DI kamar dia menyepi selepas Danial Hakim telah pulang. Ketika ini dia cuba menghubungi insan tercinta. Insan yang dirinduinya, Aleysa. Aku mengharapkan dikau memberi aku ruang dan peluang untuk aku mencintaimu, kata hati Hasryzal. Akhirnya dia terus menekan butang hijau pada telefon bimbitnya di saat matanya kabur selepas termasuk habuk.
Hasryzal menunggu panggilannya dijawab. Matanya yang kabur tadi sudah semakin pulih dan panggilan itu segara dijawab. Hasryzal sempat menoleh sekilas pada jam dinding, sudah pukul 10.45 malam.
“Assalamualaikum... boleh saya bercakap dengan Aleysa.”
“Aleysa tak ada. Awak salah orang ni.”
“Kenapa saya selalu salah orang je ni?” Soal Hasryzal pula.
Suara manis si gadis kedengaran dihujung talian sedang berbicara dengannya. Hasryzal geram sejak semalam lagi dia asyik salah nombor. Memang betullah nombor telefon Aleysa yang diambilnya dari kedai topup. Waktu tu dia nampak Aleysa sedang tambah nilai dan orang kedai itu meminta Aleysa meninggalkan nombor telefon berserta jumlah tambah nilai. Selepas Aleysa berundur cepat-cepat dia bertanya pada si penjual tembah nilai itu. Sungguh kebetulan namun kenapa salah pula? Adakah Aleysa isikan tambah nilai untuk orang lain? Hasryzal kebingungan.
“Mana saya tahu, kesilapan tu berpunca dari awak, bukannya saya.” Ujar si suara itu.
“Tapi boleh saya tahu siapa ni?” Soal Hasryzal lagi.
“Awak yang telefon saya awak tanya pula siapa saya?”
“Awak tahu tak siapa saya ni?”
“Saya tak tahu dan saya tak nak tahu pun.”
“Amboi sombongnya. Kalau Aleysa takkan sombong macam ni kan?”
“Tak kisahlah siapa pun Aleysa tu dan yang pastinya saya ni bukan orang yang awak cari. Okey bye.” Terus panggilan itu dimatikan. Hasryzal menahan rasa geram. Perempuan memang egois. Hasryzal sakit hati. Kenapa perempuan yang aku jumpa memang macam ni sikapnya? Aduhai bilalah aku akan disatukan dengan Aleysa? Hasryzal berangan tiba-tiba.
Haa... baru dia teringat tentang komputer riba itu yang telah siap namun hatinya terasa berat pula hendak menghubungi Tengku Aina Batrisya bagi memaklumkan komputer riba itu telahpun dibaiki memandangkan apa yang berlaku semalam membuatkan jiwanya luruh. Perempuan memang suka menipu. Hasryzal menjatuhkan hukuman yang begitu berat. Hasryzal tidak boleh menghukum wanita atau gadis atau juga perempuan itu penipu. Salah tafsiran Hasryzal itu. Ketahuilah bahawa wanita itu sangat mulia yang perlu dibentuk mengikut acuan.
Dia berubah fikiran. Dia perlu bersikap profesional kerana barangkali Tengku Aina Batrisya ada sebab musababnya. Adakah dia perlu masuk campur? Apa-apa pun Hasryzal mesti memaklumkan hal komputer riba itu kepada pelanggan.
Dia terus menghubungi nombor telefon itu berpandukan kad perniagaan. Dia akan bercakap dengan Tengku Aina Batrisya yang dilihatnya itu begitu cantik. Seperti yang dikatakan sebelum ini, baginya Aleysa Mysara lebih cantik. Bukan ingin membuat perbandingan namun itulah pandangan mata hati Hasryzal.
“Peguam konon! Padahal orang gaji aje!” Sarkastik Hasryzal sendiri terhadap Tengku Aina Batrisya.
Panggilan Hasryzal akhirnya berjawab.
“Awak lagi? Nak apa ni? Saya bukan Aleysa.” Beritahu si suara itu lagi.
‘Aih? Orang yang sama ke?’ Tanya Hasryzal dalam hati. Nampaknya Hasryzal telah salah nombor. Dia tidak sedar bahawa pada petang tadi dia cuba menghubungi Tengu Aina Batrisya namun dimatikan pula panggilan itu kerana membatal hasratnya untuk bercakap dengan si perempuan itu. Dia asyik terfikirkan Tengku Aina Batrisya itu seorang penipu.
“Maafkan saya, sebenarnya saya memang salah nombor. Rupanya nombor telefon ni Tengku Aina Batrisya yang punya atau Diya si peguam tu.”
Tengku Aina Batrisya terdiam. Tidak dapat membalas kata-kata itu. Barangkali terasa agaknya. Mungkin membakar jiwa kata-kata itu. Bahangnya mencengkam jalur rasa pedih-pedih sahaja.
“Saya hairan dengan awak ni? Kenapa perlu menipu?” Hasryzal mendengus geram.
“Saya...” lirih nada Tengku Aina Batrisya yang serba salah di hujung talian.
“Tak apalah. Laptop kesayangan awak tu dah siap. Bila-bila masa aje awak boleh datang ambil atau awak nak saya kirimkan pada Danial aje?” Sinis Hasryzal dengan sakit hatinya masih mencengkam jiwa.
“Apa awak cakap ni? Awak sindir saya ke?” Soal Diya atau Tengku Aina Batrisya itu.
Hasryzal malas hendak teruskan perbualan itu lantas dia terus matikan panggilan itu begitu sahaja. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan penuh rasa geram yang teramat dalam. Entah kenapa bayangan wajah Tengku Aina Batrisya sedang menari-nari dibenaknya begitu juga dengan wajah Linda. Dua wanita ini begitu membuatkan dirinya berada di tengah kemarau jiwa yang panas terik dibakar pedihnya hirisan hati dan perasaan.
***
SEMENJAK hati terpikat, wajah si dia sering saja bermain di mata. Sungguh gelisah di saat rindu menjemput hadir. Kehadiran rindu di dalam hati berbunga harum sehinggakan kadangkalanya dia tersenyum sendiri. Oh Linda, benarkah kau jodoh untukku? Bisik hati Danial Hakim yang telah jatuh cinta bermula pertemuan pertama membabitkan insiden kemalangan kereta itu. Tidak pernah luput dari ingatan senyum manis Linda telah menawan hatinya. Hatinya itu telah terkurung dalam sangkar cinta.
“Kau ni kenapa Danial?” Ayahnya menegur keadaan Danial Hakim yang masih tersengih-sengih itu.
“Tak ada apa-apa ayah.” Balas Danial Hakim yang bersandar si sofa menghela nafasnya di situ. Saat dia pulang tadi di situlah tempat yang ditujunya, sofa warna merah dihempaskan punggungnya. Ketika itu ayahnya sedang menonton drama di kaca televisyen namun terganggu setelah kehadirannya yang baru pulang. “Mak mana ayah?” Soal Danial Hakim yang masih tersenyum-senyum.
“Mak kau berdengkur.” Balas Encik Zamarul.
“Awalnya.”
“Hari ni mak kau dengan orang gaji baru tu kemas stor. Letih sangatlah tu.”
“Mak kemas stor?” Danial Hakim agak terkejut. Encik Zamarul mengangguk. “Sebelum ni masa bibik ada mak tak pernah pun buat kerja-kerja berat.” Sambung Danial Hakim lagi.
“Agaknya mak kau tu berkenan nak jodohkan kau dengan orang gaji tu.”
“Apa yang ayah duk merepek ni? Tak mahu ler Danial kahwin dengan orang gaji.” Danial Hakim beralasan kerana hatinya telah dicuri oleh Linda. Meskipun orang gaji baru yang berada di dalam rumah itu boleh tahan cantiknya namun hati Danial Hakim tetap untuk Linda.
“Janganlah kau cakap kuat-kuat. Didengarnya nanti mahu tak kecik hati. Orang gaji pun ada hati dan perasaan juga Danial.” Kata Encik Zamarul seperti mempertahankan hak orang gaji di rumahnya.
“Ayah nak jodohkan saya dengan dia ke?”
“Kalau kau nak. Lagipun dia anak yatim piatu.”
“Apa kena mengena dengan saya pulak ayah. Adakah ayah mahu saya bersimpati terhadapnya?” Soal Danial Hakim berkerut dahi sambil memerhatikan ayahnya lama.
“Atau Danial dah ada orang lain?” Soal Encik Zamrul pula.
Danial Hakim terdiam. Malu pula untuk dia katakan bahawa dia sudah ada orang lain yang sedang diperhatikan. Dia sedang usha si gadis bernama Linda. Harap ayahnya suka jika dikenalkan nanti.
“Mesti dah ada kan?” Encik Zamarul menduga.
Memang Danial Hakim sudah ada buah hati yang belum disahkan lagi. Namun bagaimana untuk dia ceritakan pada ayahnya berkenaan Linda? Biarlah dulu, biarkan mereka berkawan dan mengenali hati budi masing-masing. Danial Hakim tidak memberi respons.
“Diya...!” Encik Zamarul memanggil orang gaji baru itu. Tidak berapa lama selepas itu Diya muncul.
“Ada apa encik?” Tanya Diya yang nampak kelesuan. Barangkali penat namun dia masih lagi menguntum senyuman.
“Buatkan air untuk Danial.” Arah Encik Zamarul.
Danial terus bangun.
“Tak apa ayah, saya boleh ambil sendiri lagipun saya tengok Diya nampak macam penat je.” Danial Hakim memahami kepenatan itu.
“Tak apa encik. Biar saya ambilkan lagipun dah memang kerja saya.” Kata Diya yang masih berdiri di situ.
Encik Zamarul pula hanya mengeluh halus. Sudah ada orang gaji baru namun Danial Hakim masih juga mahu ambil sendiri di dapur, bisik hati si ayah. Danial Hakim masih bertimbang rasa melihat keletihan yang terpamer pada raut wajah Diya. Sewaktu bibik Indonesia yang sudah berhenti itu pun Danial Hakim jarang mengarahnya apatah lagi menyakiti hati orang gaji itu. Biarpun dia anak orang senang namun dia tidak pernah berlagak dengan sesiapa pun. Danial Hakim lebih banyak mendiamkan diri dari banyak bercakap terutama sekali jika dia tidak begitu mengenali seseorang itu tetapi apabila sudah kenal rapat dan akrab maka dialah yang paling banyak bercakap.
Diya terus melangkah menuju ke dapur. Diya mahu membuatkan secawan Nescafe panas untuk Danial Hakim. Saat ini Danial Hakim diperhatikan oleh Encik Zamarul ketika sedang bangun.
“Diya...” Danial memanggil Diya lalu mengikuti langkah Diya. Sempat lagi Danial Hakim memandang sekilas pada ayahnya yang menggaru-garukan kepala kehairanan melihat gelagat Danial Hakim yang tiba-tiba itu. “Sekejap ye ayah. Saya ada hal nak cakap dengan orang gaji tu.” Desis Danial Hakim lantas terus mengejar Diya.
Setibanya di ruang dapur, Danial Hakim terus memerhatikan pergerakan Diya dari hujung rak gelas hingga ke kabinet. Diya membuka pintu kabinet lalu mengambil bekas Nescafe lalu dimasukkan serbuk itu ke dalam gelas.
“Diya... boleh saya tanya sikit?” Ucap Danial Hakim sambil bersandar pada dinding dapur. Diya hanya memandang Danial Hakim sekilas kemudian kembali membancuh air. “Tak payah susah-susah buatkan saya air. Lagipun saya tak haus.” Beritahu Danial Hakim lagi.
“Tak apalah Encik Danial, lagipun memang kerja saya.” Beritahu Diya.
“Kenapa awak kerja dekat sini?” Danial Hakim terus menyoal Diya.
“Kenapa? Salah ke saya kerja dengan ayah awak Encik Danial Hakim? Saya boleh lihat awak.”
“Bukan ke kita dah tak ada apa-apa? Kenapa awak masih cari saya?”
“Awak tak pernah nak hargai harga rindu saya.”
“Jangan cakap kuat-kuat nanti ayah saya dengar. Pleaselah, kenapa awak buat macam ni? Kenapa awak cari saya sampai dekat sini? Sepatutnya saya lebih terkejut berbanding dengan sepupu saya semalam tapi saya tahu awak sanggup buat apa saja jadi saya tak berasa hairan tapi apa yang menghairankan saya, kenapa awak masih cari saya? Diya... saya tak layak untuk awak. Awak berhak mendapat lelaki yang lebih baik daripada saya. Dulu awak dah nekad meminta saya tinggalkan awak. Kenapa lain pula ni?” Danial Hakim menjadi haru tatkala terkenangkan peristiwa yang telah berlalu itu. Bayangan kisah itu bermain di kotak fikiran yang telah terbiar kini menjelma kembali.
“Saya tak rancang untuk ke kedai tu dan saya langsung tak tahu Hasryzal tu sepupu awak. Saya harap awak rahsiakan perkara ni. Tolonglah Danial. ” Diya merayu.
“Saya tak nak tahu hal tu. Saya nak tahu kenapa awak masih cari saya? Baru saya tahu bahawa awak yang dilihatnya di kedai saya tu kan? Sekarang awak dah sulitkan keadaan saya Diya. Antara kita dah tak ada apa-apa. Kontrak perkahwinan rahsia kita dah tamat. Awak dah dapat apa yang awak nak. Jangan sampai keluarga saya tahu tentang hal kita sebelum ni. Awak tahu tak hati saya ni langsung tak tenteram terlihat awak tiba-tiba ada di dalam rumah saya ni. Kalau keluarga saya tahu bagaimana?”
Diya terpaku. Cuba melafazkan satu ungkapan.
Danial Hakim mengeluh berat. Tidak senang duduk jadinya.
“Danial, maafkan saya, selama awak tak ada baru saya tahu yang saya benar-benar cintakan awak.” Diya merayu. Tengku Aina Batrisya memang menggunakan nama samaran sebagai ‘Diya’ yang memang tiada hubung kait dengan mana sebenarnya. Dan kali ini dia juga menggunakan nama itu untuk mengelakkan identitinya dari terbongkar tetapi kehadirannya di kedai komputer itu telah membuatkan rahsia itu hampir terbongkar dan Hasryzal sudah pasti mencurigainya dan menuduh dirinya penipu.
“Jadi untuk apa awak ke sini lagi Diya. Saya tak dapat mencintai awak kembali. Cinta saya ni dah tak ada untuk awak. Lagi satu, ayah awak tu bukannya calang-calang orang. Awak anak Tan Sri Tengku Qhairil Syah. Seorang tokoh korporat terkenal namun tak ada siapa yang kenal awak yang memang suka rendah diri sampai macam ni sekali. Tapi baru sekarang ni aje awak merendah diri dan sanggup menyamar jadi orang gaji tidak sebelum ini awak selalu bermegah-megah.” Danial Hakim perlu mengawal perasaannya.
Diya terkedu sendiri bila dimarahi dan diperli begitu. Danial Hakim terus menyakiti hati Diya namun dia tidak boleh terus memaksa Diya bercerita di saat ini. Danial Hakim perlu banyak bersabar dan kemungkinan Diya ada perkara penting untuk dibincangkan dengannya. Waktu sekarang tidak sesuai.
“Awak...” Diya masih menahan sebak di dada.
“Tak apa. Awak boleh terus berada di sini selagi mana awak mampu. Ingat Diya, jika status saya sebagai duda terbongkar, saya tak akan teragak-agak membuatkan hidup awak sengsara sebagaimana awak mempergunakan saya. Saya sebenarnya dah boleh agak yang awak takkan dapat lupakan saya di saat saya membuka pintu hati saya untuk awak tapi malangnya awak menolaknya mentah-mentah, kata awak saya tak setaraf. Memang Diya, kami tak setaraf tapi hal awak mempergunakan saya dulu sukar untuk dilupakan.” Kata Danial Hakim dengan panjang lebar dan seterusnya berlalu dari situ bersama perasaan marah serta geram bercampur menjadi satu.
Diya yang kelesuan itu tiba-tiba berhemburan air mata menahan sebak. Rasa sebak itu merobek hatinya yang keinsafan bersadur kepiluan. Dia dihukum kerinduan terhadap Danial Hakim. Dia tidak dapat membayangkan hidupnya selepas ini tanpa Danial Hakim. Cukuplah sebelum ini dia terseksa oleh dosa semalam kini dia terhimpit pula di antara rindu dan cinta.
Mereka terpaksa berpura-pura demi mengelakkan keaiban masing-masing. Dalam soal ini tidak dapat dipastikan siapa yang bersalah. Begitu sukar untuk digambarkan bagaimana rupa sekeping hati yang kerinduan dan bagaimana pula keadaan jiwa yang ketandusan kasih sayang yang dulunya alpa dalam kenikmatan dunia. Ada cerita di sebalik apa yang berlaku itu dan apa yang pastinya kedukaan itu telah membuatkan Tengku Aina Batrisya terpaksa menghitung hari-hari yang berlalu dan cuba menelaah hari-hari yang mendatang agar segalanya terubat.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)