Rutin harian Balqis seperti biasa. Seawal pagi dia akan bangun sebelum azan Subuh berkumandang. Waktu itu umat manusia masih lagi diulit mimpi yang sememangnya terlalu indah dan tidak dapat dinafikan lagi akan kelembutan sesebuah mimpi yang peroleh kedamaian itu menjadi pertaruhan untuk terus enak tidur. Namun Balqis tidak senang diulit mimpi indah yang hanya tinggal mimpi kerana selama hidupnya tiada keindahan yang dapat dirasai melainkan keperitan dan kesengsaraan.
Dia bangun dan kemudian membangunkan pula si anak lelakinya yang comel dan manja itu. Lama juga Balqis merenung wajah anak lelakinya itu.
“Raif… ibu tidak dapat memberikan kesenangan di dalam dunia ini buat anak ibu.. ibu tetap menyimpan hasrat untuk melihat anak ibu berjaya di dalam hidup ini dan tidak menjadi seperti ibu yang bagaikan melukut di tepi gantang,” Balqis menggosok ubun kepala anaknya hingga Iqbal Raif terjaga.
“Ibu…” Iqbal Raif terjaga dari lenanya.
“Mari bangun Raif, mandi dan siapkan diri. Sekejap lagi dah nak Subuh…” Balqis menyuruh anaknya bangun dari tidur.
Iqbal Raif tidur di kamarnya bersama. Iqbal Raif tidak diberikan bilik oleh Puan Maria setelah sebulan mereka di sini sedangkan terdapat lagi bilik yang kosong di rumah yang besar dan serba mewah ini.
Seraut wajah yang sayu dan hiba itu cuba disembunyikan dengan menguntum senyuman buat anak tersayang. Iqbal Raif bangun setelah disuruh ibu. Lambat-lambat dia menyelak selimut yang membaluti tubuh itu. Iqbal Raif menggosok mata dengan siku jari.
Usai mereka berdua siapkan diri dan menunaikan solat Subuh, Balqis akan segera ke dapur pula bagi menyiapkan sarapan untuk keluarga Encik Rahimi ini. Sekiranya dia tidak menyediakan sarapan tepat pada masanya maka Puan Maria akan melenting dan kepala Balqis akan ditunjal-tunjal. Balqis tidak mahu keadaan itu berterusan. Sementara itu Iqbal Raif pula akan bersiap untuk ke sekolah.
Setiap pagi Iqbal Raif akan bermuncung mulut tatkala anak-anak yang lain berpakaian bersih dan kemas tetapi tidak pada dirinya yang hanya diberikan pakaian yang sudah dipakai oleh anak-anak Puan Maria. Sepatutnya memulakan sesi persekolahan di darjah satu semuanya harus baru.
Iqbal Raif menyandang beg sekolahnya itu dan terus menapak perlahan keluar dari kamar mendapatkan ibunya.
“Ibu…” Iqbal Raif memanggil ibunya yang sudah hampir siap menyediakan sarapan pagi itu.
Balqis segera menoleh ke arah anaknya yang semakin menghampiri dirinya. Balqis mengukir senyum melihat anaknya yang sedikit comot dengan rambut yang lupa disikat itu.
“Eh anak ibu ni, kenapa comot sangat? Mari ikut ibu…” Balqis memimpin tangan anaknya dan dibawa semula masuk ke dalam kamar yang tidak berapa jauh dari sudut dapur itu. Kamar kecil yang berupa stor itulah yang menjadi tempat tidur dua beranak setiap malam.
Setibanya di ruang kamar itu, Balqis mencapai sikat lalu menyikat rambut anaknya dengan penuh kasih sayang dan kelembutan.
“Raif kena pandai sikat sendiri tau, takkan bila dah besar nanti ibu kena sikat juga. Bagaimana sekiranya ibu sudah tak ada di dalam dunia ini? Siapa yang nak sikat rambut Raif ni?” Balqis memberi ruang untuk Iqbal Raif berfikir di usia muda ini.
“Ibu nak pergi mana? Ibu pun nak pergi tinggalkan Raif juga ke? Habis tu Raif nak duduk dengan siapa pula? Ibu… Raif ada ayah tak? Sampai sekarang pun Raif tak tahu siapa ayah Raif… gambar dia pun tak ada,” Iqbal Raif bermuncung mulut lagi.
Anak kecil ini sebenarnya bimbang dimarahi guru kerana dia tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya itu. Karangan tentang ayah dan ibu berserta gambarnya sekali mesti diserahkan pada hari ini. Iqbal Raif tidak tahu bagaimana rupa ayahnya dan bagaimana pula untuk dia bercerita tentang ayahnya yang tidak pernah dilihat dan merasai kasih sayang dari seorang ayah.
Balqis terdiam. Dia tidak tahu harus bagaimana untuk dia menyatakan kebenaran yang tersembunyi sekian lama itu. Sepertinya terlalu sukar dilafazkan saat ini kerana lidahnya kelu dan pejal.
Balqis cuba mengawal emosinya dan dia cuba menenangkan hati anaknya dengan mengusap wajah si anak kesayangan.
“Ayah Raif masih ada… tapi dia belum pulang. Ayah Raif tu wajahnya sama macam Raif… sifat dia juga sama macam Raif anak ibu ni, manja, baik, penyabar kadang-kadang tu comot macam Raif juga…” itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Balqis namun tidak cukup membuatkan Iqbal Raif meyakini setiap apa yang diucapkan oleh ibunya.
“Kenapa ayah tak pulang lagi ya bu? Ayah kerja di mana sampai ayah tak pernah nak jenguk Raif, bu… Raif rindu ayah, orang lain semua ada ayah tapi Raif tak ada ayah pun,” pertanyaan Iqbal Raif membuatkan hati Balqis menjadi terlalu hiba. Tubir matanya bersinar dan manik-manik halus itu bakal gugur. Namun Balqis kuatkan semangat.
“Balqis!!!” tanpa diduga suara perempuan terpekik telah menjengah ke gegendang telinganya. Balqis tersentak kerana dia terlupa tentang telur rebus di atas dapur terbiar lama.
Balqis segera melangkah meninggalkan Iqbal Raif di situ. Langkah Balqis sungguh kelam kabut.
‘Ya Allah… Kau selamatkan aku ya Allah. Aku terlupa… mungkin Puan Maria sudah menjengah ke ruang dapur dan melihat apa yang telah aku lakukan. Ya Allah… hamba-Mu ini terlalu gementar bila berhadapan dengannya. Ya Allah… berikanlah aku kekuatan walaupun sekelumit sahaja,’ Balqis berdoa dalam hatinya.
“Mama… mana sarapan kami?” Aiman bertanya pada Puan Maria.
“Ya mama… kenapa tak hidang lagi? Kami dah lapar ni,” Adam mencelah.
Kedua-dua anak lelaki Puan Maria ini telah pun melabuhkan punggung menunggu di meja makan untuk bersarapan namun tiada satu apa pun hidangan di situ kecuali teh panas.
Puan Maria bercekak pinggang di hadapan anak-anaknya kerana terlalu marah. Marah dengan kealpaan Balqis meninggalkan dapur begitu sahaja. Telur rebus itu terlalu masak dan tidak sedap untuk dijamah lagi. Puan Maria merengus geram kerana itu merupakan satu pembaziran.
“Sabar… mama tunggu mana orang gaji ni! Buat kerja main-main! Balqis!!!!” Puan Maria terpekik lagi. Kedua-dua anak Puan Maria iaitu Adam merupakan abang kepada Aiman yang bersekolah darjah empat manakala Aiman darjah tiga menekup telinga mendengar suara mama mereka bagaikan guruh itu.
“Mama, lebih baik pakai microphone aje, orang gaji kita tu pekak la mama. Kalau dia dengan mesti dia dah datang,” Adam pula mengapi-apikan keadaan yang sedia tegang ini.
“Betul cakap Abang Adam ni mama. Orang gaji kita tu memang dah pekak. Semalam pun Aiman panggil-panggil dia pun lambat sahaja,” sampuk Aiman pula yang tidak tahu bahawa semalam Balqis sedang menunaikan Solat Zuhur.
Akhirnya Balqis tiba di hadapan Puan Maria. Saat ini wajah Balqis berada dalam ketakutan. Benar-benar jantungnya bagaikan mahu luruh tatkala melihat wajah Puan Maria yang sedang menyinga di hadapannya. Balqis tertunduk-tunduk kerana tidak mampu bertentang mata dengan Puan Maria.
“Hei! Balqis! Kau ingat harta dalam ni bapak kau yang punya ke senang kau nak membazirkan gas dan barang-barang dapur rumah aku ni hah?!” pipi Balqis ditunjal pula hingga beralih kepala Balqis tertoleh ke belah kanan. Dagu Balqis diangkat kasar hingga gigi Balqis terkancing kemas kerana Puan Maria memaksa dia bertentang mata.
Hanya kebisuan sahaja menjadi jawapan pada pertanyaan itu. Jawapan bahawa dia tidak sengaja. Lidahnya tidak dapat berkata-kata. Dengan pantas Puan Maria menarik telinga Balqis ditutupi tudung itu lalu dibawa ke ruang dapur untuk dihadapkan ke tempat memasak itu.
“Puan.. sakit puan…” Balqis merayu agar tidak disakiti sedemikian rupa namun tidak diendahkan oleh Puan Maria.
Balqis dilayan bagaikan haiwan oleh Puan Maria. Saat ini Adam dan Aiman meluru pantas ke ruang dapur terjengul melihat keadaan itu sambil tersenyum sinis.
“Ni kau tengok ni?!! Kalau aku tak masuk ke dapur tadi mungkin gas ni habis macam tu aje! Nasib baik aku rasa nak masuk ke dapur kalau tak .. eee!! Geram aku dengan kau ni lah perempuan tak guna!” Puan Maria melepaskan rasa geramnya pada Balqis.
Kesalahan sekecil itu tidak dapat dimaafkan oleh Puan Maria malah kesilapan kecil itu amat dinanti-nantikan. Senang untuk Puan Maria menjadikan sebab kenapa Balqis harus disakiti.
“Saya tak sengaja puan…” sebaik sahaja Puan Maria mendengar Balqis menjawab maka dengan pantas kepala Balqis ditunjal beberapa kali.
Tanpa disedari, air mata seorang anak lelaki kecil mengalir deras berlinangan membasahi pipi kerana terlihat ibunya dihina dan disakiti sampai begitu sekali. Begitu kejam sikap mereka terhadap insan yang lemah seperti Balqis dan Iqbal Raif.
“Ibu…!” pekik Iqbal Raif sambil meluru pantas untuk mendapatkan ibunya yang sedang disakiti itu.
Langkah Iqbal Raif dihalang oleh dua beradik itu. Adam menolak dengan kasar dan kuat tubuh Iqbal Raif yang kecil molek itu hingga terpelanting jatuh. Mereka berani memperlakukan perkara sekejam itu di atas ketiadaan ayah mereka selama beberapa hari ini yang bertugas di luar kawasan.
Puan Maria memang ternanti-nanti ketiadaan suaminya buat seketika. Oleh itu mudah untuk dia terus menyakiti Balqis dua beranak itu. Baru terasa puas hatinya melihat penderitaan dua beranak ini. Puan Maria akan pastikan mereka berdua menderita secara perlahan-lahan.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)