Entri Terkini :

Versi Cintamu - Bab 16

SENYUMAN mekar terukir di bibir itu kerana terbayangkan Linda sedang menari-nari di hadapan matanya. Bibirnya yang agak kemerahan bersama wajah yang segar berserta mata yang bersinar kebiruan menjadi layu tiba-tiba. Sesuatu sedang berlegar-legar di ruang fikiran. Bukan cinta dusta yang diharapkannya tetapi cinta sejati menjadi dambaan sejuta rasa dari dalam jiwa. Sebagai seorang lelaki, memiliki kekasih hati yang tulus dicintai dan mencintai adalah lambang kebahagiaan. Bayangan bahagia itu lenyap tatkala memori silam menjelma.
Ketika dia menghela nafas membuka lembaran itu, dirinya dipanah rasa pilu hingga terasa sakit sekali bagaikan hati sedang terhiris. Pisau tajam yang mampu memotong jalur rasa itu sedang berada di relung hati menanti saat hati itu dilukai lagi. Kehadiran Diya dalam hidupnya kali ini begitu membebankan jiwa. Sekali pandang nampak tenang walhal hakikatnya dia terseksa.
Waktu pulang dari kerja dia segera naik ke tingkat atas. Dia terus berkurung tidak mahu disapa oleh Diya. Dia tahu ketika ini Diya tetap mencuba mendekatinya. Danial Hakim tidak mahu rahsia ini diketahui oleh ahli keluarganya. Dia tahu perkara ini pasti memalukan kerana tidak pernah darah daging keturunan Encik Zamarul berhadapan dengan keadaan ini. Danial Hakim bagaikan menconteng arang ke wajah mereka sekiranya semua ini terbongkar.
Danial Hakim mencapai tuala. Dia ingin mandi untuk sejukan badan. Ketika dia mahu melangkah ke bilik air, tidak semena-mena pintu biliknya diketuk. Sudahlah hari ini dia pening dengan sikap Hasryzal yang suka membebel kerana tidak berjaya memujuk Aleysa yang tidak datang. Danial Hakim terpaksa merahsiakan juga kehadiran Linda masa temu janji itu. Hasryzal muncul dan bertanya di mana Aleysa? Danial Hakim hanya mampu mendiamkan diri dan menahan ejekan Hasryzal mengatakan dirinya hanya tahu cakap besar sahaja.
Tanpa berlengah, Danial Hakim terus meluru ke arah pintu biliknya. Dia menjangkakan itu adalah dari ayahnya. Adakah benar telahannya? Mungkin juga ibunya. Tidak kiralah siapapun di antara mereka, Danial ingin melihatnya.
Pintu dikuak perlahan, terpacak sesusuk tubuh perempuan berdiri di hadapan pintu itu. Perempuan itu dengan tidak tahu malu terus meluru masuk. Dikunci rapat-rapat pintu itu. Danial Hakim tercengang kerana tubuhnya ditolak.
“Awak dah gila ke?” Marah Danial Hakim terhadap Diya yang berani masuk ke biliknya dan mengunci pintu dari dalam.
Diya mengecilkan anak matanya merenung tajam ke arah Danial Hakim. Sudah pasti Diya rindukan Danial Hakim. Baru kini semua itu dirasainya. Rindu yang semakin mendalam.
“Memang saya dah gila.”
“Saya bertuala ni. Nanti apa pula ayah dan mak saya cakap jika dia tahu awak ada di dalam bilik ni?”
“Saya pernah tengok awak tanpa seurat benang. Apa lagi yang awak nak kisahkan. Awak tak rindukan saya ke?” Dengan pantas Diya mendakap tubuh Danial Hakim yang hanya bertuala sahaja. Danial Hakim rimas lantas dia menolak tubuh Diya.
“You crazy Diya!” Bentak Danial Hakim yang sudah bengang dengan tindakan Diya yang sanggup memalukan diri sendiri.
“Danial... Saya betul-betul rindukan awak.”
“Enough Diya! Awak ni dah melampau. Awak datang rumah ni dan awak sanggup jadi orang gaji semata-mata nak tawan hati saya untuk kembali kepada awak? Awak nak beritahu yang awak benar-benar cintakan saya? Sudah terlambat Diya. Tolong pergi dari sini, saya tak nak tengok muka awak lagi.” Danial Hakim tidak dapat menahan sabar dan Diya pula berusaha mendekati Danial Hakim. Diya sebak dengan kebodohan dirinya sendiri. Ternyata rasa rindu itu menjerat dirinya sendiri. Diya telah memalukan dirinya sendiri. Kali ini Diya cuba memancing dengan lenangan air matanya pula. Tidak sama sekali Danial Hakim terpujuk dengan air mata itu.
“Sudah! Saya takkan akan percaya dengan helah air mata awak. Drama awak tak laku dekat sini. Keluar dari bilik saya ni. Kalau boleh saya nak awak keluar dari rumah ni jugak!” Danial Hakim terus menarik tangan Diya untuk diusir dari biliknya.
“Danial!” Diya menyentap semula tangannya. Langkah Danial Hakim kaku. Dia merenung tajam ke arah Diya. Dengusan nafasnya kencang. Diya juga begitu. Masing-masing berpandangan. Diya mengusap rambutnya sendiri kemudian cuba melangkah mendapatkan Danial Hakim sekali lagi. Diya mendakap semula tubuh hangat Danial Hakim yang belum lagi mandi.
“Sudahlah Diya. Jangan kau sentuh tubuh aku lagi. Kau bukan lagi isteri aku. Untuk apa kau peluk aku?!” Hilang sudah kelembutan berbahasa. Tiada lagi ganti diri saya ataupun awak. Danial Hakim sudah berasa jengkel dengan sikap Diya.
“Berani awak usir saya? Saya takkan tinggalkan rumah ni kerana saya nak hidup dengan awak. Saya nak awak kembali pada saya dan kita lupakan hal lalu. Kita bina hidup baru ya Danial?” Diya terangguk-angguk sendiri.
“Loya tekak aku mendengarnya. Dulu saat aku mencintai kau, kau memperbodohkan cinta aku. Kau persendakan semuanya. Kali ni untuk apa kau datang cari aku? Kau kan dah dapat kekayaan ayah kau tu. Kenapa? Tak cukup lagi ke semua yang kau miliki selama ni dan kau hadir dalam hidup aku ni untuk memusnah aku dan keluarga aku pulak ke?” Danial Hakim tidka puas hati dan perasaan itu dilahirkan dari riak wajah serta tutur bicaranya sehingga membuatkan Diya juga mahu melawan.
“Berilah saya peluang, tolonglah. Saya nak perbaiki kesilapan lampau saya. Awak, saya janji dekat awak, saya kan dengar cakap awak. Saya akan belajar menghormati awak dan kawan-kawan awak.”
“Jangan sebut pasal kawan-kawan aku lagi. Sikap cemburu buta yang sengaja dibuat-buat oleh awak tu telah memusnahkan aku. Perhubungan aku dengan kawan-kawan tak seperti dulu lagi! Kau faham ke tak?” Bentak Danial Hakim dengan tinggi nada suaranya.
‘Kok kok kok’ kedengaran pintu diketuk.
“Danial, ada apa tu?” Ibu Danial Hakim bersuara dari luar.
“Danial?” Suara ayahnya pula menyusul.
Danial Hakim dan Diya terpinga-pinga. Danial Hakim menggelebah tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Jika ayah dan ibunya melihat Diya berada di dalam biliknya ketika ini habis musnah hidupnya.
Dengan pantas tangan Diya ditarik. Dengan keterpaksaan Diya menurut. Di hatinya ingin sahaja dia mengakui bahawa Danial Hakim bekas suaminya. Tapi semua itu tak bermakna keadaan akan kembali stabil.
“Awak gila ke?” Diya pula menuduh Danial Hakim yang gila.
“Kau menyorok bawah ni.” Desis Danial Hakim. “Kalau mak dan ayah aku tahu mampus aku tau tak! Kau tak apalah sebab kau memang suka sangat kan?” Sambung Danial Hakim lagi yang sedang cemas.
“Bawah ni?” Diya tidak sanggup.
“Kalau ada mesin basuh dalam bilik aku ni pasti aku sumbat kau dekat dalam tu je. Menyoroklah bawah katil aku ni! Banyak songeh pulak kau ni.” Danial mengemam geram.
Dengan tergesa-gesa Diya terus menyorok masuk ke bawah katil lalu cadar dijatuhkan oleh Danial Hakim supaya Diya tidak kelihatan. Danial Hakim sungguh bimbang ketika ini. Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbitnya.
Di situ Danial Hakim menarik nafas dalam-dalam. Dia sempat berbisik lagi kepada Diya yang kaku di bawah katilnya.
“Kau duduk diam-diam. Kalau kantoi aku kelar leher kau. Faham?” Danial Hakim mengingatkan Diya. Wajah Diya yang berada di bawah itu terus berubah. Tahu pula dia cuak dengan ugutan Danial Hakim kali ni. Jika tadi bukan main lagi tunjukkan keegoannya.
Dengan langkah yang laju Danial Hakim pergi ke pintu biliknya. Dia menarik nafas sekali lagi. Dengan perlahan-lahan pintu yang berkunci itu dibuka maka terpacaklah kedua orang tuanya yang sedang berkerut dahi.
“Ada apa ni Danial? Mak dengar kau bising-bising dalam bilik? Kau bercakap dengan siapa?” Puan Salbiah penasaran.
Danial Hakim mengeluh sambil menunjukkan telefon di tangan. Dia mengharapkan agar ibu dan ayahnya mengerti.
“Gaduh dalam telefon sampai macam tu sekali ke?” Tanya Encik Zamarul pula. “Malam ni malam Jumaat. Bagilah kami tenang sikit.” Kata ayahnya lagi. “Ouch!” Lengan Encik Zamarul dicubit oleh Salbiah.
Danial Hakim mencemikkan bibirnya sambil mengangkat bahu. Dia seperti hilang kata-kata setelah dikuasai oleh satu rasa yang cukup menyeksakan iaitu ketakutan. Dia cuba mempamerkan ketenangan agar Diya yang berada di bawah katil itu tidak terlihat oleh orang tuanya. Matilah dia sekiranya semua ini dapat dihidu oleh orang tuanya itu. Pasti ibu dan ayahnya fikir bahawa dirinya sedang melakukan maksiat dengan orang gaji sendiri. Jika hal ini terbongkar, barangkali kepala Danial Hakim akan dipenggal walaupun semua itu tidak benar.
“Abang ni cakap depan anak buat malu je.” Salbiah tarik muka.
“Dia tu dah besar. Dah boleh dicarikan calon isteri untuk si Danial ni. Erm... Danial, esok ayah nak kenalkan kau dekat seseorang selepas Solat Jumaat. Jangan beri alasan.” Ujar Encik Zamarul bersiglet putih dan berkain pelikat cap Gajah Duduk.
Danial Hakim tak dapat memproses data itu dengan tepat namun hanya anggukan sahaja mewakili segalanya. Sesungguhnya hati dan perasaannya ketika ini langsung tidak tenang.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.