Entri Terkini :

Cerpen : Bukalah Mata Hatimu


            DIA baru habis belajar, dia duduk saja, rasa bingung menyelubunginya. Bukan setakat itu sahaja, dia rasa susah hendak dapat kerja. Habis dia hendak buat apa sekarang ini? Dia belek dada akhbar cari kerja kosong kalau ada yang kena dengan kelulusannya Diploma Sains Komputer. Ada kerja ke untuk dia?

            Kusyairi termenung sendirian di rumah sewanya di Taman Cahaya Ampang. Sambil dia membelek ruangan iklan di dada akhbar, dia menyisip pula kopi panas yang dibancuh sendiri.

            “Bluweekkk!! Pahit!” Kopinya rasa pahit, dia lupa letak gula. Apalah nasib si penganggur terhormat ini, bancuh kopi pun semacam sahaja.

            Meja makan ditinggalkan setelah menutup akhbar itu. Dia mula rasa malas selepas kerja yang ditawarkan di dalam akbar itu semuanya jauh-jauh belaka, ada di Melaka, johor dan ada di Terengganu negeri kelahirannya. Malasnya dia hendak balik ke negerinya untuk cari kerja di sana. Sudah dua tahun dia menyewa di sini setelah tamat pengajian bidang Sains Komputer di UiTM Dungun. Selepas itu dia berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat cari kerja yang bersesuaian. Tapi dapat kerja di McDonalds juga jawabnya.

            Bukan hendak kata kerja itu tidak bagus, tapi kadang-kadang dia merungut sendiri. Tidak lama di situ dia berhenti. Sebab dia berhenti? kerana bergaduh dengan pelanggan terus dibuang kerja. Siapa pelanggan tu? Si cantik molek wajah persis model. Gaya berjalan juga persis model, siapakah dia? ‘jeng jeng jeng!’

            Selepas itu dia bekerja pula di sebuah pasar raya yang terletak di Sungei Wang Kuala Lumpur.

            Daripada seorang ‘cashier’ biasa dia dinaikkan pangkat menjadi ‘supervisor’ dalam masa itu Wardiha datang menggoda untuk mendapatkan cinta si jejaka berkaca mata ini.

            “Awak ni handsomelah, boleh saya nak berkenalan rapat dengan awak?” bodek Si Wardiha di ketika dia mula-mula hendak berkenalan dengan Kusyairi. Macam-macam pujian ditaburkan.

            Wardiha pekerja baru sudah mula hendak menggatal dengan Kusyairi. Tapi Kusyairi buat ‘derk’ saja. Malas hendak melayan sikap gedik Wardiha yang suka mengampu.

            Suratan nasibnya tidak memihak pada Kusyairi. Dia tidak lama bekerja di situ kerana ‘frust’ akibat putus cinta. Dengan siapa? Dengan Wardiha juga.

            Kusyairi makan hati jawabnya. Mula-mula dia tidak mahukan Wardiha, tapi lama kelamaan jatuh cinta pula. Dalam tidak sedar habis duitnya dikikis oleh Si Wardiha itu. Cantik, memang cantik, cantik paras rupanya tapi tidak pula cantik pada hatinya. Kesian Kusyairi kena main dengan Wardiha.

            Maka berhentilah dia bekerja di situ kerana Wardiha curang dengannya. Mana lagi hendak cari perempuan setia? Sudah payah hendak jumpa. Perempuan singa adalah kali. Tapi dia tidak mahu salahkan Wardiha, lebih baik dia salahkan diri sendiri kerana mudah percayakan Wardiha.

            “Kucai, baik mu balik kampung ni, duk wat menda kolompo tu? Kije kat kampung banyok..” Mak Kusyairi berleter di telefon. (Translate : Kucai, lebih baik kau balik kampung, buat apa kerja kat Kuala Lumpur tu? Kerja di kampung ini masih banyak.)

            “Mok, bukang kucai tak mboh balik mok, bolok dekpong duk kampung tuh, biar kucai cari pengalamang duk kolompo ni.” 


(Translate : Mak, bukan kucai tak mahu balik mak, tak selesa kerja kat kampung tu, Biar kucai cari pengalaman kerja di Kuala Lumpur ni)

            “Kije mende gok, pah kije berenti, pah berenti kije pulok, dok lekat mu kije buat? Pitih sekepeng habuk dok hulur...” gerutu ibu Kusyairi ini.


(Translate : Kerja apa? Lepas kamu dapat kerja, kamu berhenti pula, susah nak kekalkan pekerjaan kamu ni. Duit pun tak pernah kamu kirim.)

            Bertambah runsing fikiran Kusyairi mengingat kembali apa yang ibunya katakan. Kusut diperahkan otaknya untuk menyelesaikan keadaan ini. Untuk mendapat kerja masa sekarang ini memang payah. Duit dalam simpanannya makin lama makin kering. Setiap hari dicucuk kad di ATM. Mahu tidak susut.

            Jangan ingat zaman ini macam zaman dulu, kerja cari orang. Sekarang orang cari kerja pun belum tentu dapat. Kelulusan ijazah sekalipun banyak yang tanam anggur. Yang bekerja di luar dari bidang pun ada. Banyak yang macam itu.

            “Hoi!! Apa kau mengelamun hahh!!” Sergah Mukriz dari arah belakang. Gelas yang masih dipegang di tangan belum lagi diisi semula dengan gula terlepas dari genggaman. Terus jatuh “Tumm!!!” berderai jatuh dari tingkat lima rumah flat ini.

            “Woi!!! Tegur elok-elok tak boleh ke haa??!! Kalau aku ada sakit jantung macam mana? Tu kau tengok, gelas kau dah pecah! Nasib baik bukan gelas aku!”

            “Gelas kita ar! Kita beli sama-sama.. jadi kita berdua yang rugi! Haha!”

            Poyo memang poyo budak berdua ini. Kalau tiba-tiba ada orang lalu di bawah itu dan terkena kepalanya mahu tidak pecah kepala orang itu? Tidak fasal-fasal jadi kes.

            Kusyairi meninggalkan balkoni di mana dia sebentar tadi termenung sambil memandang bintang di langit. Memang mata pandang bintang tapi fikirannya ke lain.


........................................
2

            “KAU dah dapat kerja ke belum?” Mukriz menyoal.

            “Belum..” jawabnya sepatah kerana sedang menghadap laptop di pagi-pagi buta ini. Apa lagi berchattinglah. Buang masa betul.

            “Apa kata kau ikut aku pagi ni..pergi interview...”
            “Ke mana?”
            “Member aku kata ada kerja kosong kat tempat dia..”
            “Kerja apa?” deras Kusyairi menyoal.
            “Despetch!” balas Mukriz selamba.

            “Ehh! tak naklah aku.. fobia aku naik motor ke hulu ke hilir hantar surat...” Kusyairi memberi alasan.

            “Chaitt! memilih! Habis kau nak kerja macam aku ke?” balas Mukriz sambil memakai kasut.

            “Lagi aku tak nak, hari-hari kena angkat gelas, cawan dan pinggan, aku dah rasa semua tu, malas aku..”

            “Memanglah kau pernah rasa, itu kau kerja di fast food, ini kerja kat restoran, lain.. tak sama macam tempat yang pernah kau kerja. Cuci pinggan.. kau nak?”

            “Hoii!!! Muka handsome macam aku ni kau suruh cuci pinggan? Tolong skit!”

            “Handsome katanya.. penganggur terhormat puji diri sendiri.. haha!” Kusyairi terjegil mata memandang Mukriz. Rasa hendak diterajang saja badut itu, pagi-pagi sudah kecoh.

            Gamat pagi itu, Kusyairi terasa dirinya dipersendakan. Salah dia, bukan salah siapa, memilih kerja, hendak yang macam itu hendak yang macam ini. Mana ada kerja yang boleh sesuka hati ikut cara sendiri. Ada peraturan kena ikut.

            Dia terus sambung berborak dengan seorang awek di internet. Mukriz sudah pergi kerja. Masa ini dia bersantai di rumah, sudah dua bulan dia menganggur. Hanya membazir waktu di depan laptop.

Putera Idaman : Bagilah nombor telefon awak?

Sailormoon : Awak nak buat apa dengan nombor telefon saya?

Putera Idaman : Nak buat asam pedas, tanya pula, hendak call awaklah…hehe...

Sailormoon : Ngada-ngada...hihi

Putera Idaman : Ngada-ngadapun awak suka...

Sailormoon : Nantilah saya bagi, tapi saya nak tahu awak kerja apa ek?

Putera Idaman : Tak kerja, tengah tanam anggur

Sailormoon : Apa?? Ishh awak ni tipulah, atau awak saja nak rahsiakan pekerjaan awak?

Putera Idaman : Tak tipulah, saya ni jujur orangnya, tak suka tipu-tipu...

Sailormoon : Alah kat internet ni boleh cakap apa saja...

Putera Idaman : Kejap ada call...

            Sedang mereka rancak berkenalan-kenalan telefon bimbitnya berdering. Nombor yang tidak dikenalinya.

         “Hello, Encik Kusyairi Hamdan ke?” soal si pemanggil.

“Ya saya, kenapa encik?”
           
“Ini panggilan daripada perkhidmatan komunikasi, tolong jelaskan pembayaran broadband anda, sudah tiga bulan tidak bayar atau kami tamatkan perkhidmatan anda dan anda mesti pulang semula modem broadband tersebut pada syarikat kami.” Ujar si pemanggil itu.
           
Habislah dia kali ini, tidak menjelaskan bil ‘broadband’ rupanya. Dia mungkin lupa membayarnya atau sudah tidak cukup duit. Sewa rumah bulan ini pun dia belum jelaskan lagi, kalau dia lambat bayar nanti tuan rumah bising, mulut Mukriz pun pasti akan bising juga. Hutang bil bulan lepas pun dia belum ganti lagi. Mukriz yang tolong bayarkan dulu. Dia duduk ‘free’ saja. Silap-silap kena halau nanti padan muka.
 
“Saya lupa encik, nanti saya jelaskan terima kasih encik sebab tolong ingatkan,” kata Kusyairi memberikan alasan.

         Selepas itu dia menghela nafas panjang. Fikirannya buntu tidak tahu apa yang hendak dia lakukan. Kerja pun masih belum dapat. Memang susah hendak dapat kalau dia hanya terperap di rumah sahaja. Mana ada kerja datang ketuk pintu rumah ‘Hello, saya ni KERJA, tolong ikut saya!” mana ada! Kena cari kerja juga.

         Otaknya ligat mencerna jalan untuk memboloskan diri dari keadaan ini. Boleh ke? Apa dia nak buat. Aturkan strategi yang tidak masuk akal atau pun mencari helah? Payah! Dia kena berusaha juga untuk dapatkan kerja. Kerja apa? Sudah hari-hari dia belek dada akhbar. Banyak kerja kosong tapi kerja yang dia kurang minat. Kerja cuci keretalah, kerja jadi operator kilanglah, tiada ke kerja di syarikat besar-besar sebagai pegawai pembantu teknologi maklumat ke? Dia mengeluh panjang. Semua jauh-jauh. Dia mahu di Kuala Lumpur juga. Ada apa di Kuala Lumpur?

         Tidak lama selepas itu dia menyambung semula berborak dengan Sailormoon. Namun hanya seketika, ‘line internet down’ secara tiba-tiba.
........................................
3

         MUKRIZ tarik muka, dia bengang dengan Kusyairi, pinggan mangkuk di dapur tidak dicuci, rumah berselerak. Sudahlah tidak bekerja, pemalas pula.

         “Hei Kucai! Apa nak jadi dengan kau ni? Kau nak tinggal sini lagi ke atau tak? Kalau belum dapat kerja lagi tu tolong-tolonglah bersihkan rumah ke! Apa kau ingat aku ni orang gaji kau ya?”

         “Relekslah...”

         “Releks apanya? Kalau kau masih macam ni aku bagi orang lain sewa aje, kau tak payah duduk sini lagi. Pergi cari tempat lain..” bentak Mukriz yang sudah hilang sabar setelah penat bekerja.


"Tengok ar dah sampai pun..." balas Kusyairi dengan nada sedih.

"Sampai mana?" Mukriz bertanya kaget.

“Sampai hati kau cakap macam tu dekat aku...” rajuk Kusyairi.

“Sampai hati tak sampai hati, kau tu yang tergamak buat aku macam ni, takkan hari-hari aku kena tanggung kau, pemalas!” tempelak Mukriz lalu menghempas begnya ke atas sofa.

Mukriz baru balik kerja. Kepala berserabut sekali. Balik di rumah dia terus menjengah ke dapur, nampak kotor, pergi pula ke ruang tamu, juga nampak kotor. Hati siapa tidak panas?

“Kalau macam nilah sikap kau Kucai, aku dah malas dah nak tolong kau lagi, lebih baik aku tolong kucing yang kelaparan di tepi jalan..” kias Mukriz.

Berdesing telinga Kusyairi mendengar kenyataan Mukriz itu. Ini bermakna dia lebih hina dari itu. Kusyairi tunduk. Dia kesal. Kawan yang dianggap dapat dia buat menumpang sementara waktu telah berkata begitu.

Lantas dia yang berada di ruang tamu itu terus merajuk dan terus masuk ke dalam bilik dan membiarkan televisyen tidak ditutup.

“Tengoklah, pantang aku tegur sikit merajuk! Macam perempuan!” gerutu Mukriz menggaru kepala sendiri. Niatnya untuk menegur supaya Kusyairi berfikir.

Mukriz menggeleng kepalanya. Kusyairi kini begitu sensitif. Apa lagi yang mahu Mukriz lakukan terhadap Kusyairi. Hendak dihalaunya betul-betul Si Kusyairi dia sebenarnya tidak tergamak, kerana sebelum ini dia sudah termakan banyak budi Kusyairi. Apa yang lebih besar lagi, Kusyairi pernah menyelamatkan nyawanya. Kalau bukan kerana Kusyairi menjerit memanggil namanya, sudah tentu sekarang ini dia…dilanggar lori.
........................................
4

PAGI ini kusyairi bangun awal dan bersiap. Dia nampak bergaya dengan kemeja lengan panjang warna biru muda dan dipadankan dengan tai berwarna merah hati bersilang jalurnya. Begitulah caranya bila dia berpakaian formal.

Dia ada temu duga pagi ini. Sebelum itu dia telah mengemas rumah sewanya. Mukriz pula masih belum bangun tidur. Awal-awal lagi dia telah bancuhkan kopi untuk Mukriz, sahabatnya itu boleh minum dan pekena roti bakar yang disediakannya bila Mukriz telah bangkit lena nanti.

Setelah dia memakai kasut dan dengan lafaz bismilah memulakan langkah kakinya menuju ke LRT STAR Ampang Cahaya yang tidak jauh dari rumahnya. Segala ‘resume’ ada dibawa bersama.

Setibanya di situ dia membeli tiket untuk ke destinasi Plaza Rakyat yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur tidak jauh dari Puduraya. Seterusnya dia melepaskan tiket ke mesin yang berada di situ agar palang yang ada mudah dilalui.

Dia menunggu di situ. Tiba-tiba dia tegur oleh seseorang,

“Putera Idaman?” Kusyairi terpinga-pinga selepas disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Dia ditegur dengan nama samaran yang digunakan di internet pada sebuah laman borak.

“Awak siapa?” Kusyairi menyoal pula selepas disoal.

“Kalau tak salah saya awak memang Putera Idaman kan?” duga orang itu.

“Dari mana awak tahu?” Kusyairi tidak berdali malah dia kekal menyoal.

“Awak sudah lupa ke? Saya cam awak sebab awak berikan gambar awak pada saya, tapi saya tak sempat bagi gambar saya pada awak sebabnya tiba-tiba awak terus ‘offline’ malam tadi.” Kata orang itu.

“Tapi awak siapa, dari tadi saya tanya awak..” soal Kusyairi lagi. Mengangguk pun tidak dan menggeleng pun tidak. Tapi matanya terjegil kehairanan.

“Kalau betullah awak ini Putera Idaman, salam perkenalan kerana takdir menemukan kita akhirnya, saya Sailormoon.”

“Awak ke?” Kusyairi terkejut dengan takdir pertemuan ini. Dia ingatkan Sailormoon itu hanya sekadar teman berborak. Tidak percaya rasanya seseorang yang bertudung cantik berbaju kurung berdiri di depannya itu adalah Sailormoon. Sungguh berani dia menegur Kusyairi.

Si gadis yang bergelar Sailormoon itu sungguh cantik berwajah ayu berkulit cerah sedang tersenyum memandang Kusyairi. Jantung Kusyairi berdetak kencang.

‘Adakah Tuhan telah hantar dia untuk mengubati luka ini?’ desis hatinya sendiri.
“Nama betul saya Athirah Syabila, nama awak?” Athirah menyoal.

“Manis betul nama awak... semanis orangnya, nama saya pula Kusyairi Hamdan,” Kusyairi memuji Athirah hingga membuatkan Athirah tersengih dan merah pula pipinya selepas dipuji begitu.

“Awak pun apa kurangnya..tampan..” Athirah tunduk malu.

Kusyairi tersengih.

“Awak nak ke mana ni?” Soal Athirah. Namun Kusyairi seperti memikirkan sesuatu. Dia kadang-kadang berasa pelik dengan pertemuan yang tidak disengajakan ini. Rasa-rasanya dia tidak pernah tengok kelibat si gadis ini sebelum ini.

“Awak…” Athirah melambai-lambai tangannya pada wajah Kusyairi lalu tersentak dari angan-angan sebentar tadi.

“Eh awak, kereta api dah sampai,” balas Kusyairi menggelabah.
Cepat-cepat mereka beratur untuk masuk ke dalam kereta api itu. Mereka kemudiannya duduk bersebelahan.

“Awak nak ke mana ni?” Athirah mengulangi pertanyaan itu.
“Oh! Saya nak ke Plaza Rakyat, awak pula?”
“Samalah, saya pun nak ke situ juga,” balas Athirah.
“Kebetulan pula,”

“Yelah kan semuanya kebetulan aja, ada makna ni,” balas Athirah selamba. Sememangnya Athirah selamba orangnya. Tidak kenal erti segan seandainya perkara itu membawa kepada kebaikan.

“Tapi saya macam pernah dengar nama awak..tapi kat mana ya..?” Kusyairi menduga.

“Banyak nama orang yang sama kat dalam dunia ni, awak tak payah fikirkan sangat. Kebetulan aje tu..” balas Athirah.

Mungkin benar kata Athirah tapi sekarang ini hidungnya tidak tahan dengan bau seseorang yang sedang berdiri di hadapannya. Bau ketiaknya Ya Rabbi, macam tidak dicuci setahun. 'Tak mandi ke apa mat b**** ni?' gerutu Kusyairi.

Athirah seakan dapat meneka gelagat Kusyairi itu yang sekejap sekejap tutup hidung lalu dia terus menegur.

“Jangan buat begitu, biasalah setiap orang ada kelemahan masing-masing, kalau dia nampak apa pula perasaannya nanti?” nasihat Athirah sepertinya dapat membaca gerak hati Kusyairi.

Si jejaka ini begitu terkejut setelah Athirah menegurnya begitu. Lembut sekali budi bahasa dalam tutur katanya tadi.

“Habis itu awak pula boleh tahan ke?” Athirah hanya menggeleng selepas ditanya.

“Kalau awak sendiri tidak tahan kenapa awak cakap macam tu pada saya..?” sambung Kusyairi lagi.

“Saya memang tidak tahan, tapi saya buat biasa sahaja, cuba awak fikir kalau benda yang sama terjadi pada awak, apakah awak akan menerimanya kalau orang lain buat seperti itu? Sudah tentu awak juga terguris kan?” balas Athirah.

“Tidak, kalau saya..mesti malu..”

“Tahu pun awak… malu bagi luarannya dan terguris pula ada di dalamnya, seperti juga peria, kalau orang tidak kenal pada peria, sudah tentu bila dimakan terasa pahit.” Ujar Athirah berfalsafah.

Kusyairi cuba untuk faham maksudnya. Dia cuba menelaah kata-kata itu tapi otaknya terasa berat untuk berfikir. Dia membiarkan sahaja. Lalu dia tunduk.

‘Stesen berikutnya Plaza Rakyat, next station Plaza Rakyat’ kata pembesar suara.

“Wah! sekejap sahaja kita dah nak sampai,” desis Kusyairi.

“Dan lepas ini awak dah tak perlu tutup hidung lagi..” sindir Athirah.
Kusyairi hanya tersengih sahaja. Setibanya di situ mereka berpisah. Seorang ke selatan seorang lagi ke utara.
........................................
5

KUSYAIRI menunggu kata balas dari pihak Karang Indah Sdn Bhd. Sebuah syarikat penerbitan. Dia temu duga di situ sebagai jawatan pembantu promosi. Hanya itu sahaja jawatan yang ditawarkan. Cuma sekarang ini belum ada kata balas setelah tiga hari dia menunggu dan selama tiga hari itu juga Sailormoon tidak muncul lagi.

“Mana Athirah pergi ni?” Soalnya sendiri.

Dia nampak resah dan kesal kerana pada hari itu dia terlupa untuk mendapatkan nombor telefon milik gadis itu. Akhirnya dia sendiri celaru. Kepalanya digaru berkali-kali. Dahinya pula berkerut.

“Eh! Kucai, dari mana kau dapat duit jelaskan sewa rumah bulan ni?” Tiba-tiba Mukriz menyoal.

Dia yang tersentak dengan kehadiran Mukriz yang masuk ke dalam biliknya tanpa diketuk dulu segera bangun setelah dia bermalas-malasan dan gelisah di tilam.

“Laa kau ni Riz, aku dah bayar pun kau bising lagi.. kalau aku tak bayar kau bertambah bising..jadi lebih baik kau diam sebab aku dah bayar hutang kau sekali kan..so rasanya janganlah banyak tanya..”

“Wei Kucai, aku ni tak suka tengok kau buat kerja tak elok, kau jadi g***** ke?” duga Mukriz yang bukan-bukan.

“Kau ingat aku ni apa? Tak dapat didikan agama ke dan tak tahu halal dan haram?” Marah Kusyairi setelah Mukriz menduga sedemikian.

Mukriz terdiam. Dia tidak patut menduga begitu sehingga menyebabkan hati temannya terguris. Lalu Mukriz meninggalkan Kusyairi sendirian setelah dimarahi oleh temannya itu. Dia tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku. Dia tahu kalau Kusyairi sudah marah akan lebih kacau sekiranya dia masih di situ.

Tiba-tiba fikiran Kusyairi menerawang. Dia terfikir akan kata-kata Athirah tempohari.

‘Jangan buat begitu, biasalah setiap orang ada kelemahan masing-masing, kalau dia nampak apa pula perasaannya nanti..’

‘Saya memang tidak tahan, tapi saya buat biasa sahaja, cuba awak fikir kalau benda yang sama terjadi pada awak, apakah awak akan menerimanya kalau orang lain buat seperti itu? Sudah tentu awak juga terguris kan?’

‘Malu bagi luaranya dan terguris pula ada di dalamnya, seperti juga peria, kalau orang tidak kenal pada peria, sudah tentu bila dimakan terasa pahit’

Kata-kata itu membuatkan dia terfikir, mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Athirah. Supaya dia juga tidak boleh bersangka buruk pada orang lain. Seperti yang baru berlaku sebentar tadi, dia dapat merasakan perasaan itu apabila disangka buruk oleh orang lain pula. Betapa dia rindukan Athirah sekarang ini. Wajah Athirah terus terbayang di matanya.
........................................
6

KESOKKAN harinya dia bangkit lambat, subuh agak ketinggalan. Dia cepat-cepat bangun menunaikan solat fadhu Subuh yang telah jauh. Masih sempat lagi. Fajar belum menyinsing.

Setelah itu dia menyambung semula tidurnya. Dia masih mengantuk kerana tidur lewat kerana lagut mencoret bingkisan rasa pada laptopnya.

Dia sedang berseronok di dalam mimpi. Mimpi bertemu dengan Athirah malam tadi di sebuah taman bunga yang indah. Di situ dia melafazkan ungkapan cinta dan sayang. Sampai begitu sekali rindunya sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Dia tidak mahu melepaskan Athirah yang begitu cantik di matanya. Punya sepasang mata yang jernih, berwajah ayu dan bertudung lintup itu tidak hindar dari mindanya.

Jam loceng menjerit nyaring. Dia terjaga semula. Sudah pukul sepuluh pagi. Dia cepat-cepat bangun dan mandi. Hari minggu membosankan sebab tiada perbezaan dengan sebelumnya, jika dulu dia sering keluar bersama bekas kekasihnya tetapi kini tidak lagi, dia sudah boleh melupakan Wardiha yang menyakitkan hati, biarpun berkali-kali Wardiha mengirimkan pesanan namun tidak dibalasnya.

Sekarang dia sudah berpakian dengan ‘tshirt’ berkolar dan seluar ‘jeans’ biru. Sedikit ‘perfume’ disemburkan ke pakaiannya. Dia mahu ke kedai mamak pekena roti canai.

Beberapa minit kemudian dia sudah tiba ke kedai Mamak Bistro yang letaknya tidak jauh dari flatnya. Tidak berbaloi untuk dia naik teksi, lebih baik hanya berjalan kaki. Bukan jauh mana pun. Seratus langkah pun boleh sampai.

Dia duduk di situ sendiri. Kemudian datang pelayannya untuk mengambil pesanan

“Mamak, roti canai telur satu, kopi o satu,” pesannya.

Pelayan itu mengangguk dan mencatat pesanan Kusyairi. Belum sempat pesanan dihantar dia telah disapa oleh seseorang dari arah tepi.

“Assalamualaikum...” Kusyairi terkejut melihat kelibat Athirah yang menghilang beberapa hari lalu yang tidak dapat dihubungi melalui ruang alam maya itu kini terpacul di depannya.

“Waalaikumussalam...” Balas Kusyairi yang sikit tergamam.

“Boleh saya duduk?” Athirah meminta keizinan.

“Sudah tentu boleh, silakan…”

Kusyairi memandang mata Athirah. Lantas direnungi dalam-dalam. Dia seperti menahan rindu. Rindu pada wajah polos Athirah.

“Apa yang awak pandang?” soal Athirah yang berasa malu bila ditenung begitu. Dia cuba untuk melarikan pandangan itu, namun sungguh kuat daya renungan Kusyairi.

“Mata awak.. saya pandang mata awak yang cantik jernih tu, sebab mata itu telah lama tinggalkan saya dan membuatkan saya tertanya-tanya, adakah saya akan berjumpa dengan awak lagi.. selepas hari itu awak menyepi, saya cuba cari awak di dalam laman borak tapi awak tak ada, saya fikir awak sudah tidak mahu berborak dengan saya lagi..” desis Kusyairi meluahkan rasa.

Athirah tunduk segan selepas Kusyairi berkata-kata puitis. Sememangnya Athirah sudah lama tertarik dengan kata-kata yang diucapkan oleh Kusyairi dari sebuah laman borak itu.

“Awak jangan cakap macam tu, saya minta maaf kalau buat awak tertanya-tanya,” balas Athirah lembut.

“Sudah bertemu dengan awak semula sudah memadai bagi saya, terbayar juga rindu ini..” ujar Kusyairi.

“Jadi, awak rindu pada saya ya? Hihi!” tawa Athirah.

Kusyairi mengangguk pasti sebabnya memang itu yang dia rasa. Kalau Athirah boleh membaca fikirannya saat ini, dia mahu Athirah membelek segala ruang-ruang hatinya.

“Saya tadi nampak awak jadi saya terus mengekori di belakang awak, tapi awak tak nampak sebabnya awak terus jalan sahaja, saya tak sempat panggil awak..” ujar Athirah.

“Awak nampak saya dekat mana?”
“Flat Sri Jati…”
“Awak duduk kat situ ke?”
“Ha`ah, dah lama saya duduk kat situ..”
“Kenapa awak tak cakap?” soal Kusyairi deras.
“Sebab awak tak pernah tanya..”
“Tapi awak dah tahu saya duduk kat mana kenapa awak tak beritahu saya?”
“Saya segan..”
“Kenapa pula?”

“Sebab saya fikir kalau awak tahu saya duduk mana nanti awak ingat saya main-main, mungkin awak akan rasa dipermainkan. Biasalah awak kat internet tu macam-macam boleh jadi..” balas Athirah lembut.

“Betul juga kata awak..tapi mana awak menghilangkan diri?”
“Erm…” Athirah tidak menjawab.

Tidak berapa lama kemudian pesanan dihantar. Masih panas. Sedap dijamu ketika perut sedang lapar.

“Awak tak nak sarapan bersama ke? Jemputlah sarapan sekali,” Kusyairi mempelawa Athirah.

“Tak apalah saya dah sarapan kat rumah tadi, awak makanlah..lepas habis makan saya nak cakap sesuatu kat awak..” kata-kata itu membuatkan Kusyairi tertanya-tanya sendiri, dia tidak sabar untuk mengetahui apa yang ingin diucapkan Athirah.
........................................
7

RASA bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sekejap tadi. Saat ini dia berkurung di bilik sambil tangannya berada di dahi dan matanya pula tidak kalih dari memandang siling.

Baru dia ingat, Athirah Syabila, nama yang begitu gah di pesada seni penulisan. Pernah dia ingin menduga tapi cepat disangkal oleh Athirah. Kenapa dia tidak mengaku?

‘Aku pernah baca penulisan dia waktu aku belajar dulu, kalau tak silap aku, novel dia berjudul Gersang Bumi Tuhan terbitan Karya Murni, karya yang begitu menarik minat aku untuk membacanya, penulisan yang begitu berkesan dan memberi impak kepada aku, sehingga aku seorang lelaki pun mengalirkan air mata. Mungkin juga aku seorang lelaki yang sensitif agaknya.’ Kata Kusyairi di dalam hati.

Kusyairi teringatkan perkara yang baru sahaja terjadi sebentar tadi. Ucapan Athirah yang mengungkapkan kebenaran yang seakan tidak dipercayai oleh Kusyairi.

“Sebelum itu saya ingin memohon maaf, kerana saya tidak jujur dengan awak, sebelum saya berchatting dengan awak menggunakan nickname Sailormoon, kita pernah berchatting seawal itu, saya memakai nama Kencana Dewi, itu pun kalau awak masih ingat...”

“Jadi itu adalah awak?”

“Ya, itu adalah saya, dan kalau awak masih ingat, dulu awak pernah bergaduh dengan kawan saya di McDonalds, sampai awak dibuang kerja serta-merta. Saya ada masa itu, mungkin awak sudah lupa akan wajah saya, kebetulan awak tinggal di tempat yang sama dengan saya bila kita berchatting, saya cam wajah awak dan saya selalu nampak awak di sini. Cuba nak tegur tapi mulanya saya segan tapi saya beranikan diri tegur awak.”

“Oo awak perbodohkan sayalah ya?” ujar Kusyairi geram.

“Bukan macam itu, biar saya berterus terang, awak akan bekerja sebagai seorang penulis, manuskrip yang awak kirimkan pada saya dulu walau pun hanya sekadar untuk saya membacanya tetapi telah saya hantar kepada penerbit saya iaitu di syarikat Karang Indah iaitu di tempat awak temu duga..” cerita Athirah.

“Macam mana awak tahu saya temu duga di situ?” soal Kusyairi penuh curiga.

“Sebaik awak sampai di situ, saya dah lihat awak..” balasnya.

“Saya nak tanya awak, kenapa awak sanggup berikan manuskrip awak itu pada saya? bila saya baca ia sungguh mempersonakan walaupun ada sedikit kesilapan tapi itu boleh diperbaiki..” sambung Athirah lagi.

“Saya saja bagi awak baca, sebab saya bukan nak jadi penulis, saya hanya menulis apa yang saya rasa sahaja..saya cuma nak berkongsi segala rasa..” jawab Kusyairi.

“Saya tak kisah tentang itu, Karang Indah dah setuju nak terbitkan novel yang awak tulis lepas itu awak boleh bayar balik hutang awak pada saya..” balas Athirah semula.

“Hutang?? Eh! Bila masa saya berhutang dengan awak? Saya tak pernah pun pinjam duit dengan awak.. apa awak merepek ni Athirah?” Kusyairi begitu terkejut.

“Awak pernah chat dengan Robella kan?” soal Athirah selepas itu.

“Apa awak ni..mengarut..?!” ujar Kusyairi.

“Sabar dulu, sebenarnya itu adalah saya, dan awak meminjam duit dengan saya untuk bayar rumah sewa awak, saya percayakan awak jadi saya bank-inkan awak duit tu. Saya tidak risau, kerana awak tinggal di situ juga, saya tahu awak boleh berjaya sebab saya yakin dengan karya awak…” terang Athirah dengan terperinci.

“Selama ini awak perbodohkan saya..! Cukup Athirah! Cukup! Saya akan bayar semua duit awak tapi tunggu selepas saya dapat kerja..!” bentak Kusyairi.

“Untuk apa awak cari kerja lain? Peluang di depan mata! Syarikat Karang Indah setuju meletakkan awak sebagai penulis selepas sahaja novel Bukalah Mata Hatiku ini keluar di pasaran bulan depan. Saya perlukan persetujuan awak. Sebab awaklah penulis asal cerita ini. Saya cuma nak bantu awak Kusyairi, awak seorang yang berbakat! Rugi kalau awak lepaskan peluang yang diberikan.. awak kena sedar, peluang macam ini hanya datang sekali sahaja tambah lagi awak berpendidikan walaupun awak tidak punyai pekerjaan tetap, tapi inilah masanya untuk awak berubah..”

Ada benarnya kata-kata Athirah itu dan Kusyairi perlu rasional dalam berfikir. Walaupun pada dasarnya dia ingatkan semua pertemuan dia dengan Athirah adalah secara kebetulan rupanya telah dirancang. Tidak diduga sama sekali.
........................................
8

KAKI Kusyairi melangkah masuk ke dalam syarikat Karang Indah Sdn Bhd untuk kedua kalinya. Dia berasa janggal sekali. Di dalam hatiya berasa sungguh dipermainkan namun dia cuba untuk meleraikan segala persoalan ini.

“Eh! Kusyairi…! Duduklah,” pelawa Athirah.

“Macam mana? Awak setuju?” soal Athirah dengan senyuman.

“Tidak!! Saya tak setuju, saya datang sini sebab saya nak ucapkan selamat tinggal pada awak..! saya tak kisah apa awak nak buat dengan cerita tu lantak awaklah! Saya tak peduli, saya kesal dengan cara awak! Awak buat saya macam orang bodoh!” bentak Kusyairi yang tiba-tiba berubah angin.

“Awak nak pergi mana! Bertenang! Bawa berbincang..” pujuk Athirah.

“Nak bincang apa lagi! Dah cukuplah awak perbodohkan saya! Nah duit awak!! Saya bayar balik!” Cetus Kusyairi.

Kusyairi membayar semula hutang Athirah. Dia meminjam wang tersebut dari ibunya. Dia berjanji akan membayar semula. Ibunya itu berleter terlebih dahulu namun setelah diberi penjelasan akhirnya ibunya membantu Kusyairi yang terdesak.

“Kalau awak nak sangat cerita itu awak ambillah, saya memang tak suka awak main-mainkan macam ini! saya fikir awaklah jodoh saya, tapi ternyata tidak!” sambungnya lagi.

“Apa?? Jodoh??! Kusyairi! Awak jangan cakap saya ni jodoh awak! Tak malu!” balas Atihrah yang terjegil mata setelah mendengar Kusyairi mengungkapkan kata jodoh.

“Memang saya tak malu! Saya tergila-gilakan awak, sejak pertemuan hari itu saya jatuh hati pada awak..tapi sekarang tidak lagi! Terima kasih!” Kusyairi terus melangkah pergi setelah wang itu diletakkan di atas meja Athirah.

Akhirnya Kusyairi meninggalkan Athirah terpingga-pinga. Selepas dari itu Kusyairi tidak dapat dihubungi lagi. Dia telah balik ke Terengganu dan memulakan kehidupan baru bersama ahli keluarganya.

Beberapa bulan kemudian, Kusyairi lewat ke kedai buku, dia terpandang sebuah novel berjudul Bukalah Mata Hatimu yang ditukar dari tajuk asal iaitu Bukalah Mata Hatiku yang telah dibeli oleh seseorang. Dia pandang lagi, ada ramai yang mengambil buku itu untuk dibeli. Novel tersebut baru sahaja dipasarkan tapi sudah laris dipasaran terbitan Karang Indah Sdn Bhd.

Jelas tertera nama penulisnya iaitu Putera Idaman yang merupakan nama samarannya di internet. Sudah lama dia tidak menjengah ke situ.

Kusyairi terus berlalu tanpa menoleh lagi. Kalaulah Kusyairi membeli buku itu dan membeleknya, sudah pasti dia akan terbaca sepotong ayat terakhir novel itu yang diedit semula dan tertulis, ‘kuterima cintamu, kembalilah padaku, sesungguhnya air mata ini tidak mampu mengubat rinduku terhadapmu..’ khas ditujukan buat Kusyairi.

-Moral- Dalam hidup ini kita kena rajin, soal pekerjaan jangan terlalu cerewat, jangan bermalas-malasan, satu lagi kena bersikap jujur dari awal, kalau sudah rasa bersalah kemudian baru hendak berterus terang mungkin sudah terlambat.

Mahu sambungannya lagi tak? Saya menulis ikut citarasa anda… kan? Kalau anda mahu saya okey aje, kalau anda tak mahu saya pun okey jugak. Tapi kang kalau panjang-panjang jadi novel lak.. tak jadi cerpen dah. Macam mana?

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.