Entri Terkini :

CERPEN : Diari Maya

Bila menulis pasti ada idea yang datang. Tetapi idea tidak selalunya mencurah-curah. Begitulah seperti yang berlaku pada Alif budak lelaki yang berumur 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Tatkala dia menulis idea sudah mula merapu, tertekan dengan apa yang dia lakukan sendiri. Demi mengejar glamour dia sudah mula abaikan pelajaran. Semuanya kerana gila menulis cerita.
“Alif, kau jangan paksa diri kau menulis sangat, pelajaran kau lagi penting. Hanya kerana ingin menghasilkan senaskah novel untuk diterbitkan pelajaran kamu kini sudah mula merosot,” Aina kawan baik Alif telah berbuih mulut memberikan nasihat untuk Si Alif namun Alif seperti tidak memperdulikan kata-kata itu.
“Aku tahu jaga diri aku. Ini adalah hobi aku. Jangan masuk campur,” balas Alif sambil menongkat dagu di mejanya.
Aina semakin lama semakin bosan dengan sikap yang dipamerkan oleh alif. Sedikitpun Alif tidak berfikir tentang masa hadapan dalam pelajaran. Bagi Alif menulis adalah untuk kepuasan dirinya disamping meraih populariti agar dirinya dikenali oleh tanah air.
‘Aku masih muda, aku patut belajar menulis novel. Orang muda kena buktikan bahawa idea boleh dipakai. Sesuatu yang baru mesti dilahirkan,’ detik hati Alif ketika ini.
Buku latihan matematiknya belum lagi disiapkan. Cikgu Harun akan mengutipnya pada hari ini dan selewat-lewatnya sebelum pulang sekolah. Aina di sisi menggeleng perlahan kemudian meninggalkan Alif sendiri. Aina sudah tidak mahu masuk campur lagi. Itu sahaja jawapan Alif tatkala diri dinasihati.

Waktu pulang sekolah.
“Aina! Tunggu...” Alif memanggil Aina yang sedang berjalan menuju ke arah garaj motosikal. Aina sedikit pun tidak menoleh bahkan dia terus meletakkan beg sekolahnya ke dalam raga motosikal dan menghidupkan enjin motosikal.
Alif menghampiri Aina yang bermuncung mulut itu.
“Tunggulah... kau ni marahkan aku ke?”
Aina diam.
“Jawablah aku tanya ni?”
Aina tetap mendiamkan diri lantas dia terus menunggang motornya tanpa mempedulikan perasaan Alif lagi.
Alif berasa serba salah di atas kata-katanya seawal tadi. Semasa di dalam kelas Cikgu Harun, Alif dikenakan dengan berdiri di atas kerusi. Semuanya gara-gara dia tidak siapkan kerja rumah. Malang sungguh nasib Alif ketika itu. Selama satu jam dia terpaksa berdiri di atas kerusi.
Saat ini Alif melangkah ke arah motosikalnya. Tapi di situ dia dihampiri oleh sekumpulan pelajar nakal. Alif kenal mereka. Budak kelas Sastera.
Hello budak Sains!” tegur salah seorang dari mereka.
Alif menoleh ke arah mereka seramai lima orang itu.
“Kau nak apa Basir?” Alif bertanya setelah kunci motosikalnya dirampas.
Basir mencerlung biji mata.
“Apa yang kau merepek hah labu? Kau jangan ingat kami tak tau yang kau kutuk-kutuk kami dalam blog kau? Kau ni memang sial kan?” marah Basir.
“Cakap baik-baik sikit. Suka-suka cakap aku sial,”
“Habis kau nak buat apa? Nak bertumbuk, okey!! Mari kat luar pagar sekolah! Dalam sekolah ni kau tunjuk berani sebab kau pengawas. Tapi aku tak hairan kau pengawas ke, kau mawas ke, yang penting sekarang ni tangan aku tak sabar-sabar nak tumbuk muka kau,” Basir memberi amaran.
Basir yang berbadan besar tidak ditakuti oleh Alif yang berbadan kurus dan berkaca mata itu. Alif bersikap berani tidak padan pula dengan kudrat yang ada.
“Okey!!!” Alif menyahut cabaran.
Memang sudah sekian lama Alif berdendam dengan mereka. Sejak peristiwa tolak menolak lagi dalam pehimpunan sekolah. Alif dan Basir saling bermusuhan namun sehingga ke hari ini Alif masih tidak tahu apakah motif sebenar Basir cari pasal pada sebelum ini.

Di rumah Alif.
Alif termangu sendiri sambil menyapu ubat pada bengkak di wajah. Dia ditumbuk dengan kuat sekali. Memang salah dirinya kerana berani melawan. Hakikatnya Alif yang memberontak. Bukan Basir. Alif sudah keterlaluan menghina emosi Basir melalui blognya.
Orang lain pun menulis juga tapi tidak perlu mempertikaikan hal orang lain. Apa yang Alif tulis di dalam blognya mengenai Basir? Sudah jelas menunjukkan Alif seorang yang suka menarik perhatian. Sebenarnya dia mahu orang lihat dia meskipun idea dan curahan rasa tidaklah sebagus apa yang disangka. Alif tidak sedar bahawa dirinya sudah mula berlagak. Berlagak kerana dikenali oleh mereka yang berada di dunia maya.
Alif bangun dan dia segera ke komputernya lalu menaip melepaskan rasa.
‘Dia ingat aku hairan sangat dengan dia?! Badan besar tapi otak kecik! Dengki dengan aku yang boleh menulis, budak tu nama aje budak kelas Sastera, menulis pun tak tahu! Tak lama lagi novel aku akan diterbitkan. Ada aku kesah? Sekarang aku dah tahu kenapa budak nama Basir tu bencikan aku dan sanggup pukul aku! Dia ingat aku nak rampas Aina. Tolonglah! Aku sikitpun tak berminat dengan Aina yang suka membebel tu,’ itulah yang ditulis oleh Alif sekarang ini.
Artikel demi artikel. Kemudian dia menyambung pula menulis novel untuk manuskrip keduanya. Manuskrip pertama masih dalam penilaian pihak penerbit. Dia berasa bangga dan sangat bangga. Hari demi hari dia selalu war-warkan pada rakan-rakan di facebooknya tentang apa yang dia lakukan. Laman facebook laman sosial tiada siapa pun yang boleh halang. Baginya hebat tapi menjengkelkan pula pada orang lain. Tanpa dia sedar, Aina juga selalu menjadi pelawat blognya.

Di sekolah
“Kenapa dengan bibir kamu tu Alif?” Cikgu Harun menyoal.
Sejak semalam lagi dia merahsiahkan hal tersebut. Ibunya dirumah juag tertanya-tanya tentang lebam di mata Alif. Kata Alif dia terjatuh. Memang tidak logik.
Aina memandang sekilas ke arah Alif yang tunduk diam.
“Kena pukul?” soal Cikgu Harun lagi?
Alif diam.
Budak-budak yang lain juga diam kerana mereka tahu Cikgu Harun garang orangnya.
“Aih! Mustahil penulis dan blogger terhebat macam kamu kena pukul? Mulut boleh tahan menulis mengutuk sana mengutuk sini? Kerja sekolah pun tak siap. Hari ni saya nak tanya kamu. Kamu dah siapkan kerja saya tu belum?”
Alif terkedu dia tundukk rapat.
Cikgu Harun bangun dari mejanya dan menghampiri Alif. Mata pelajar lain mengekori langkah Cikgu Harun yang kini hampir tiba ke arah Alif. Alif bermain dengan jari-jemarinya.
Di tangan Cikgu Harun terdapat sekeping kertas. Lalu kertas itu dihulurkan padanya. Cikgu harun meminta Alif membaca apa yang tertulis di dalam kertas berkenaan dengan kuat.
“Cepat! Baca!”
Terbeliak biji mata Alif melihat kertas itu. Dia mula ragu-ragu untuk membacanya.
“Bangun!!” tegas Cikgu Harun yang sudah menyinga.
“Cik...cikgu...” Alif tergagap-gagap. Jantungnya berdebar-debar pula. Nafasnya tersekat-sekat.
“Kenapa? Tak boleh nak baca?!”
Alif mendiamkan diri.
“Saya kata baca!!!” bentak Cikgu Harun sambil menepuk kuat pada meja Alif. Terperanjat Alif jadinya.
Alif terpaksa membacanya. Lidah Alif kelu tapi dipaksa juga. Pelajar lain sudah tidak sabar-sabar lagi ingin tahu apakah kandungan kertas itu.
“Baiklah! Kalau kamu tak nak baca! Kamu berdiri atas kerusi! Sekarang berdiri!!!!” marah betul Cikgu Harun ketika ini.
Aina sudah menduga akan kertas itu.
“Aina!” Aina tersentak apabila namanya pula dipanggil.
“Ya Cikgu...” balas Aina sekilas memandang Alif yang sudah berdiri di atas kerusi.
“Sini!” arah Cikgu Harun.
Aina terus bangun dan melangkah ke hadapan Cikgu Harun. Setibanya di situ Aina telah dihulurkan kertas itu. Lalu Aina mengambilnya. Keadaan di dalam kelas sepi seketika yang hanya kedengaran hanyalah angin kipas di siling.
“Cikgu... kenapa?”
“Saya nak kamu bacakan. Dan pergi berdiri di hadapan sana,” arah Cikgu Harus sambil berpeluk tubuh meminta Aina berjalan ke arah papan hitam.
‘Tolonglah Aina... jangan kau baca kertas tu!’ Alif merayu-rayu dalam hatinya. Berkerut dahinya ketika ini. Peluh mencurah-curah.

Di McDonalds
“Kenapa kau ni teruk sangat? Nak kata bodoh tapi belajar kelas tiptop, ambil mata pelajaran Sains Tulen, belajar Fizik, Kimia dan Biologi tapi otak macam udang!” marah Aina sambil menyuap Double Chess Burger ke dalam mulut.
Sudah seminggu Alif ponteng sekolah. Hari ini dia memujuk Aina dengan belanja makan di McDonalds. Aina awalnya tidak mahu ikut tetapi kasihankan Alif, dia akur juga.
Alif tersentak mendengar ucapan Aina itu. Burgernya tidak dijamah malah termenung sahaja. Rasa malu menebal dalam jiwanya.
“Aina... kau jangan cakap macam tu,” keluh Alif.
“Habis kau nak aku cakap macam mana lagi? Kalau dah bengap tu bengap juga! Kau ingat blog tu diari hidup kau yang nak kau dedahkan pada semua orang agar membaca kisah hidup kau? Aku dah mula rasa mual dengan kau ni tau tak?”
“Sekarang ni macam mana?”
“Kenapa? Kau dah malu? Aku ingat kau tak ada perasaan malu. Hebat sangat kan? Nak raih populariti kononnya sampai aib sendiri pun terdedah. Itu kerja gila namanya Alif! Berapa kali aku nasihatkan kau tapi kau tak endahkan! Sekarang ni kau tanggung sendiri! Kau ingat dengan hanya meminta maaf dapat melangsaikan hutang malu kau tu? Malu orang lain bagaimana pula? Kau patut berfikir dari awal lagi sebelum membuat tindakan,” bebel Aina yang tidak putus-putus itu.
Alif berasa serba salah.
“Ni surat dari guru displin mintak aku sampaikan pada kau. Kau baca sendiri,” Aina hulurkan surat tersebut pada Alif.
Alif mengambilnya tanpa banyak soal.
Perlahan-lahan dia buka lipatan surat itu.
Bertambah terkejut bila membaca kandungan surat itu.
“Kenapa?” Aina menyoal.
“Er...”
“Apa kata surat tu?” soal Aina lagi.
Pertanyaan Aina tidak dijawab oleh Alif dan menyebabkan surat yang berada di tangan Alif dirampas semula.
Aina membacanya.
Beberapa ketika kemudian,
“Padan muka kau!!!” itu sahaja jawapan Aina.
Kandungan dalam surat itu adalah surat gantung persekolahan Alif selama dua minggu. Berkerut kasar dahi Alif.
Alif tension. Rasa hendak menjerit sahaja di dalam premis tersebut.
“Kalau kau nak menyesal lebih baik kau menyesal sekarang. Kau mohon rayuan dan kau akan berubah. Orang lain pun gigih menulis novel juga. Kalau kau nak tahu aku juga penulis novel! Aku dah ada beberapa buah novel dipasaran. Aku diamkan sahaja buat apa nak kecoh?! Kau boleh berlagak dengan aku sedangkan kau belum ada sebiji novel pun lagi. Tapi cara kau macam dah hebat sangat. Alif! Hidup ini sebenarnya tak mudah... kalau kau tersilap langlah buruk padahnya. Pelajaran kita jangan diabaikan. Dan di dalam blog kau tu! Kau tak perlu nak aibkan sesiapa. Kau tahu tak kau dah hina Cikgu Harun?”
Alif terkedu lagi. Keghairahnya menulis untuk meraih populariti itu runtuh secara tiba-tiba. Semangatnya terus lesap apabila meyedari bahawa Aina orang yang dianggap kolot itu sudah memiliki beberapa buah novel. Tanpa disedarinya, Alif pernah membaca karya Aina tanpa mengetahui identiti sebenar Aina.
“Aina... maafkan aku,” hanya itu sahaja yang termampu Alif ucapkan.
Aina boleh memaafkan tapi sekiranya berulang mungkin tiada maaf bagi Alif. Bukan mudah untuk menulis novel. Bukan seperti makan biskut kering bersama kopi panas. Ia memerlukan masa untuk disiapkan dan bukannya seminit dua sudah boleh dibanggakan. Alif patut sedar tentang hal itu. Diam-diam ubi berisi, diam-diam cangkul...
Nama aje Cikgu tapi ajar cara bukan cikgu. Cikgu apa macam tu? Cikgu Harun gemuk gedempol yang tak reti nak jaga hati pelajar lain. Aku tak siapkan kerja dia sebab dia suka pilih kasih! Patutlah kahwin cerai aje,’ inilah rangkap yang paling menyakitkan hati Cikgu Harun yang secara tidak sengaja terbaca di dalam blog pelajarnya yang bernama Alif.
~~~Komenlah skit.... sudi-sudilah komen cerita ni ya... 

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.