Anis hampa tatkala mengenangkan bicara sendu dari kekasih hati yang hilang pergi selamanya. Asrul Wafi meninggal dunia akibat penyakit barah otak setahun yang lalu dan selama setahun itulah Anis Diyana terluka hati dan hidup di dalam kesepian walaupun terdapat banyak kenalan. Lelaki itu telah mengajarnya erti kehidupan dalam mengenal dunia percintaan sejati.
Anis Diyana termangu di hadapan komputer ribanya. Di kamar itu dia menyepi bersama malam yang dingin. Sesuatu yang indah dahulu itu mahu diamati dan sekiranya dapat waktu diputarkan kembali, dia ingin mengubah segalanya namun itu tidak mungkin akan terjadi.
"Anis..." kedengaran suara memanggil Anis Diyana dari luar kamar, barangkali teman serumahnya. Kalau bukan Intan mesti Fyda yang mengetuk pintu untuk menjemput Anis Diyana makan malam bersama. Dari pagi tadi Anis Diyana tidak menjamah apa-apa. Hari minggu itu dihabikan di dalam kamar sahaja, menangis dan meratapi pemergian Asrul Wafi.
Anis Diyana bagaikan menyesali akan apa yang telah berlalu itu. Air mata penyesalan itu diseka sampai habis kemudian dia bangun dari bangku lalu mengatur langkah ke pintu kamar. Perasaannya sangat sarat dengan kekesalan.
"Anis... jom makan," kelihatan Fyda terpacak di hadapan mata Anis Diyana sebaik sahaja pintu kamarnya dikuak. Pandangan mata Anis Diyana cukup hambar sepertinya kelesuan yang tiada belas kasihan lagi terhadap diri sendiri kerana terbiar duka mengundang nestapa.
"Aku tak ada selera, Fyda," Anis Diyana sungguh hilang selera makan. Dirinya umpama tidur tidak lena mandiri tidak basah apatah lagi untuk makan. Lidahnya kejal saat makanan dikunyah kerana seringkali terbayangkan wajah Asrul Wafi menjelma di hadapan mata.
"Dari pagi tadi kau tak makan, aku yakin kau sangat lapar jadi tolonglah makan. Aku tak nak tengok sahabat aku jatuh sakit kerana menyeksakan diri sendiri berkurung di dalam bilik aje," Fyda memujuk sahabatnya merangkap rakan sekuliah.
"Aku tak nak makan, tolong jangan paksa aku," Anis Diyana tetap berdegil biarpun Fyda berusaha memujuk dan menarik tangannya namun sekujur tubuh itu membatu.
"Kenapa kau tak nak makan Anis? Kau nak seksa diri kau? Kau masih terkenangkan kisah lama kau? dan kau makan hati dengan kata-kata Farouk? Aku tahu bedilan kata-kata Farouk lebih membuatkan kau terluka kan sampai tak lalu makan?" Fyda membuat telahan yang mungkin tepat. Nada Fyda kedengaran agak sedikit keras dan tegas dan memang begitulah sifat rakan Anis Diyana.
Anis Diyana tidak menjawab lantunan kata-kata Fyda malah dia hanya tunduk di muka pintu kamarnya. Perlahan-lahan dia menolak pintu kamarnya untuk ditutup semula dan membiarkan Fyda berdiri di luar. Sejurus kemudian pintu kamar Anis Diyana ditolak pula kali ini dari Intan yang mendengar berbualan antara mereka.
"Anis! kau ni kenapa? Fyda ajak makan kau tak nak? Ajak keluar jalan-jalan tadi pun tak nak? apa yang kau nak? Kau nak mati? Kau pun nak mati macam Asrul Wafi? Dia lain! Dia mati sebab mencintai kau! terlalu sayangkan kau! Cintanya takkan hilang tapi jiwa kau sendiri yang hilang. Aku hairan dengan kau ni Anis! orang lain tak seksakan diri sampai macam ni sekali tapi kau kalau ya pun ini sudah setahun. Selama setahun pun kau berduka macam ni? Pakwe aku dah tinggalkan aku tiga tahun tahu tak? Dia pun mati juga, mati katak sebab merempit! So tak beza dengan aku kan? malah aku lagi teruk. Kenapa aku boleh lupa kau tak boleh?" Intan dengan lantangnya bersuara dan mahu menyedarkan Anis Diyana.
Anis Diyana melangkah perlahan dan terduduk di birai katilnya. Dia menongkat dagu dan mengeluh sarat dengan muatan alpa.
Fyda dan Intan turut melangkah mendapatkan Anis Diyana. Fyda memeluk bahu Anis Diyana sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di situ.
"Betul apa yang Intan cakap tu... mencintai seseorang bukan meratapi pemergiannya tetapi harus diambil pengajaran dari ketentuan Ilahi. Kenapa kau tak redha dengan takdir ini Ania? Mana hilangnya semangat kau? Apakah semangat kau turut hilang bersama kasih sayang Asrul Wafi pada kau? Dia pasti sedih melihat kau begini..." Fyda menyayangi sahabat baik dan cuba memujuk memulihkan semangat Anis Diyana supaya Anis Diyana berfikir.
Biar apa pun kata mereka berdua, tiada siapa di antara mereka ini memahami duka yang lara di hati Anis Diyana. Tiada siapa pun pernah mengerti akan Anis Diyana, Fyda mahupun Intan. Mereka tidak merasai sebagaimana yang Anis Diyana rasakan dalam cintanya. Setiap orang berbeza-beza pengalamannya.
Anis Diyana mengeluh berat. Setiap ucapan sahabatnya dibiar usang sahaja. Saat ini penghinaan Farouk pula menggila dalam benaknya.
- "Kau ni perempuan tak laku! jangan kau dekati aku! kerana kau kawan aku mati! kawan baik aku mati! kenapa kau tak pernah hargai dia? Sekarang kau nak apa lagi? Kau pun nak buat aku mati? Mati sebagaimana Asrul Wafi pergi? Kau memang perempuan tak guna Anis tak guna!" Farouk memarahi Anis Diyana. Inilah kemaharan yang pernah dilepaskan oleh Farouk terhadap Anis Diyana yang bagaikan terpanah duka.
Semua ini kerana sikap Anis Diyana sendiri. Sikap berpura-pura mencinta akhirnya benar-benar jatuh cinta. Bermain cinta dengan Farouk tapi dalam masa yang sama Farouk diduakan olehnya dan bercinta dalam diam bersama dengan Asrul Wafi kawan baik Farouk sendiri. Biasa terjadi dan inilah realiti.
Anis Diyana menyesal kini dia kehilangan kedua-duanya sekali. Apa yang tinggal di dalam hidupnya adalah sahabatnya yang setia menemaninya. Fyda dan Intan seringkali memberinya semangat namun keadaan Anis Diyana begitu juga.
"Aku benar-benar kesal dengan diri aku sendiri, Fyda... Intan. Aku tidak sempat bertemu dengan Asrul Wafi dan kini segalanya musnah. Aku terlalu jujur memberitahu kebenaran juga hingga menyebabkan kedua-dua hati lelaki yang aku cintai terluka," ucap Anis Diyana.
"Sudahlah Anis... biarkan semuanya berlalu. Kita tidak patut salahkan diri kita sampai begini. Tolong Anis.. tolong berikan ruang untuk hati kau bernafas meskipun dalam diam," ujar Intan dengan melembutkan nadanya pula sambil menggosok belakang Anis Diyana.
"Ya Anis... kami berdua sentiasa sokong kau. Kami juga tahu, cinta dan air mata tak akan dapat dipisahkan namun air mata itu terdapat dua jalan. Jalan gembira dan jalan duka. Maka Anis... kau alirkan air mata kau dengan kegembiraan dan kenikmatan kerana masih bernafas di bumi Tuhan," telinga Anis menangkap setiap kata-kata Fyda.
Mereka berdua sayangkan Anis Diyana dan tidak mahu Anis Diyana terus menyalahkan diri sendiri dan sebaliknya kesilapan lalu mesti diperbaiki.
"Kau masih ada kami berdua. Senyum sikit... jangan buat muka sedih-sedih lagi. Kita berserah pada ALLAH SWT dan dalam masa yang sama kita berusaha berubah ke arah jalan yang diredhai oleh ALLAH. Anis, sesungguhnya Allah SWT itu Maha mengetehui. Semua ni ada hikmahnya dan dalam sedar atau pun tidak ianya telah mengalir dalam kesamaran waktu. Hitunglah hari-hari lalu itu dengan senyuman bukan pernghinaan pada diri sendiri, Allah murka pada hamba-hamba-Nya yang berputus asa," Intan mencelah lagi.
"Terima kasih, Fyda... Intan kerana kamu berdua dapat bertahan dengan sikap aku,"
"Kami sentiasa tahan sebab kau ni macam baby... menangis aje, kalau aku boleh dukung kau memang dah lama aku dukung tapi tak dapat kerana kau dah tua bangka.. hehe," tawa Intan.
"Aku pulak rasa nak dodoikan kau aje biar asyik dalam indahnya hidup ini," Fyda berseloroh. Anis Diyana menguntum senyuman dan menoleh pada wajah sahabatnya kiri dan kanan silih berganti.
Kini Anis Diyana sadar, setiap kelukaan itu dapat dirasai jua oleh sahabat yang benar-benar ikhlas membantu. Sahabat yang mendampingi dirinya dalam susah dan senang. Hilangnya sahabat ini maka hilanglah kasih sayang. Keegoan Anis Diyana untuk menghindari cinta telah pun berubah dengan melakar senyuman di balik wajah tiang seribu harapan.
Pabila Hilang Cinta
Tiada angin yang bertiup kala hatimu redup
tiada lafaz yang disebut melainkan pada-Mu
tiada kasih yang bertaut andai jiwa sering keruh
tiada setia dirangkul sekiranya hilang cinta
Di kamar dikau menyepi menyalahkan diri
di situ lahirnya kekesalan yang terabadi
mana mungkin akan terpadam lagi
hingga terhapus sekalian jiwa dan nadi...
Sahabatmu di sisi harus dirimu hormati
mereka kekal di sini kerana setia menanti
dirimu tersenyum dan meghitung budi
agar hidup ini senangtiasa berseri-seri
Biarpun dulu kau hilang cinta
hari ini kau dapat bergembira
hadir sahabat di hadapan mata
jujur, tulus membingkai rasa
akurlah pada takdir Maha Esa...
~SELESAI~ Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)