Merangkak dalam rindu yang terbuang dan mungkinkah cinta masih ada? Keluhan demi keluhan sayang yang terbiar dilepaskan oleh Hasryzal yang kini dihambat dan dipukul hampa kerana seringkali dipanah oleh rasa rindu yang mendalam. Rindu ingin berbicara dengan gadis yang menjadi idaman kalbu. Oh Aleysa jiwaku kelam tanpa hadirmu di mataku. Sehari tidak ku lihat senyum manismu itu bagaikan hilang warna hidupku. Hati Hasryzal berlagu sepi kerana rindu itu. Rindu dan cinta terhadap Aleysa belum lagi terbayar.
“Macam mana ni? Dah berpuluh-puluh kali aku call dia tapi masih tak berjawab. Dia ni tak nak bercakap dengan aku ke? Apa salah aku padanya hingga dia menghukum aku macam ni? Selama ni dia menghilang cukup meresahkan hati aku yang sedia sepi dan sunyi tanpa gelak dan ketawanya menghiasi hari-hari ku. Aleysa... kenapa kau bersikap begini terhadapku?”
Hasryzal berkata-kata seorang diri sambil memandang sepi pada telefon bimbitnya. Akhirnya dia terkilan lantas diletakkan telefon itu di atas meja. Dia merenung pula ke arah komputer dan kemudiannya tangan kanannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Di situ dia mengeluarkan sesuatu. Benda itu dicucuk pada USB Port pada CPU. Apa lagi kalau bukan pendrive. Dia terasa rindu sekali lalu dia melihat gambar-gambar yang tersimpan di dalam pendrive berwarna biru gelap jenama Kingston itu. Satu persatu dikliknya.
“Cantiknya kau Aleysa... Sekarang kau lebih cantik. Jauh lebih cantik. Biar bagaimanapun keadaannya aku tetap mencintai kau Aleysa.” Katanya lagi.
Hasryzal sudah kemaruk cinta. Cintanya pada Aleysa bagaikan sebuah lautan yang luas. Dalamnya rindu itu seperti dalamnya lautan mencecah dasar yang tak terjangkau. Lelaki ini begitu memendam rasa tak terluah dengan kata-kata tatkala dia berhadapan dengan Aleysa sebelum ini. Pertemuan yang tak terduga memberikan senyuman manis untuk dirinya. Tetapi penolakan Aleysa itu sedikit sebanyak meruntun jiwanya. Jiwa yang kerinduan dimamah kesepian yang terlampau. Dia mengharapkan Aleysa sudi menerimanya nanti.
“Eh Ryzal.” Hasryzal terkejut dan lamunannya sebentar tadi berkecai. Cepat-cepat dia tutup tetingkap gambar Aleysa pada skrin monitor komputer itu. Terpisat-pisat Hasryzal sambil tersengih menoleh Danial Hakim di belakangnya.
“Ye Danial.”
“Amboi jiwang karat merenung gambar awek. Kau rindukan Lysa ke? Call lah dia.” Kata Danial Hakim.
Danial Hakim baru tiba di situ dan kehadiran Danial Hakim langsung tidak disedari oleh Hasryzal kerana lagut menelaah gambar-gambar Aleysa cinta hatinya. Kalau beginilah lagak Hasryzal, kalau orang lain masuk dengan niat mencuri memang Hasryzal tidak dapat berbuat apa-apa kerana tak akan perasan.
“Memang aku rindukan dia Danial tapi belum tentu dia pun rindukan aku.” Lirih dana Hasryzal.
“Kau takkan tahu kalau kau hanya melepaskan rindu padanya dengan memandang gambar-gambar itu. Sampai bila kau nak pendamkan perasaan kau ni Ryzal. Bagaimana kalau dia dirampas orang? Putih mata kau nanti.” Danial melabuhkan punggungnya.
Kata-kata Danial Hakim membuatkan Hasryzal sedikit tersentak. Dia tidak mahu Aleysa dimiliki oleh sesiapa melainkan dirinya. Hasryzal berdoa di dalam hati agar jodohnya diketemukan pada Aleysa. Dia mahukan Aleysa menjadi suri dalam hidupnya. Dia sendiri tidak yakin sama ada Aleysa sudah berpunya ataupun belum. Namun dia berharap Aleysa bukan milik sesiapa lagi.
“Susah aku nak beritahu dia. Sekarang ni aku pening kerana sudah banyak kali aku call tapi tak dilayan. Kau pun tahu sebelum ni katanya asyik salah nombor je. Aku yakin nombor telefon ni memang nombor dia tapi dia sengaja tak nak layan dan tak nak mengaku.” Ujar Hasryzal sedikti kecewa.
“Kalau macam tu bak sini telefon kau.” Danial Hakim terus mengambil telefon yang Hasryzal yang ada di atas meja itu. Dengan pantas Danial Hakim mendail nombor telefon yang tertulis nama Aleysa Mysara.
Hasryzal cuba menghalang tetapi di hatinya terpaksa pasrah. Mungkin cubaan ini akan berjaya. Barangkali Danial Hakim dapat membuktikan kebenaran. Hasryzal berkerut dahi dengan tiba-tiba sebaik sahaja Danial Hakim meletakkan semula telefon bimbit itu.
“Kenapa Danial? Kenapa kau tak call dia?”
“Kalau aku pakai telefon kau sudah pasti dia tak nak layan. Sekejap.” Danial Hakim mengambil telefon bimbitnya pula lantas didail nombor itu.
Hasryzal memuncungkan mulutnya. Sungguh terpaksa memerhati keadaan ini meskipun di hatinya tidak sabar-sabar lagi mahu bercakap dengan Aleysa. Minta-minta panggilan itu berjaya.
***
DENGAN tergesa-gesa dia menjawab panggilan itu. Sudah lama dia menunggu panggilan balas daripada seorang yang berjanji mahu menghubunginya.
“Ini mesti dia yang call. Hello...”
“Hello, ini panggilan daripada butik pakaian berjenama. Boleh saya bercakap dengan Aleysa Mysara?”
Eh? Linda berkerut dahi. Suara seorang lelaki lembut kedengaran di hujung talian. Linda sendiri terperanjat kenapa pula ada panggilan daripada butik pula ni? Jangan-jangan salah nombor, fikir Linda ketika medengar ucapan itu.
Linda berkira-kira mahu mengakuinya kerana dia ingin tahu apa pula Aleysa lakukan sehingga panggilan daripada pihak butik diterimanya. Bagaimana pula keputusan Linda? Kenapa Linda pula yang menerima panggilan itu? Salah nombor ke? Linda keliru namun otaknya pantas bekerja dan mencari alasan yang sangat drastik.
“Ya saya Aleysa Mysara.” Linda terpaksa berbohong demi mendapatkan jawapan.
“Maaf ya Puan Aleysa Mysara kerana menganggu puan pada pagi ni.”
Eh, puan? Linda terpisat-pisat.
“Maaf, saya cik bukannya puan.”
“Maafkan saya sekali lagi Cik Aleysa Mysara. Saya Erna daripada Butik DyMaya Collection nak mengaturkan pertemuan cik dengan bos saya. Boleh ke cik jumpa kami pada tengah hari nanti untuk membincangkan tempahan pakaian pengantin.” Ujar Erna.
Linda bersetuju akhirnya. Panggilan itu ditamatkan setelah dinyatakan lokasi mereka patut bertemu. Linda kehairanan dengan panggilan itu dan dia tidak berpuas hati. Di dalam hatinya berasa pelik sekali.
“Aleysa nak kahwin ke? Kenapa aku pulak yang terima panggilan ni? Salah nombor ke orang ni?” Linda tertanya-tanya sendiri.
***
APABILA sakit mata memandang maka hati pula pedih dipalu geram. Geram dengan Encik Zamarul yang semakin rancak beremosi terhadapnya. Bukannya dia bersalah dalam hal yang lepas. Itu cuba batasan keadaan. Sudah berkali-kali dia terangkan namun Encik Zamarul tak percaya malah menduduh dirinya pembohong dan tidak tepati janji. Aleysa tidak puas hati kerana diminta berjumpa dengan Encik Zamrul oleh Encik Sobran rupa-rupanya untuk membincangkan hal peribadi. Sungguh tertekan Aleysa ketika ini. Memang awal-awal mereka berbincang soal kerja tetapi selepas Encik Sobran disuruh keluar maka Aleysa diminta tunggu seketika.
“Bos, kenapa bos tak nak percaya cakap saya?”
“Saya perlukan seratus alasan lagi daripada awak dan barulah saya percayakan cakap awak. Saya terkilan dan hari ini saya masih terasa hati dengan tindakan awak membatalkan janji untuk hadir ke rumah saya.” Kata Encik Zamarul.
“Saya dah beritahu, malam tu tayar kereta saya pancit kemudian enjin kereta pula tak hidup. Bos fikir saya ni suka sangat ke beralasan? Ini kenyataan.” Balas Aleysa bekerut dahi. Dia masih tidak meninggikan suaranya atas sebab hormat. “Sepatutnya bos tak perlu ungkit lagi.” Sambung Aleysa lagi.
“Bagaimana saya tak mengungkit kerana inilah pertama kali saya dibohongi oleh wanita muda macam awak. Selama ni saya tak pernah ditipu tapi kini menjadi sejarah dalam hidup saya.” Ujar Encik Zamarul yang memang sengaja menyakiti hati Aleysa. Senang-senang sahaja menuduh Aleysa pembohong. Terlalu berat tuduhan itu.
Aleysa mengumam geram dalam hatinya. Encik Zamarul sudah melampau. Melihat senyum sumbing Encik Zamarul itu ternyata dirinya sengaja disakiti. Aleysa tidak tahan lagi.
“Bos! Jika bos tak percayakan saya lebih baik saya berhenti kerja! Saya memang tak boleh kerja di sini jika tidak semena-mena saya dihukum hanya atas dasar hal peribadi. Bos tak profesional langsung! Saya tak sangka bos seorang yang berfikiran negatif!” Bentak Aleysa dan terus bangun. Dia benar-benar kecewa dengan bosnya itu. Biarlah dia berhenti kerja sahaja dari terus dituduh melulu. Lebih baik dia cari kerja lain sahaja dari kerja di tempat ini.
Dengan pantas Aleysa melangkah mahu meninggalkan Encik Zamarul bos yang mudah meradang dan berkata sinis terhadap dirinya.
“Lysa!” Pekik Encik Zamarul.
Aleysa mematikan langkahnya lalu menoleh semula lalu dia merenung tajam ke arah Encik Zamarul dengan pandangan meluat.
“Bos miang keladi!” Tempelak Aleysa lantas beredar membawa perasaan yang terluka, benci dan menyampah. Semua itu telah bercampur dan menjadi satu menyeksa jiwa.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)