Entri Terkini :

Versi Cintamu - Bab 15

RIBUT melanda hati. Serangan emosi berganda-ganda diterimanya. Mahu sahaja dipijak perut Encik Zamarul itu dan kemudian dibelah perut lantas ditarik limpa serta segala isi di dalamnya sekiranya dibenarkan namun ternyata terbatas. Semakin lama semakin geram membara di dalam dirinya. Apa yang perlu dilakukannya adalah menahan diri supaya tidak melampaui tahap paras normal.
Dia tergesa-gesa print out notis berhenti kerja 24 jam. Sungguh bengang dan begitu terasa hatinya sehingga membuatkan dirinya sudah hilang pertimbangan. Biarlah pekerjaan lain sahaja akan dicarinya nanti dari terus perhambakan diri bekerja di Allright Sdn Bhd. Mengapa aku dipersendakan begini? Aleysa tertanya-tanya sendiri. Jiwanya sangat lembut dan kerana kelembutan itu telah membuatkan perasaannya sering sahaja tergores maka begitu mudah Encik Zamarul menuduh yang bukan-bukan terhadap dirinya dengan pelbagai alasan.
Sesudah segalanya lengkap maka dia terus melangkah laju ke bilik orang tua itu. Langkahnya dipercepatkan kerana ruang waktu dalam hati semakin tersepit. Argh! Emosinya aku untuk tengok wajahnya. Sampai bila aku nak layan orang tua tak sedar diri tu? Bodohnya aku sekiranya aku biarkan. Aleysa mencemuh dirinya sendiri.
Gadis itu berkerut dahi. Kerutan itu jelas mempamerkan wajahnya yang sedang bercelaru dan juga sakit hati. Rupa-rupanya gadis yang wajahnya penuh kelembutan itu kala biasa sebenarnya seorang yang penuh dengan dendam dan benci. Rasa itu tersimpul mata sejak dahulu lagi. Bagaimanakah hal ini terjadi sedangkan dirinya tidak langsung kelihatan seperti itu dari luaran? Luaran tampak comel dan manja namun hakikat yang tersembunyi adalah segalanya parah.
“Saya nak berhenti kerja!” Bentak Aleysa yang sudah hilang rasa hormat pada bosnya sendiri. Encik Zamarul yang baru sahaja mahu membuka pintu pejabat untuk keluar menemui Aleysa. Ternyata mereka bertembung di situ. Aleysa sedikit berganjak manakala Encik Zamarul pula terpisat-pisat.
“Sabar dulu. Jangan buat keputusan terburu-buru. Awak fikir mudah ke nak dapat kerja baru dekat bandar ni. Persaingan sengit. Mari kita duduk dulu dan berbincang.” Kata Encik Zamarul.
“Nak bincang apa lagi? Encik Zamarul nak kata yang semua ini kesilapan? Atau memang disengaja? Saya tahu apa yang sedang Encik Zamarul fikirkan. Encik Zamarul memang seorang yang manis dalam berkata-kata. Saya juga tahu Encik Zamarul seorang yang romantis dan suka memujuk perempuan yang merajuk dengan cara yang luar biasa. Caranya memujuk dan menyakitkan hati dalam waktu masa yang sama!” Aleysa berhujah melepaskan amarah itu. Encik Zamarul terpinga-pinga melihat gelagat Aleysa bercekak pinggang seperti seorang bos sedang memarahi pekerjanya.
“Saya takkan kata apa-apa dan saya tak nak awak berhenti kerja. Saya suka awak bekerja dengan saya. Awak pekerja yang baik walaupun masih baru.”
“Baru sekarang nak beritahu saya pekerja yang baik? Hakikatnya Encik Zamarul ni tak layak jadi bos. Encik Zamarul ni seorang yang...” Aleysa kaku tidak dapat meluahkan perasaan menyampah itu untuk mengatakan bosnya seorang yang miang. Mudah benar dia terpengaruh dengan cakap-cakap rakan sekerjanya yang lain. Adakah benar bahawa Encik Zamarul seorang yang gatal dan miang atau lebih dikenali kasanova yang tidak sedarkan diri? Citarasanya pula pada gadis muda? Aleysa orangnya? Oh tidak!
Aleysa terus keluar setelah melangkah dengan cepat meletakkan notis itu di atas meja Encik Zamarul lalu meninggalkan Encik Zamarul terkulat-kulat. Pintu pejabat bosnya itu dihempas kuat tanda tunjuk perasaan. Belum sampai dua minit,  telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dikeluarkan telefon berkenaan dari dalam tas tangannya. Eh, nombor yang tidak dikenalinya. Adakah dia akan menjawab panggilan itu. Dari siapakah?
“Kenapa selalu aje aku terima panggilan begini? Aku nak jawab ke tak?” Omel Aleysa sendiri tatkala mematikan langkahnya. “Nampak aku perlu jawab. Senang sikit aku maki dia lepaskan perasaan ni kalau si pemanggil ni main-main.” Katanya lagi.
Memang Aleysa akan melepaskan rasa geram itu kepada orang lain pula. Nasiblah si pemanggil itu kena marah kerana menelefon dirinya tidak kena dengan waktu. Teruk jadinya. Wajah Aleysa garang. Merenung tajam ke arah telefonnya sendiri. Dari awal pagi lagi dia tidak usik telefon itu tambah lagi sebelum ini tiada siapa yang telefon.
“Hello! Siapa ni?”
“Amboi kasarnya awak Lin...”
‘Lin?’ Balas hati Aleysa kebingungan.

***

“JADI awak ke si Erna tu? Awak ni pondan ke? Siang jadi lelaki dan malam jadi perempuan ke? Gelilah awak buat kerja macam tu.” Linda melaser Danial Hakim tatkala mereka bertemu akhirnya ditempat yang dijanjikan. Terkejut Linda melihat Danial Hakim terpacak di hadapan mata.
Danial Hakim terpisat-pisat, lain yang diharapkan lain pula yang jadi. Danial Hakim dengan lagak macho mengusap dagunya. Dia memandang lama wajah Linda. Ditenung rapat membuatkan Linda mengalih pandangan mata. Tidak mampu menatap mata jernih kebiruan Danial Hakim.
Keluahan kecil dilepaskan. Memandangkan Linda ada di situ diharapkan agar cepat pergi sebelum Hasryzal muncul semula selepas pergi ke tandas.
“Saya tahu awak sedang fikirkan yang bukan-bukan. Saya cuma nak pastikan bahawa nombor telefon yang saya hubungi itu adalah milik Aleysa.” Beritahu Danial Hakim dan dia mengarahkan Linda pergi.
“Saya tak peduli tentang hal ni. Apa hak awak untuk masuk campur hal Lysa kawan saya tu?”
“Jika diberi peluang, hal awak lebih menjadi keutamaan saya.”
“Apa awak cakap ni?” Linda membulatkan biji mata lalu menoleh ke kiri dan kemudiannya memandang semula ke arah Danial Hakim.
Mereka berdua berdiri di tepi kedai Seven Eleven. Danial Hakim agak resah sedikit memandangkan sebentar lagi Hasryzal pasti akan muncul.
“Tak ada apa-apa awak. Mungkin semua ini ada maknya. Awak menjadi Aleysa Mysara ke? Awak menyemar supaya awak tahu hal sebenarnya?”
“Awak jangan panjangkan hal ni. Saya fikir Aleysa akan kahwin. Saya ingat perkara ni betul tadi.” Tiba-tiba sahaja Linda berlembut suara. Barangkali ada sesuatu yang sedang bermain dikotak fikiran Linda ketika ini.
Sudah pasti, jika anaknya kacak begini maka ayahnya jauh lebih tampan. Linda dah selidik profil Danial Hakim ni. Selera sungguh Linda pada golongan yang berusia. Linda tertarik pada ayah Danial Hakim. Memang Encik Zamarul benih kacukan bermata sedikit kebiruan maka genetik itu ada pada Danial Hakim. Oh, kacaknya ayahnya. Linda mengelamun seketika. Untuk menjadi ibu tiri Danial Hakim haruslah berbaik-baik dengan anaknya dulu.
Linda sudah mendapat tahu hal sebenarnya tetapi dia tak suka pada Hasryzal itu. Kenapa mereka boleh sepupu pula? Benci sungguh Linda pada Hasryzal. Kenyataan itulah yang sukar diterima Linda.
“Bagaimana kalau Aleysa tahu?”
“Saya boleh uruskan. Memang silap saya kerana tertukar telefon bimbit. Saya tak perasan telefon ni milik dia. Maklumlah telefon dia dan saya ni sama je.” Beritahu Linda.
“Baiklah. Lebih baik awak pergi dulu. Saya tak nak awak bertengkar dengan Ryzal. Tolonglah... kalau boleh awak berdua berdamai ye?”
“Jangan harap!” Bentak Linda lantas berundur. Danial Hakim agak terperanjat melihat wajah Linda tiba-tiba menyinga tatkala dia mahu Linda memaafkan Hasryzal.
Linda mematikan langkahnya dan sempat dia menoleh. Danial Hakim menghadiahkan seukir senyuman tanda balas pandangan itu. Danial Hakim sudah terpikat hati terhadap Linda. Harap mereka disatukan kelak, Insya-Allah.
“Tolong zip seluar awak.” Beritahu Linda.
Alamak! Danial Hakim pasti malu. Kenapa begini? Kenapa sering saja terlupa tutup zip seluar di tempat awam begini? Adakah kerana keluar tandas tadi dia jadi terlupa gara-gara ingin memujuk Aleysa untuk Hasryzal? Selepas dia keluar dari tandas, Hasryzal pula mahu ke tandas juga. Maka tinggallah dia sendiri menungu kehadiran orang itu tetapi Linda pula yang terlihat.
Wajah Danial Hakim berona merah. Linda menekup mulutnya menahan tawa. Aduh, Linda ketawakan Danial Hakim? Nampaknya Danial Hakim tersipu-sipu. Linda terus mengatur langkahnya semula meninggalkan Danial Hakim.
“Kau ni cepat berubah mood. Sekejap okey dan sekejap tidak namun kau tetap cantik Linda. Malam ini akan aku cuba hubungi kau. Aku ingin berbual-bual dengan kau dalam panggilan telefon nanti. Banyak perkara inginku tanya.” Desis Danial Hakim sambil ekor matanya tidak berkalih memandang lenggang lenggok Linda melangkah pergi kian menjauh.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.