Entri Terkini :

Dia Yang Dinanti (Bab 4)

Berjumpa dengan Fara adalah tujuan. Ingin melihat gadis itu berada di hadapan mata. Keayuan Fara menyebabkan sekeping hati sang lelaki bernama Sharif tergoda. Itulah, baginya Fara adalah gadis Melayu yang terakhir. Sukar dicari ganti. Zyla pula tidak mahu kelihatan seperti itu. Usahlah dipesan, buat pun tak mahu.
Kelembutan yang dipamerkan Fara adalah faktor menyebabkan Sharif begitu mendambakan gadis sepertinya. Kenapalah Zyla tidak sepertinya? Permintaan hati inginkan kesempurnaan bukan ada pada setiap gadis. Sharif sememangnya tidak boleh samakan Zyla dengan Fara. Fara kelihatan begitu sempurna di mata Sharif.
Hadiah yang sepatutnya diberikan kepada Fara terlepas ke tangan orang lain. Bayangkanlah Zyla ingatkan hadiah itu diberikan khas dan istimewa namun sebenarnya tiada sedikit pun niat Sharif untuk memberikannya kepada Zyla. Semua itu kerana terpaksa.
Kereta Proton Pesona dipandu perlahan. Dalam kotak fikiran bermacam-macam bayangan menjelma. Salahkah aku mengimpikan gadis sepertinya? Sharif bertanya sendiri. Adakah hati Fara sudah dimiliki? Sharif tidak tahu. Dia menggigit jarinya sendiri dan tangan yang satu lagi memaut pada stereng kereta. Kenderaannya berhenti di lampu isyarat merah. Termenung dia seketika. Ketika ini dia dalam perjalanan menuju ke Central Market. Keadaan lalu lintas agak lengang sedikit memandangkan hari hujung minggu tidak seperti hari-hari yang lain.
“Fara? Kecantikan kau membuatkan jantung aku berdetak kencang. Payah sungguh.” Omel Sharif. Cintakah ini? Cinta pada si gadis yang asli. Bukannya gadis yang mengejarkan mutu fashion zaman moden seperti Zyla. Mengapa jelas perbezaan ini? Alangkah bahagia sekiranya cinta pada keikhlasan akan memberikan seribu pengertian. Harap-harap Fara mengerti suatu hari nanti.
Lampu merah bertukar warna. Sharif meneruskan perjalanan. Mahu cepat sampai. Waktu tengah hari mula terik. Dia menambah kelajuan. Sesudah lima belas minit dia selamat tiba tempat parkir kereta berbayar berhampiran dengan Central Market. Dia keluar dari perut kereta selepas memerhatikan wajahnya pada cermin pandang belakang. Membetulkan sedikit rambut agar kelihatan kemas. Sejambak bunga dikeluarkan. Bunga ros merah mewakili hati. Tindakan terburu-burukah itu? Di situkah dia ingin meluahkan rasa cinta yang terpendam atau sekadar pemberian semata-mata?
Langkahnya perlahan bersama perasaan gementar. Bunga masih dipegang. Dia melihat kiri dan kanan sebelum melintas jalan. Mohon di hati Fara mengerti. Beberapa minit dia tiba di hadapan kedai kraf tangan. Dia berdiri di situ. Di cari kelibat Fara namun tiada. Mana pula Fara pergi.
“Tumpang tanya, mana Fara?”
“Fara dah berhenti kerja.” Jawab pekerja baru.
“Berhenti kerja? Bila?”
“Semalam. Saya gantikan tempat dia.” Beritahu pekerja perempuan yang baru itu. Sharif berasa begitu kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan Fara. Apa yang dia tahu Fara akan menaiki LRT Putera pada setiap pagi bermula dari Wangsa Maju. Dia tak pernah tahu di mana Fara tinggal. Sri Gombak dan Wangsa Maju tidak jauh. Bagaimana untuk dia mencari Fara?
“Awak tahu kenapa?”
“Dia kata dapat kerja baru.”
“Awak tahu dekat mana?”
“Saya pun tak pasti, itu sahaja yang dapat saya beritahu.” kata pekerja itu.
“Terima kasih.” Sharif menyusun langkah bersama perasaan hambar. Riak wajahnya terpamer rasa kecewa. Sekeping rasa yang begitu hampa sekali.
***
“Geramnya!”
“Kenapa ni?”
“I nampak Arif beli bunga. I yakin dia nak berikan pada seseorang. Siapa perempuan tu? I rasa you tahu siapa perempuan tu kan Muz?” Zyla menduga. Zyla menghempas punggungnya di kerusi.
Sorry Zyla, I don’t know. Lagipun Arif tak pernah cerita dekat aku dia ada perempuan lain selain kau.”
Zyla berjumpa Muzri dekat restoran Mamak pada malam hari sekitar jam sembilan dua puluh lima minit. Zyla ingin kepastian maka Muzri tempat dia bertanya. Tiada apa yang dapat diceritakan oleh Muzri kerana Sharif sejak kebelakangan ini terlalu banyak berahsia.
“You nak menyorok sesuatu daripada I kan?” Zyla tidak percaya.
Seriously Zyla. Aku tak berbohong.” Ujar Muzri. Zyla yang memakai skirt duduk bersilang kaki pula.
“Takkan you tak pernah tahu selama ni dengan siapa dia keluar? You kan housemate dia. Patutlah call I pun dia tak jawab.” Ujar Zyla tidak berpuas hati dengan jawapan Muzri.
“Apa yang aku tahu, Arif dah banyak berubah. Pernah juga aku tanya apa masalah dia tapi tak ada pulak dia nak cerita. I’m sorry Zyla because I can’t help you. Dalam soal ni hanya kau dan dia sahaja yang dapat selesaikan. Aku tak nak kacau daun.”Awal-awal lagi Muzri beritahu Zyla untuk tidak campur tangan.
“Boleh saya ambil pesanan?” Pelayan restoran bertanya setelah Zyla sudah duduk di meja makan. Dah lama aku duduk baru datang nak ambil order? Menyampahnya. Zyla jeling mata.
Muzri tersenyum pada pelayan itu. Senyuman manis dihadiahkan.
I want orange juice.” Beritahu Zyla mengerling mata lagi. Memang tak paus hati agaknya dengan pelayan itu. Dari tadi dipandang lama.
“Coke.” Kata Muzri pula.
“Nak makan apa?”
“Apa yang special dekat sini?” Soal Zyla agak macam berlagak sedikit. Memanglah si gadis metropolitan, mana ada kisah tentang soal duit ni. Makanlah apa sahaja, soal pembayaran pula, kredit card kan ada. Tapi restoran macam ni ada ke menyediakan pembayaran secara credit card? Kenapa tak ada logo Master Card pun dekat dinding? Gerenti tak ada.
“Ikan bakar.” Jawab pelayan. Zyla meminta ikan bakar. Muzri masih tersengih-sengih. Tinggi pula selera Zyla pada malam ini. Barangkali rindukan ikan bakar Malaysia.
Usai membuat pesanan, Zyla memandang lama si pelayan itu. Teringat dia akan kata-kata Sharif tentang gadis berbaju kurung. Tiadalah cantik sangat kelihatan gadis berbaju kurung, fikir Zyla. Kenapa Sharif begitu teruja dengan gadis berbaju kurung? Apalah istimewa sangat tentang gadis berbaju kurung? Zyla menjuih bibir.
“Kenapa kau buat muka macam tu?”
‘Tak ada apa-apa. Saja je.” Kata Zyla.
Perasaan Zyla terus berubah setelah melihat gadis yang berbaju kurung. Pandangannya juga terlalu negatif. Baju kurung tidak sesuai dengan peredaran zaman sekarang ini. Tambah lagi bekerja di restoran seperti ini. Hanya gadis itu sahaja pekerja yang berbaju kurung. Boleh pula Zyla bertemu dengan gadis yang masih berbaju kurung bekerja di kota ini. Ia nampak terlalu kolot. Berbaju kurung sesuai dengan gadis kampung sahaja.
Gadis yang dilihat Zyla itu memang ayu bersama tudung, sedangkan auratnya terdedah. Baju kurung itu menutup tubuh gadis itu. Tidak langsung kelihatan bentuk susuk tubuh. Fikir Zyla lagi, apalah gunanya memiliki potongan badan yang cantik jika hanya dikurung oleh baju seperti itu. Kecantikan haruslah dibanggakan dan dipersembahkan agar mata yang memandang akan cair.
“Tapi aku tengok kau dari tadi perhatikan perempuan tu, ada apa-apa yang tak kena ke?” Soal Muzri yang perasan dengan cara Zyla pandang gadis itu.
Zyla terus berkelip mata dan memandang Muzri yang segak berbaju t-shirt berkolar berkotak-kotak. Muzri menyikat rambut di situ. Zyla berkerut dahi.
“Sharif nak I berpakaian sebagaimana gadis itu berpakaian.”
“Kau kenal ke perempuan tu?”
No-lah! Maksud I, Sharif nak I pakai baju kurung.” Kata Zyla menjeling mata sungguh tidak berpuas hati seraya Murzi ketawa terbahak-bahak. Mungkinkah lucu sekiranya melihat Zyla berbaju kurung pula selepas ini? Agak mustahil kerana Zyla gadis moden. Mahukah dia berpakaian seperti itu?
“You perli I ke?”
“Aku tak perli kau Zyla tapi aku rasa pelik dengan sikap Arif tu kenapa tiba-tiba minta kau pakai baju kurung?” Ujar Muzri dengan wajah berona merah akibat terlebih ketawa.
Tawa Muzri masih lagi berbaki setelah mendengar ucapan Zyla sebentar tadi. Sukar untuk dipercayai Sharif berubah minat sampai begitu sekali. Muzri tahu Sharif lelaki yang bagaimana tetapi jika minat sudah berubah dalam sekelip mata agak memeranjatkan juga. Muzri tidak menyangka atau mungkin juga Sharif ingin menguji Zyla.
Sharif, dia pernah beritahu Muzri tentang hal Zyla yang jauh berubah. Di mata Muzri, Zyla macam biasa sahaja, setakat berpakaian mahal sudah menjadi style anak orang berada. Tiada masalah tentang hal itu cuma masa yang pantas berlalu mampu mengubah sikap.
Tidak berapa lama selepas itu pelayan tadi tiba. Pelayan itu meletakkan minuman di atas meja dengan perlahan-lahan. Zyla masih memerhati pelayan itu.
“Air apa ni?”
Orang juice.”
“Bila I order air ni?” Zyla seperti sengaja melagakan angin.
“Tadi cik order orange juice.” Jawab pelayan itu.
No! I order apple juice. You pekak ke?” Agak pedas kata-kata Zyla itu.
Muzri memuncungkan mulut melihat cara Zyla. Muzri dengar sendiri Zyla memesan jus oren. Kenapa tiba-tiba Zyla menegakkan kepalsuan? Dia ni apa hal? Muzri tidak menyangka.
“Baiklah cik, saya tukar.” Balas pelayan itu dengan lembut sekali. Riak wajah yang tenang dipamerkan. Pelayan itu terpaksa mengambil semula minuman itu dan diletakkan di atas tray.
“Kau ni kenapa Zyla? Kau memang order orang juice pun.”
I know.” Jawab Zyla tersenyum sinis.
Muzri menggeleng.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.