P/s : Ini koleksi cerpen lama saya. Saya cuma edit sikit-sikit je kerana mata dah blur otak pun dah tepu. Di sini masih lagi terdapat kekurangan kerana saya memang insan yang serba kekurangan. Di sini juga dah tak wujud idea baru untuk dipersembahkan lagi buat waktu terdekat ni kerana saya betul-betul kekurangan masa. Demi reader tersayang maka saya hadiahkan cerpen ini. Mohon maaf jika ia tak selarat Nasi Ayam atau Nasi Air.
Hari-hari asyik diberi makan hanya ubi keledek sahaja. Taufik mulai bosan kerana di hadapan mata cuma itu sahaja. Mana perginya makanan yang sedap-sedap sebelum ini? Dia benar-benar marah dengan ayahnya yang jatuh miskin dan terpaksa tinggal di luar bandar. Waktu di kediaman lama, sebut sahaja apa yang dia mahu pasti akan disediakan. Makan dan minum lengkap. Pakaian pula tidak secomot sekarang. Sungguh menjengkelkan setelah semua itu hilang.
Untuk beriadah pasti aktiviti-aktiviti bersama keluarga menjadi idaman dan tidak pernah dia duduk diam kerana ada sahaja tempat-tempat menarik yang dilawati bersama keluarga. Habis semua tempat dibawa oleh keluarga melancong. Termasuk juga ke luar negera. United Kingdom, Australia, New York, Sydney dan lain-lain tempat lagi yang menarik.
Kehidupan di kota amat dirindu. Kini tinggal di rumah peninggalan arwah neneknya ini amat membosankan. Kenapa ayah aku pindah ke sini dan sanggup bekerja sebagai tukang kebun? Taufik selalu merungut. Pagi ini Taufik mesti pergi ke sekolah. Tapi kalau makan ubi keledek sahaja mana boleh kenyang. Sudah lama dia tak makan Pizza, Burger McD, KFC dan perlbagai lagi makanan segera yang lain. Ah!!! Bentak hati Taufik.
Di hadapan Taufik berdiri seorang insan yang mulia. Insan yang melahirkan Taufik. Puan Suri sayu melihat keadaan Taufik yang serba tidak kena. Puan Suri menatap wajah si anak yang berkerut dahi itu. Dia rasa sedih melihat keadaan keluarganya juga yang terpaksa berdepan dengan kemiskinan. Semuanya gara-gara syarikat suaminya Encik Azan yang jatuh bankrap itu. Kini suaminya sudah muflis.
Setelah ubi keledek ditenung akhirnya membuatkan selera Taufik hancur. Dia sudah bosan. Dia sakit hati dan dia sungguh kesal kerana terpaksa melalui keadaan yang sulit ini. Taufik segera mengangkat beg sandangnya lalu berlalu laju kerana mahu ke sekolah. Dia benar-benar bosan dengan semua ini. Kawan-kawan di sekolahnya selalu mengejek sahaja. Asyik pakai baju yang sama dan kasut sekolah yang lusuh. Benci betul!
“Fik… Makanlah dulu…” Lirih nada Puan Seri meminta agar Taufik menjamah sedikit makanan itu. Puan Seri melihat tingkah laku anaknya itu yang seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan hidup. Sudah pasti dirinya sebagai ibu akan dipersalahkan oleh anak sendiri.
Taufik pula sudah jemu juga dengan masakan tengah hari. Bukan pada waktu pagi begini sahaja malah pada waktu tengah hari mesti nampak lagi ubi keledek dan ikan masin. Kadangkala bertukar pula dengan sayur kangkung. Telur goreng pun kadang-kadang sahaja dapat dijamah.
“Mama makanlah sorang-sorang! Taufik tak nak makan!” bentaknya sambil menyarungkan kasut sekolah lusuhnya itu.
Puan Suri menggeleng sahaja. Dia termangu sendiri. Puan Suri redha dengan semua ini. Hanya rumah ini sahajalah peninggalan ibu padanya iaitu nenek kepada Taufik. Mujurlah ada rumah yang hampir roboh ini menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh dari hujan dan panas.
***
Pagi yang tidak ceria. Hari-hari memang beginilah sikap Taufik. Bermurung sahaja biarpaun berada di dalam kelas. Dia tetap rindukan suasana di dalam kelasnya di kota. Penuhd engan kegembiraan. Dan yang paling penting dirinya sering menjadi perhatian pelajar-peljar perempuan yang lain kerana kekemasannya dan juga kebersihannya. Kini semua itu tenggelam dengan pakaian sekolah yang comot dan lusuh seperti ini. Ia bagaikan tak terjaga.
Taufik berasa sangat sedih dan kecewa yang begitu menghukum perasaannya sendiri. Perlahan-lahan Taufik melabuhkan punggungnya di kerusi. Kedua-dua belah tangannya diletakkan atas meja dan kepalanya pula dijatuhkan pada lengan. Hampa dan malu rasanya.
Tanpa sedar, ada tangan menarik sesuatu di atas kepala Taufik. Usai itu ketawa mereka pecah. Mereka ketawa menyindir dan mengutuk Taufik. Dia terpisat-pisat sendiri seraya teraba-raba atas kepalanya. Rambut palsunya ditanggalkan oleh orang lain. Taufik diusik lagi. Selalu benar rakan sekelasnya buat begitu. Ia bagaikan perkara yang begitu mengaibkan.
“Hei budak botak!” Taufik disergah dan mejanya ditepuk dengan kuat membuatkan dia terperanjat. Taufik terpisat-pisat memandang Haidir di hadapan mata. “Apa hal kepala kau botak, hah?” sinis Haidir budak nakal dalam kelasnya.
Taufik pelajar tingkatan dua itu mengecilkan anak matanya. Perasaan bengang membelit hatinya. Memang dah lama Taufik hilang sabar terhadap Haidir yang nampak macamlah bagus sangat. Si Haidir selalu saja menyindir Taufik, tidak kira di dalam kelas atau di mana sahaja seandainya terserempak dengan Taufik. Pendek kata hari-hari Taufik terpaksa berhadapan Haidir yang menjengkelkan itu.
Dia sedar kepalanya botak. Memang sejak kecil lagi tidak pernah wujud seurat rambut pun di atas kepalanya. Namun begitu Taufik tidak pernah menganggap ia sebagai satu keganjilan. Ia mungkin satu perkara normal tapi kalau dah botak sepanjang masa tu memang ia bukan perkara normal. Ramai lagi budak-budak lain yang botak di bandar besar. Mereka tidak kisah pun.
“Suka hati akulah! Kau sibuk kenapa? Bagi balik!!” Taufik membalas teguran itu dengan kasar dan meminta rambut palsu itu dipulangkan semula.
Haidir terasa tercabar mahu angkat tangan. Kemudian dihalang oleh Firdaus sambil menggosok dada Haidir. Taufik mengasak supaya dipulangkan semula barang miliknya itu.
“Sabar! Ini sekolah. Kita tunggu saja di luar, baru dia tahu langit tinggi atau rendah. Budak bandar kalau datang ke kampung memang berlagak. Kita kena ajar,” bisik Firdaus budak gemuk.
Tidak sesuai langsung Firdaus jadi nakal disebabkan wajahnya yang comel. Tapi jangan dinilai seseorang itu dari paras rupa tetapi lihat sahaja dari ragam dan sikapnya maka akan terlihat cermin hati. Mungkin Firdaus banyak dipengaruhi oleh Haidir yang memang pelajar yang sangat nakal di dalam kelas ini.
Haidir cuba bertenang. Semenjak budak Taufik ini pindah ke sekolah ini, dia rasa tercabar. Selama ini tiada siapa pun yang berani lawan cakapnya. Kini Haidir mula menyimpan dendam.
Taufik mengerling lantas buat tidak tahu. Dia segera mengeluarkan buku notanya kerana sekejap lagi Cikgu Aiman akan masuk kelas mengajar Subjek Matematik. Dia kurang suka matematik tapi lebih suka mengenai sejarah. Dia suka Cikgu Yan mengajar subjek Sejarah itu. Bersungguh dan sanggup memberi perhatian pada dirinya. Cikgu Yan macam pilih kasih pula.
***
Waktu rehat adalah waktu yang tidak berapa seronok. Kala budak-budak lain sibuk membeli makanan di kantin dia pula termangu sendiri di pondok. Merenung sahaja budak-budak yang lain lahap menjamu selera. Kala ini Diya datang mendekati Taufik. Diya merupakan salah seorang pelajar perempuan yang paling cun di sekolah ini. Wajahnya putih menggelepak itu bagikan susu.
Diya datang membawa sekeping roti.
“Awak nak makan?” Diya menghulurkan sekeping roti itu buat Taufik. Dia tahu bahawa Taufik tidak makan apa-apa.
“Aku tak nak makan! Kau jangan sibuk boleh tak?” sungguh kasar dan biadap sekali Taufik membalas niat baik Diya.
Tiba-tiba Diya tunduk. Tersentuh hatinya dengan ucapan taufik sebentar tadi. Dia sedih tengok keadaan Taufik yang sanggup kelaparan sebab tidak berduit. Bekal ubi kayu yang diberikan ibunya pada pagi tadi langsung dia tidak bawa. Malu rasanya.
“Kenapa awak berdegil? Kalau awak tak makan nanti perut awak masuk angin. Awak pelajar pintar jadi awak tahu kalau kita tidak makan, maka otak kita tidak mampu berfikir dengan waras,” Diya mahu Taufik berfikir.
Tiada angin tiada ribut, Haidir datang ke situ buat kacau. Dirampas roti itu dari tangan Diya.
“Kalau dia tak nak makan biar aku saja yang makan, nyum!” kata Haidir dengan sinis.
Firdaus pula senyum sumbing melihat Taufik berputih mata melihat roti berkenaan dimakan oleh Haidir. Taufik sebenarnya mahukan roti itu tapi egonya tinggi. Malu makan benda pemberian dari budak perempuan. Namun Haidir selamba sahaja.
***
Taufik berjalan kaki sendirian melalui kawasan semak samun. Memang perjalanan balik ke rumah agak jauh dari sekolah. Terpaksa menyusuri belukar. Memang sakit hati! Kalau di kota dia tidak perlu berdepan dengan semua ini. Tidak habis-habis Taufik membuat perbandingan itu.
Tidak semena-mena tangan Taufik direntap dari belakang. Taufik mengadu sakit kemudian menoleh. Tanpa banyak bicara satu tumbukan padu dilepaskan ke wajahnya. Berdarah hidungnya. Siapa lagi kalau bukan Haidir. Memang dia sudah bengang dengan Taufik.
“Apa ni?!” soal Taufik sambil mengusap hidungnya yang berdarah itu.
“Kalau kau anak jantan mari masuk,” cabar Haidir yang berlagak seperti ada ilmu persilatan. Taufik mula panas hati kerana Haidir pukul curi.
Firdaus hanya memerhatikan sahaja. Sebaik sahaja Taufik meletakkan beg sandangnya. Firdaus nampak ada seseorang di belakang Taufik. Budak botak juga seperti Taufik. Kembar agaknya. Tapi Taufik mana ada adik-beradik kembar. Dia anak tunggal. Firdaus lari lintang pukang sebab budak botak itu bertukar menjadi warna hijau!
“Toyol!!!” pekik Firdaus.
Haidir yang terkejut melihat Firdaus melarikan diri mula berasa curiga. Kenapa temannya itu tiba-tiba langkah seribu. Dia dengar Firdaus jerit ‘Toyol!’ mana ada toyol.
‘Ah! Lantaklah yang penting aku nak ajar si Taufik ni cukup-cukup,’ katanya dalam hati.
“Cepat lawan! Apa kau tercegat lagi!” kata Haidir berwajah garang.
Tiba-tiba sahaja dia nampak Taufik jadi dua orang. Dua budak botak sedang mengangkat penumbuk. Terpisat-pisat Haidir jadinya. Kenapa boleh jadi begitu. Segera dia menggosok biji matanya dengan siku jarinya berkali-kali. Keadaan masih juga sama. Adakah Haidir mula rabun? Dia sendiri tidak tahu.
***
Di atas tikar mengkuang dia jatuhkan tubuh terbaring keletihan. Dia menggosok hidungnya perlahan namun masih terasa sakit. ‘Kurang ajar betul kau Haidir! Aku tak cari fasal dengan kau! Kau cari hal dengan aku! Betul-betul tempah maut!’ desis hatinya.
Puan Suri melihat wajah Taufik yang mengalami kecederaan. Tertusuk di hati merasakan anaknya berkelahi.
“Kali ini dengan siapa kamu bergaduh?” soal Puan Suri.
“Apa yang mama merepek ni?” balas Taufik dengan laju.
“Cakap!” marah Puan Suri. Dia tidak gemar mendengar anak lelakinya bergaduh.
“Mana adalah mama! Mereka cari fasal dengan Fik tapi Fik sikit pun tak melawan pun cuma Fik hairan kenapa mereka lari lintang pukang,” ucap Taufik.
Si anak lelaki itu menceritakan dari A sampai Z. Puan Suri terjegil biji mata. Dia mengeluh sahaja nampaknya. Taufik garu kepala dan kemudian bertanya lagi.
“Ma! Kenapa Fik tak ada rambut?” tiba-tiba Taufik menyoal.
Puan Suri diam.
“Ma! Fik tanya ni! kenapa kepala Taufik tak tumbuh rambut? Dari dulu sampai sekarang Taufik tertanya-tanya kenapa! Masa di bandar Taufik kena pakai rambut palsu! Rimaslah mama?!” Taufik menekan ibunya.
Puan Sufi terus melangkah ke luar sebaik sahaja mendengar suaminya memberi salam. Awal pula suaminya pulang dari kebun. Mungkin sudah selesai kerja agaknya.
“Papa dengar Taufik kena pukul, betul ke?” soal Encik Azan.
Taufik jadi pening! Cepat benar berita ini tersebar. Baru sekejap tadi perkara itu berlaku. Taufik terus bangun bersandar setelah dia berbaring tadi.
“Dari mana papa dengar?” soal Taufik kaget.
“Jangan ditanya dari mana papa tahu, sekarang papa nak dengar dari mulut anak papa sendiri. Betul ke?” Encik Azan menyoal lagi sambil mengesat peluhnya.
Taufik diam lalu mengangguk. Dia takut dimarahi papanya walaupun selama ini papanya tidak pernah pun menjentiknya. Begitu juga dengan Puan Suri yang menatang Taufik bagai minyak yang penuh.
***
“Tidak!!!” pekik Taufik dalam bilik.
Dia terkejut ada budak botak tepi katilnya. Dari mana datangnya budak botak yang seperti wajahnya. Taufik menjerit lagi sekuat hati. Kali ini dia benar-benar takut.
Puan Suri cepat-cepat meluru ke bilik Taufik. Saat ini jam sudah pukul 1 pagi. Encik Azan juga terjaga dari lena tatkala mendengar jeritan itu.
Pintu bilik Taufik dikuak dan Puan Suri terlihat Taufik menggigil ketakutan. Encik Azan pula baru sahaja tiba di bilik Taufik. Dengan melemparkan pandangan panik.
Tidak berapa lama kemudian, Taufik tersengih sendiri. Sudah tidak betul lagaknya. Dia menoleh dengan pandangan yang sangat romantik terhadap Puan Suri. Kemudian dia menoleh pula pada Encik Azan.
“Hai mama dan papaku… sudah lama kita tidak bertemu…” ucap Taufik yang seperti dirasuk.
Puan Suri dan Encik Azan berpandangan sesama sendiri. Hairan benar dia melihat sikap Taufik.
“Ooh! Sekarang ni kau datang lagi! Kenapa kau datang ke sini?!” tiba-tiba sahaja Encik Azan bersuara.
Puan Suri kehairanan. Kenapa suaminya berucap sedemikian. Nampaknya si suami mengenali siapakah gerangan makhluk yang sedang merasuk itu.
“Siapa dia?” Puan Suri menyoal deras bersama bulu roma yang menegak. Tidak sanggup lagi melihat gelagat Taufik yang mahu menerkamnya.
Serta-merta pintu rumahnya terbuka luas. Haji Salih berdiri di muka pintu. Dia dapat merasakan kehadiran benda yang diburunya. Dia terpaksa memasuki rumah itu tanpa izin kerana dia tahu keluarga Encik Azan dalam kesusahan.
Kehadiran Haji Salih tepat pada masanya. Dia terus melangkah ke bilik Taufik. Puan Suri terpisat-pisat. Dia sendiri tidak menyedari akan kehadiran orang tua itu.
Taufik pula memang selalu meluahkan apa yang pernah dia lakukan sebelum ini pada Haji Salih. Haji Salih seorang yang berilmu tinggi.
Sebaik Taufik melihat kelibat Haji Salih, dia seperti mahu lari sahaja tapi dia tidak dapat berbuat sedemikian. Dirinya bagaikan dirantai dengan bacaan ayat suci.
“Tok Haji! Selamatkan anak saya tok!” ucap Encik Azan.
Puan Suri pula menanti dengan penuh debaran saat garam ditaburkan oleh Haji Salih. Kemudian dibaca sepotong ayat dari kitab suci lalu ditaburkan pula dengan beras pulut.
“Arghh!!!” Taufik meronta kepanasan. Dirinya bagaikan terbakar.
Haji Salih yang berdiri dekat dengannya mula mendepakan tangan. Selepas itu dikeluarkan sebiji botol lalu ditarik kuasa itu keluar dari badan Taufik untuk dibawa masuk ke dalam botol.
“Jangan melawan!” ucap Haji Salih setelah mendapati kuasa dari badan Taufik melawan.
“Pergi! Jangan ganggu aku!” kata Taufik bersuara kasar walaupun baru berusia 14 tahun.
Setelah berjuang kini Haji Salih memperoleh kemenangan. Makhluk tersebut berjaya dikeluarkan dari badan Taufik. Budak lelaki itu lemah dengan tiba-tiba.
Puan Suri tidak tahu yang selama ini Encik Azan tidak jujur dalam melaksanakan kerjanya. Kekayaan yang dimiliki selama ini adalah hasil dari pekerjaan toyol. Maka dengan itu segala harta ditarik balik oleh ALLAH SWT di atas kekufuran hamba-hamba-NYA.
Encik Azan sudah lama bertaubat. Semoga ALLAH ampuni dosa-dosa lampau dirinya. Dia tidak putus-putus berdoa dan memohon pada ALLAH supaya diberikan kesejahteraan hidup dalam keluarganya.
Taufik kini tidak lagi diganggu oleh budak botak sepertinya. Kawan-kawan yang lain pula seperti takut dengannya. Namun perkara itu tidak berlarutan kerana ada keajaiban yang berlaku. Kini, kepala Taufik sudah ditumbuhi rambut. Dia kembali normal.
~habis daaaa~
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)