Entri Terkini :

Versi Cintamu - Bab 14

CAKAP pasal cinta mana ada habisnya. Fikirlah seratus kalipun tetap begitu. Faham sangat dengan ceramah percuma Danial Hakim yang tak bertauliah kala bercakap. Dia sendiri pun tak faham tentang cinta tapi ada hati nak menerangkan soal cinta dan kebahagiaan kepada Hasryzal yang jauh lebih jiwang.
Lihat langit itu biru warnanya. Danial Hakim celaru memikirkan soal cinta sepupu sendiri. Hasryzal pula malas nak banyak cakap, berbuih mulut pun dia tetap kata ‘Aku rindu padanya’ sampai mati tak dapat-dapat kerana dia mengharap bulan jatuh ke riba. Dapat ke?
Nak yang cantik menarik tertarik? Aleysa seorang sahaja dalam hatinya. Tengah hari ni ke mana pula? Mestilah pergi jumpa si dia. Soal pertemuan? Danial Hakim dah aturkan.
“Tak apa ke tutup kedai lama-lama?” Hasryzal masih bimbang.
“Kita kan nak pergi lunch dan dalam masa yang sama kita nak jumpa orang kan. Jumpa dengan Aleysa, kau tak nak ke?” Dengan pantas Hasryzal anguk laju-laju setelah disoal oleh Danial Hakim. “Ingat Ryzal. Cinta tu macam bola. Kalau kau salah tendang keluar gelanggang, habislah...” Sambung Danial Hakim lagi.
“Macam mana dengan tendangan sudut?” Hasryzal bercakap dari dalam hati yang tulus biarpun ada sedikit keraguan. Ragu bila ada yang meragui cintanya.
“Penalti pun tak lepas.” Danial Hakim mengerling mata.
“Bagaimana pulak dengan waktu kecederaan?” Hasrzyzal beralasan lagi supaya dia ada peluang untuk menang. Hatinya mahukan peluang dapat diberikan. Aleysa tidak akan tahu selagi dia diam. Aleysa tidak akan mengerti selagi dia merindui dari jauh.
“Jika cinta tak akan kesampaian siapa yang merana? Susah hidup macam ni. Rindu dan cinta aku pun tak tahu nak terangkan tapi selagi rindu itu ada maka rasa cinta turut bersama.” Ujar Danial Hakim berkerut dahi.
Perlahan-lahan Hasryzal mengangguk lagi. Akan tetapi dalam bicara Danial Hakim itu telah membuatkan Hasryzal berfikir bahawa Danial Hakim kerap bercakap tentang cinta. Cinta pada gadis cantik. Pandai pula bercakap sampai setiap tutur kata Danial Hakim akan menusuk ke otak Hasryzal. Bukan main lagi Danial Hakim bersungguh-sungguh membantu Hasryzal Hakim untuk mendapatkan Aleysa dan sedikit pun tidak Hasryzal mencurigai hal itu namun ada perkara yang tidak diketahuinya. Apakah Danial Hakim juga jatuh cinta? Fikir Hasryzal.
“Akulah yang akan merana.” Balas Hasryzal.
“Tahu pun dan aku juga merana kalau kau hidup merana. Sebabnya kau tu kerja sekali dengan aku, takkan hari-hari aku nak tengok kau termenung aje Ryzal. Tengok muka kau layu sejak bertemu semula dengan Aleysa tu aku jadi kasihan.”
“Yelah Erna. Ha ha ha!” Hasryzal gelak sakan kerana Danial Hakim mempamerkan sikap ambil berat. Rasa lucu pula bila Danial Hakim berbicara bagaikan seorang pakar cinta.
“Kenapa kau gelak? Aku buat semua ni sebab nak kau gembira.”
“Atau sebab Linda?”
“Chait!” Danial Hakim memperlahankan kenderaannya sebaik sahaja terlihat lampu isyarat bertukar kepada warna merah.
Boleh jadi Danial Hakim bersungguh-sungguh kerana Linda. Hasryzal sedikit sebanyak dapat membaca gerak geri hati Danial Hakim itu. Dia tahu dalam hati Danial Hakim ada taman. Taman bunga yang sungguh harum. Begitu juga dengan hatinya. Hatinya ada taman bunga yang mekar mengharum dan dia mahu Aleysa selesa berada di taman itu.
Hasryzal berdebar-debar pula. Dia tahu sekejap lagi mereka berdua akan sampai. Di hatinya juga terdapat rasa tidak sabar menatap wajah Aleysa namun disebalik debaran itu tersembunyi rasa bimbang dan takut. Ternyata Hasryzal tidak berupaya melawan rasa itu kerana selagi tidak terlafaz kalimah suci itu maka dia akan terus dirasuk sunyi yang mendera jiwa.
Jika dulu dia berani berkata ya dalam setiap hal tapi dalam cinta ini sungguh gerun mendapatkan jawapan. ‘Tidak’ jika gagal bagaimana? Menangis tidak berlagu jadinya. Hasryzal melemparkan pandangan matanya ke sisi kiri. Dia merenung tajam ke arah sebuah kereta.
‘Takkan dia tak perasan kut? Mungkinkah itu dia? Keretanya sama.’ Hasryzal berkerut dahi kerana terlihat kereta yang pernah dilihatnya sebelum ini. Dia cuba meneliti wajah itu. Kereta itu bersebelahan dengan kereta Danial Hakim. Kereta Wira Aeroback kini bersebelahan dengan kereta yang direnung Hasryzal.

***

            HARITH QAMAL menyembunyikan wajahnya. Wajah itu berpaling dari Linda yang ketika ini sedang memegang stereng kereta. Ternyata Harith Qamal takutkan sesuatu. Barangkali mereka sedang diperhatikan dan Harith Qamal merasainya maka mencuri pandang. Oleh itu dia berasa terkejut.
“Kau ni kenapa Harith?” Linda menoleh ke arah Harith Qamal yang berada di sisinya. Harith Qamal turut berada di dalam keretanya kerana ingin dibawa bersama berjumpa dengan Erna. Semua ini kerana sifat ingin tahu yang mendalam. Kenapa harus dibawa Harith Qamal bersama? Mungkinkah Linda mahu Harith Qamal menjadi saksi? Barangkali benar.
“Tak ada apa-apa.” Jawab Harith Qamal namun Linda merasakan Harith Qamal melihat sesuatu lantas cepat-cepat dia menoleh maka mulutnya terus terlompong luas. Dia kenal kereta Wira Aeroback itu. Dan seseorang yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu itu terus berpaling wajah.
Linda memandang semula ke arah Harith Qamal. Dia merenung geram. Barangkali ingin melepaskan geram terhadap orang lain pula.
“Macam mana kawan baik kau boleh wujud di hadapan mata aku pulak ni? Geram sungguh aku tengok muka dia.”
“Janganlah tengok.” Kata Harith Qamal. “Tu lampu dah hijau. Jalanlah.” Beritahu Harith Qamal lagi.
Sekali lagi Linda menoleh namun terkejut besar kerana wajah yang dilihatnya sungguh buruk pula. Dia melihat lelaki itu sengaja memburukkan rupa menjelirkan lidah. Gara-gara Linda disindir dengan mimik wajah itu maka dengan pantas tangannya menekan hon. Bunyi hon itu membuatkan Harith Qamal pula kehairanan.
“Bos! Bingitlah telinga. Jalanlah, lampu dah hijau.”
‘Ping!!’ kedengaran kereta di belakang pula bunyikan hon. Mereka perlu bergerak kerana lampu sudah bertukar hijau.
“Jaga kau Ryzal!” Geram Linda.
“Sabar bos.”
“Mana boleh sabar! Kau tak nampak ke dia perli aku?” Ujar Linda dengan perasaan tidak puas hati.
Ekor mata Linda hanya memerhati sahaja kereta Wira Aeroback itu mendahuli mereka. Biarlah kereta milik Danial Hakim itu berada di hadapan. Linda tak mahu tengok muka Hasryzal yang menyakitkan hati.
“Aku geram tahu tak? Kalau hensem tak apalah jugak.”
“Not your taste kut, jadi bos boleh cakaplah macam tu tapi bagi saya  si Ryzal tu sangat tampan.”
“Are you gay Harith?!” Linda memberhentikan keretanya di bahu jalan.
“Saya bukan orang seperti tu. Apa ni main tuduh-tuduh? Bosanlah asyik orang kata saya ni gay je. Tahulah saya belum ada awek tapi janganlah kata saya ni gay. Minat saya masih ke arah perempuan. Saya berkawan dengan semua orang jadi tak bermakna saya juga gay. Saya ni nampak gay ke?”
“Sikit-sikit.” Kata Linda sambil mengerling mata.
“Laa! Kenapa berhenti dekat sini?” Tanya Harith Qamal hairan.
“Sebab nak suruh kau turun.” Beritahu Linda.
“Kenapa pulak?”
Linda merenung tajam ke arah Harith Qamal. Dia sebenarnya tak sedap hati kerana dia menjangkakan bahawa Harsryzal mungkin terlihat Harith Qamal. Bila sudah terlihat sudah pasti mereka akan fikir bahawa Harith Qamal terbabit dalam hal memperjuangkan sakit hatinya dan geram serta benci terhadap Hasryzal itu.
“Bos...” Harith Qamal merayu.
“Naik teksi. Aku menyesal dan tak fikir dulu sebelum bawa kau bersama. Nanti tak pasal mereka syak kau kuli batak aku!”
“Amboi kasarnya bahasa. Takkan sampai macam tu sekali gelaran bos berikan dekat saya? Kuli batak? Tak boleh diterima ni.”
“Kenapa? kau bukan kuli ke? Habis tu apa? Dah! Keluar sekarang. Kau boleh naik teksi atau bas. Terpulang pada pilihan kau.” Linda bersifat tidak adil dan tidak berkeperimanusiaan.
“Janganlah macam ni bos. Kenapa bos layan saya macam ni? Bos sungguh cantik di hati saya tapi bila bos bersifat seperti ni hilang sudah manisnya. Walau bagaimanapun bagi saya bos saya tetap seorang yang baik...”
“Ye ke? Aku cantik ke?”
“Pasti! Tengok pipi tu, gebu, bibir merah bak delima merekah. Semua perfect, rambut lurus teknik rebornding dan pakaian pula amat kena dengan susuk tubuh bos. Nampak anggun sekali tapi semua itu bagaikan lenyap kerana bos seringkali marah-marah saya.”
Pantang dipuji Linda sudah mula lembut hati. Sebentar tadi dia terburu-buru kita sudah kembali berbunga-bunga tatkala Harith Qamal memuji dirinya cantik. Akhirnya Linda mengukir senyuman.
Begitu mudah Harith Qamal menghalang amarah Linda buat kali ini meskipun Harith Qamal umpama telur di hujung tanduk, bila-bila masa sahaja akan pecah namun dia pantas mengubah keadaan. Dia cepat mengalihkan perhatian Linda yang menyinga itu. Di hati Harith Qamal tidak tahu siapakah insan yang berjaya jinakkan singa ini?
“Terima kasih... okey Harith... kau ikut aku tapi ingat jangan kata apa-apa. Jika jumpa dengan Erna nanti harap kau dapat rakam gambarnya. Aku nak kau ikut segala arahan aku.” Beritahu Linda sambil memasukkan semula gear keretanya cuma belum ditekan pedal minyak. Harith Qamal terus mengangguk faham. Dia menarik nafas lega kerana dapat meredakan bahang marah Linda sekejap tadi.
“Baiklah bos. Saya janji takkan hampakan harapan bos. Saya nak tengok bos sentiasa tersenyum. Jangan marah-marah tau tak comel.”
“Eh?”
“Ya bos sangat cute.” Puji Harith Qamal lagi.
Linda terkesima menerima pujian yang melambung tinggi dari Harith Qamal. Tidak disangkanya Harith Qamal memang murah dengan pujian dan senyuman. Dalam keadaan ini Harith Qamal sudah kembali mempamerkan ketenangan biarpun awal-awal tadi dia sedikit gelisah bila terlihat Hasryzal serta dihalau keluar pula.
Ketika ini Linda mencapai telefon bimbit yang terletak di atas dashboard tetapi terlepas pula. Maka terjatuh. Harith Qamal ingin membantu dan Linda pula cuba mengambil semula serentak dengan pekerjanya itu. Tiba-tiba ada perkara berlaku.
“Maafkan saya bos.” Harith Qamal terpegang tangan Linda sewaktu cuba untuk tolong mengambil telefon itu. Linda terpisat-pisat tatkala tangannya dipegang secara tak sengaja oleh Harith Qamal. Dengan pantas Harith Qamal melepaskannya semula.
Linda terkedu seketika dan tiada sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya selain dari ketapan bibir. Dia buat tak tahu lantas dia terus letakkan semula telefon itu. Dia tak jadi untuk menelefon Erna bagi memaklumkan dirinya sudah hampir tiba.
Timbul perasaan yang tak disangka di dalam hati Harith Qamal mengenai Linda. Linda sehingga saat ini buat tak tahu sahaja dan cuba mengalihkan perhatiannya dengan memikirkan apa yang berlaku selepas ini di antara dia dan Hasryzal. Dia bengang dengan Hasryzal. Mahu ditumbuk muka itu sampai lebam.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.