Entri Terkini :

Cerpen : Bukalah Mata Hatimu 2

1
BEKERJA di sebuah restoran sebagai pencuci pinggan mangkuk amat memenatkan Kusyairi. Namun rezeki itu adalah yang halal dicari meskipun terpaksa. Suasana di kampung terlalu jauh bezanya dengan Bandar besar dan tidak banyak perkerjaan yang ada sesuai dengannya di sini. Dia tiada pilihan lain lagi kalau tidak mahu bekerja sebagai tukang buruh.

Telah banyak kedai-kedai komputer dia meminta kerja tapi tiada kekosongan. Mencari pekerjaan bukanlah sesuatu yang enteng.

Ketika di Kuala Lumpur dia sudah berpengalaman dalam mencuci pinggan mangkuk. Di sini juga dia bekerja sebagai tukang cuci. Sudah 3 bulan dia bekerja di Restoran Harun Tom yam yang terletak di Pekan. Berulang-alik dari tempat kerja dengan menunggang motosikal bermula dari pukul 2.00 petang sampai lewat tengah malam. Selesai tugas pukul 2.00 pagi. 12 jam waktu bekerja dan termasuk waktu rehatnya.

“Demo menung gapo gak, tok se kelik lagi ko?” soal Nuai pemuda  yang berasal dari Tanah Merah Kelantan yang merupakan anak saudara kepada bosnya.

(Apa yang kau menungkan? Tak nak balik lagi ke?)

Nuai dari tadi memerhatikan Kusyairi termenung di kerusi sambil matanya memandang kenderaan yang lalu lalang di situ.

“Nok balik doh ni,” kata Kusyairi yang tersedar Nuai ada dibelakangnya.

(Sudah nak baliklah ni)

Nuai mengangkat keningnya.

“Sejak kebelakange ni kawe tengok demo duk menung ja, kalu ado masaloh acu kobar ko kawe etek,” tegur Nuai sambil menepuk perlahan bahu Kusyairi.

(Sejak kebelakangan ni, aku tengok kau asyik termenung saja, kalau ada masalah beritahu aku)

Kusyairi menoleh dan memandang mata Nuai. Dia tidak meluahkan apa yang dirasainya saat ini kepada Nuai. Kusyairi belum bersedia.

“Tadok menda eh, doh dok apa ah, aku balik dululah,” kata Kusyairi sambil mengangkat punggung dan mengambil kerusi itu untuk disimpan.

(Tidak ada apa-apa, okeylah, aku nak baluk dulu)

Nuai hanya memerhati saja pergerakan Kusyairi dengan ekor matanya dan kemudiannya dia menggeleng-geleng kepala.

Kaki Kusyairi melangkah ke arah motornya sambil mengeluarkan anak kunci dari koceknya manakala Nuai mengambil penyapu dan menyelesaikan tugasnya membersihkan laman di luar restoran itu.

Tidak berapa lama kemudian Awie sepupu kepada Nuai muncul di situ dan memanggil Kusyairi yang baru sahaja hendak menghidupkan enjin motornya.

“Kucai, jangan lupa ni,” ujar Awie sambil menunjukkan tom yam milik Kusyairi yang tertinggal di dalam.

Kusyairi terus menoleh dengan menuncungkan mulutnya.

“Oh! lupa pulok, terima kasih,” ucap Kusyairi lalu mencapai bungkusan tom yam yang dihulurkan oleh Awie.

(Oh! Terlupa pula, terima kasih)

Usai itu Kusyairi terus menunggang motosikalnya di dalam hening malam yang begitu menghibakan. Sejak tiga bulan lalu hatinya tidak tenang. Biarpun sengaja disibukkan dirinya namun masih tetap begitu.
........................................

2

SELEPAS subuh menjelang Kusyairi terus bangun dari lenanya yang hanya baru 3 jam sahaja. Kalau hendak diikutkan dia memang tidak boleh tidur tapi dipaksa matanya tertutup rapat. Memang matanya terpejam tapi tidak pada otaknya. Badannya boleh direhatkan namun fikirannya menerawang jauh dan cerdas bekerja.

Dirinya rasa serba salah pula kerana hendak berhenti kerja di Restoran itu. Bosnya sudah ketahuan kerana Kusyairi telah menceritakan hasratnya manakala Nuai dan Awie pula tidak mengetahuinya.

Rajuk dihatinya kian pudar, dia mahu kembali semula ke Kuala Lumpur setelah dipujuk oleh. Sulaiman merupakan kawan baiknya juga selain dari Mukriz dan mengajak dia tinggal bersama. Kehadirannya di Kuala Lumpur pada kali ini tidak diceritakan pada Mukriz. Dia tidak mahu menyusahkan hidup Mukriz lagi.

“Kucai, kat tempat aku kerja memerlukan pakar sistem komputer, aku rasa ini peluang untuk kau, aku dah bincang dengan bos aku, dia minta kau datang untuk temu duga, kau jangan risau, aku memang kamcing dengan bos aku, aku yakin kau akan dapat kerja ni,” ujar Sulaiman di telefon tempohari.

“Kalau macam itu aku akan ke sana, lagipun aku dah bosan hidup kat kampung ni macam tak ada apa,” ujar Kusyairi.

“Kat rumah aku ni ada bilik kosong, kau boleh sewa kat sini.” kata Sulaiman.

“Okey, kita jumpa, kita bincang perkara tu.” balas Kusyairi.

Kusyairi akan ke Kuala Lumpur untuk memulakan kisah hidup yang baru. Mungkin akan meninggalkan kisah lama dan mengatur langkah yang boleh menjamin masa depannya. Dia tidak mahu hidup terus tertekan begini meskipun dia sedia maklum, untuk mencari sesuatu yang indah sememangnya bukan hayalan namun kekal menjadi satu impian yang akan menerangi jalannya menuju ke pintu kebahagiaan. Cuma, dia tidak tahu bilakah akan kesampaian.

Hajat sedemikian sentiasa berpaut di ranting hati yang rapuh. Dia segera melangkah biarpun banyak halangan dan mungkin suatu masa nanti kejayaan akan menemuinya setelah dia berusaha.

“Mok, kucai nok gi KL, boleh ke dok mok?” Kusyairi bertanya pada ibunya.

(Mak, kucai nak ke KL, boleh tak mak?)

Maimunah sukar untuk melepaskan anaknya pergi. Tambah lagi hanya kusyairi seorang sahaja anak lelakinya. Kakak-kakak kusyairi semuanya sudah berumah tangga dan tinggal bersama suami masing-masing kecuali Kaira dan suaminya tinggal bersama Maimunah.

“Bukan tak mboh wi tapi mok bimbang mu jadi kok lain, hari tu mu duk KL susoh sokmo mok rasa. Bakpe yang tak mboh kije kampung ni?” tanya Maimunah.

(Bukan tak nak beri, tapi mak bimbang perkara lain yang berlaku. Dulu kamu dah tinggal di KL, mak dapat rasakan hidup kamu ni susah, kenapa tak bekerja sahaja di kampung ni?)

Kusyairi menggosok bahu ibunya. Dia begitu manja dengan Maimunah. Anak bongsu biasanya begitu. Hanya Maimunahlah tempat dia bermanja semenjak kehilangan ayahnya 10 tahun lalu yang tidak dapat dikesan semasa turun ke laut.

“Kali ini biar Kucai cuba nasib, kawan Kucai kata ada kerja untuk anok mok ni dinung, boleh ye mok?” Kusyairi mahukan persetujuan Maimunah dan berusaha memujuk ibunya.

(Kali ini biar Kucai cuba nasib, kawan Kucai kata ada kerja untuk anak mak ni kat sana, boleh ya mak?)

Seorang anak sepertinya mahukan keizinan dan restu ibu untuk melangkah ke Kuala Lumpur semula.
........................................

3

“Cai, ni bilik kau,” kata Sulaiman sambil menunjukkan bilik untuk Kusyairi menginap.

“Terima kasih. Eh! Man, kawan-kawan kau mana?” tanya Kusyairi pula.

          Sulaiman menoleh dan menguntum senyuman buat Kusyairi yang saat ini telah pun tiba di rumah flatnya yant terletak Pinggiran Batu Caves, Gombak.

“Hari minggu ni kau faham-fahamlah, mereka keluar, ada yang pergi tengok wayang dengan girlfriend dan ada yang pergi jalan-jalan rumah kawan-kawannya,” balas Sulaiman kawan karib Kusyairi semasa menuntut di universiti yang sama.

“Oh! Kau pulak tak pergi mana-mana?” balasnya sepatah.

“La! Aku tunggu kaulah.. Eh! Kau kemaslah bilik ni, aku tak sempat nak kemaskan, hehe...” tawa Sulaiman.

Kusyairi mengangguk perlahan dan sempat mencebik.

Pada esoknya Kusyairi akan ke Wisma MCP atau nama penuhnya Malaysian Create Product di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

***

“AGAK-agak, aku dapat tak kerja tu?” soal Kusyairi di ruang tamu.

“Jangan risaulah, mesti dapat punya, hehe,” balas Sulaiman.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba kawan-kawan Sulaiman sudah pulang dari menghabiskan hujung minggunya.

“Waalikumussalam,” balas Sulaiman serentak dengan Kusyairi.

Tombol pintu dipulas dari luar dan terpacul Aidil di muka pintu dengan berwajah letih. Penat agaknya.

Walaupun dalam keadaan  itu, dia masih boleh tersenyum setelah melihat Kusyairi sedang duduk di atas sofa yang kemudiannya segera bangun dari sofa itu untuk menyalami Aidil.

“Dil, ini kawan aku dari kampung yang aku cakapkan tu, nama dia Kucai,” Sulaiman memperkenalkan Kusyairi pada Aidil.

“Hai, Aidil,” balasnya.

“Kusyairi, panggil Kucai je,” kata Kusyairi.

Mereka berdua bersalaman. Selepas itu Aidil mahu mandi terlebih dahulu kerana merasakan badannya melekit. Sulaiman melihat beg kertas yang dipegang oleh Aidil.

“Apa yang kau beli tu.” tegur Sulaiman ketika Aidil baru hendak melangkah menuju ke biliknya.

Aidil tersengih sahaja. Lalu dia menjawab.

“Macam biasa..” katanya dan terus meluru masuk ke biliknya.

Kusyairi menoleh pada Sulaiman dengan dahi yang agak berkerut. Mungkin dia merasakan Aidil tidak suka padanya kerana Aidil seperti tidak mahu berborak panjang dengannya. Tapi barangkali tidak, Aidil kepenatan, berikanlah dia sedikit waktu untuk mandi terlebih dahulu.

“Kau jangan ambil hati, dia itu agak pendiam sikit orangnya, tak banyak cakap,” Sulaiman memberitahu tentang sifat Aidil kepada Kusyairi.

Kala ini mengangguk dan barulah dia faham kerana tidak semua orang suka bercakap.
........................................

4

SUDAH seminggu Kusyairi tinggal di Pinggiran Batu Caves bersama Sulaiman, Aidil dan seorang lagi kawan Sulaiman iaitu Saufi. Mereka memberi layanan yang baik terhadap Kusyairi dan dia bersyukur kerana temuduganya telah berjaya dan telah pun memulakan kerja di Wisma CMP sebagai juruteknik komputer di situ.

Aidil dan Saufi bekerja di syarikat lain. Seorang akauntan di salah sebuah bank di ibukota dan seorang lagi bekerja sebagai pembantu pengiklanan. Mereka hidup dalam kesederhanaan sahaja.

Saat ini pula Kusyairi bersendirian di dalam biliknya. Tetingkap YM sengaja dibuka untuk mengintai kenalan lama di dunia maya itu. Terdetik dihatinya untuk bertanya khabar mereka.

Baru sahaja dia mendaftar masuk, berpuluh-puluh pesanan yang tidak dibukanya setelah 3 bulan lebih yang lalu kini terpamer di depan matanya.

Matanya terjegil melihat rata-rata pesanan itu datangnya daripada seorang yang dikenalinya dulu sewaktu tinggal di Cheras. Athirah! Dia membaca satu persatu pesanan itu,

‘Ke mana awak menghilang?’
‘Tolong balas pesanan ini,’
‘Kenapa tukar nombor telefon?’
        ‘Tolong hubungi saya,’
‘Jangan buat macam ni,’
‘Novel awak dah diterbitkan.’

Dan banyak lagi.

“Memang novel aku dah diterbitkan! aku tak pedulikan semua itu!” katanya sendiri.

“Untuk apa kau hubungi aku lagi?! Aku rasa kau tak perlu bersusah payah nak cari aku begini!” bentaknya lagi.

Lantas dia mendaftar keluar tetingkap YM itu. Dia tidak mahu membaca yang selebihnya lagi kerana buat sakit hati sahaja. Keras sungguh hatinya dan seperti tidak bisa lagi dilenturkan kembali.

Tidak berapa lama kemudian pintu biliknya diketuk, kedengaran suara Sulaiman memanggil-manggilnya. Segera dia bangun dan membuka pintu biliknya. Sulaiman tersengih di muka pintu. Kusyairi mengangkat kening dan memuncungkan mulutnya.

“Aku nak keluar, kau nak ikut?” soal Sulaiman.

“Rasa tak kot,” balas Kusyairi.

‘Kenapa kau buat muka macam tu?” Sulaiman tidak senang dengan wajah yang dipamerkan oleh Kusyairi itu.
“Automatik, hehe..” balasnya selamba dan terus sahaja tersenyum.

“Oh! Macam tu ek ?! Kau nak pesan apa-apa tak?” tanya Sulaiman.

Kusyairi mengetap lembut bibirnya sambil menggeleng. Dia tidak mahu ke mana-mana, lebih baik duduk di rumah sahaja dari buang masa di luar. Namun sekali sekala apa salahnya. Cuma saat ini dia belum bersedia untuk ke mana-mana melainkan ke tempat kerja sahaja.
........................................

5

SEMALAM hatinya tidak tenang, begitu juga dengan hari ini. Setelah pulang dari kerja dia terus melentangkan badannya di tilam. Dihela nafas sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan-lahan. Keluhan berat dilepaskan selepas dia berdehem. Sulaiman pula tidak terus pulang dan dia ada hal dengan kawan dia di luar. Mungkin sekejap lagi dia balik.

Kusyairi menjengah jam di tangannya, sudah pukul 6.45 minit petang. Kemudian dijatuhkan berat tangannya itu terhempas di tilam. Fikirannya mula menerawang kerana teringatkan Athirah secara tiba-tiba.

“Kalau awak nak sangat cerita itu awak ambillah, saya memang tak suka awak main-mainkan macam ini! saya fikir awaklah jodoh saya, tapi ternyata tidak!” katanya.

“Apa?? Jodoh??! Kusyairi! Awak jangan cakap saya ni jodoh awak! Tak malu!” kata Athirah.

“Memang saya tak malu! Saya tergila-gilakan awak, sejak pertemuan hari itu saya jatuh hati pada awak..tapi sekarang tidak lagi! Terima kasih!” katanya.

Masih terngiang-ngiang ungkapan itu di telinganya. Tidak sanggup rasanya mendengar kembali ungkapan yang sering kali merobek dinding hatinya.

Kusyairi menafikan kata hatinya. Sampai sekarang dia tidak bisa melupakan Athirah. Ingin dicampakkan sejauh yang boleh wajah itu namun tidak berdaya dan sukar untuk dia lupakan. Wajah ayu si gadis sentiasa terbayang-bayang di mata. Tutur katanya yang manis sewaktu ketika dulu masih segar dan sentiasa berbisik-bisik lembut dengan disulam pula bersama madah yang penuh puitis hingga membalai jiwanya sendiri. Masih tiada ganti.

Berbeza sekali Athirah dengan Wardiha. Untuk melupakan Athirah tidak semudah Wardiha yang senang dia padamkan. Kemelut yang melanda jiwanya bukan perkara yang enteng untuk dibahaskan. Apatah lagi untuk meluahkannya pada teman-teman serumah. Susah!

***

PADA malam ini terdetik hatinya menyambung kisah baru dalam hidupnya. Kisah yang disusun baik dan cantik di samping ayat-ayat yang penuh puitis dijulang tinggi. Plot cerita yang terbina ini adalah hasil dari ideologinya sendiri. Semenjak pengalaman lalu dia begitu kuat berimeginasi sendiri bagi melepaskan rasa hati, melebarkan sayap kerinduan ini dan membentangkan hamparan cinta sejati seluas-luasnya.

Dari satu perkataan sahaja dia dapat menyudahkan episod demi episod. Ternyata dia senang menulis. Bebas berkarya dan biarpun tidak akan dilepaskan ke mana-mana karyanya itu. Hanya mahu disimpan sendiri sebagai bahan santapannya di kala dia berasa terlalu bosan dan sunyi. Hingga ke hari ini dia tidak pernah membelek nurkilannya itu yang telah pun menjadi sebuah buku. Bukalah Mata Hatimu! Tidak pernah! Tetapi dia tahu jalan ceritanya kerana dia yang menulisnya.

Tekaknya kehausan. Dia mengangkat punggungnya meninggalkan meja tulisnya. Kusyairi melangkah ke dapur dan sempat menjengah jam di dinding, sudah pukul 11 malam. Suasana rumah sewanya begitu sunyi kerana Sulaiman dan Saufi tidak pulang malam ini. Kata mereka ada hal. Biarkan!

Setibanya di ruang tamu sebelum mengayun langkahnya ke ruang dapur bagi membacuh secawan kopi panas. Dia menoleh ke arah Aidil yang berbaring di sofa sambil membaca. Aidil seorang yang suka membaca. Kusyairi sengaja mahu menegurnya.

“Dil, syok membaca ya?” sapa Kusyairi.

Aidil menoleh setelah suara Kusyairi singgah ke cuping telinganya.

“Kucai..errr biasalah hobi, kau nak gi dapur buat air ke? Boleh buatkan untuk aku sekali?” pinta Aidil.

“Boleh, tunggu kejap,” Kusyairi mengangguk perlahan dan bergerak ke ruang dapur.

Kopi sudah habis, lupa hendak dibeli, yang ada cuma Nescafe dan teh uncang. Maka teh uncang menjadi pilihan kedua.

Usai itu dia kembali semula ke tempat Aidil berada bersama dua cawan teh panas. Diletak perlahan-lahan di atas meja dan kemudiannya Kusyairi melabuhkan punggungnya di sofa bersebelahan dengan Aidil.
........................................

6

“Aku suka baca novel ni best gila. Semalam aku dah habis baca tapi tak puas, ini second round, haha,” kata Aidil.

Tidak diduga oleh Kusyairi bahawa Aidil seorang yang minat membaca novel dan novel yang dibaca oleh Aidil itu adalah sebuah kisah cinta.

“Kau minat baca novel tak? Kalau kau minat aku boleh bagi pinjam, berlambak koleksi novel yang aku ada kay dalam bilik, kau tinggal pilih je nak baca yang mana satu, novel dari Sri Diah, Ayu Emelda, Aina Emir, Ramlee Awang Murshid, Ahadiat Akashah, Athirah Syabila dan banyak lagilah novelis terkenal termasuk novelis dari luar Negara.” katanya.

Kusyairi menggeleng. Dia menafikan hakikatnya. Sebentar tadi dia terdengar nama Athirah Syabila disebut Aidil. Nama perempuan yang cuba mengatur hidupnya. Seorang penulis terkenal tanah air menjadi pilihan Aidil.

“Oh! Kau tak suka ek? Tak apalah, saja je aku nak share story dengan kau tapi kau tak suka nak buat macam mana kan..” kata Aidil sedikit kecewa kerana dia ingatkan Kusyairi seorang yang suka membaca novel sepertinya.

“Aku tak kata aku tak suka..” balas Kusyairi.

“Habis tu kau macam tak berminat je,” ujar Aidil yang kini sudah bersandar di sofa sambil menyisip teh panas.

“Kurang, tapi kadang-kadang aku suka membaca juga, ikut mood.” balas Kusyairi.

“Kau suka bacaan yang macam mana?” soal Aidil.

Kusyairi menggaru kepalanya.

“Maksud kau?” soal Kusyairi semula.

“Maksud aku, kisah komedi ke? Penyiasatan ke? Love story ke? Thriller atau bagaimana?” ujar Aidil.

“Cinta,” jawab Kusyairi sepatah.

Aidil tersengih sahaja dan dia mempamerkan wajah yang penuh minat. Sengaja berborak-borak kosong dengan Kusyairi di tengah malam begini. Bagi sesetangah tanggapan, membaca novel boleh membuatkan seseorang itu mudah mengantuk tapi tidak pada Aidil yang tidak pernah jemu membaca.

“Aku ada banyak novel cinta, sebab aku minat novel cinta-cinta ni hehe... Aku minat sebuah novel ini, aku dah khatam empat kali, memang best gila novel ni dan dia menjadi best saller kat Kuala Lumpur, mungkin negeri lain juga. Penulis tip top, baru sahaja menghasilkan sebuah novel dah terus meletup, kau tunggu sekejap aku pergi ambik,” ujar Aidil yang terus menganggkat punggungnya.

“Tak apalah, kau cerita sinopsisnya saja kat aku,” balas Kusyairi.

Aidil merapatkan semula punggungnya ke sofa. Tidak jadi untuk mengambil novel yang dimaksudkannya. Aidil memuncungkan mulutnya sambil mengangguk perlahan.

“Okey, kisah seorang lelaki yang hidup tidak menentu dan tidak memiliki perkerjaan tetap pulak tu, dia ditakdirkan bertemu dengan seorang gadis berwajah hodoh yang datang minta sedekah kat dia.. lepas tu.. bla bla bla…penulisnya Putera Idaman,” Aidil menerangkan serba sedikit sinopsis cerita yang begitu menarik baginya.

Kusyairi terbungkam. Lidahnya terkunci dan mulutnya melopong. Kisah itu tidak perlu dibacanya lagi kerana dialah penulis cerita itu. Aidil tidak tahu siapa penulis sebenarnya. Biarlah Rahsia bak kata Datuk Siti Nurhalisa di dalam lagunya itu.

Jantung Kusyairi berdetak kencang, seperti mahu membacanya. Tapi untuk apa? Dia sudah tahu apa isinya. Dia juga tahu bagaimana jalan ceritanya. Rasanya tidak perlu.

“Tapi... sad ending la, aku menangis membacanya, pandai penulis tu buat pembaca bermain dengan perasaan, seolah-olah akulah watak utama dalam cerita tu, fuh! Meleleh, aku tak sangka penulis lelaki boleh buat pembaca novelnya menitis air mata..” kata Aidil dengan jujur.

‘Sad ending?’ tiba-tiba hatinya tertanya-tanya.

“Apa tajuk novel tu dan siapa penulisnya?” soal Kusyairi deras.

“Errr Bukalah Mata Hatimu, karya Putera Idaman,” jawab Aidil.

Kali ini Kusyairi berasa ceritanya sengaja diubah, dia tidak buat penamat cerita itu berakhir dengan kesedihan. Dia menduga cerita itu diubah. Tapi kenapa perlu dia berasa begitu sedangkan dulu dia tidak mahu mengambil peduli tentang novelnya itu. Tiba-tiba dia teringat kata-katanya sendiri.

“Tidak!! Saya tak setuju, saya datang sini sebab saya nak ucapkan selamat tinggal pada awak..! saya tak kisah apa awak nak buat dengan cerita tu lantak awaklah! Saya tak peduli, saya kesal dengan cara awak! Awak buat saya macam orang bodoh!” katanya.

         Jangan dijilat lidah itu, Kusyairi sudah terlajak bicara. Mana lagi mahu diluahkan rasa kerana telah mengikut sifat amarahnya.

Aidil melihat perubahan reaksi yang terpamer pada wajah Kusyairi. Dia menegur Kusyairi kerana teman dia melihat Kusyairi berkerut dahi seperti sedang memikirkan sesuatu. Aidil ingin mengetahuinya.

“Cai, kau nampak terkejut je, kenapa?” soal Aidil.

“Tak ada apa-apa, betul ke novel tu best? Boleh aku pinjam?” tiba-tiba sahaja Kusyairi ingin meminjam buku tersebut.

Mungkin kali ini dia akan terbaca kisah akhir novel itu. Athirah telah mengubah sedikit akhir cerita itu. Cerita yang sepatutnya berakhir dengan sebuah kegembiraan tapi telah ditukar kepada kedukaan. Sehingga Aidil yang membacanya boleh menangis. Dia penasaran. Karget dan semua yang ada membuatkan dia tertanya-tanya. Kenapa boleh jadi sedih.
........................................
7

SEBUAH kisah cinta karya sendiri itu seharunsya dibaca, tapi sayang buku tersebut Aidil terlupa bahawa dia telah meminjamkan pada kawan pejabatnya. Nampaknya Kusyairi mesti membeli sendiri buku itu.

Selepas tamat waktu bekerja, dia menunggang motosikalnya ke sebuah kedai buku yang terletak di ibu kota itu. Sebaik berada di dalam kedai buku, dia tercari-cari novelnya. Di manakah letaknya. Tidak ditemui. Seterusnya dia pergi ke kaunter untuk bertanya mengetahui hal sebenarnya.

“Novel yang encik cari dah habis stok, sebelum ni dah ramai orang cari, kena tunggu cetakan ulangan, baru boleh beli. Atau encik nak tempah dulu?” kata petugas kedai buku itu.

“Oh! Ya ke? Kalau macam tu tak apalah, terima kasih,” ucap Kusyairi dengan penuh hampa.

Dia kembali semula ke rak buku, sebentar tadi dia seperti perasaan ada sebuah novel baru, karya Athirah Syabila, sengaja ingin menjengah untuk melihatnya lagi walaupun dia sedia membeci nama itu.

Matanya tertancap pada sebuah novel.

‘Seandainya kau kembali’ tajuknya.

Lantas dicapai novel setebal 352 muka surat itu dan membaca sedikit sinopsis di belakangnya.

‘Aku menunggu sinar, tapi gelap yang datang, aku menanti cahaya tapi kabus yang bertandang, adakah semua ini adalah salahku?! Kau harus tahu aku tersiksa keranamu…’ serba sedikit perkataan yang tercalit di situ yang tidak mahu dihabiskan bacaannya.

          Kusyairi meletakkan semula novel itu. Tidak berapa lama kemudian datang dua orang gadis mendekati buku tersebut. Kusyairi berganjak sedikit dan mendengar mereka berbisik-bisik sesama sendiri.

“Aku suggest kau beli novel ni, best! kisah dia menunggu kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya, dia menunggu dengan penuh setia dan mengharap lelaki yang dicintainya itu datang kepada dia, tapi ada part yang sedih.. dia sakit.. dia tak tahu sama ada sempat berjumpa dengan lelaki itu atau pun tidak,” kata si gadis kepada seorang gadis lagi.

Sad ending ke? Aku tak nak sedih-sedih, aku tak sanggup nak melelehkan air mata lagi, cerita yang happy ending ada tak?” balas gadis itu.

“Kalau kau beli novel ni kau tak akan menyesal, percayalah cakap aku, dan ada lagi satu novel tu, best dan aku rasa cerita antara dua penulis ni bersangkutan, kau try baca novel yang ni dulu nanti aku bagi kau pinjam novel yang satu lagi itu, murah aje lagipun novel ni nipis...” ujar si gadis.

Kusyairi memasang telinga dan buat-buat menyelak buku-buku di atas rak. Terasa ingin dibeli buku itu namun rasa egonya meninggi. Biarkan! Gadis itu membeli buku penulis Athirah Syabila dan tidak berapa lama kemudian datang lagi orang lain dan membeli buku yang baru dipasarkan itu. Lama juga dia berada di situ. Seorang demi seorang membeli buku itu.

Peminat novel beranggapan bahawa novel tersebut berpautan, seperti sebuah kesinambungan dari penulis Putera Idaman, jarang sekali berlaku di dalam penulisan tapi itulah yang terjadi. Ramai pembaca beranggapan bahawa penulis ini saling berhubungan di dalam satu bumbung syarikat penerbitan.

Kusyairi mengeluh panjang dalam membuat perhitungan sama ada mahu membelinya atau pun tidak. Dengan perasaan yang tidak menentu berkalung di hatinya saat ini menjadikan dia begitu sukar untuk membuat pilihan.
........................................
8

“KAU nak baca novel ni? Cerita ni best dan nama wataknya sama macam nama kau, Kusyairi. Ni novel baru, cover dia pun cantik... aku dah habis baca, aku bagi kau pinjam, ambiklah.” Tiba-tiba Aidil menghulurkan senaskah novel untuk Kusyairi.

        Novel tersebut tidak dibeli oleh Kusyairi pada petang tadi tapi sekarang sedang berada di depan matanya saat dia sedang menonton televisyen.

Aidil seperti memahami apa yang sedang Kusyairi fikirkan meskipun Aidil tidak mengetahui apa yang telah berlaku.

“Assalamualaikum, kawan-kawan mari makan ayam KFC yang aku beli untuk kau orang,” Sulaiman mencelah sambil membawa bungkusan.

Sulaiman dan Saufi baru pulang dari menjamu selera di KFC yang terletak di Sentul. Sebuah restoran yang begitu unik kerana golongan yang bekerja di situ adalah golongan kurang upaya. Begitulah sikap dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh golongan ini. Mereka mampu berdikari dan tidak menganggap kekurangan pada diri mereka itu menjadi penghalang dalam mencari rezeki.

“Waalaikumussalam..” balas Kusyairi dan Aidil serentak.

Mereka berdua menoleh ke arah dua sahabat yang sedang melangkah masuk sambil tersenyum. Mereka meraikan hari jadi salah seorang kawan mereka di luar sana.

        Sementara itu, Kusyairi tercengang, sama ada mahu mengambil novel itu ataupun tidak. Biarkan dulu dan Aidil meletakkan buku itu di atas meja dan kemudian menyambut bungkusan dari Sulaiman dan Saufi.

Kusyairi bingung seketika. Kenapa dirinya telah dianggap seorang yang minat membaca novel oleh Aidil sedangkan dia tidak pernah mengatakan pada Aidil bahawa dia suka membaca novel meskipun hakikatnya memang dia sendiri berminat biarpun bukan secara total.

Moral : sama-samalah kita fikirkan..

p/s: nak lagi tak? Adesss… komen skit… best ke tak citer ni? Sorry ar klu x best… citer ni dalam simpanan.. so publish ajelah kat blog bagi korang bace kongsi idea…

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.