KALAU diikutkan hati tidak mahu langsung mengikut telunjuk orang lain namun demi gaya masa kini maka terpaksalah dia mengalah namun berpada-pada. Linda pula yang melebih berbanding dengannya. Entah apa pula yang membuatkan Linda begitu teruja bila diberitahu bahawa bosnya menjemputnya datang ke rumah untuk makan malam. Mujurlah bosnya memberi pelepasan untuk membawa teman bersama. Jika tidak dia pasti akan menolak pelawaan itu walau apa cara sekalipun. Baru saja kenal sudah dijemput datang ke rumah. Perempuan pula tu yang mesti ke rumah lelaki. Tak pernah dibuat orang, bikin malu sahaja.
“Cepatlah Lysa. Janji pukul sembilan sekarang dah pukul lapan setengah. Kita ada masa setengah jam lagi ni.” Linda mendesak.
Aleysa masih membetulkan tudungnya yang agak kurang selesa. Aleysa nampak anggun dengan pakaian yang jarang dipakainya iaitu baju kebaya berwarna merah. Semua ni berlaku di atas permintaan Linda yang mahu mereka pada malam ini memakai kebaya. Linda pula mengenakan kebaya berwarna biru muda.
“Sabarlah.” Ujar Aleysa.
“Bos kau kacak tak?”
“Kau minat older ke?”
“Layan je.”
“Pleaselah... macam dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni. Aku rasa bos aku tu dah ada isterilah Lin.” Kata Aleysa sambil menghadap cermin. Linda yang duduk di birai katil itu tersengih-sengih.
“Dapat suami orang pun okey apa. Bukankah mereka banyak pengalaman. Lagi pula segala hal perempuan mereka tahu jadi tak perlulah kita pula yang nak mengajarnya.” Cetek sungguh pemikiran Linda. Sampai ke situ pula.
“Kau suka hidup bermadu ke? Kalau aku jangan harap. Kau ingat semua lelaki dalam dunia ni baik-baik belaka ke? Ada yang banyak tanduk okey. Come onlah Lin, aku rasa nak termuntah kalau kau sebut pasal bos aku. Semua ni terpaksa sebab nak jaga hati dia.”
“Aku rasa kau syok dekat bos kau kan? Tak nak bagi aku peluang ke? Mesti tampan kan?”
“Orang tua Lin. Kau berkenan juga ke?” Aleysa sudah siap memakai tudung. Linda pula terus bangun dari birai katil milik Aleysa. Mereka berdua sudah bersiap sedia memulakan perjalanan ke rumah bos Aleysa untuk makan malam.
Baru sahaja Aleysa mahu menyambung bicaranya pada Linda, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Lantas dicapainya telefon berkenaan di dalam tas tangan lalu tertera no telefon yang sama pada petang tadi. Nombor telefon yang tidak dikenalinya. Malas pula dia mahu menjawabnya.
“Jawablah. Siapa yang call? Bos kau ke? Beritahulah kata kita on the way dah ni.” Suruh Linda setelah melihat Aleysa seperti tidak berminat untuk menjawab panggilan itu. Aleysa hanya menjuihkan bibirnya sahaja sambil menjongket bahu.
Dengan tidak semena-mena Linda terus merampas telefon milik Aleysa itu. Barangkali dia mahu menjawabnya untuk Aleysa.
“Kalau kau tak nak jawab biar aku tolong jawabkan.” Ujar Linda lalu menekan butang hijau. Tidak sempat Aleysa menghalang, telefom bimbitnya sudah berada di telinga Linda.
“Hello encik... sekejap lagi kami sampai.” Beritahu Linda.
“Aleysa ke?”
“Siapa ni? Bos Aleysa ke?” Linda pula menyoal.
“Saya nak bercakap dengan Aleysa. Boleh?”
“Encik... Sekejap lagi kami sampai tau. Sabar ye... takkan dah tak sabar kut?” Ucap Linda dengan penuh manja. Aleysa sudah tepuk dahi. Dia tahu bahawa yang bukan bosnya yang berada dihujung talian itu. Aleysa sendiri tidak tahu siapa namun yang pastinya itu bukan nombor telefon milik majikannya.
“Awak Aleysa kan? Aleysa... tolong dengar apa yang saya nak beritahu awak.” Kata orang di hujung talian.
Linda berkerut dahi. Tiba-tiba dia merasakan si pemanggil itu bukan bos Aleysa. Suaranya begitu romantis sekali namun tidak terlalu garau. Kalau lelaki yang berumur takkan memiliki suara seperti orang muda pula? Barangkali bos Aleysa awek muda kut? Linda menduga.
“Siapa tu?” Aleysa berbisik ingin tahu siapa. Linda menjongket bahu dan masih menyiasat.
“Saya rasa awak dah salah nombor. Saya bukan Aleysa.” Ujar Linda membohongi si pemanggil itu.
“Tipu! Tipu! Awak tipu. Saya tahu awak nak mengelak daripada saya. Awak kata awak kawan baik saya tapi kenapa awak nak jauhkan diri awak dari saya?”
“Awak betul-betul dah gila ni. Saya bukan Aleysa. Okey bye.” Linda terus mematikan panggilan itu. “Bukan bos kau pun. Dahlah ambik balik telefon kau ni, jom kita gerak sekarang. Orang gila salah nomborlah Lysa.” Beritahu Linda lagi.
Aleysa berkedut dahi dan dia mengambil telefon itu dan memasukkan semula telefonnya ke dalam tas tangan. Usai itu telefonnya berbunyi lagi tanda pesanan masuk. Aleysa mengambil semula telefon itu sambil kakinya melangkah turun ke tingkat bawah. Kelemahan Aleysa cuma satu, rimas dengan pujuk rayu biarpun dia ketandusan kasih sayang. Hatinya menjadi sayu setelah membaca pesanan itu.
Rinduku menggunung tinggi tapi kau selalu pergi tinggalkan aku sendiri. Berapakah nilai persahabatan ini wahai wanita sejati? Antara kau dan aku masih menyepi.
Tidak diketahui siapa pengirimnya. Aleysa tidak tahu siapakah gerangannya. Adakah dia patut menelefon semula lalu bertanya? Atau membiarkan sahaja?
Aleysa terus menekan butang hijau untuk membuat panggilan. Dia ingin pastikan siapakah si pengirim itu. Nombornya serupa dengan panggilan tadi.
“Kau nak telefon siapa pual tu?” Soal Linda kehairanan.
“Orang tadi.” Balas Aleysa.
“Tak payah.” Linda terus menarik turun tangan Aleysa lalu mengambil semula telefon itu dan menekan butang merah. “Buat apa kau nak layan orang gila? Nanti dengan kau sekali gila.” Kata Linda lagi.
“Tapi dia sebut nama aku kan? Dia cari Aleysa kan?”
“Habis tu kau nak layan orang yang kau tak kenal? Entah siapa yang nak kacua kau. Ingat sikit Lysa, kau tu cantik sudah pasti ramai lelaki cuba nak menangi hati kau. Mana tahu rakan-rakan pejabat kau ke nak kenalan dengan kau. Mereka sanggup dapatkan nombor telefon kau tu. Lelaki muda sekarang ni bukannya boleh cipercayai sangat.” Linda mengutarakan spekulasinya.
Aleysa diam. Barangkali terfikirkan kata-kata Linda itu. Mungkin ada benarnya tetapi apa salahnya jika ada yang ingin berkenalan dengannya? Maishkah menjadi masalah? Cuma dia kurang senang menerima panggilan tanpa tidak diketahui identitinya. Aleysa terfikir entah siapa pula yang sengaja berikan nombor telefonnya kepada orang lain pula? Sebelum ini ada juga yang hubunginya tapi tidak dilayan. Dia tidak merasakan dirinya cantik namun itulah anugerah Ilahi kepadanya. Memiliki paras rupa yang sungguh jelita. Sungguhpun begitu, Linda juga tidak kurang cantiknya, manis dan ayu.
Mungkin orang yang hubungi aku ni ada hal penting. Kalau tak kenapa dia bersungguh-sungguh pula? Mesti dia benar-benar ikhlas ingin berkenalan denganku, detik hati Aleysa sendiri. Kini mereka berdua sudah tiba ke kereta. Pintu rumah sudah siap dikunci hanya menunggu ketika perjalanan dimulakan.
***
“APA yang mustahak sangat ayah nak berbincang dengan kami ni ayah?” Danial Hakim bertanya pada ayahnya setelah menghempaskan punggungnya di sofa merah. Hasryzal juga turut duduk selepas bersalaman dengan Encik Zamarul.
“Iya bos... apa hajat bos nak jumpa kami berdua?”
“Dekat rumah aku ni tak payahlah kau panggil aku bos. Berapa kali aku dah pesan Ryzal?” Encik Zamarul merenung tajam ke arah anak saudaranya tu. Nampaknya Hasryzal perlu membezakan antara tempat kerja dan rumah. “Kau masih mamai ke Ryzal?” Sambung Encik Zamarul bergurau dengan Hasryzal pula. Sengaja menyindir.
“Pakcik ni... perli oranglah tu.” Balas Hasryzal sedikit merajuk.
“Mana pula makcik kau ni? Ros... o Ros... anak kita dah sampai ni? Awak buat apa lama-lama dekat atas tu? Bersolek sampai berjam-jam.” Pekik Encik Zamarul memanggil isterinya iaitu ibu kepada Danial Hakim yang memang menitikberatkan soal kecantikan. Pantang kalau ada tetamu akan hadir ke rumah pasti bersolek sakan.
Tidak berapa lama selepas itu muncul pembantu rumah yang begitu cantik. Eh? Hasryzal sedikit terkejut. “Awak?” Tegur Hasryzal. Dulang berisi air terus terlepas dari pegangan si pembantu rumah itu.
“Kenapa Ryzal?” Tanya Encik Zamarul setelah melihat Hasryzal membulatkan biji mata memandang lama ke arah pembantu rumah itu. Hasryzal kaku sementara itu si pembantu rumah menggelabah lalu mengemas semula cawan yang pecah terhempas. Encik Zamarul agak terperanjat mendengar cawan yang jatuh tadi.
“Rileks. Dia pembantu rumah yang baru. Bibik dah balik Indonesia tadi.”
“Ayah tak cakap dekat kami pun. Malam ni baru tahu bahawa ayah ambil pembantu rumah baru yang sungguh can...tik...” Ucap Danil Hakim dan perkataan ‘cantik’ diperlahankan sedikit. Hakikatnya pembantu rumah itu memang cantik. Dia tidak menyangka gadis secantik itu sanggup menjadi pembantu rumah.
Hasryzal tidak berkalih memandang pembantu rumah itu. Hairan benar dia. Adakah kerana pembantu rumah itu terlalu cantik hingga membuatkan Hasryzal terpesona?
“Kau kenapa Ryzal?” Danial Hakim menepuk bahu Hasryzal hingga membuatkannya terpisat-pisat sendiri.
“Eh, tak ada apa-apa pakcik, Danial.”
Pembantu rumah itu terus berlalu. Barangkali ingin membancuh air yang lain setelah cawan yang berisi air kopi tadi sudahpun terhempas. Malang sungguh jadinya. Danial Hakim membatukkan dirinya manakala Hasryzal masih lagi tercengang. Encik Zamarul pula lagilah hairan dengan keadaan itu. Melihat wajah Hasryzal yang terlompong tadi sudah cukup membuatkan hati Encik Zamarul berasa curiga.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)