LINDA tersenyum mekar bak sekuntum bunga yang segar dipandang. Wangian rindu mula mengharum dalam selembar harapan di mana dia mungkin akan jatuh cinta. Jatuh cinta pada seseorang agaknya. Namun adakah benar rasanya itu atau sekadar mainan perasaan? Linda mencebik pula kerana takut berhadapan dengan kekecewaan. Pengalaman dulu begitu sukar dilupakan. Bercinta bagai nak rak namun ditinggalkan begitu sahaja. Kekasih hati menghilang tanpa jejak. Biarlah rindunya dibakar hangus oleh kebencian berapi.
“Dari tadi aku tengok kau tersengih-sengih. Ada apa-apa ke?” Tegur Aleysa sambil menyiang ikan. Linda hanya duduk sahaja tidak membantu. Baginya menyiang ikan akan merosakkan kukunya yang cantik.
“Mana ada apa-apa. Aku cuma terbayangkan detik pertemuan di siang hari tadi.” Ujar Linda lalu bangun dan mencapai gelas kosong. Dia seterusnya melangkah ke tempat peti sejuk berada lalu mengambil minuman dari dalam peti sejuk itu lantas dituangkan ke dalam gelas.
Malam ini Aleysa sedang memasak. Aleysa tidak mahu makan di luar kerana dia lebih gemar memasak dari makan di restoran ataupun membeli nasi bungkus. Makan masakan sendiri lebih puas hati daripada menjamu selera dari hasil masakan orang lain. Sebelum Alyesa membuat keputusan untuk memasak, Linda sudah beberapa kali memujuk agar makan diluar sahaja namun Aleysa berdegil tidak mahu keluar. Linda terpaksa mengalah.
“Siapa yang kau maksudkan? Hasryzal?” Aleysa sengaja menyebut nama itu kerana dia tahu Linda anti benar pada Hasryzal.
“Kau jangan sebut nama mamat tu boleh tak? Aku rimaslah. Bila kau sebut nama dia aku terbayangkan wajahnya sedang gigit kusyen kereta aku. Yuck!”
“Amboi sampai macam tu sekali ye? Tak baik Lin kau masih marahkan lelaki tu.”
“Aih? Membela nampaknya. Lelaki tu siap kejar kau lagi. Aku yakin lelaki tu syok dekat kau.” Ujar Linda yang tidak pernah tahu bahawa Aleysa lebih dulu mengenali lelaki itu. Lelaki bernama Hasryzal adalah kawan baik suatu ketika dulu semasa di kolej.
“Banyaklah. Dia tu nak berkawan dengan aku je.” Kata Aleysa menyambung kerjanya. Linda terus meneguk air sampai habis dan gelas itu diletakkan ke dalam singki.
“Ehh... basuh sekali jangan nak biar dekat situ je.” Suruh Aleysa. Acap benar Linda berperangai begitu.
“Lepas makan nanti kau basuhlah.” Kata Linda tersengih-sengih.
“Banyak cantik. Kau yang minum jadi kaulah yang basuh. Lin, kita perempuan ni kena rajin buat kerja rumah. Membasuh, memasak dan semua ni adalah kerja kita.”
“Kita cari orang gaji... okey?”
“Banyaknya duit kau nak upah orang gaji Lin? Kita yang patut lakukan sendiri kerja-kerja ni. Tak payah nak gajikan orang.” Nasihat Aleysa.
“Okey, jangan ubah topik. Aku rasa lelaki tu suka dekat kau tapi terus terang aku cakap, biarpun budak Ryzal tu bakal bergelar kekasih kau jangan harap aku akan hadiahkan seukir senyum manisku ini untuknya. Sampai dia berjanggut pun aku takkan maafkan dia.”
“Kesalahan apa yang besar sangat sampai kau tak dapat maafkan dia? Tapi dia bukan kekasih aku. Pleaselah... dia hanya kawan aku. Baiklah Lin, biar aku terus terang dekat kau malam ni. Hasryzal tu adalah kawan lama aku semasa dekat kolej dulu. Dia memang baik dengan aku tapi kau takkan faham. Hubungan kami sekadar kawan aje, tak lebih dari tu.” Lirih sahaja nada suara Aleysa bila terkenangkan zaman menuntut di kolej dulu.
Linda mengerling matanya kemudian merenung Aleysa dalam-dalam. Barangkali dia merasakan terlalu banyak perkara yang Aleysa rahsiakan. Dia ingin tahu lebih dalam lagi agar mudah untuk dia mengatur strategi untuk kenakan Hasryzal.
“Kalau macam tu lepas makan nanti kita keluar. Aku nak ajak kau ke satu tempat.” Ujar Linda.
“Lin...” Aleysa penat melayan Linda yang suka keluar malam. Dia tidak gemar tetapi Linda sering saja memaksa. Bagimana untuk dia berehat jika waktu begini pun seringkali dipujuk? Aleysa mengeluh.
“Aku tak kira. Lepas ni kau mesti ikut.”
“Esok kerjalah Lin.”
“Aku pun kerja jugak.”
“Tapi...” Aleysa tak mahu kelewatan ke tempat kerja sekiranya malam nanti mereka pulang lambat. Aleysa sungguh bimbang.
Ke mana pula Linda mahu bawa Aleysa keluar malam ni? Aleysa tertanya-tanya namun untuk mengetahu akan jawapannya, Aleysa mesti ikut kerana jika ditanya pun Linda tidak akan memberikan jawapan.
***
“AKU tengok kau dah macam kerang busuk tersengih-sengih sendiri. Apa hal dengan kau ni Danial?” Hasryzal sudah hampir menyiapkan kerjanya membaiki komputer riba milik... Hasryzal sebenar sudah hilang semangat namun kerja tetap kerja dan tugasnya wajib berjalan dengan baik.
“Hari ini adalah hari yang paling bahagia buat aku.”
“Okey tapi sebelum tu aku nak tahu ke mana saja kau pergi hari ni? Sehari suntuk kau tak datang ke kedai ni. Malam ni baru aku nampak batang hidung kau.” Hasryzal ditinggalkan sendirian di kedai pada hari ini. Kasihan sungguh namun dia tahu Danial Hakim ada urusan penting.
“Aku ada hal dnegan ayah aku tu. Ada meeting jadi aku kena hadir. Selepas tu pula aku kena selesaikan beberapa perkara dekat syarikatnya. Kau tahulah ayah aku tu macam mana orangnya.”
“Itu aku tahu tapi seperti yang aku tanya tadi. Apa yang membuatkan kau tersengih macam orang gila dari tadi lagi sejak kau mula-mula melangkah masuk?” Hasryzal kehairanan.
Sudah tentu sekali Danial Hakim bahagia hari ini kerana dapat bertemu dengan orang yang diminati. Walaupun seketika namun sudah cukup membuatkan rasa bahagia berputik direlung hatinya. Hasryzal tergaru-garu kepalanya selepas memasang RAM pada motherboard komputer riba milik seorang pelanggan yang membuatkan hatinya menjadi hiba dan terkilan. Sampai begitu jadinya. Entahlah, Hasryzal sendiri kecewa. Kecewa sangat dengan apa yang berlaku semalam. Bukan setakat itu sahaja tetapi lebih dari itu hatinya dirobek dengan penipuan. Dia berasa tertipu.
“Itu pun kau nak tahu ke? Senyum pun salah.”
“Selama ni kau tak berahsia dari aku.”
“Kau?”
“Tak, aku cerita dekat kau.”
“Habis bagaimana dengan Linda?”
“Aku dah agak mesti kau keluar date dengan dia, kan?”
“No komen.” Ringkas sahaja jawapan Danial Hakim. Hasryzal mengeluh lagi kaku di situ dan dia hanya mampu memerhati gelagat Danial Hakim seperti monyet dapat bunga. Geram sungguh bila dia dapat merasakan bahawa sepupunya itu sudah mula berjinak-jinak dengan singa lapar.
Danial Hakim enggan mengulas lebih lanjut kerana dia tahu Hasryzal sudah pasti tidak suka dia keluar bersama dengan Linda namun itulah hakikatnya. Kebetulan itu sungguh manis dirasakannya. Danial Hakim mengusap dagunya sendiri memerhati lama pada Hasryzal pula. Hasryzal statik di situ sambil tangan diletakkan di atas komputer riba dan masih berdiri di hadapan Danial Hakim.
“Sebelum aku cerita apa kata kau terangkan aku hal semalam. Kenapa Orang gaji baru dekat rumah aku tu terperanjat apabila tengok kau? Adakah kau bela hantu raya?” Danial Hakim ingin tahu kerana Hasryzal juga banyak berahsia dengannya sejak akhir-akhir ini. Hal semalam juga Hasryzal sengaja membisu. Sudah dirayu agar diceritakan padanya namun Hasryzal diam seribu bahasa.
“Macam mana aku nak cerita. Aku tak tahu apa-apa. Dia cantik sangat.” Hasryzal berdalih.
“Aku tahu orang gaji dekat rumah aku tu cantik. Adakah Aleysa tidak cantik di mata kau?”
“Bagi aku Aleysa lebih cantik dari dia.”
“Habis tu? Apa yang mebuatkan kau terkejut beruk malam tadi?” Danial Hakim memaksa. Hasryzal buat-buat sibuk. “Stop je kerja tu. Kita close awal sikit malam ni. Aku tahu kau letih.” Ujar Danial Hakim lagi setelah melihat Hasryzal tidak mempedulikan pertanyaannya.
“Kau tak rasa pelik ke?” Hasryzal berhenti seketika sambil merenung ke arah Danial Hakim yang sudah mula mencatitkan sesuatu pada buku log. Buku catatan itu sentiasa disemak oleh Danial Hakim setiap kali kedai akan ditutup.
“Apa yang peliknya?”
“Pasal malam tadilah ayah kau suruh balik kata ada hal penting. Bila ditanya katanya nanti dulu. Lepas tu senyap terus. Aku fikir adakah, hal orang gaji itu yang hendak diperkatakan?” Hasryzal bingung memikirkan hal Encik Zamarul iaitu ayah saudaranya.
“Yelah. Aku pun lupa nak tanya ayah kau tadi.” Balas Danial Hakim.
“Erm...” Hazryzal mengemam sahaja.
“Tapi aku tak rasa hal orang gaji tu. Aku rasa hal kau lebih teruk. Teruk kerana membuatkan orang gaji aku seperti melihat keganjilan pada kau. Kau kenal dia ke?” Danial Hakim menduga.
Dengan pantas Hasryzal menggeleng untuk menidakkan apa yang diduga oleh Danial Hakim. Sepupunya itu terus mengangkat kening sebagai tanda curiga. Danial Hakim tahu Hasryzal pandai sembunyikan sesuatu.
“Adakah...”
“No!”
“Maybe kan?”
“Not yet!” Hasryzal berkerut dahi. Danial Hakim hampir dapat menangkap apa yang bermain di dalam kotak fikiran Hasryzal. Rasa-rasanya sama dengan apa yang ada di dalam otaknya. Hasryzal tidak boleh berdalih lagi.
Hasryzal tergaru-garu kepalanya setelah ditenung tajam oleh Danial Hakim. Dia sendiri tidak tahu adakah dia perlu menceritakan hal sebenarnya pada Danial Hakim? Mungkinkah?
“Ya...” Hasryzal akhirnya mengangguk.
“Aku dah agak.” Ujar Danial Hakim.
Hasryzal sudah mula serba salah. Adakah resah di hati itu adalah cinta? Adakah rasa itu akan membawanya ke taman bahagia? Tapi cintanya untuk Aleysa seorang sahaja. Tidak akan berubah biru langit melainkan malam menjelma.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)