Entri Terkini :

Dia Yang Dinanti (Bab 2)

Tangannya bersilang rapat dan pandangan jauh dilemparkan ke dada malam. Termenung dirinya di situ memikirkan apa yang berlaku semalam. Muzri datang mendekatinya. Kawannya itu berdiri di sebelah sambil menggeleng. Teman serumahnya itu memang rapat dengannya sejak di bangku sekolah lagi sehinggalah mereka berdua berusia dua puluh lima tahun. Setiap masalahnya sering kali dirujuk kepada Muzri dan kawannya itu tidak pernah bersikap lepas tangan malah sentiasa menolong cuma masalah ini tidak pula dia bercerita kepada Muzri. Muzri lelaki yang berkulit hitam manis itu selalu membantu Sharif di dalam susah dan senang.
Bukannya dia tak mahu tapi rasa payah. Butir-butir resah itu sukar dimuntahkan melalui kata-kata. Hanya perasaannya sahaja yang rajin berusaha meleburkan segala-galanya walaupun memakan masa yang lama.
“Kenapa dengan kau ni Arif?” Muzri menepuk bahu Sharif perlahan-lahan. Lambat-lambat Sharif menoleh ke arah Muzri.
“Aku bosan.” Katanya.
“Tak ada maknanya kau cakap bosan. Itu hanya alasan kau tak nak cerita. Kau dah pandai berahsia dengan aku ke? Dari balik kerja tadi sampai sekarang muka kau tak ubah macam ayam berak kapur kau tahu.” Balas Muzri berbaju Melayu berkain pelekat. Kawannya itu baru lepas solat Isyak.
Dia ni memandai aje, pantang tengok aku termenung sikit, Sharif menarik nafas.“Aku nak solat Isyak dulu.” Sharif belum solat lagi. Dan sekarang dia melangkah masuk ke dalam meninggalkan Muzri tertanya-tanya.
Banyak perkara yang berlegar di benaknya sehingga semuanya jadi tidak tenteram. Biarlah dia menunaikan kewajipannya terlebih dahulu. Dengan solat dan berdoa kepada Tuhan mampu menenteramkan jiwanya nanti. Insya-Allah.
***
“Mee goreng. Buat sedap-sedap.” Muzri membuat pesanan setelah ditanya oleh pelayan. “Kau nak makan apa Arif?” Soal Muzri kepada Sharif pula yang dari tadi termenung.
Sharif diam. Tidak perasan agaknya.
“Kau dengar tak apa yang aku tanya ni?” Muzri mengeraskan sedikit nadanya agar Sharif memberikan perhatian. Pelayan di restoran masakan panas masih menunggu dengan senyuman. Begitulah sepatutnya layanan yang perlu diberikan, tidaklah membuatkan perasaan pelanggan hambar berhadapan dengan pelayan. Sikap ramah dan mesra mesti dipersembahkan agar mutu perkhidmatan berada di tahap yang memuaskan. Usahlah bersikap panas atau mudah berkecil hati lalu menunjukkan sikap tidak baik kepada pelayan. Faktor kebersihan juga perlu diambil kira. Semua itu adalah sangat penting.
“Eh, kau bercakap dengan aku ke?” Sharif baru berpijak di alam yang nyata. Entah ke mana sahaja mindanya terbang sebentar tadi sehinggakan Muzri seperti bercakap dengan tunggul sahaja.
“Takkan aku bercakap dengan kerusi pulak? Orang datang ambil order ni… kau nak makan apa?” Muzri memuncungkan mulut.
Sharif terpisat-pisat sendiri. Nampaknya keadaan Sharif menjadi-jadi sekarang ni. Dia seolah-olah sedang berkhayal terlalu jauh. Sampai ke bulan.
“Oh, bagi saya burger satu.” Pinta Sharif pada pelayan itu. Si pelayan itu berkerut dahi, mana ada burger dekat restoran ini.
“Kau ni kenapa Arif? Mana ada burger dekat sini.” Muzri mencelah.
“Laa… aku nak makan burger, kalau tak ada tak apalah… bagi saya roti canai telur satu.”
“Masakan panaslah Arif.” Muzri garu kepala.
Pelayan lelaki itu hanya mampu tersenyum sahaja di atas permintaan Sharif yang bukan-bukan. Fikiran Sharif masih kusut sehingga terbawa-bawa ke restoran pula. Sikap menggelabah semakin menjadi-jadi.
“Okay-okay, tomyam campur. Minum air suam.” Pesan Sharif. Pelayan itu mencatat pesanan Sharif dan kemudiannya beredar dari meja makan itu.
Muzri memandang Sharif lama. Sharif membulatkan biji matanya.
“Apa?”
“Kau tak sihat ke? Aku tengok kau ni macam dah tak betul, sekejap order burger, sekejap roti canai walhal kau tahu aku ajak kau makan dekat restoran masakan panas. Masa dalam kereta tadi pun kau mengelamun je.  Risau aku kalau kemalangan. Aku malas lah nak tegur nanti kau kata aku busy body pula. Tapi sekarang ni aku patut tahu kerana aku tak nak kawan aku ni masuk hospital gila pulak nanti.”
“Kau ni ke situ pulak.”
“Selama ni kau tak pernah pendam masalah kau. Kau ada masalah dengan kerja ke?”
Sharif menggeleng kerana dalam soal kerjanya dia tak ada masalah memandangkan Encik Syamsul bosnya sejak berumah tangga sudah bermulut manis. Tidak lagi marah-marah pada staff sendiri. Susah bekerja di bawah telunjuk orang yang selalu panas baran tapi mujurlah Encik Syamsul sudah banyak berubah.
“Habis tu? Kau bermasalah dengan Zyla? Takkan tak selesai lagi kut? Dia kan akan balik Malaysia tak lama lagi?” Muzri sengaja menduga.
Aku tahu dia akan balik, tak payah ingatkan aku pun tak apa. Bukan penting sangat. Dia pun tak kisah pun aku macam mana dekat sini. “Tapi aku tengok dia dah banyak berubahlah. Tak sama macam dulu.” Sharif mengeluh mempamerkan wajah yang risau.
“Orang tu ikut family tinggal dekat UK. Tapi dia dekat sana dia tak pernah lupakan kau pun. Selalu call kau, apa lagi yang kau fikirkan ni? Kau tengok dia dekat mana?” Muzri membetulkan kedudukan.
Sharif berkerut dahi.
“Dalam Facebook. Banyak foto-foto dia masa dekat sana di upload. Dia memang tak pernah lupa untuk tag aku tapi yang aku kesalkan dia benar-benar berubah.” Sharif meluahkan tentang hal itu namun bukan itu yang sebenarnya perkara yang paling kuat menikam kalbu. Masih terdapat perkara yang lebih utama.
“Aku tak faham. Berubah macam mana?” Muzri ingin tahu. Kata-kata Sharif itu menampakkan bahawa dia tidak sukakan Zyla.
“Dia makin seksi.” Luah Sharif. Tapi memang betul pun. Aduhai, Zyla oh Zyla.
Ha ha ha. Aku tak rasa tu sebabnya. Bukan ke kau ramai awek? Semua awek-awek kau semuanya seksi-seksi kan? Kalau Zyla tahu kau curang, aku rasa pasti kau kena ganyang nanti.” Muzri cakap ikut sedap mulut, itu Sharif yang dulu, bukan Sharif yang sekarang ni. Sharif dah tak nak berfoya-foya lagi. Zaman tu biarkan berlalu, masa tu baru belasan tahun sekarang ni dia menuju ke alam dewasa dan ingin berumah tangga macam orang lain. Ada anak, ada keluarga sendiri.
“Aku pun tak rasa dia setia dengan aku.” Sharif memikirkan hal yang bukan-bukan. Setia atau tak kena selidik dulu, kan? Sharif merasakan yang sedemikian, tak boleh nak salahkan dia dalam soal ni. Sharif ada pendiriannya sendiri.
“Ada pulak fikir macam tu. Kalau kau nak orang setia dengan kau, kau kena setia dulu.” Memandai-mandai saja Muzri menasihatkan Sharif dalam bab kesetiaan, bagaimana dengannya? Kekasih pun tak ada. Ada hati nak ajar Sharif. Apa-apa pun Sharif menerima dengan logik akal.
Dia ni nak ajar aku pulak, Sharif menjuih bibir seraya Muzri tersengih-sengih seperti menyindir sahaja. Maklumlah selama ini Sharif selalu berfoya-foya. Memang silap dirinya juga kerana tidak jujur dalam cintanya terhadap Zyla. Tapi, Sharif tidak pernah menyerahkan sepenuh hatinya pada Zyla melainkan Zyla yang sering kali melafazkan kata rindu di hujung talian mahupun dalam komen di Facebook.
“Minta sedekah encik,” tiba-tiba perbualan mereka terhenti gara-gara peminta sedekah berdiri dekat meja sambil menghulurkan bekas. Tanpa berlengah lagi Sharif memasukan wang kertas ke dalam bekas itu selepas diambil dari dalam kocek seluar denimnya.
“Terima kasih.” Ucap peminta sedekah itu yang berpakaian comot dan buta sambil dipimpin oleh seorang pembantu. Selepas itu tisu yang berada di dalam plastik dihulurkan. Sharif mengambilnya. Mulia sungguh hati Sharif membantu golongan yang memerlukan.
***
Seat belt ditarik dan gear dimasukkan, kemudian pedal minyak ditekan perlahan. Mereka meninggalkan restoran untuk pulang dengan sebuah kereta Proton Pesona berwarna putih. Jam sekitar sebelah malam itu masih terlalu muda namun mata Sharif sudah mengantuk. Barangkali otaknya sudah letih berfikir. Muzri yang berada di sebelah tempat duduk pemandu itu memandang Sharif.
“Kau kenapa tak makan tom yam tadi?” Murzri bertanya kerana Sharif membazir pula. Sharif malas hendak panjang cerita. Biarlah sahaja lagipun seleranya tiba-tiba hilang.
“Diam pulak.”
“Erm, malam ni last aku pergi restoran tu.” Ucap Sharif berkerut dahi. Ucapan Sharif itu membuatkan Muzri tertanya-tanya. Hairan dengan sikap Sharif.
“Tapi dekat situ kita selalu makan kan?”
“Aku kata last, so aku takkan jejak kaki lagi ke situ.” Tegas Sharif.
“Parah bunyinya. Kau bergaduh dengan seseorang ke?” Muzri menduga setelah jawapan yang dikehendaki belum lagi menjengah ke cuping telinga.
“Dalam tom yam aku tu ada sayap lipas. Pengotor!” Beritahu Sharif dengan jujur yang berasa geli dengan cara masakan itu. Langsung tiada kebersihan. Pada sebelum ini tidak pernah dia mengalami keadaan itu tetapi malam ini terlihat di hadapan mata.
“Patutlah… tak apalah kalau macam tu.” Kata Muzri.
Sharif yang memandu itu hanya menggeleng sahaja dengan penuh kesal. Dia terpandang kelibat dua insan yang dilihatnya di restoran tadi. Si peminta sedekah menahan sebuah teksi kemudian dua insan itu masuk ke dalam teksi di tempat sunyi bimbang dilihat orang.
‘Begitu ke?’ tanya Sharif di dalam dirinya sendiri seraya menggeleng perlahan lagi. Macam-macam ragam orang nak minta simpati sampai sanggup menipu. Tunggu di akhirat kelak, Tuhan akan balas perbuatan manusia yang suka mengambil kesempatan dengan cara menipu seperti itu. Banyak lagi kerja halal yang lain. Kenapa perbuatan itu yang dipilih? Sharif mengeluh.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.