Entri Terkini :

Suamiku Gangster (Bab 7)

“Hai Fika...” Haris menyapa Shafika ketika Shafika melintas di hadapan Haris. Shafika nampak agak kelam kabut sahaja. Langkahnya sungguh laju seperti mengejar masa. Dia sudah lambat untuk ke kelas. Semua ni gara-gara dia bangun lewat. Wanie ke tandas dulu, maka dia diminta pergi dulu. Hari ni mereka ada kuiz yang perlu dia jawab.
“Fika tunggu dulu.” Haris yang masuh berbalut tangannya mengejar langkah Shafika. Namun Shafika tidak peduli maka dia semakin melaju pergi.
“Fika!” Haris menarik tangan Shafika. Langkah Shafika terhenti kerana dihalang oleh Haris. “Kenapa dengan kau ni?” Soal Haris setelah Shafika menoleh.
“Jangan kacau aku boleh tak? Aku dah lambat ni.”
“Fika! Dengar sini!” Haris memaut bahu Shafika.
“Apa lagi kau nak? Kau tak serik-serik lagi ke nak bergaduh dengan Bakar? Kalau Bakar nampak macam mana? Kalau kau kena pukul nanti siapa nak jawab?” Shafika mencari alasan untuk pergi.
“Itu bukan soalnya. Aku nak tanya kau. Kau dah baca ke belum surat tu?”
“Surat?”
“Ya surat. Surat yang yang diberikan oleh Wanie kepada kau? Apa kau tak terima ke surat tu?”
“Oh surat tu... dah buang pun. Sorry, now I have to go!” Shafika terus berpaling dan melangkah pergi meninggalkan Haris terpinga-pinga.

***

            “Payahlah macam ni Wanie. Haris asyik kacau aku je. Aku tak nak dia kena pukul dengan Abang Bakar lagi. Aku tak sukalah tengok mereka bergaduh. Kalau disebabkan aku, aku sanggup tak berkawan dengan Haris kalau itu yang dapat memuaskan hati Abang Bakar.” Shafika meluahkan perasaannya. Apa yang dirasakannya sangat berat namun kena pasrah. Macam mana dengan jiwanya? Kasihnya? Eh? Kasih? Dah jatuh hati ke dia ni?
            “Dah banyak kali aku pesan. Kenapa kau nak biarkan Bakar kau tu control life kau? Dari dulu lagi dia kawal hidup kau. Eh Fika, dia tu cuma abang angkat kau je tau, bukan suami kau. Lainlah kalau dia tu suami kau barulah kau boleh ikut cakap dia. Ini tak, semua kau nak ikut lepas tu pula sanggup patuh cakap dia. Tak masuk Neraka pun kalau kau membantah benda yang tak elok.” Wanie menghempas majalah di atas meja.
“Kau tak faham apa yang aku rasa Fika. Kau janganlah nak naik angin dulu. Kau ni mesti kes semalam tak habis-habis lagi kan?”
Of course Fika, semua ni disebabkan kedegilan kau sendiri, kau yang tak nak bagi ruang untuk otak kau berfikir secara rasional. Kau tak nampak ke apa yang Bakar dah buat dekat kolej tu? Lepas satu, satu masalah yang timbul. Kau pun tahu puncanya kan? Setiap lelaki yang rapat dengan kau pasti dia nak halang. Tengok Fuad tu. Kau tak ingat ke kes Fuad tu? Dia pun tak boleh berkawan dengan kau kan? Budak tu pun dah berhenti masa kita semester dua dulu. Masa tu aku baru rapat dengan kau. Kau sendiri jugak yang cerita dekat aku.” Wanie memeluk tubuhnya. Shafika mengeluh. “Tak payah mengeluhlah Fika. Kau fikirlah sendiri mana yang baik untuk kau.” Sambung Wanie lagi lalu bangun dari sofa. Hari dah senja, dia nak tutup tingkap dan nak masuk ke dapur menyediakan apa yang patut untuk makan malam ni.
“Wanie... kau nak ke mana tu?”
“Memancing.” Balas Wanie selamba.
“Nanti-nanti... mari sini... mari duduk dululah Wanie, kau tak nak tenangkan jiwa aku yang gundah ni ke? Ala kau ni Wanie, kalau kau tak tolong aku siapa lagi nak tolong.”
“Kalau aku kata Bakar tu jahat kau marah. Dah kau sayang sangat dekat abang angkat kau tu, kau pergi jelah tanya pendapat dia tu. Buat apa kau tanya kat aku ni?” Wanie berkecil hati kerana sejak dari awal lagi dirinya dipersalahkan kerana memburuk-burukkan Bakar dihadapan Shafika. Sudah terang lagi bersuluh, entah apa yang telah membutakan hati Shafika sampai tak nampak jahatnya Bakar tu? Semuanya nampak elok selepas dipujuk. Mudah makan pujuk betul si Shafika ni. Kalau macam ni sangat mudah orang lain memperbodohkannya atau mengambil kesempatan.
“Tengok tu. Kau patut tahu yang Haris ajak aku keluar malam ni. Dalam surat tu dia nak jumpa aku dekat town. Aku cakap dekat dia aku buang surat tu tanpa membacanya. Macam mana ni?”
“Kadang-kadang aku rasa pelik dengan sikap kau ni. Dari apa yang aku nampak, kau ni sebenarnya suka sangat berkawan dengan Haris, kan?”
“Tak pun!”
“Tapi gaya kau cakap tu macam kau ni terpaksa mengalah dengan abang angkat kesayangan kau tu. Fika... boleh ke kita yang ada kaki ni nak berjalan pakai tangan?” Wanie mengerling.
“Boleh je.”
“Memang boleh tapi tetap pelik kan? Menyusahkan betul.”
“Hurm...” Shafika muncungkan bibirnya.
“Terpulang dekat kau. Bak kata trademark Nabil Raja Lawak, lu fikirlah sendiri.”
“Aku tak minat dia, okey! Orang kata dia tu sangat berlagak.”
“Eh? Boleh pulak kau dengar cakap-cakap orang? Cakap aku ni kau tak nak ambil kira pun. Si Bakar kesayangan kau yang sebenarnya berlagak! Jahat pulak tu!”
“Dia tak jahat la!”
“Jahat jahat jahat jahat!” Wanie terus berlalu.

***

“Betul ke kau nak keluar ni?”
“Ye.” Balas Haris.
Semenjak apa yang berlaku, Ayob diminta tinggal bersamanya. Dia juga bimbang jika Ayob diapa-apakan. Biarlah Ayob tinggal di rumah sewanya namun malam ini Haris ingin keluar. Dia tak tahu sama ada perlu mengajak Ayob atau pun tidak.
“Nak ikut.”
“Erm.”
“Tak boleh ke?”
“Buat apa nak ikut aku? Kau duk ajelah dekat rumah ni.”
“Aku takut.” Ayob menyuarakan keresahan.
Haris terus melangkah mencapai kunci keretanya. Keretanya sudah dibaiki bonetnya siang tadi. Kini dia ingin keluar dan dia berharap Shafika sudi bertemu dengannya.
‘Aku tahu kau takkan jumpa aku tapi aku akan datang jumpa kau.’ Bisik hati Haris.
Ayob cepat-cepat bangun nak menarik bahu Haris.
“Man Tiger!”
“Jangan panggil aku nama tu la!”
“Best.”
“Otak kau!”
“Haris... aku nak ikut. Aku takut duduk dekat rumah kau ni sorang-sorang. Hati aku tak tenang ni. Tolonglah.” Ayob merayu sambil buat muka sedih.
“Erm. Tak payah!” Haris berdegil.
“Takkan kau nak biarkan aku dekat rumah ni?”
“Kau bukan budak kecil lagi yang nak ke tandas pun berteman. Aku kata kau duduklah dekat rumah ni diam-diam. Aku keluar sekejap je pun. Kau lelaki atau pondan? Kalau kau pondan mari ikut aku!” Haris sengaja berkata sedemikian.
“Le...lelaki.”
“Dah tu! Jangan jadi penakut! Kau duduk dekat rumah.” Haris terus meluru keluar. “Jaga rumah ni elok-elok. Kalau ada orang ketuk pintu jangan bukak.” Pesan Haris lalu masuk ke dalam perut keretanya. Ayob yang berada di muka pintu terus tutup rapat-rapat pintu rumah.

***

Dia rasa lain macam sahaja. Mesti ada yang tak kena kerana ada sebuah kenderaan mengekorinya sejak dia keluar dari simpang tiga untuk ke jalan besar ini. Kereta itu mengikut sahaja ke mana laluannya. Apakah cuma perasaannya sahaja?
‘Siapa pulak yang ikut aku ni?’ Getus hatinya.
Tidak berapa lama selepas itu telefon bimbitnya berbunyi. Dia sedikit terkejut kerana menerima panggilan daripada Ayob. Ada apa lgi dia ni call aku? Aku dah pesan duduk dekat rumah diam-diam. Selalu benar call aku. Rimas sungguh! Haris tak puas hati.
Hello.” Haris menjawab panggilan itu.
Hello Man Tiger... lu dekat mana ni beb, Lu tak rindu gua ke? Gua penat-penat datang rumah lu tapi lu takde. Tapi tak apalah, kawan lu ada sini. Takdelah susah sangat nak cari rumah lu ni.”
“Bangsat! Lu siapa?”
“Rileks... apa kata lu patah balik, tapi gua rasa tak mudah bagi lu nak patah balik untuk selamatkan kawan lu ni, sial!”
“Haris!! Tolong aku Haris!” Kedengaran suara Ayob mengharapkan pertolongan. Haris mendengar jelas suara itu.
“Lu dah dengar suara kawan lu yang bakal mampus, kan?”
“Hoi bangsat! Gua tak kisah siapa lu, lu nak langsi dengan gua ke hah? Lu tunggu, gua datang!” Haris sudah berbicara seperti sebelum ini. Hatinya panas. Jiwa mudanya terbakar dan barannya membahang.
Bahaya menanti. Keadaan semakin cemas dan seperti kata pemanggil itu, tidak mudah untuk Haris berpatah balik menyelamatkan Ayob. Jika Haris tegar melakukan perkara yang diluar jangkaan maka dia ada peluang untuk cepat sampai.
Haris memperlahankan kenderaannya namun dengan pantas keretanya dipancung oleh kereta yang mengekorinya. Cermin tingkap dari sebelah tempat duduk pemandu kereta itu diturunkan dan sepucuk pistol terus dihalakan ke arah mukanya. Haris merenung tajam. Dia tidak gentar dengan keadaan itu.
“Damm! Aku betul-betul diburu ni!” Ucap Haris sendiri.
Tanpa berlengah lagi, gear berundur dimasukkan dan pedal minyak ditekan pantas. Haris melakukan drift 360 darjah kemudian berpatah balik. Kereta Mitsubishi Lancer Evolution berwarna biru itu juga pantas mengejar kereta Honda Accord yang menggunakan kuasa enjin turbo dipandu oleh Haris.
“Barua la! Siapa mereka ni? Cari pasal dengan aku. Geng Mael Lambung ke? Argh! Tak habis-habis mereka ni! Bangsat sungguh!” Kata Haris yang memecut laju memotong kereta awam yang lain. Dia terpaksa memandu dalam keadaan berbahaya kerana risiko Ayob disakiti terlalu tinggi dirumah. Jika orang yang bercakap dengannya itu adalah Mael Lambung maka peratusan berhadapan dengan maut adalah terlalu tinggi.
Mata Haris mengecil dan merenung tajam memberi tumpuan kepada pemanduannya. Dia tak peduli apa nak jadi dengan jalan raya ni. Hero jalan raya sudah datang! Man Tiger! Nampaknya mereka mahu mencabar Man Tiger kembali. Aku tak peduli! Jerit Haris. Keadaan jalan raya agak sibuk namun itu bukan halangan untuk Haris mengejar waktu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.