PAGI ini mereka bermasam muka. Masing-masing dahi berkerut-kerut. Aleysa bengang dengan Linda. Mahu ajak ke suatu tempat yang sangat istimewa konon. Balik-balik pusat karaoke juga Linda pergi. Mati-mati Aleysa fikir tempat yang istimewa itu adalah sebuah taman ke atau tempat yang mendamaikan tapi ternyata tempat yang membingitkan juga Linda pergi.
“Lysa...” Panggil Linda di saat masing-masing sudah siap untuk pergi kerja. Aleysa buat muka tak tahu sahaja sambil melangkah ke pintu hadapan. Tombol pintu dipulas laju.
“Lysa... janganlah merajuk dengan aku. Kau ni tak spoting ar.” Ucap Linda cuba memujuk Aleysa dan menghalang laluan Aleysa yang ketika ini mahu membuka pintu keretanya.
Dia tak nak cakap dengan Linda. Sakit hatinya memikirkan Linda mempermainkannya malam tadi. Sudahlah badannya letih ditambah lagi suara dengan pitching ke laut tatkala menyanyi malam tadi. Aleysa terpaksa pekakkan telinga biarpun dipekup dengan tangan sekalipun masih juga menembusi gegendang telinga akan suara Linda itu. Dia cuba bersabar namun apakan daya dia insan yang mudah berkecil hati.
“Lysa!” Linda memanggil Aleysa dan dia masih tidak menghiraukan panggilan itu dan dengan cepat dia menghidupkan enjin kereta Myvi putih miliknya itu setelah dikunci pintu rapat-rapat. Aleysa buat tak endah dan dia terus memasukkan gear dan berlalu dari halaman rumah. Pintu pagar memang sedia terbuka sejak awal pagi tadi ketika Aleysa bangun menyiram pokok bunga di halaman.
***
“AKU tengah angin ni. Kau jangan asyik nak minta wang aje! Selesaikan kerja kau tu dulu kemudian aku akan bagi kau wang. Aku nak kau ajar dia cukup-cukup.” Linda terbawa-bawa masalahnya dengan Aleysa sampai ke pejabat. Tidak hanya hal itu semuanya menjadi satu tatkala terbayangkan wajah Hasryzal di hadapan mata. Ketika ini pula seorang pekerja yang taat setia sedang berdiri di hadapannya sedang meminta wang.
“Saya tak ada duit ni bos.”
“Kau ni memang boros gila Harith! Baru aje aku bagi kau RM1000! Dah habis ke?” Soal Linda kepada Harith. Sebelum ini Linda merasakan sukar untuk menggunakan khidmat Harith Qamal untuk menyakiti hati Hasryzal namun ternyatalah begitu mudah dia memancing Harith Qamal dengan wang sahaja.
Seorang yang pernah berkawan baik dengan Hasryzal telah mengkhianati persahabatan. Telah memutuskan tali persahabatan hanya kerana ditegur? Rasanya itu tidak. Memang Harith Qamal diminta berbuat sedemikian kerana menghambakan dirinya pada wang. Harith Qamal diupah oleh Linda. Peluang ini digunakan oleh Linda sepenuhnya. Adakah Harith Qamal tegar memusuhi Hasryzal berterusan? Tidak dapat dipastikan dan hanya Linda sahaja dapat putuskan apa yang Harith Qamal perlu lakukan. Jika tidak, Harith Qamal akan dipenggal kepalanya kerana berhutang terlalu banyak. Hutang terhadap Linda mesti dibayar secepat mungkin jika tidak menurut arahan.
“Saya buat bayar hutang.”
“Kau memang banyak hutang keliling pinggang Harith! Sejak kau kerja di sini hari-hari kau nak pinjam! Kerjanya malas! Kalau bukan kerana kau ni masih ada manafaatnya memang dah lama aku pecat kau!” Marah Linda.
Akan terkontang-kantinglah Harith Qamal mencari kerja baru jika dibuang kerja. Mana dia nak cari duit untuk membayar saki baki hutang-hutangnya itu? Ah Long pasti mencarinya. Padah meminjam wang dari Ah Long. Setiap hari dan saat sentiasa diburu. Dari memakai kereta terpaksa pergi kerja naik bas gara-gara membayar hutangnya. Pembayaran yang dibuat pada sebelum ni hanya mampu membayar bunganya sahaja. Mujurlah Linda datang membantu dan dia terhutang budi pula terhadap Linda. Lepas beres membayar hutang, dia tak pernah serik, dia berhutang lagi. Memang begitulah sikap Harith Qamal yang pendek akalnya.
“Nak main kasar dengan aku ke tenung aku macam tak puas hati je?” Marah Linda.
“Apa ni bos. Saya tenung sebab rasa pelik sangat.”
“Apa yang peliknya?”
“Bos tak perasan ke dari tadi staff-staff lain duk perhatikan bos?” Soal Harith Qamal.
Linda sudah rasa lain macam. Dia tertanya-tanya apa yang dia tak perasan pula? Memang masa dia mula-mula sampai tadi ada di antara pekerjanya tersengih-sengih sahaja.
“Apa yang tak kena?”
“Tu.” Harith Qamal memuncungkan bibirnya.
“Apa?!” Bentak Linda tak berpuas hati kerana Harith Qamal yang tidak memberitahunya tapi sebaliknya hanya menunjukkan isyarat bibir sahaja.
Linda tercari-cari arahnya. Dia tak tahu. Harith Qamal buat muka selamba pula sedangkan Linda mahukan jawapan.
“Anting-anting yang bos pakai tu. Kenapa lain sebelahnya?” Soal Harith Qamal lagi.
Cepat-cepat Linda mengeluarkan cermin kecil di dalam tas tangannya. Dia tenung dalam-dalam dan barulah dia terlihat anting-antingnya berbeza. Aduhai buat malu sahaja.
“Kau gelakkan aku ke Harith! Sedikit pun kau tak prihatin?”
“Mana ada bos. Lucu je tengok. Saya tak gelakkan bos pun. Jangan marah ye bos. Kalau marah-marah begini hilang manisnya.”
“Ini fesyen baru! Kau apa tahu?! Semua benda kau nak peduli! Kau buat kerja kau! Pergi! Semua lelaki memang manis mulut, lidah tak bertulang.” Linda menahan rasa malu.
“Bos, kalau lidah ada tulang macam mana nak bercakap? Pelik tu bos.” Ucapan Harith Qamal membuatkan wajah Linda berubah merah.
“Kau loyar buruk ye?! Dah! Keluar sekarang!” Marah Linda lagi yang sudah sakit hati dipermainkan oleh kata-kata Harith Qamal itu.
“Kalau ya pun berilah pinjam wang dulu.” Pinta Harith Qamal. Sering sahaja tidak mahu mengalah dan masih ingin meminjam di saat Linda sudah angin satu badan. Linda merenung tajam ke arah Harith Qamal yang dianggap begitu menjengkelkan. Dalam sedar atau pun tidak Harith Qamal masih menguntum senyuman di dalam hati. Berbicara dengan kalimah yang menyakitkan hati biarpun banyak terhutang budi.
Linda tetap menahan gelora perasaan malunya yang begitu dalam meskipun ketika ini dia sedang berpura-pura. Bukan mudah mengawal perasaan itu kerana terpaksa mengutamakan perasaan marahnya. Marah dengan diri sendir yang terlalu cuai. Sudah pasti aku nampak seperti badut kerana memakai anting-anting begini, ucap hati Linda.
“Nanti aje! Sekarang kau sila keluar, cepat!” Arah Linda keras.
Harith Qamal berundur sambil menahan tawa. Memang dari tadi lagi dia mahu tertawa dan sebaik sahaja dia melangkah keluar, akhirnya dia terbahak-bahak. Pekerja yang lain juga terbahak-bahak ketawa dan sibuk bergosip.
***
“CIK Aleysa... sila ke pejabat saya sekejap.” Kedengaran suara dari alat interkom sedang memanggil dirinya supaya ke bilik bos. Sudahlah semalam Encik Sobran bising-bising. Hari ini dipanggil lagi. Untuk apa? Adakah kerana hasil kerjanya tidak bagus? Atau mungkin Encik Sobran ada sebab lain. Aleysa dengan segera bangun dan melangkah ke pejabat Encik Sobran.
Setibanya di hadapan pintu pejabat Encik Sobran berkepala botak itu, Aleysa mengetuk pintu. Sudahlah semalam disuruhnya Nani datang menjemput meskipun alat interkom sedia wujud. Sengaja suka berpesan-pesan. Memang begitulah sikap Encik Sobran kepala botak yang amat Aleysa geram.
“Masuk.” Arah Encik Sobran. Aleysa membuka pintu. “Hah Lysa. Jemput duduk.” Aleysa disuruh duduk. Hari ni memang Aleysa tidak senang hati. Masih terbawa-bawa juga hal semalam seperti Linda yang bermasalah di tempat kerjanya. Di sini pula Aleysa banyak mendiamkan diri.
“Ada apa Encik Sobran panggil saya?”
“Sila duduk dulu. Tak lenguh ke?”
“Encik... tolong teruskan apa yang penting sangat ni?”
“Awak masih marahkan saya ke?”
“Encik, itu bukan soalnya.” Aleysa tegas.
Encik Sobran tersengih-sengih. Aleysa benci melihat senyuman itu. Senyuman gatal. Senyuman miang. Kenapa ramai sangat lelaki miang di pejabat ni? Soal Aleysa dalam hati.
“Amboi, garang sangat awak pagi ni. Kalau macam tu mari ikut saya.” Ajak Encik Sobran.
“Ke mana?”
“Ke bilik tuan pengarah urusan company ni.” Kata Encik Sobran.
Aleysa terpisat-pisat. Lagi satu masalahnya. Aleysa disuruh masuk ke bilik orang tua miang seorang lagi. Ada apa saja mereka ni? Pagi-pagi dan mula nak atur itu dan ini. Aleysa sudah mula rimas. Terlalu banyak kerja untuknya ke? Sungguh panas membara hatinya.
Sepatutnya Aleysa tidak boleh merasakan sedemikian rupa. Dia perlu bijak mengawal situasi. Namun malangnya tragedi dirinya dimarahi oleh tuan pengarah semalam itu juga begitu meninggalkan kesan.
Mahu atau pun tidak, Aleysa perlu menurut arahan. Dia masih mempunyai bos lagi di atasnya. Pihak atasan lebih berkuasa darinya. Dia harus menurut perintah jika tidak hasil kerjanya akan bertambah buruk serta imejnya pasti tercalar.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)