KEBAHAGIAAN yang dikecapi oleh pasangan Mukriz dan Suraya tidak dapat dipertikaikan lagi walaupun ia hanya pada luaran. Saat berganti minit dan minit berganti jam. Begitulah seterusnya sehingga hari yang dilalui bertukar berminggu-minggu dan bulan ke bulan bulan seterusnya. Sebenarnya perkahwinan antara Mukriz dan Suraya tidak direstui oleh mama dan papanya. Kehadiran Suraya dalam keluarga itu memang tidak dialu-alukan. Namun Datin Azizah terpaksa memenuhi keinginan Mukriz untuk berkahwin dengan Suraya itu.
Datuk Zulhasri pula seperti pak turut hanya mengikut sahaja apa kata isterinya itu sedangkan dia merupakan ketua keluarga yang harus mempunyai pendirian yang tetap tapi lain pula jadinya kerana Datuk Zulhasri ini sebenarnya takutkan isterinya.
“Sudahlah tu sayang, anak kita dah berumah tangga, dia pun dah ada dua orang anak. Mereka tu cucu kita…” Datuk Zulhasri cuba-cuba menasihati isterinya yang sememangnya keras kepala.
Sudah pasti usahanya itu tidak akan berhasil memandangkan Datin Azizah memang egois orangnya.
“Abang apa tahu, mana kita nak letak muka ni? Macam mana kita nak berdepan dengan Datuk Risham tu sedangkan dia tu bukannya orang lain, waris kita jugak. Menyesal saya ikutkan cakap Mukriz tu yang nak kahwin sangat dengan perempuan kampung seperti Suraya.” petah Datin Azizah yang kemudiannya meneguk air suam.
“Soal jodoh ni bukan kita yang tentukan, ini kerja Tuhan. Lagipun Mukriz tu dah besar panjang, tahulah dia aturkan hidupnya sendiri dan Datuk Risham tu okey aje, dia pun tak cakap apa-apa..” balas Datuk Zulhasri sambil membelek-belek akhbar.
“Jadi kalau dia tak cakap apa-apa maknanya abang dapat baca apa kat dalam hati dia? Abang, orang lain duk mengata pasal kita ni tau, tu kawan-kawan saya tu cakap saya ni tak pandai pilih menantu. Suraya tu bang tak sesuai berada dalam keluarga kita ni.” ujar Datin Azizah.
Datuk Zulhasri mengangkat kening sambil meletakkan akhbar yang dibacanya sebentar tadi ke atas meja. Dia bangun dan terus melangkah ke bahagian luar rumah untuk menghirup udara segar pada waktu pagi ini di hujung minggu. Datin Azizah juga turut mengekori pergerakan suaminya itu dengan perasaan yang cukup berat.
Sementara itu, Datuk Zulhasri melepaskan keluhan yang sememangnya agak luar biasa. Dia cukup sedar dan faham apa yang isterinya mahukan. Namun dia sungguh tidak bersetuju seandainya isterinya itu mahukan Mukriz berpisah dengan Suraya. Bagaimana pula dengan kehidupan cucu-cucunya nanti.
“Awak seharusnya menerima dengan hati terbuka, sudah lima tahun mereka hidup bersama. Takkan awak tergamak nak pisahkan hidup anak kita tu dengan isteri dia..” Datuk Zulhasri beria-ria menasihati Datin Azizah agar tidak tega membuatkan anak lelakinya itu menderita.
Datin Azizah membulatkan matanya dan merenung tajam ke arah suaminya itu dengan satu pandangan yang cukup tidak puas hati. Selepas itu dia sengaja membatukkan diri supaya lebih selesa untuk berhujah dengan suaminya sendiri. Dia tahu dia tidak sepatutnya berbuat sedemikian namun demi menjaga maruah keluarga dan tidak pernah keturunan mereka berkahwin dengan orang yang tidak diketahui di mana asal usulnya itu.
“Suraya tu entah siapa-siapa bang, entah-entah dia tu anak ha...” belum sempat Datin Azizah menghabiskan kata-kata, Datuk Zulhasri memotongnya.
“Awak jangan nak main tuduh je. Bukan urusan kita nak menghukum orang lain. Kalau dia begitu sekali pun apalah dosa dia?” kata Datuk Zulhasri dengan nada yang agak marah.
Isterinya itu menjegil mata dan kali ini mengetap keras bibir sendiri. Dia seperti memprotes kata-kata suaminya itu. Dia tidak sedar dengan siapa dia bercakap sebenarnya. Tiada langsung rasa hormat di dalam dirinya lagi terhadap suami sendiri. Seandainya Datuk Zulhasri melarang keras, ia tetap juga sama. Datin Azizah memang tidak pernah berfikir dengan nasihat yang diberikan oleh Datuk Zulhasri.
Sebelum ini Datin Azizah selalu diajukan persoalan tentang siapakah orang yang berkahwin dengan Mukriz itu. Latar belakangnya yang tidak jelas. Menikah melalui wali hakim. Tidak mempunyai saudara mara yang terdekat. Sungguh celaru.
Kasihan Mukriz, seorang isteri yang disayanginya itu rupa-rupanya dalam diam dibenci hebat oleh Datin Azizah. Di depan Mukriz, Datin Azizah akan berpura-pura baik dalam melayani Suraya.
Kebahagiaan di dalam rumah tangga Mukriz bakal bergoyang tidak lama lagi. Mungkin akan ada dugaan hidup datang melanda bagaikan sebuah tsunami. Sukar untuk dibayangkan bagaimanakah jadinya nanti di kala mereka sekeluarga hidup aman dan harmoni itu terus dikejutkan dengan badai dan halilintar.
“Saya fikir Suraya nak bolot harta kekayaan anak kita tu bang. Seorang bekas setiausaha berkahwin dengan bos sendiri. Anak kita tu bang, anak kepada Datuk Zulhasri! Takkan awak tak rasa apa-apa? Suraya dapat merasai kemewahan ini dengan percuma sedangkan selama ini semuanya adalah hasil titik peluh abang membangunkan Wisma Wasadi tu dan sekarang dia bersenang lenang,” bebel Datin Azizah di sisi Datuk Zulhasri.
Datuk Zulhasri melepaskan satu kelahan berat sambil menggelengkan kepalanya dengan perlahan dan memandang wajah isterinya yang sedang hebat menyalahkan takdir ILAHI.
“Dia berhak dapat semua tu kerana dia adalah isteri Mukriz, awak sepatutnya tak perlu nak masuk campur urusan keluarga dia, faham?” balas Datuk Zulhasri.
“Tak! Saya tak faham dan saya tak nak faham, semua tu tak penting bagi saya, yang penting Mukriz tu satu-satunya anak lelaki saya dan saya berhak ambil tahu lebih dari itu…” bentak Datin Azizah.
Bagaikan mencurah air di daun keladi semua nasihat tidak dipedulikan lagi. Pepatah Melayu pernah berkata, terbang enggang tidak seperti pipit. Gagak di rimba pula tidak setanding dengan merak di kayangan dan begitulah yang mahu dimengerti oleh Datin Azizah kepada Datuk Zulhasri. Dia kekal dengan sikap egois dengan mementingkan status hidup semata-mata.
Si suami tidak mampu menahan ledakan di hati si isteri yang degil itu. Kalau diikutkan rasa hati sudah telah lama dia pergi jauh membawa diri namun memandang usianya kini semakin meningkat dan keuzuran yang kian menjengah maka dia mengalah.
Saat ini Datuk Zulhasri kehilangan kata-kata. Dia memejamkan mata buat seketika dengan menghela nafas perlahan-lahan. Usai itu dibuka semua mata itu dengan harapan dia menjadi tenang.
Dikuis dagu Datin Azizah itu untuk dibawa menatap ke dalam matanya. Seraya itu dia berkata dengan nada yang lembut supaya tidak menjadi minyak yang menyemarakkan lagi api kemarahan Datin Azizah itu.
“Sayang… kalau usia ini bukan penghalang kita, sudah pasti kita akan hidup selama-lamanya dan kalau kebahagiaan boleh dibeli dengan wang sekalipun, kita juga tidak akan tenang kerana kita telah memaksa orang lain untuk mengikut kemahuan kita. Sayang kena ingat bahawasanya kebahagiaan itu datangnya daripada ALLAH. Soal jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu sudah tertulis, lagipun kalau kita berniat buruk sudah tentu kita akan dibalas buruk,” ujar Datuk Zulhasri dengan panjang lebar.
Bercakap soal akhirat dengan Datin Azizah seperti melepaskan batuk di tangga. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tidak ada maknanya kerana Datin Azizah lebih mementingkan keduniaan. Barang kemas yang dipakaia itu pula mencecah harga puluhan ribu ringgit sekadar mahu ditayangkan kepada orang ramai. Paling bangga apabila dipuji oleh rakan-rakan.
Berbalik pada ucapan Datuk Zulhasri tadi, isterinya itu tidak betah melangsungkan hal-hal yang sepatutnya seperti menghormati suaminya sendiri.
“Sudah mulalah tu…jangan nak ingatkan saya dengan semua tu, saya tahu apa yang saya buat. hmm abang memang tak tahu apa-apa! Apa yang abang tahu, biarlah… tak apalah… eee geram saya bercakap dengan awak ni,” Datin Azizah terus bangun. Dia sangat marah dengan sikap suaminya yang mahu lepas tangan.
Kelajuan ayunan langkah Datin Azizah dipertingkatkan. Dia segera meninggalkan si suami di balkoni itu dalam keadaan tidak puas hati. Relung hati si isteri sarat dengan kebencian yang meledak-ledak. Sampai ke satu tahap dia merencanakan untuk memisahkan Suraya dengan Mukriz tanpa mengambil kira akibatnya nanti.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)