“HARITH... Harith Qamal?!” Hasryzal menegur seorang lelaki yang sedang berjalan melintasi pintu hadapan pusat hiburan itu. Lelaki yang ditegur oleh Hasryzal itu terus mematikan langkah dan kemudiannya menoleh ke arah Hasryzal.
Danial Hakim masih mengekori dan akhirnya tiba di sisi Hasryzal dengan dahi yang berkerut serta kehairanan.
“Siapa tu?” Soal Danial Hakim.
“Kalau tak silap aku tu adalah member sekampung aku.” Beritahu Hasryzal kepada Danial Hakim sambil memuncungkan bibir sebagai penunjuk arah.
Danial Hakim memerhati lama-lama dan dia seperti pernah melihat lelaki itu tetapi di mana? Danial Hakim terlupa dan masih menggali ruang lalu di angkasa mindanya mengenai lelaki itu.
“Hasry...”
“Hasryzal.” Hasryzal menyambung sebutan namanya sambil berjabat tangan dengan lelaki bernama Harith Qamal.
“Haa ya kau Ryzal. Kau buat apa sekarang?”
“Sepatutnya aku yang tanya kau dulu. Lama kau hilang dari kampung. Sedar-sedar nampak kau dekat sini pulak. Kenalkan ni sepupu aku, Danial Hakim.”
“Sepupu? Kenapa aku tak kenal pun dengan sepupu kau ni?” Soal Harith Qamal pula sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan sepupu kepada Hasryzal. Danial Hakim mengukir senyuman yang agak janggal. Dalam ingatan hanya terkumpul pertanyaan. Siapakah lelaki bernama Harith Qamal ni kini wujud di hadapan mata?
Di zaman kanak-kanak mereka itu sememangnya Danial Hakim pernah ditemui oleh Harith Qamal namun mungkin sudah lama agaknya jadi tidak dapat dikenal pasti. Waktu kanak-kanak yang ditinggalkan sudah banyak yang berubah.
“Dulu kita kecik lagi. Dia jarang balik ke kampung. Mak dia ni kakak pada arwah ayah aku. Ni kau nak ke mana?”
“Ooo... Aku nak balik rumah.”
“Kau tinggal dekat area sini ke?” Hasryzal bertanya. Danial Hakim mendiamkan diri sahaja sambil memasang telinga mendengar perbualan dua orang sahabat lama yang bertemu semula secara kebetulan itu.
***
“ADUH dia buat apa pulak dekat depan tu?” Desis Aleysa menoleh sekilas ke arah kelibat tiga orang pemuda sedang berdiri di hadapan pintu masuk ke dalam pusat hiburan ni. Aleysa kelihatan begitu resah dan kegelisahan itu dilontar jauh supaya tidak diduga oleh Linda ketika ini yang masih berusaha memujuk dirinya untuk membuat tempahan bilik.
“Kau tengok siapa, Lysa?” Linda cuba melemparkan pandangan ke arah tempat Aleysa melihat tadi namun dengan segera Aleysa menghalang.
“Marilah ikut aku.” Aleysa dengan pantas menarik tangan Linda.
“Sekejap!” Linda bersuara dalam bentuk arahan.
Aleysa terus kaku setelah Linda membatu di situ. Adakah apa yang ditakutkan oleh Aleysa akan berulang lagi seperti insiden perlanggaran kereta itu? Jika benar bagaimana? Habislah keadaan bertambah teruk. Janganlah mereka bertentang mata hingga menyebabkan perbalahan.
“Lin!” Aleysa cuba menghalang.
“Hei lelaki biadap! Kenapa kau jelir lidah dekat aku hah tengah hari tadi?” Sergah Linda sebaik sahaja tiba di hadapan pintu masuk itu. Rupa-rupanya Linda sudah nampak lelaki itu. Aleysa sudah menggelabah. Sungguh dia resah kerana tidak dapat menghalang pandangan Linda.
Danial Hakim menoleh deras melihat gadis idaman sedang menghampiri mereka dengan wajah garang. Hasryzal juga terpaku melihat singa mengamuk di situ.
“Apa ni?” Danial Hakim bersuara.
“Kau diam!” Bentak Linda.
‘Dush!’ tas tangan di tangan terus dihayun hingga singgah ke badan Hasryzal pula. Hasryzal tidak sempat mengelak.
“Apa hal ni pukul-pukul orang? Nak kena saman ke?”
“Aku tak takutlah walau kena saman! Aku benci lelaki yang suke jelir lidah ni. Nak kena potong ke? Kau sengaja sindir aku tengah hari tadi kan? Tak sempat aku nak baling kasut kau dah tutup cermin tingkap kereta! Dan aku tak tahan kau angkat penumbuk! Kau nak ajak bergusti ke?” Ternyata Linda begitu panas baran. Di sebalik kelembutan luaran itu tersembunyi tenaga dalaman yang sangat dahsyat.
Harith Qamal tercengang melihat pertengkaran yang berlaku. Dia pula tidak mengerti apa-apa yang berlaku. Cepat-cepat dia angkat kaki meninggalkan mereka. Bukan main penakut bila melihat singa mengamuk. Hasryzal menoleh sekilas ke arah Harith Qamal namun lekas sungguh Harith Qamal menghilangkan diri begitu sahaja.
“Ha...” Hasryzal cuba menyebut nama Harith Qamal tetapi terhenti sekerat jalan. Dia menoleh semula ke arah si gadis yang mengamuk tak tentu fasal tapi malangnya pipinya ditampar begitu sahaja.
‘Pang!’
“Lain kali jaga lidah tu jangan suka-suka jelir dekat aku! Apa kau ingat kau tu bagus sangat ke?” Linda terus menerus memarahi Hasrysal yang sedang menggosok pipi akibat ditampar.
“Eee perempuan ni!” Hasryzal tiba-tiba mahu menerkam perempuan bernama Linda itu akan tetapi dirinya segera dihalang oleh Danial Hakim manakala Linda pula ditahan oleh Aleysa.
“Kawal diri kau tu Ryzal! Jangan macam ni. Takkan dengan perempuan pun kau nak bergaduh. Hormatlah sikit. Kaum perempuan adalah kaum yang lemah. Mereka patut kita lindungi bukannya membalas setiap perbuatan mereka dengan cara macam ni.” Danial Hakim menasihati Hasryzal supaya bersabar dan tenangkan diri. Ucapan itu didengari oleh Linda dan Aleysa. Barangkali akan sejuk dan reda amarah Linda setelah mendengar ucapan yang begitu murni itu.
“Kau diam!” Sekali lagi Danial Hakim disuruh diam oleh Linda. Kata-kata Danial Hakim sebentar tadi tidak langsung meredakan amarah Linda ketika ini.
“Kenapa awak minta saya diam? Janganlah macam tu, tolong maafkan sepupu saya ni. Saya tahu dia ni nakal sikit jadi saya meminta maaf bagi pihak dia.” Ujar Danial Hakim dengan penuh bersopan namun ucapan Danial Hakim tidak sedikitpun memberi kesan pada Linda malah si gadis ini semakin menjadi-jadi. Linda sudah naik angin dan sekali lagi dia cuba menghayunkan tas tangannya. Hasryzal sudah berganjak tetapi tidak bagi Danial Hakim yang ketika ini sedang mempertahankan Hasryzal. Danial Hakim sanggup menjadi pengganti dan biarlah dirinya sahaja dipukul oleh gadis idaman asalkan sepupunya tak apa-apa.
“Lin!” Tiba-tiba tas tangan Linda diragut oleh Aleysa membuatkan Linda terperanjat.
“Lysa!” Bentak Linda memarahi Aleysa dan Lind atidka menyangka bahawa Aleysa sanggup meragut tas tangannya dari terus menghentam lelaki tak guna tu.
“Cukup Lin! Perangai kau ni macam budak-budak!” Aleysa memberikan semula tas tangan Linda lalu melangkah pergi meninggalkan mereka.
Linda kaku membatu. Danial Hakim terpisat-pisat sendiri manakala Hasryzal tidak menunggu lama lalu mengejar Aleysa setelah memandang ke arah Danial Hakim dan Linda dengan silih berganti.
***
“LYSA! Tunggu saya!” Pekik Hasryzal memanggil nama insan pujaan yang membawa langkah setelah bengang dengan Linda.
Aleysa tidak menghiraukan panggilan itu dan dia terus melangkah laju dan langkah itu dipercepatkan menunju ke tempat letak kereta.
“Lysa!” Tangan Aleysa disentap.
“Apa ni?!” Aleysa kurang senang lalau menyentap semula tangannya.
Hasryzal merenung ke dalam mata Aleysa yang jernih itu. Aleysa membalas renungan itu dengan pandangan meluat.
“Mungkin awak takkan pernah tahu bahawa saya tercari-cari awak di mana selama ni. Kenapa awak pergi tanpa mengirimkan khabar? Puas saya cuba hubungi awak tapi tak dapat. Sampai hati awak tukar nombor telefon.” Hasryzal meluahkan apa yang terpendam di hatinya sekian lama terbuku itu. Hakikatnya Hasryzal terlalu lama memendam perasaan namun sehingga sekarang sukar untuk dia menyatakan kebenaran sebenar.
“Saya tak nak awak bergaduh dengan kawan saya lagi.” Aleysa berdolak-dalik sengaja menukar topik.
“Saya bercakap tentang awak dan saya. Bukan tentang kawan awak yang banyak bunyi tu.” Hasryzal tidak berpuas hati setelah ucapannya dipertikaikan oleh Aleysa.
“Saya kurang suka dengan sikap awak dan...”
“Dan apa?”
“Dan saya...”
Aleysa tertunduk. Hasryzal cuba menguis dagu Aleysa namun Aleysa mengelak tidak mahu disentuh.
“Jangan sentuh saya.” Larang Aleysa hingga membuatkan Hasryzal terpana. Salahnya kerana telah menyentuh kulit suci itu. Selama ini Hasryzal memang tidak pernah menyentuh Aleysa. Entah kenapa terdetik di hatinya itu untuk memujuk Aleysa. Pujuk agar terpujuk memberitahu sebab sebenarnya.
Biarpun tadi dirinya diterjah oleh Linda namun peluang ini diambil untuk mengetahui akan sebabnya Aleysa menyepikan diri tidak lama dulu dan kenapa kini Aleysa muncul kembali? Dari jauh Linda dan Danial Hakim berpandangan sesama sendiri.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)