Entri Terkini :

Dia Yang Dinanti (Bab 1)

p/s : Ini merupakan karya terbaru saya, maaflah jika ia tak best. Sebarang komen dari anda amatlah dialu-alukan. Ia mengisahkan tentang perubahan pandangan seseorang induvidu yang mempunyai nilai tersendiri pada apa yang dilihatnya. Dalam hati yang tidak pandai menipu, perasaan cuba menggoyahkan keyakinan. Namun di sebalik kelembutan tersembunyi rahsia hati... Jom layan ..... Selami jiwa mereka di dalam cerita Dia Yang Dinanti


Langkahnya laju menuju ke kaunter membeli tiket. Dia tidak mahu terlepas train LRT Putra. Dari Wangsa Maju dia mulakan perjalanan untuk sampai ke Pasar Seni. Setiap hari begitulah yang dia lalui. Sudah menjadi rutin dalam hidupnya memulakan pekerjaannya sebagai jurujual barangan kraf tangan di salah sebuah tempat yang diberi nama Central Market. Bertolak seawal jam tujuh pagi bagi mengelakkan kesesakan namun pada waktu begitu orang awam sudah berpusu-pusu mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan. Jika dia terlambat maka dia terpaksa menunggu train yang lain kerana pada waktu bekerja, muatan sentiasa penuh.
Pada pagi ini mujurlah keadaan seperti semalam, tenang dan teratur. Para pengguna akan beratur menunggu giliran masing-masing. Semoga keadaan ini terus berkekalan. Bukan mudah untuk insan sepertinya menjalani kehidupan yang serba mencabar. Tambah lagi berhadapan dengan masalah peribadi sendiri yang wajib diketepikan di saat dia bekerja.
Dia gadis ayu yang sungguh cantik yang suka berbaju kurung biarpun tinggal di bandar besar. Dia gemar berpakaian seperti itu tatkala pakaian moden dan seksi banyak dipromosikan di sana sini. Baginya ia satu kesopanan yang wajib dipertahankan. Gadis Melayu yang anggun itu mengetap bibirnya sendiri. Matanya yang bersinar jernih di sebalik kaca mata yang dipakainya itu digosok setelah kaca mata ditanggalkan. Mungkin terasa pedih.
“Fara.” Namanya dipanggil bila dia berhimpit-himpit di dalam train itu. Fara menoleh. Dia melihat Sharif mendekatinya di dalam kesesakan itu.
“Awak tinggal dekat area sini ke? Tak bagi tahu saya pun?” Soal Sharif lelaki yang segak berpakaian formal mahu ke tempat kerja. Sharif juga memilih pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.
“Awak naik train?” Fara mengelak dari menjawab pertanyaan Sharif.
“lebih mudah.”
“Mana kereta awak?” Fara berdiri sambil memegang tiang yang berada dekat dengannya. Dia cuba menstabilkan kedudukan supaya tidak berasak-asak dengan penumpang lain.
“Mulai hari ini saya akan gunakan pengangkutan awam. Tak sanggup berhadapan dengan traffic jam yang teruk dekat bandar ni.” Balas Sharif.
Fara mengangguk lagi. Tiada apa yang ingin Fara katakan kerana dia sendiri sudah tahu keadaan di sini bagaimana. Dia sudah lama dibesarkan di bandar besar ini kira-kira sembilan belas tahun yang lalu. Usia mudanya kini adalah masa yang perlu digunakan dengan betul iaitu mengumpul duit demi masa hadapannya. Dia bukanlah gadis yang berpendidikan tinggi. Hanya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Tapi semua itu tidak mahu dianggap sebagai penghalang untuk dia berjaya. Biarpun dia bekerja sebagai promoter jualan asalkan pekerjaan itu halal dilakukan.
“Kenapa dengan awak  ni? Nampak muram je?” Sharif bertanya kerana wajah Fara kelihatan hambar sahaja.
“Saya pening kepala.” Fara memicit dahinya bagi mengurangkan kesakitan.
“Oh, saya ada minyak angin.” Sharif terus mengeluarkan satu botol minyak angin cap kapak kepada Fara.
“Tak apa, terima kasih.” Fara sengaja menolak, bukannya nak jual mahal tetapi segan. Memang betul pun dia segan gara-gara Sharif terlalu baik.
Janganlah menolak pula, aku jadi bimbang bila tengok kau sakit macam tu. Sharif mengangguk kepala. Fara dipandang lama.
Alahai, dia pandang aku semacam sahaja. Kepala ni dahlah tengah pening, bisik Fara di dalam hatinya. Fara cuba melarikan wajahnya namun seakan kaku.
“Janganlah macam ni, kepala awak kan pening nanti bertambah melarat pulak. Mungkin dalam train ni agak sesak membuatkan kepala awak jadi pening. Gunalah…” Sekali lagi Sharif menghulurkan botol minyak angin itu kepada Fara yang agak segan untuk menerima bantuan. Teragak-agak Fara mengambilnya.
“Terima kasih.” Ucap Fara. Dia terus menyapu sedikit minyak angin pada dahinya.
“Kalau awak perlukan apa-apa jangan segan beritahu saya.” Sharif menguntum senyuman manis yang begitu menggoda. Lelaki kacak sepertinya setia menerima persahabatan daripada Fara yang ramah ketika memperkenalkan barang-barang kraf tangan. Baginya Fara begitu berbeza.
“Kenapa awak tak hubungi saya?” Sharif bertanya lagi setelah nombor telefon pernah diberikan kepada Fara.
Fara bukannya tidak mahu menghubungi Sharif tetapi rasa janggal sekiranya pihak perempuan pula yang menelefon lelaki. Tambah pula Fara tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Mana mungkin dia akan bertindak sedemikian.
“Tapi kenapa?”
“Kerana saya dah minta nombor telefon awak tapi awak tak beritahu nombor telefon awak. Saya fikir balik kerja nanti saya nak jumpa awak. Kebetulan pula jumpa awak dalam train jadi bolehlah saya dapatkan nombor telefon awak ye?” Sharif juga seorang yang suka berbual tetapi Fara masih malu-malu. Fara seorang yang lebih banyak diam daripada bercakap kecuali jika sedang bekerja.
“Sebenarnya saya tak memiliki telefon bimbit.” Jawab Fara jujur.
“Tak ada?” Sharif agak terkejut kerana belum pernah dia dengar seorang gadis tidak memakai telefon bimbit hidup di bandar ini. Bagaimana jika berlaku kecemasan? Kepada siapa hendak dihubungi? Sharif sepertinya tidak percaya. Dia beranggapan bahawa Fara sengaja mengelak dengan memberikan alasan sedemikian.
“Ni minyak angin awak.” Fara memulangkan semula minyak angin kepada Sharif setelah digunakan sebentar tadi. Sekarang peningnya sedikit berkurangan.
“Awak simpan okay, gunakan bila awak perlukannya.” Sharif memberikan minyak angin itu kepada Fara untuk disimpan sahaja.
“Tak apalah, pening saya dah okay. Inikan kepunyaan awak.” Ujar Fara.
Sharif memandang lama pada wajah Fara. Baginya Fara sangat berlainan berbanding dengan gadis yang dikenalinya sebelum ini. Mungkin sudah jodoh dipertemukan dengan gadis seperti Fara yang tidak suka mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain.
“Awak ambillah.” Sharif ikhlas memberikannya.
“Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.” Fara tersenyum. Baru sekarang dia dapat menguntum senyuman namun Sharif  dapat rasakan Fara seperti tidak sihat. Fara buat-buat sihat.
Sharif yang berdiri di sebelah Fara mengangguk perlahan menerima dengan hati terbuka ucapan terima kasih daripada Fara. Perkenalan mereka bermula seminggu lepas. Sharif memang menanti jawapan kesudian daripada Fara untuk berkawan dengannya. Dia harap Fara sudi berkawan.
“Awak sudi berkawan dengan saya?”
“Bagaimana dengan status kita sekarang ni? Adakah bukan kawan?” Fara berkata sedemikian kerana ingin tahu dari mulut Sharif pula.
“Fara… saya nak tahu aje sama ada awak sudi atau pun tak.”
Fara tunduk malu. Dia memang sudi berkawan dengan Sharif tetapi betul ke Sharif sudi berkawan dengan gadis sepertinya? Di Kuala Lumpur ini ramai lagi gadis yang lebih layak berkawan dengan Sharif. Fara merasakan dirinya terlalu kerdil untuk berkawan dengan lelaki sekacak Sharif yang segak itu. Mata Sharif merupakan mata yang sarat dengan pandangan menggoda. Mungkinkah Fara terpaut hati?
“Saya sudi. Lagipun tak salah kan?”
“Betul ke?’ Sharif inginkan kepastian di saat keraguan masih bersarang utuh di minda. Terasa takut pula seandainya Fara menolak.
“Betul.”
“Okay, malam ni kita keluar nak? Makan-makan ke? Saya jemput awak, boleh? Tapi dekat mana awak tinggal?” Sharif mempelawa Fara dengan hati berbunga-bunga.
“Awak kata petang nanti nak jumpa saya kan? Saya tunggu.” Fara mengetap lembut bibirnya dan mengalihkan pandangan matanya. Dia masih malu dengan Sharif.
“Kalau macam tu, petang nanti saya jumpa awak.” Sharif tersenyum mekar. Sekuntum bunga yang berkembang manis itu masih segan. Dia ingin berkenalan dengan lebih rapat dengan Fara. Dia berharap Fara tidak mengecewakannya.
Fara sukar untuk bertentang mata dengan Sharif. Sungguh luar bahasa perasaan yang dirasakan ketika ini namun dia terpaksa menghalang hati dan perasaannya sendiri daripada terus hanyut dalam lamunan itu.
“Saya turun dulu. Ingat tau, petang nanti kita jumpa dan saya sangat berharap malam nanti kita dapat keluar.” Sharif melambaikan tangan kepada Fara. Sharif tiba dulu di terminal tujuan iaitu KLCC.
Fara membalas lambaian tangan daripada Sharif dan dia memandang Sharif sehingga lelaki itu hilang dari penglihatan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.