Entri Terkini :

Versi Cintamu - Bab 2

TERMENUNG di kaunter pembayaran melihat skrin komputer yang hanya terpampang Mozilla Firefox laman sesawang Google. Tiada apa yang diklik olehnya di situ. Bosan agaknya namun sukar untuk dia mencari erti di sebalik pertemuan itu. Susah untuk dia percaya cinta lalunya mengetuk dinding hatinya. Tidak disangkanya gadis yang dicintai sewaktu di kolej dulu muncul kembali setelah menghilang tanpa khabar berita.
“Ryzal! Termenung jauh nampaknya? Teringat kes tadi tu ke?” Suara Danial Hakim telah meranapkan lamunannya. Bayangan itu lenyap.
Hasryzal yang senang dipanggil dengan nama Ryzal itu menoleh ragu. Dia memandang Danial Hakim yang berdiri di hadapannya dengan penuh kesangsian. Pandangan itu bukanlah ditujukan buat Danial Hakim tetapi dia teringatkan kisah cinta lalu. Cinta remajanya yang terhenti separuh jalan.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Danial Hakim duduk.
“Takde apalah Danial, aku cuma tak sangka aje.”
“Aleysa muncul semula? Tapi jauh berbeza berbanding gambar yang kau tunjukkan pada aku sebelum ni. Sekarang dia semakin anggun dan cantik.” Ujar Danial Hakim memuji si gadis yang muncul di hadapan mata sewaktu insiden tengah hari tadi.
Hasil pujian itu membuatkan hati Hasryzal membenihkan rasa sayang terhadap Aleysa namun itu tidak mungkin akan terjadi. Hasryzal masih jauh ditinggalkan. Hatinya masih dihimpit keresahan. Adakah Aleysa sudah berpengganti?
“Kerana dia muncul bersama dengan perempuan yang sangat biadap. Bagaimana dia boleh berkawan dengan perempuan yang datang ke sini pada pagi tadi?”
“Maksud kau perempuan free hair tu dah datang sini ke? Kenapa aku boleh tak tahu?” Danial Hakim berkerut dahi. Biasalah tu kerana wujud kebarangkalian bahawa Danial Hakim telah jatuh hati pada pandangan pertama.
“Bagaimana kau nak tahu sedangkan kau tidur dekat belakang sebelum ayah kau datang?”
“What ever. Aku tak tidur tapi sembelit.”
“Alasan.”
“Tapi kan Ryzal, perempuan tu cantik. Bagi aku kedua-duanya cantik. Kau rasa mereka berdua tu saudara mara terdekat ke atau hanya sekadar kawan aje?” Danial Hakim sudah mula mempamerkan minat ingin tahu.
“Kau suka pada Aleysa?” Hasryzal jujur bertanya.
“Lor, untuk apa? Dia kan ex-girlfriends kau.”
“Adakah dia pernah berkasih dengan aku sebelum ni?” Hasryzal sudah mula kekok. Dia mengeluh berat memandangkan Danial Hakim membuat andaian bahawa Aleysa adalah bekas teman wanitanya sedangkan tidak pernah dia berkata Aleysa itu adalah kekasihnya. Cinta yang tidak serius bukannya ada lafaz setuju. Belum pernah kata ‘Ya’ terpacul dari bibir Aleysa kepadanya. Hasryzal ketika itu hanya syok sendiri sahaja. Malu pula untuk dia berkata tidak kerana dalam hatinya terlalu sayang. Sayang yang tidak terucap.
“Jadi dia bukan kekasih hati kau ke? Nampaknya bolehlah aku cuba kedua-duanya sekali?”
Hasryzal terus menunjukkan buku limanya di hadapan mata Danial Hakim. Nampak jelas di hati masih mahu namun kenapa Aleysa wujud di mata selepas bertahun menyepi? Pertanyaan itu menghambat ruang minda Hasryzal ketika ini. Danial Hakim pula menarik nafas dalam-dalam setelah melihat penumbuk yang telah dipersembahkan oleh Hasryzal itu. Dengan perlahan-lahan Hasryzal menjatuhkan tangannya.
Danial Hakim senyum sinis. Sengaja menyindir dan dia bukannya mahu merampas cinta sepupu sendiri. Semua itu sekadar bergurau sahaja. Takkanlah Hasryzal begitu serius dengan celoteh Danial Hakim ketika ini?

***

DARI tadi lagi wajahnya muram. Selepas bertentang mata dengan insan yang pernah ditinggalkan tanpa berita telah menjadikan dirinya dihambat keresahan dan dipukul serba salah malah dia tidak tenang. Saat ini Aleysa hanya menghadap skrin komputer riba itu sekadar melepaskan pandangan matanya sahaja sedangkan fikirannya menerawang jauh.
Pada petang ini Aleysa berkurung sepi di dalam bilik. Dia baru sahaja menyewa di sini sejak empat hari yang lalu. Dia mahu mulakan hidup berdikari setelah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat swasta sebagai pegawai promosi bagi syarikat pengiklanan yang terkemuka. Dia tidak perlu susah mencari rumah kerana sahabat baiknya sedia membantu menyewakan bilik di dalam rumah teres ini.
Tiba-tiba lamunan Alyesa berkecai tatkala pintu biliknya diketuk. Dia tahu orang yang sedang mengetuk pintu itu sudah pasti kawannya. Tiada orang lain lagi melainkan mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah ini. Jika dia tiada, sudah pasti kawannya itu tinggal sendiri.
Dengan rasa malas dia bangun dari meja tulis. Dia segera melangkah menuju ke pintu biliknya dan dengan tangannya yang lemah serta sesusuk tubuh yang tidak bermaya gara-gara diserang rindu bercampur rasa bersalah terpaksa dikuatkan juga. Tombol pintu dipulas dan dikuak perlahan lalu terpampang si gadis moden di hadapan Aleysa.
“Jom keluar.”
“Ke mana pulak ni?”
“Dinner.”
“Masih awal lagilah Lin. After Maghrib, boleh?”
“Masak sendiri atau nak ikut?”
“Jika itu pilihannya maka kita masak sendiri. Okey?” Aleysa meberikan jawapan namun Linda menjuih bibir. Sudah pasti dan apa yang nyata di sini Linda tidak tahu memasak. Linda cuba berdalih.
“Apa kata kita makan dekat luar dulu dan lain kali kita masak.” Kata Linda mengetap bibir lembutnya.
Aleysa menarik tangan Linda lalu dibawa duduk di birai katil. Aleysa merenung ke arah Linda dengan ekor matanya dilayukan dan berkelip pula selepas itu.
Tangan Linda diramas perlahan oleh Aleysa lantas Linda tunduk. Sudah pasti Aleysa ingin membicarakan sesuatu atau mungkin juga hal tengah hari tadi masih mahu diperkatakan. Linda malas nak fikirkan lagi kerana dia tetap tidak berpuas hati dengan mulut laser si lelaki tak berinsuran itu.
“Lin... ruginya kita ni kalau jadi perempuan yang tak tahu memasak. Kalau kau tak tahu memasak katakan sahaja tak tahu Lin. Marilah kita sama-sama ke dapur siapkan makan malam.” Ucap Aleysa perlahan meskipun dia tahu bahawa Linda seorang yang mudah melenting namun dia cuba sedaya upaya melembutkan hati kawan baiknya itu dengan melembutkan lidah dalam bersuara. Dia tidak mahu berkasar.
Linda mula berkerut dahi. Sangkaannya tadi meleset sama sekali. Jika Aleysa mengungkap apa yang terjadi pada tengah hari tadi sudah pasti dia akan lebih marah namun mujurlah hal ini diperkatakan oleh Aleysa. Sungguhpun begitu, kata-kata Aleysa itu seperti memerli dirinya.
“Bukan aku tak tahu memasak Lysa, aku cuma tak nak...”
“Tak nak tangan kau jadi kasar? Rosak terkena sabun bila mencuci? Itu bukan soalnya Lysa, dari dulu lagi kau tak suka memasak. Bagaimana bila kau kahwin nanti? Takkan hari-hari kau nak belikan nasi bungkus untuk suami kau nanti?” Alyesa cuba memujuk Linda supaya tidak terlalu mementing gaya dari tanggungjawab terhadap diri sendiri. Bukankah memasak itu sinonim dengan perempuan? Itulah yang seringkali Aleysa simpan dalam kotak fikirannya.
“Ala kau ni Lysa... macam kau tak tahu aku. Sejak dari sekolah rendah sampai sekarang kita berkawan cuma aku tak berapa minat nak memasak. Macam mana dengan kerja di tempat baru kau tu?”
“Sudah berpuluh kali kau tanya soalan yang serupa Lin.” Aleysa tahu Linda cuba untuk lari dari landasan sebenar. Sengaja mahu mengelak.
“Tapi kau dengan lelaki tu ada apa-apa ke?” Linda memancing dengan berdalih.
“Lin,”
“Okey.” Linda ingin tahu sahaja tetapi Aleysa kurang suka. Mata coklat Alyesa itu bersinar ditahan dari terus mengalir. Aleysa cuba tabah. Aleysa tidak boleh jadi selemah ini. Dia juga menahan sebak di dada kerana dia tidak mahu menangis gara-gara kenangan lampau di hadapan Linda.
Linda melepaskan keluhan. Aleysa tidak mampu meluahkan apa-apa kepada Linda biarpun Linda sedang berusaha ingin tahu. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicari sebab kenapa dan mengapa namun setiap persoalan pasti ada jawapan. Linda perlu rajin dan berusaha memenangi hati kawan baiknya itu yang telah lama menghilang kini muncul kembali.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.