“Ibu... kenapa hari-hari kita makan nasi lauk ikan masin dan berkuah kicap aje bu? Di atas meja sana tu kan banyak lauk bu... kenapa kita selalu aje makan di bawah ni bu jauh dari mereka?”
Balqis menahan sebak di dada tatkala anak lelakinya bertanya begitu. Saat ini dia bersimpuh sambil menghulurkan sesuap nasi ke mulut Iqbal Raif yang enggan mahu makan.
Tanpa dia sedar, manik-manik halus itu berguguran jua. Dia meletakkan pinggan itu semula dan menoleh ke kiri untuk melarikan wajahnya. Balqis menyeka si air mata dengan hujung lengan baju kurungnya itu.
“Ibu... kenapa ibu menangis? Ibu marahkan Raif ke? Maafkan Raif ya ibu kerana melukakan hati ibu, Raif cuma nak tahu kenapa sejak kita pindah sini kita selalu aje makan di bawah ni? Pakcik Rahimi dan Makcik Maria makan di meja sana dengan Adam dan Aiman sekali, tapi Raif dengan ibu makan kat sini,” Iqbal Raif berkata-kata perlahan kerana selama mereka berpindah ke sini bermacam-macam perkara telah berlaku. Tidak adil rasanya buat Iqbal Raif dilayan sebegini.
Balqis tidak menjawab pertanyaan itu malah dia mengangkat pinggan berkenaan lalu mengaulkan semula nasi yang berkuah kicap itu dan mahu disuapkan ke mulut Iqbal Raif yang bermuncung panjang sedepa. Anak sekecil Iqbal Raif yang berusia tujuh tahun itu masih belum mengerti apa-apa.
“Raif... makan ya... nanti Raif lapar...” Balqis memujuk anaknya itu.
“Ibu... Raif dah kenyang,” balas Iqbal Raif yang masih enggan dan hanya memberi alasan sahaja.
“Jangan tipu ibu, Raif. Ibu tahu anak ibu lapar. Kalau anak ibu nak makan ayam nanti ibu minta dengan Makcik Maria ya? Jangan buat muka macam tu nanti anak ibu nampak tak manis pulak,” Balqis memujuk lagi anaknya dengan menjanjikan membawa ayam goreng yang dimasaknya tadi di meja makan itu. Biarpun dia tahu pasti akan ada halangan namun demi anaknya dia nekad untuk meminta seketul ayam. Walaupun tidak dapat seketul, sedikit sahaja pun cukuplah agar kempunan anaknya untuk makan ayam terlunas.
Si ibu itu meninggalkan anaknya yang bersila dan masih mencebik itu di ruang dapur lalu melangkah perlahan ke meja makan. Di situ Encik Rahimi dan Puan Maria sedang enak menjamu selera bersama anak-anak hasil dari masakkan Balqis. Makan malam itu disediakan oleh Balqis.
“Puan...” Balqis menyebut lembut sambil jari-jemari diramas sendiri kerana menahan gemuruh.
Puan Maria terus menoleh. Seleranya tiba-tiba hilang sebaik sahaja melihat kelibat Balqis muncul di hadapan hingga mencerlung mata.
Balqis tertunduk-tunduk kerana dia cuba untuk bersuara meminta sedikit lauk dari Puan Maria untuk anaknya.
Puan Maria membulat mata lagak seperti mahu menelan Balqis hidup-hidup. Wajah menyinga dipamerkan. Adam dan Aiman pula berkelahi berebut ayam goreng.
“Ni aku punyalah!” kata Aiman.
“Aku punya!” balas Adam pula berebut-rebut dengan adiknya.
Mereka berdua masih berebut-rebut lagi mahu paha ayam. Masing-masing tidak mahu mengalah.
“Apa kau nak?” Puan Maria dengan nada yang serius.
“Sa... saya nak mintak ayam goreng puan,” tersekat-sekat nafas Balqis ketika menyuarakan hasratnya itu yang mahukan seketul ayam goreng.
“Tak ada!” balas Puan Maria dengan egois sekali.
Ayam di atas meja masih belum luak lagi boleh dikatakan tidak ada. Kecil hati Balqis ketika ini. Terasa dirinya begitu dihina namun dia tetap bersabar kerana dia hanyalah orang gaji yang dibayar untuk mengikut arahan dan tidak boleh membantah.
“Terima kasih puan,” Balqis hampa menahan sebak yang mencengkam jiwanya lalu dia memusingkan tubuhnya untuk mengatur langkah ke dapur semula bertemu anaknya meskipun terasa berat sekali langkah itu untuk memberitahu anaknya tentang hal ini.
Tidak semena-mena ayam yang menjadi rebutan dua beradik itu jatuh ke lantai.
“Hei! Balqis!” panggil Puan Maria dengan nada yang kurang sopan.
Cepat-cepat Balqis menoleh kerana dia terfikir mungkin Puan Maria berubah fikiran dan mahu memberinya seketul ayam untuk santapan anaknya yang masih menunggu di dapur.
“Ya puan...” sahut Balqis.
“Kau nak ayam kan?” Balqis mengangguk deras sebaik sahaja ditanya begitu kerana memang itulah harapannya dari tadi.
“Kau tengok kat lantai tu, ada ayam... kau boleh ambil,” tergamak sekali Puan Maria menyuruh Balqis mengutip ayam yang sudah dicemari itu untuk dijadikan santapan pula. Namun itulah dinamakan rezeki, Balqis tidak dapat menolaknya. Rezeki Allah yang Maha Kuasa. Meskipun di dalam bentuk apa sekalipun itu masih dinamakan rezeki.
Puan Maria tersenyum sinis. Encik Rahimi menggeleng perlahan tanpa dilihat oleh Puan Maria. Encik Rahimi tidak berkata apa-apa hanya mendiamkan diri sahaja.
Sementara itu, Balqis dengan sebak di dada itu terus mencapai paha ayam goreng yang terjatuh itu tapi tanpa diduga oleh Balqis, dengan sengaja Adam pula menguis perlahan paha ayam goreng itu dengan kaki tanpa dilihat oleh si ayah tapi Adam lupa bahawa Allah SWT Maha Melihat segala-galanya.
Balqis mendapatkan ayam goreng tersebut yang beralih tempat itu bersama lelehan air mata. Cepat-cepat dia mengalih pandangan lantas menyeka deras air mata itu supaya tidak dilihat oleh Encik Rahimi dan Puan Maria.
“Terima kasih puan,” ucap Balqis mengetap perlahan bibirnya.
“Pergi!” Puan Maria melambai-lambai tangannya isyarat supaya Balqis beredar dari situ dengan segera.
‘Eee! Perempuan ni tak sudah-sudah mengemis dengan aku! Hidup menyusahkan orang! Perempuan ni memang bawa sial dalam rumah tangga aku! Aku tahu Rahimi sebenarnya nak tolong perempuan ni sebab tu dia bawa perempuan ni bekerja di sini jadi orang gaji! Tapi aku akan pastikan perempuan ni akan berambus dari sini. Aku lebih kenal siapa Balqis! Dan aku takkan biarkan perempuan ni mendedahkan identiti aku! Kalau tidak nahas dia akan aku kerjakan!’ bisik hati Puan Maria yang masih bimbang sekiranya identiti dirinya yang sebenar akan terbongkar.
Puan Maria khuatir Balqis akan menceritakan semuanya tentang latar belakang dirinya pada si suami. Sungguh pun begitu dia sudah pun bersiap sedia dari awal lagi. Dia juga akan pastikan Balqis menderita sepanjang hayat.
Apakah pandangan anda mengenai bahagian cerita ini? Adakah anda ingin tahu kisah selanjutnya dan mahukan saya menyambung kisah ini? Ingin ikut kisah ini? Sila tinggalkan jawapan anda.