MUKRIZ mengheret rindunya pada insan yang telah menderma hati itu dengan iringan doa dan bacaan Yasin untuk dihadiahkan buat Allahyarham Amran yang sudah lima tahun meninggalkannya. Selama itu juga dirinya hidup bahagia bersama Suraya. Demi menerangi kegelapan yang selama ini utuh bersarang di relung hati, dia harus melalui keperitan agar bahagia itu terus tersergam indah.
Bukan sesuatu yang enteng untuk menghakis titik noda di hati. Naluri itu sebelum ini begitu tebal dan kini ia kian tipis dan akan terus lenyap selamanya. Tatkala berdepan dengan Niezam, rasa itu masih wujud tetapi ia mesti alihkan perhatian itu agar ia tidak terus dinodai oleh dorongan Syaitan yang tidak pernah berputus asa mahu menyesatkan umat manusia.
Sungguhpun begitu, hampir setiap kalinya bayangan-bayangan lalu datang menerpa di ruang minda. Saat mahu dipejamkan mata itu maka sering kali perkara itu mengetuk dinding hatinya. Dia berperang dengan bisikan, dia menghambur dengan makian dan dia melemparkan kebencian agar ia terus berlalu dan tidak akan datang lagi namun seperti sia-sia.
Mukriz tidak boleh mengalah dan dia harus cekal demi satu perubahan. Seharusnya dia tetapkan hati dan kuatkan iman supaya tidak akan terjerumus ke kancah penuh duri itu.
“Abang... mari makan... “ ajak Suraya sambil mendukung Naufal Afiedy anak bongsunya di muka pintu bilik solat.
Mukriz yang sedang melipatkan sejadah itu terus menoleh setelah disapa oleh isteri tercinta sambil melemparkan senyuman manis bersama wajahnya yang sedikit berparut.
“Ya sayang, nanti abang turun, err mana Naufal Rafael?” tanya Mukriz ingin tahu kedudukan anak sulungnya itu.
“Ada dengan Mak Ros bang di bawah tu, erm saya tunggu abang di meja makan ya,” balas Suraya.
Mukriz mengangguk perlahan dan usai itu Suraya terus berada dari situ untuk turun ke bawah menunggu di tempat yang dinyatakan tadi. Waktu makan malam bersama keluarga adalah saat yang selalu ditunggu-tunggu Suraya. Di situ dia dan suaminya berkumpul bersama anak-anak untuk menjamu selera. Melihat telatah anak-anak di waktu makan adalah sungguh membahagiakan hati si ibu.
Di kala kaki Mukriz mahu melangkah turun, dia terdengar telefonnya menjerit nyaring di dalam bilik. Lantas dia terus menghala langkahnya ke arah bilik tidur untuk mencapai telefon yang sedang rakus berbunyi itu.
Sebaik sahaja dia mahu mengangkat panggilan yang tidak diketahui siapa pemanggilnya itu, terus sahaja bunyi itu berhenti. Hendak dihubungi semula adalah satu kerja gila kerana tiada nombor telefon yang terpamer di skrin telefonnya.
Mukriz meletakkan semula telefonnya di atas rak dan terus menyambung hasrat untuk turun ke bawah. Dalam masa yang sama telefon itu berbunyi lagi. Dia berpatah semula dan terus menekan butang menjawab panggilan.
“Hello…” sapa Mukriz.
Tiada siapa yang menjawab.
“Hello…” ulang Mukriz lagi.
Masih sama.
“Hello...” kali ketiga Mukriz menyapa dia terdengar dengus nafas seseorang di hujung talian.
“Siapa ni?” tanya Mukriz.
Diam.
“Awak nak bercakap ke tak nak ni?” tanya Mukriz dengan sedikit nada geram.
Diam.
“Kalau awak tak nak bercakap saya akan letak,” Mukriz mahu menguji.
Namun keadaan itu masih juga sama. Tiada siapa pun yang mahu bercakap di hujung talian dan akhirnya pemanggil itu sendiri yang memutuskan panggilan itu.
‘Siapa pulaklah ni? hmmm’ gumam Mukriz dalam hati.
Panggilan misteri itu membuatkan Mukriz tertanya-tanya. Kali ini dia diburu persoalan. Otaknya ligat mencerna sebab, kenapa dia harus menerima panggilan seperti itu yang entah dari siapa. Persoalan itu mula menusuk relung hatinya dan mengakibatkan dia berkerut dahi.
‘Aku ragu-ragu, siapakah yang telefon aku ni.. bila aku tanya, tak nak cakap pulak… susahlah macam ni, adakah perlu aku menukar nombor telefon agar aku tidak diganggu dengan panggilan seperti ini lagi?’ Mukriz bermonolog dengan hati sendiri.
Seandainya ditukar nombor telefon yang baru sekalipun, sekiranya si pemanggil misteri itu mahu mendapatkannya juga sudah pasti sampai ke lubang cacing pun dia akan cari.
Mukriz sukar meramalkan apa yang bakal berlaku selepas ini. Sedikit demi sedikit dia dihujani dengan persoalan. Dia teringatkan peristiwa enam bulan lalu di mana ada seorang perempuan pernah mencuri pandang dirinya di depan rumah. Tapi itu perkara enam bulan lepas kenapa sekarang ada lagi gangguan dalam bentuk yang lain? Dia kekal mencari jawapan.
Suraya di bawah tertunggu-tunggu dan menyebabkan dia ingin naik semula ke atas seorang diri dengan memberikan Naufal Afiedy didukung oleh Mak Ros.
“Mak Ros tunggu sekejap ya, saya nak panggil Mukriz turun, entah apalah yang dia buat di atas tu lama sangat...?” kata Suraya kepada Mak Ros.
“Baiklah...” balas Mak Ros sambil mengangguk.
Suraya terus melangkah dan meniti anak-anak tangga untuk naik ke tingkat atas banglo itu bagi mengetahui keadaan Mukriz yang lama ditunggunya di bawah tetapi tidak muncul-muncul. Keadaan itu membuatkan Suraya tidak sedap hati lalu mahu melihat sendiri apa yang sedang dilakukan suaminya itu.
Daun pintu bilik solat dibuka dan matanya meliar melihat kelibat Mukriz yang tiada di situ. Seterusnya dia menuju pula ke arah bilik. Dia menduga Mukriz mungkin ada di dalam bilik tidur. Sebaik sahaja tombol pintu mahu dipulas, ia tidak dapat dibuka pula kerana pintu itu terkunci dari dalam.
Suraya mengetuk pintu agar orang yang di dalam membukanya.
“Abang…” panggil Suraya.
Tiada jawapan.
“Abang…” Suraya memanggil lagi sambil mengetuk pintu berulang kali.
Masih juga sama. Suraya menjadi tidak keruan. Hati dan perasaannya bersimpang siur. Fikirannya hanya memikirkan yang bukan-bukan sahaja. Bimbang dan takut kalau-kalau perkara yang tidak diingininya berlaku.
Apa yang dilakukan Mukriz di dalam bilik itu telah meninggalkan tanda tanya buat Suraya. Dia mula panik dan bingung kenapa panggilannya tidak disahut. Suraya menduga ada sesuatu yang berlaku.
‘Apa yang suami aku buat di dalam ni? Aku panggil dia senyap je, tak sedap hati jadinya...’ bisik hati Suraya.
Suraya mengetuk pintu lagi dan kali ini sekerap yang boleh. Suaranya dikeraskan sedikit agar mendapat respons secepat mungkin.
“Abang…” Suraya memanggil Mukriz.
Kebimbangan mula merasuk di relung hati Suraya. Dia semakin cemas. Jantungnya berdetak deras. Mungkin sesuatu telah berlaku pada Mukriz. Keadaan ini menyebabkan Suraya bertambah tidak keruan. Rasa itu kian menular.
Tiba-tiba ada tangan menyentuh bahu Suraya sambil namanya dipanggil.
“Su…”
Suraya terus menoleh dengan kaget. Dia melihat kelibat Mukriz berdiri di belakangnya yang sedang berkerut dahi.
“Laa abang pergi mana? Saya panggil tak jawab lepas bilik ni dikunci pulak,” ngomel Suraya.
“Abang dah nak turun tadi tapi lepas pintu bilik tertutup tiba-tiba sakit perut dan bila abang nak masuk semula rupanya abang terkunci pulak. Abang tak tahan sangat terus pergi melepas di toilet kat bilik tetamu tu…” balas Mukriz selamba.
“Eee abang ni tak senonoh, erm janganlah buat Su risau… err abang tak dengar ke Su panggil-panggil tadi?” soal Suraya.
“Apalah Su ni., abang tengah ukk ukk takkan abang nak sahut pulak...” balas Mukriz sambil mengerling.
“Haah betul jugak tu, hehe...” tawa Suraya dengan jawapan Mukriz itu.
Usai itu Mukriz dan Suraya turun bersama-sama untuk makan malam. Mati-mati Suraya fikirkan perkara buruk telah berlaku tapi rupa-rupanya si suami tercinta pergi melepaskan hajat yang terpendam.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)