Entri Terkini :

Fantasi : Masih Ada Taro Wong - 2

Masa dekat sekolah rendah dan menengah dulu Aisyah kawan baik dengannya. Tak pernah sekali pun ingin disakiti Aisyah. Entah macam mana kalau Aisyah sakit, dia pun terasa sakit. Kata orang, cubit paha kanan, satu badan terasa sakit. Boleh macam tu? Tersenyum-senyum dia di situ. Best sungguh dapat jumpa dengan Aisyah lagi. Dia fikir Aisyah melupakan dirinya bila dah dapat sambung belajar. Nak ke dia dekat aku kalau aku kata I love you? Nuzul ada hati la tu. Nak beritahu pun tak berani. Kawan tetap kawan kan? Tapi soalan petang tadi tu seolah-olah mencucuk lubang telinga. Nizal! Nizal! Nizal! Adik aku jugak dia ambil berat! Amboi, cemburu la tu.
Di usia ini siapa nak lawan perasaan? Ikut hati mati. Ikut rasa binasa tapi kalau ikut penyangak? Pasti masuk penjara. Nak ke aku merampas cinta itu? Nuzul terbaring kaku. Matanya memandang siling rumah. Porah! Aku si gemuk yang hebat kan? Pasti boleh kut memiliki seorang gadis yang cantik manis tu. Eh! Layak ke?
Tak! Tak! Mana boleh macam ni. Cara Aisyah tu memang syok dekat adik aku je. Tak boleh jadi katanya dalam hati lagi dan terus lagi. Menyambung kisah semalam tak sehebat hari ini. Malu dan tebal muka tatkala seluar terkoyak! Hairan dia kenapa seluar boleh koyak pulak? Setahunya seluar jeans tu tebal! Mustahil!
Malam yang buta, malam yang dingin dan malam yang tak tentu fasal buat dia tak tenang. Bermacam-macam perasan muncul. Curiga dan segala rasa muncul. Bukan itu sahaja, pelik pun ada. Masa dekat dapur petang tadi sewaktu dia bertanya dekat ibunya berkenaan Nizal, masa tu dia memandang pokok mangga. Pokok yang dikatakan tak ada buah. Dia baru perasan ada satu biji buah sahaja. Eh? Matanya betul ke tak ni?
Lepas pada tu dia termenung pula dekat sungai yang tak berapa jauh dari rumahnya. Seluarnya koyak tiba-tiba. Tak masuk akal katanya. Nuzul yang tadi berbaring bangun semula. Dia melangkah ke cermin muka. Dia padang wajahnya. Memang pipinya dah tembam. Dulu dia tak macam ni. Dia tak gemuk. Badannya memang slim, tapi entah macam mana selera makannya bertambah selepas mendapat result SPM yang tak memuaskan. Selepas daripada itu dia asyik nak telan sahaja apa yang ada. Nasib baiklah batu dan kayu tak boleh ditelannya. Kalau boleh memang habis dinding rumahnya tu.
Masa habis belajar, dia bekerja dekat warung. Masa tu memang mewah dengan makanan. Salmah memang berniaga di warung dan Nuzul pembantu ibunya. Tapi dah selalu makan aje, badan dah tembam. Masa tu pun Salmah dah pelik, Nuzul ni suka makan banyak. Kolesterol dah lebih. Bahaya tu, nanti kena penyakit lemah jantung. Darah tinggi ke atau kencing manis. Sayang sungguh, dia kan masih muda.
Bingkai gambar yang ada dekat dinding jatuh. Jatuhnya dengan tidak semena-mena. Tak ada angin, tak ada gegaran tapi dug! Jatuh. Frame gambar dirinya yang dilukisnya. Potretnya bersama dengan Aisyah. Wah! Berangan la tu.
Eh? Cepat-cepat dia pandang sewaktu tiba dekat cermin tu. Macam mana boleh jatuh ni? Nuzul garu-garu kepala kehairanan. Terlangkup. Dibetulkan semula. Tak ada gambarnya. Tapi gambar lain. Eh? Dia makin hairan. Mana pergi gambar aku? Siapa yang tukar? Tadi rasa macam gambarnya di situ. Ini bukan frame gambar aku.
Dia tenung gambar tu. Wei!! Dia terkejut! Terlepas bingkai gambar tu dari tangan. Biar betul? Atau ini semua khayalan semata-mata?

***

“Mamat!!” Terjerit-jerit Nuzul panggil si Mamat. Mamat sedang buka pintu bengkel. Seperti biasa di waktu pagi begini lebih kurang pukul sembilan pagi dia akan buka pintu bengkel. Dia bekerja di bengkel motor ayahnya sendiri.
Lelaki kurus tinggi itu lebih kurang macam Nuzul jugalah tapi bukan soal berat badan tapi soal tak dapat belajar tinggi. Dia ada perniagaan ayahnya maka lebih baiklah dia uruskan sahaja. Nak kata pandai tu tak adalah pandai sangat tapi kalau dah berminat kepada kemahiran lebih baik langsungkan aje.
Nuzul kayuh basikal. Dah sekuat tenaga dikerahkan agar basikalnya melaju. Macam mana nak laju? Fikirlah… Motor tayar pancit! Geram! Baru nak melaporkan isu hangat pada pagi macam ni tapi di awal pagi tadi pun motor dah buat hal! Dia hairan tayar motornya pancit pulak.
Keringat membasahi tubuh. Pakaian dah lencun dengan air peluh. Nuzul mandi air keringat dan termengah-mengah lelah. Semput jadinya. Kasihannya…
Kawannya tu tercegat memandang Nuzul yang menghampirinya. Riak wajah Nuzul sangat lain. Lebih lain daripada biasa. Muka pucat macam tak cukup darah. Gaya Nuzul tu macam dikejar hantu aje. Ada hantu di siang hari. Mungkin kut.
“Kau kenapa?”
Adalah halnya. Tercegat aje! Datang dekat pun okey jugak. Terpaksalah Nuzul cepat-cepat datang. Mamat tu buat selamba sahaja sambil senyum-senyum. Dah dapat agak apa yang diberitahu Nuzul. Mesti hal Aisyah ada dekat kampung. Nuzul ni kalau tak cerita fasal Aisyah memang tak sah. Macam gulai tanpa garam. Hari-hari nama Aisyah meniti di bibir. Mamat sebagai kawan karib Nuzul dapat memahami kehendak hati Nuzul tu tapi… tak mungkin kut. Tak mungkin… Mamat menggeleng perlahan. Ya, tak mungkin Aisyah sukakan Nuzul! Senang cerita.
“Penting ni.” Nuzul lelah. Nafasnya laju je. Penat terasa. Rasa macam nak pitam. Pengsan anak orang ni susah Mamat nak angkat bawa ke hospital. Dahlah hospital tu jauh. Takkan nak galas kut? Tak logik.
Langkah kaki Mamat tersusun perlahan ke arah Nuzul. Pintu bengkel tak sempat dibuka habis pun kerana Nuzul dah kacau rutinnya. Terangkat kening Mamat tengok sesuatu. Eh? Dah macam kambing jeruk dah si Nuzul ni. Cepat sungguh kematangan muncul.
“Nuzul? Kau berjambang ke? Sejak bila ni? Kelmarin tak ada pun? Hormon kau terlebih ke?”
Tak sempat Nuzul nak cerita, Mamat bertanya pada perkara yang dia tak perasan langsung. Jambang? Eh? Bulu? Eh? Apa ni? Apa ni?! Nuzul mengusap dagu dan pipinya. Ada jambang yang baru tumbuh? Adakah aku spesis beruk? Nuzul tak mampu redha kerana benda ni pelik! Tidak!!! Wajah Nuzul cuak. Dia tak tahu apa nak jawab. Takkan kut?
“Mamat! Aku balik dulu!” Cepat-cepat Nuzul ambil basikalnya yang tadi baru ditongkat tu. Lelaki montel ni terus kayuh basikal macam lipas kudung. Mamat pulak kehairanan. Habis orang dah jatuh hairan.
Kayuhan demi kayuhan. Dia akhirnya sampai ke sebuah jambatan. Jambatan yang sering kali dia bertandang. Di situ tempat dia meluahkan rasa cakap sorang-sorang. Memang dia rasa pelik dengan dirinya. Dahlah selera makan dia bertambah. Lepas tu pula malam tadi banyak benda pelik. Hari ini dia dikejutkan lagi dengan kemunculan jambang itu. Dah tua sangat ke aku ni? Ke aku ni keturunan sheikh? Betul ke?
Rasa macam nak menangis je. Susahlah macam ni. Lembik pulak jiwanya kalau menangis. Pada siapakah dia ingin mengadu? Dia jadi malu dan keadaan ini membuatkan dia bertambah malu. Dia tak tahu mana nak sorok muka dia yang sekarang ni dah jadi macam tok sheikh je ni.
“Nama kau Ahmad Nuzul Khawarizmi Bin Ahmad Musa. Orang panggil kau Nuzul je. Dan kau dibesarkan di kampung ni. Inilah kampung tercinta kau yang kau sayang sangat-sangat. Umur kau sembilan belas tahun dan cita-cita kau nak jadi seorang cikgu, cikgu tadika kerana kau suka layan budak-budak. Tapi kau lebih suka buat mereka ketakutan. Memang best tengok mereka takut. Muka yang cuak tu mampu buat kau tersenyum. Tapi kenapa kau tak berjaya sambung belajar?”
Terbeliak mata Nuzul di bening pagi saat matahari mencanak naik. Darahnya memuncak tiba-tiba. Satu suara muncul tanpa disangka-sangka dengan mengungkapkan kembali kata-katanya semalam kepada dirinya semula. Bukan sahaja semalam malah katanya-katanya tu dah kerap kali diluahkan pada tempat yang sama.
Dia tercari-cari siapakah tuan empunya suara tu. Dia tak jumpa sesiapa pun. Susah macam ni. Dia bangun semula dari tempat duduknya. Peluh mencurah-curah. Dia ketakutan. Takkan ada hantu di siang hari macam ni?
“Wei!! Kau siapa? Kenapa kacau aku? Kalau kau orang sila tunjukkan diri!” Pekik Nuzul sambil memandang kanan dan kiri serta sekelilingnya tapi tak ada sesiapa melainkan pokok kelapa.
Tak muncul pula sesiapa pun. Dah kalau orang tunjukkan diri. Adakah itu orang? Kalau tak tunjukkan diri memang sah suara itu bukan dari orang. Siapa? Bunian ke?
“Arghhhh!!!” Terdengar suara jeritan. “Apa ni main pijak je?!” sambung suara itu lagi.
Pijak?! Bermakna dekat bawah? Takut-takut Nuzul memandang ke bawah. Terpijak sesuatu? Apa bendanya? Tak ada apa-apa pun. Nuzul perhatikan tak ada apa-apa pun dekat bawah tapak kakinya. Memang tak ada. Mata empat dirinya pun tak dapat menelaah. Dia nak lari tapi rasa kakinya berat.
“Angkatlah kaki kau ni!!” pinta suara itu lagi yang menyuruh dia angkat. Dia tengok bawah lagi tapi memang tak ada. Dah diangkat pun. Wajah Nuzul dah cuak. Peluh tak henti-henti mengalir dari liang-liang roma.
“Dahlah diri tu gemuk! Suka hati main pijak aje!” Membebel lagi suara tu. Kali ini Nuzul berani-berani sahaja tanggalkan selipar. Dibiarkan selipar belah kanannya tu. Bergerak-gerak sendiri. Macam ada benda bawah tu. Nuzul betul-betul rasa takut. Tapi kalau di siang hari macam ni tak perlu dia takut. Kalau hantu tak mungkin cekik orang. Ini orang ke? Mustahil dan tak masuk akal. Rasa macam mimpi je. Siap kutuk aku ni gemuk lagi! Tak boleh jadi ni! Nuzul agak berang.
“Kau siapa?” Nuzul berani-berani takut dalam bertanya. “Kau jangan buat hal! Aku ada Tae Kwan Do!” Nuzul memberi peringatan.
“Tae Kwan Do kau tak berkesan!” Aik? Berlagaknya suara ni! Nuzul berkerut dahi rapat-rapat. “Tanggalkan cermin mata kau tu!” Suruh suara tu lagi dengan tegas.
Nak tak nak je Nuzul ikut. Boleh jadi suara tu Cuma khayalan. Nuzul tampar pipi sendiri kerana dia was-was. Dia rasa benda ni tak wujud. Benda ni tak betul! Dan perkara ni langsung tak ada logik akal. Memang di luar jangkaan.
“Orang gila je yang suka tampar pipi sendiri! Kau tak bermimpi. Buka cermin mata kau tu.”
“Mimpi!”
“Tak!”
“Ya!”
“Aku kata kau tak bermimpi pun!” Marah suara tu. Tiba-tiba cermin matanya terjatuh sendiri. Tidak!!! Nuzul terus berganjak! Dia nampak benda pelik! Rasa macam nak pitam dan dia terus sesak nafas rasa macam kena cekik je. Tanpa sedar dia pun tumbang juga akhirnya.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.