Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 34)

KELUARGA Mukriz dibawa bersiar-siar di sebuah taman setelah puas membeli belah di KL Suria sebentar tadi. Banyak barang-barang yang dibeli oleh Suraya untuk anak-anak. Mukriz melemparkan senyum manis ke arah Suraya yang sedang mendukung si comelnya itu iaitu Naufal Afiedy manakala Nuafal Rafael dipimpin oleh Mak Ros, seorang pengasuh.
Mereka menghela nafas di bangku yang terdapat di taman itu. Pandangan mereka tertumpu pada orang-orang yang mundar-mandir di situ. Ada di antara anak-anak kecil berlari-lari keriangan. Di situ terdapat taman permainan kanak-kanak maka Suraya menyuruh Mak Ros temankan Naufal Rafael bermain di situ. Suraya setia mendukung Naufal Afiedy yang masih kecil itu duduk bersebelahan dengan Mukriz.
Suaminya membelai-belai wajah anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.
“Cakk..!” acah Mukriz membuatkan anak kecilnya itu tersenyum seakan mengerti papanya sedang bergurau.
Permata berharga itu menjadi bukti kebahagiaan rumah tangga Mukriz. Suraya merenung suaminya dalam-dalam dengan pandangan yang penuh bermakna. Mukriz membalasnya dengan mengenyit mata.
“Gatal,” ucap Suraya sambil mencubit manja bahu si suami.
“Menggatal dengan isteri sendiri, apa salahnya,” kata Mukriz.
“Kalau gatal dengan orang lain, siaplah abang akan Su kerjakan,” ujar Suraya dengan deras.
Mukriz tersengih sahaja. Mana mungkin dia akan menggatal dengan orang lain kalau isterinya begitu garang. Silap hari bulan habis mangkuk dan pinggan di rumah akan terbang melayang. Pasti teruk Mukriz kena ganyang.
Mempunyai seorang isteri yang pengasih dan penyayang menjadi dambaan setiap lelaki yang mahu berumah tangga. Semestinya isteri yang Muslimah akan dicari bagi mengukuh institusi kekeluargaan. Bukan mudah untuk mencipta kebahagiaan dalam hidup berkeluarga seperti ini. Ia memerlukan sikap toleransi yang tinggi serta saling faham memahami antara satu sama lain.
Setelah mendirikan rumah tangga dengan Suraya, Mukriz begitu gembira meskipun tercalit kekesalan di hatinya yang tidak terungkap dengan kata-kata. Kekesalan di sini bermakna dia tidak tahu apa yang bakal dia tempuhi selepas ini meskipun saat ini kebahagiaan sedang diraihnya.
Mungkin ada sesuatu yang masih berlegar di benak Mukriz yang sering saja berkerut dahi itu lantas pantas dia sembunyikan garis-garis gusar itu setelah Suraya merenungnya.
Dari jauh ekor mata Mukriz dan Suraya beralih untuk melihat Naufal Rafael yang sedang seronok bermain-main.

***
“SERONOK sangat hari ini dapat keluar jalan-jalan dengan abang,” ucap Suraya dengan penuh kelembutan sebagai seorang isteri dengan melahirkan rasa hatinya.
Mukriz memandang wajah isteri tersayang itu.
Ucapan Suraya itu sepertinya telah lama dia tidak keluar bersama dengan suami. Mungkin kesibukan si suami menyebabkan tiada masa diluangkan untuk bersama dengannya sebelum ini.
“Walaupun abang sibuk, abang akan luangkan masa untuk isteri dan anak-anak abang. Percayalah, abang tidak akan pernah lupakan Su sampai bila-bila. Abang cintakan Su.” balas Mukriz.
Adakah Mukriz benar-benar mengerti apa itu cinta? Adakah cinta itu seperti bola sepak? Atau seperti kain rentang yang tertulis banyak perkataan cinta, ‘I love you’ berulang-ulang? Cinta seperti kertas yang kosong boleh tercalit pelbagai perkataan dan boleh ditulis apa sahaja di atasnya. Boleh dipadamkan dan boleh dibuang. Malah kertas tersebut boleh dibakar atau mudah koyak serta mudah basah bila terkena air.
Betapa sukar untuk seseorang itu mengerti akan makna cinta. Kalau benar cinta kenapa perlu ada dusta? Kenapa Mukriz menipu dirinya? Mulut mudah melafazkan kata cinta tetapi dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya c.i.n.t.a bukan sepert nyanyian kumpulan XPDC itu tapi ia adalah satu simbolik akan makna cinta.
“Su tengok abang sejak kebelakangan ni memang sibuk, tapi Su bersyukur sebab abang dapat jugak luangkan masa bersama. Dan lain kali kalau abang terlalu sibuk tak apalah, Su tidak mahu paksa abang,” kata Suraya dengan sendu kerana sebenarnya dia yang memaksa Mukriz keluar bersama.
Mukriz terpaku.
Sebenarnya begitulah yang terjadi. Mukriz mahu mengelak dan sering saja melupakan keluarga untuk beberapa detik. Namun ingatan itu kembali sedia kala bila menatap wajah anak-anak. Dia berpatah semula dan memberi ruang untuk isteri dan anak-anak menarik nafas lega.
Masih banyak perkara yang dirahsiakan oleh Mukriz terhadap Suraya. Meskipun begitu Suraya tidak pernah bertanya tetapi di hatinya masih ditikam kebimbangan. Rasa bimbang kalau-kalau perubahan negatif yang terjadi terhadap Mukriz. Mungkin bukan sekarang tetapi masa-masa akan datang entah siapa yang tahu.
***
DI birai katil Mukriz menongkat dagu. Dia sendiri gusar. Dia sendiri tidak tahu dan bagaimana lagi dia harus hadapi semua ini. Tingkah laku dan perasaannya bercelaru. Malah sekeping hati itu yang selalu bergelora dan bersimpang siur. Mengapa tempias rasa itu selalu sara terpercit di jiwanya? Rasa yang selama ini menghantui jiwanya sendiri. Kekeruhan, dan keretakan jiwa yang punah angkara kenangan lalu.
Mukriz melepaskan keluhan. Sesekali dia terbatuk. Fikirannya diterbangkan sang angin. Jauh di sudut hati tercalit memori duka yang sukar untuk dipadamkan. Memori yang berlalu itu masih segar di ingatan. Berlegar-legar di benaknya seperti jarum yang tajam menusuk rakus.
Di cermin kaca pula dia memandang wajahnya. Diusap lembut bahagian pipi kanannya. Masih berparut. Sedih rasa hati. Wajah yang dijaga rapi sewaktu ketika dulu kini meninggalkan sisa-sisa tragedi.
Sungguh dia bahagia namun kebahagiaan itu hanya luaran. Bagaimana dengan dalaman? Tatkala menatap wajah itu, dia berduka hati. Lara sekeping hati tidak terucap dengan kata-kata. Sekilas dia alihkan pandangan matanya pada potret persandingannya dengan Suraya. Adakah keterpaksaan dia berumah tangga dengan Suraya? Atau sudah jodohnya?
Sekali lagi Mukriz mengeluh berat. Tubir matanya berlinangan. Sedetik lagi pasti mengalir kerana mengenangkan kisah hidupnya. Kala ini dia meneruskan kehidupan bersama parut cinta luka. Parut wajah setia berteman dan tidak pernah mahu hilang namun semangat dan keazaman dikuatkan. Sungguhpun begitu sampai bilakah menara cinta itu akan bertahan?
Benarkah akan menjadi seteguh karang di lautan? Sekali gelombang mendatang ia tidak akan berganjak dan tidak akan bisa berubah? Dia manusia biasa. Manusia yang punya nafsu. Manusia yang berkeinginan untuk terus hidup dan seorang manusia yang sering berdepan dengan kecelaruan. Hakikatnya itulah yang dialaminya selama ini.
Masa seakan terhenti. Mindanya lesu dan pandangannya menjadi kabur kerana air mata setia bekolam. Sekejap lagi akan berhamburan. Dia menyesali sesuatu namun kekal terpendam di jiwa. Apakah selama ini dia memalsukan senyuman atau sengaja menunjukkan dia sebenarnya bahagia? Mungkin ya dia bahagia tapi adakah kebahagiaan itu akan bertahan lama?
Siapa pun tidak dapat membuat telahan yang tepat kerana insan seperti Mukriz tidak dapat mentafsirnya. Apatah lagi si isteri yang saat ini sibuk mendodoikan anak di bilik asuhan mengerti perasaan Mukriz. Suraya wanita yang menerima siapa diri Mukriz. Mungkin dia masih tidak percaya kehendak Mukriz itu sebelum ini namun hati si isteri tetap mencurigai Mukriz kerana insan tampan yang dikenalinya itu sebelum ini pernah menaruh perasaan terhadap lelaki.
Pada dasarnya Suraya tidak percayakan itu. Oleh itu dia menerima Mukriz dan dia tahu bahawa Mukriz bukan seperti itu meskipun telah pun dijelaskan pada dirinya siapa suaminya itu. Sesekali perasaan tidak puas hati sering bertandang. Perasaan bimbang dan takut turut bertelingkah. Kalau benar Mukriz mahu mengulangi semula maka apa akan jadi pada dirinya dan anak-anak?
Apakah anak-anaknya nanti perlu tahu siapa ayahnya? Satu kerja gila nampaknya. Anak-anak mana mungkin patut didedahkan siapa si ayahnya. Terlalu bodoh dan singkat pemikiran Suraya seandainya dia bertindak begitu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.