Entri Terkini :

Dia Yang Dinanti (Bab 6)

Pintu bilik Sharif telah diketuk beberapa kali namun tiada respons. Kemungkinan Sharif masih belum terjaga dari lena. Muzri menoleh jam di dinding yang menunjukkan pukul lapan pagi. Selalunya Sharif lebih dahulu bangun berbanding Muzri tetapi hari ini kelewatan jelas terasa.
“Arif! Bangun.” Kejut Muzri.
Apa yang dibuat Sharif pada malam tadi? Sewaktu Muzri pulang ke rumah selepas berjumpa dengan Zyla, Sharif belum lagi berada di rumah. Barangkali dia pulang lewat pagi. Oleh sebab pulang lewat maka berjaga juga akan lewat. Sharif mungkin belum bangkit.
“Ikut suka hati kaulah Arif! Jangan kau salahkan aku tak bangunkan kau.” Muzri terus menyusun langkah meninggalkan pintu bilik Sharif. Muzri bersiap ke tempat kerja. Maka Tinggallah Sharif yang dianggap masih di dalam bilik kekal lena diulit intan.
Muzri memerhati kereta Sharif, tidak ada rupanya. Awal pula Sharif keluar ke tempat kerja. Seminggu Muzri perhatikan Sharif pergi kerja naik pengangkutan awam. Mungkin hari ini ubah keinginan.
Muzri mengeluarkan telefon bimbit dari kocek dan terus jari-jemari rancak menekan butang pesanan. Butang-butang itu ditekan menyusun ayat.
Kau pergi kerja tak bangunkan aku pun! Aku fikir kau ada dalam bilik.
Pesanan itu terus dikirimkan kepada nombor telefon bimbit Sharif. Mati-mati Muzri fikir Sharif ada dalam bilik. Adakah Sharif tidur di rumah memandangkan kelibat Sharif malam tadi tidak ada? Muzri tertanya-tanya.
Aku ada hal.’ 
Akhirnya Muzri menerima kata balas daripada Sharif.
***
Dia tidak ke tempat kerja tetapi sibuk mencari orang lain. Awal pagi tadi dia keluar dari rumah, lebih awal daripada biasa biarpun dia kurang tidur pada malam tadi. Hanya beberapa jam sahaja dia pejamkan mata kerana hatinya tidak tenang. Apa sudah jadi dengan Sharif? Ke hulu dan ke hilir mencari gadis idaman. Sungguh luar biasa rasa itu muncul. Sudah lama dia tidak bersua dengan Fara. Ke mana Fara pergi? Jam sebelas pagi, Sharif memang tidak ke pejabat. Kalau dia berterusan begini di masa akan datang, rekodnya pasti buruk dan kebarangkalian dia mendapat surat amaran akan lebih tinggi. Bonus pula akan hilang begitu sahaja.
Dia sendiri tidak tahu di mana Fara bekerja. Dia ingin juga mencari gadis itu sampai dapat. Tiada langsung petunjuk yang memberitahu di manakah rumah Fara. Di terminal LRT Putra Wangsa Maju Sharif menanti. Dia tunggu di dalam perut kereta memerhatikan setiap penumpang keluar dan masuk. Dia tercari-cari kelibat Fara. Sepanjang hari dia berada di situ. Dia kesal kerana tidak memiliki nombor telefon gadis berkenaan. Fara pernah memberitahunya bahawa dia tidak memiliki telefon bimbit. Kalau dia tak ada telefon bimbit, di sini aku nak berikan dia sebuah telefon bimbit, ucap hati Sharif.
Sepanjang hari Sharif menunggu di situ. Makan dan minumnya entah di mana. Sanggup dia mengorbankan waktu gara-gara ingin bertemu dengan gadis bernama Fara. Satu pengorbanan yang tidak terjangka.
Telefonnya berbunyi. Zyla menghubungi Sharif tetapi dia tidak menjawab panggilan itu. Dia tidak ingin diganggu. Encik Syamsul pula berkali-kali menelefonnya namun Sharif buat tidak tahu sahaja. Esok gerenti dia akan dimarahi. Matilah macam ni tapi selagi Fara tidak ditemui semua ini takkan selesai, nekad Sharif.
“Arif!” Namanya diseru.
Cermin tingkap keretanya diturunkan. Dia melihat kawannya ada di situ. Kenapa pula Muzri ada di sini? Sepatutnya dia terus balik rumah selepas waktu kerja? Sharif membulatkan biji matanya seluas-luasnya. Kalau Muzri tahu dia menanti kelibat seseorang nanti semua ini akan musnah. Muzri rapat dengan Zyla. Sukar untuk dia berdalih lagi.
“Macam mana kau tahu aku ada dekat sini?”
“Kau tak pergi kerja ke?”
Biarlah, kenapa dia ni sibuk sangat? Bukannya selalu pun. Sharif keluar dari perut kereta dan berdiri dekat sebelah Muzri. Telefon bimbit di tangan terus dimasukkan ke dalam poket. Sharif sebenarnya takut tembelang akan pecah. Dia juga tahu Muzri mudah menangkap keganjilan.
“Aku nampak kereta kau masa aku hantar kawan sekerja aku balik rumah dia tadi. Kereta dia masuk workshop. Jadi lepas hantar dia, aku terus ke sini.” Muzri melonggarkan ikatan tali leher.
Sharif diam memandang ke lain arah. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan. Alasan apa lagi yang perlu diberi. Muzri akan banyak tanya itu dan ini. Memang Muzri suka bertanya. Selagi tiada jawapan yang diberikan selagi itu kawannya itu akan bertanya. Dia khuatir rahsianya akan dikorek walau ke lubang cacing sekalipun.
“Zyla jumpa aku malam tadi, dia tanya fasal kau.” Ujar Muzri.
Tanya fasal aku? Pelik ni. Sharif berkerut dahi. “Dia nak apa?”
“Dia tanya kenapa kau bersikap pelik.” Kata Muzri.
“Apa yang peliknya?”
“Kau suruh dia pakai baju kurung.”
“Eh, salah ke?”
“Kau paksa dia kan? Kau dan dia kan dah lama kenal, kalau kita cintakan seseorang kita tak boleh mengubahnya dengan cara begitu. Sampai bila kau nak bahagia?” Muzri menyeluk kedua-dua belah tangan ke dalam poket.
“Kau jumpa aku dekat sini semata-mata nak beritahu fasal tu? Tak boleh ke tunggu aku balik rumah baru bincang.” Sharif memberi alasan. Padahal dia ingin mengelak.
“Bagaimana dengan aurat? Jika dia ditakdirkan menjadi isteri aku, sekiranya dia berdegil dan tidak mengendahkan tentang aurat itu haram didedahkan maka aku yang tanggung dosanya.”
“Tugas suami adalah mendidik isteri, Arif.” Pandainya dia cakap, tak kena batang hidung sendiri. Sharif melangkah ke hadapan, di situ terdapat bangku. Setibanya di situ dia menghempas punggung. Muzri membuntuti langkah Sharif.
Sharif diam.
“Aku tak faham dengan kau ni. Selalunya kau tak pernah macam ni.”
“Muz, kau janji dengan aku, walau apa pun yang terjadi dalam perhubungan di antara aku dan Zyla kau akan tetap sokong aku.”
“Macam mana aku nak sokong kau sedangkan aku sendiri pun tak tahu hujung pangkal. Apa yang aku tahu kau beritahu aku tentang Zyla yang banyak berubah. Arif, Zyla sayangkan kau. Selama ni pun dia tak pernah lupakan kau cuma kau aje yang nampak macam nak mengelak dari dia. Tadi dia hantar mesej dekat aku. Dia kata kau tak angkat call dia. Apa cerita ni Arif?” Ujar Muzri sambil duduk di sebelah yang Sharif termenung sejenak. Akhirnya Sharif mengeluh sarat. Muzri takkan faham apa yang dia inginkan.
“Cuba kau pandang sekeliling kau sekarang ni.” Sharif meminta Muzri melihat keadaan sekeliling.
“Ya, kenapa?” Soal Muzri seraya menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada apa-apa pun yang ganjil.
“Kau tak nampak ke?”
“Apa yang kau merepek ni?”
“Kau lihat gadis-gadis yang sedang melintas depan kita ni.”
“Budak perempuan dengan kawan-kawannya.”
“Ya.” Sharif mengangguk. “Yang tu?” Sharif menunjukkan pula ke arah yang lain.
“Wanita sedang dukung anak kecil.” Beritahu Muzri.
“Ada persamaan dengan mereka.” Kata-kata Sharif menghairankan Muzri.
“Sekarang aku faham apa yang kau maksudkan.” Agak lama juga Muzri cuba mentafsirnya kerana perkara ini agak menyulitkan.
Sharif bangun semula dan dia melangkah ke arah keretanya yang diparkir tidak berapa jauh. Dia meninggalkan Muzri terpisat-pisat di bangku. Muzri menggeleng perlahan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.