Ujar Nora. “Bye.”
“Sama-sama. Bye.” Balas Chad tersenyum.
Sebaik sahaja panggilan itu ditamatkan, Chad menarik nafas. Bahagianya dirasakan bila hidup ini selalu diambil berat. Khususnya daripada Nora. Sejak mengenali Nora, Chad rasa ada keistimewaan yang ada pada Nora. Suaranya yang merdu serta bersifat ambil peduli seolah-olah berjaya menambat hati Chad biarpun dia baru sahaja mengenali gadis itu.
***
Di hadapan mata Abey terlihat si gadis yang hidupnya sudah hilang rasa gembira. Pengorbanan yang dilakukannya berakhir dengan kekecewaan. Pada malam yang dingin ini hatinya celaru ditambahkan lagi dengan perangai Amran dua hari lepas yang suka pegang-pegang. Dan hari ini dia kehilangan jiran. Televisyen terpasang itu direnung kosong. Sekilas dia memandang jam di dinding. Sudah pukul sebelas setengah malam. Ayu mengeluh hampa nampaknya.
“Ayu, aku nak balik.” Beritahu Abey.
“Kau tidur sini la malam ni temankan aku.”
“Tak nak la. Nanti housemate kau cakap apa pulak.” Abey memberikan alasan kerana tidak mahu teman serumah Ayu merungut. “Kau sabar la ek.” Abey menggosok bahu Ayu meminta agar Ayu bersabar lantas mengangkat punggung.
“Macam mana aku nak sabar. Aku pindah sini, dia pulak pindah kat tempat lain.” Ayu kecewa. Spangebob dipeluk rapat ke paras dada.
Abey yang berdiri duduk semula. Lantas dipaut bahu Ayu seerat-eratnya agar Ayu lebih tenang. Abey memberikan sokongan pada Ayu supaya jangan mudah mengalah. Di saat begeni Ayu memang memerlukan sokongan Abey sebagai kawan baiknya.
“Kau pindah la lagi supaya dekat dengan dia.” Saran Abey.
“Berapa kali aku nak kena pindah? Nanti bila aku pindah dekat dengan rumah dia, dia pulak pindah tempat lain lagi. Dia macam tahu aje aku selalu ikut dia.” Ayu takut perkara itu akan terjadi lagi. Dia baru aje pindah dekat sini, Chad pula dah pindah ke tempat baru. Perkara ini membuatkan jiwa Ayu tak tenteram.
“Itu aku tak tahu. Tapi kau cubalah luahkan dekat dia isi hati kau tu.” Abey tetap mahu Ayu meluahkan perasaan sebenar pada Chad. Jangan lagi disimpan-simpan nanti merana badan.
“Bey… kau ni kenapa tak faham aku? Takkan aku nak kena mulakan dulu.”
“Oh, aku lupa yang kau dah ada tunang.”
“Abey!!!” Pantas Ayu mencubit paha Abey. Terseringai Abey setelah Ayu berbuat sedemikian. Ayu mencebik kerana Abey menyidir dirinya.
“Aku gurau je la. Dah la. Aku nak balik.”
“Bey…”
“Ye, aku nak balik la. Kita bincang esok okey? Aku dah penat sangat satu hari ni pergi picnic dengan Abang Key aku tu. Perh dia tu kuat jalan-jalan la. Naik lenguh lutut aku ni.” Seloroh Abey lalu bangun dari sofa empuk.
“Abey, kau lagi nak tambah bengang aku.”
“Apa sal pulak.”
“Kau tolong nasihatkan adik dia tu supaya pindah dekat lain. Jangan duduk dekat Appartment Seri tu.”
“Haa… kau jealous ni. Nak buat macam mana dah… dia yang duduk situ dulu baru si Chad tu pindah kan?”
“Aku tak kisah Chad nak pindah tapi kenapa perlu dekat dengan bakal adik ipar kau tu? Dorang ada apa-apa ke?” Dari tadi Ayu risaukan perkara tu. Kononnya tak kisah tapi hati berat semacam aje. Ayu terus menyisip kopi sejuk.
Abey hanya menjongket bahu sahaja. Lantas dia menyusun langkah untuk pulang ke rumah. Ayu terus bangun mengekori langkah Abey untuk dihantar ke muka pintu. Wajah Ayu sugul tak bermaya kerana terlalu fikirkan soal itu.
“Kau tu semua tak kisah kan? Tapi yang sakitnya hati kau jugak.” Tutur Abey.
Ayu mengeluh lagi sambil menggeleng perlahan.
“Kau tahu tak kenapa Chad dah tak tolong makcik dia dekat restoran?” Soal Ayu dengan harapan Abey mengetahui sebabnya.
“Laa… bukan ke dia pernah tertumpahkan sup panas dekat badan tunang kau tu? Kau dah lupa ke apa yang kau cerita dekat aku hari tu?” Ujar Abey sambil menyarungkan topi keledar.
Ayu tak pernah lupa fasal tu. Insiden itu sering bermain di dalam kepalanya. Kasihan Chad pada waktu tu kena marah dengan Amran. Amran tu mulut memang cabul sangat. Semua benda main bidas aje ikut sedap mulut nak cakap apa.
“Tapi takkan sebab tu aje Chad dah tak bantu makciknya dekat restoran tu lagi?”
“Ayu, bukan ke lebih elok kau tanya Chad sendiri. Kau cal dia, tanya dia elok-elok. Kau tanya aku macamlah aku ni pengintip.” Ujar Abey lalu menghidupkan enjin motor. Menderu enjin motor TZM Abey yang bersedia untuk dimasukkan gear. “Oh ye, Am dah tahu ke kau pindah sini?”
“Dah terkantoi. Perang besar dekat bukit tu.”
“Iya la kan. Aku nak gi ambik kau tak nak. Kalau tak, memang dah lama aku tumbuk muka mamat tu biar biru mata dia. Jue ke yang pecah rahsia?” Abey mengumam geram kalau bercakap fasal Amran.
“Taklah, bukan Jue tapi aku. Dia kan suka paksa orang. Takkan kau tak faham.”
“Lebih dari faham pun. Okey lah, jumpa esok. Assalamualaikum.”
“Wa`alaikumussalam.”
Usai Abey berlalu, Ayu terus mengunci pintu rumah. Teman serumahnya dah lama tidur. Memang selalu tidur awal. Ayu melangkah ke arah sofa dan dia mengambil Spongebob miliknya itu lantas dipeluk rapat. Ayu sayangkan anak patung itu. Sayang sangat-sangat. Kemudian itu Ayu menekan alat kawalan jauh untuk menutup siaran televisyen. Usai itu suis dimatikan. Dia masih belum rasa mengantuk lagi.
Ayu hampir terlupa tentang gelas kopi yang belum dibawa ke dapur. Dia kembali semula ke meja dekat dengan sofa lantas diletakkan Spongebob atas meja itu di sebelah tepi gelas. Entah bagaimana dengan cara tak sengaja tangan kanannya tertolak gelas yang satu lagi. Gelas kopi yang diminum oleh Abey yang masih lagi bersisa itu terus tertumpah dan terkena Spongebob. Alamak!!! Terbuntang mata Ayu.
p/s : klu dah suke citer ni jgn segan-sengan tuk klik butang 'LIKE' ye.... peace.....
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
p/s : klu dah suke citer ni jgn segan-sengan tuk klik butang 'LIKE' ye.... peace.....