GAYANYA seperti anak dara tetapi memang anak dara. Anak dara tua. Lenggang lenggok cara berjalan tidak ingat dunia. Keliling kampung menjaja cerita kononnya Adam Mursyid dikatakan penggoda. Mulut murai kalau malam dia berhenti berbunyi tapi tidak si perempuan ini. Kala malam riuh sekampung seperti ayam bertelur seguni.
Datang ke sana sini membawa cerita hangat dan sensasi. Cik Siti Rokiah nama diberi biasalah orangnya cantik tidak terperi. Bibir merah bak sirap cap melati dan gayanya tidak ubah seperti puteri sebujur sirih.
Saat ini, cerita tentang Adam Mursyid pula yang masih terbias dengan keadaan yang sungguh meluturkan jiwanya kekal menghantui segenap ruang rasa. Dia mahu tidak mahu terpaksalah mengikut kehendak ayah tirinya yang kini mula garang. Kasihan sungguh. Katanya malu kalau Adam kekal lembut. Dia mahu ubah Adam jadi budak keras sementara waktu masih ada sebelum anak itu mendapat tawaran sambung belajar.
Sejak Adam turut serta masuk ke Kelab Wawasan Desa banyak pula mulut duduk mengata. Apa-apa sahajalah mereka. Ada sahaja tidak senang dengan Adam. Lelaki lembut itu keterpaksaan masuk ke kelab itu di atas rasa hormatnya pada Cikgu Hasrudi. Tidak mahu dikatakan seorang anak yang kurang ajar. Apatah lagi untuk membalas cakap. Sejak Cikgu Hasrudi jadi ayah tirinya, dirasakan agak ganjil sekali. Suatu perubahan yang cukup ketara.
Kebetulan waktu Adam sedang menggali tanah untuk menanam bunga ros di tepi pagar rumah anak-anak yatim, Cik Siti Rokiah sedang berjalan kaki melintasi kawasan itu untuk ke rumah Encik Roslan. Ada hal untuk dibincangkan dengan penghulu kampung.
Si Adam ini pula berasa sangat letih setelah selesai melakukan aktiviti amal itu untuk melatih dirinya jadi keras. Kata ayah tirinya aktiviti-aktiviti begini akan mempercepatkan proses dirinya menjadi lelaki maskulin. Sampai begitu sekali Cikgu Hasrudi punya malu kerana orang kampung selalu mengata Cikgu Hasrudi bela anak lembik. Siapa lagi suka bawa cerita, Cik Siti Rokiah itulah.
Si Adam ini pula jadi mangsa keadaan. Dia membilang waktu agar cepat-cepat dia dapat pergi dari kampung ini. Biarlah dia mendapat tawaran belajar ke tempat lain, jauh dari sini. Dengar cerita, Si Ejam pula sudah berbaik-baik dengan Adam semenjak dia menghilang seketika. Dia menumpang di rumah pakcik saudaranya. Ingin hilangkan tekanan.
Seorang lelaki yang sudah lama tidak bertemu dengannya datang mendekati Adam yang sedang duduk di bahagian belakang rumah anak-anak yatim Kasih Abadi. Dia mula melangkah perlahan-lahan. Mahu buat kejutan pada Adam yang ketika ini sedang menghela nafasnya sambil mengesap peluh. Kala ini sengaja Adam menyendiri di bahagian belakang jauh dari orang-orang yang lain.
Bermacam-macam yang bermain di fikiran Adam. Hatinya tersayat mengenangkan anak-anak yang berada di rumah Kasih Abadi ini tidak beribu bapa. Saat ini dia juga teringatkan ayahnya yang telah lama pergi.
Semenjak Cikgu Hasrudi menggantikan tempat ayahnya. Dia merasakan agak terkilan. Dia menjangkakan akan mendapat kasih sayang seorang ayah tiri tetapi lain pula jadinya. Cikgu Hasrudi tetap menyayangi anaknya sahaja iaitu Haziq. Kalau bab perhatian, memang si Haziq yang dapat lebih. Maklumlah Haziq itu anak dia. Mereka hanya saudara tiri. Hari-hari berdepan dengan mulut Haziq pelajar tingkatan tiga itu melenting.
Cikgu Hasrudi selalu saja menangkan Haziq. Ibunya pula serba salah. Maklumlah Syaziela sayang benar pada Cikgu Hasrudi. Apa yang Cikgu Hasrudi cakap mesti ikut sahaja. Adam kala ini menyesal. Kesal dengan keadaan ini.
Entah apa yang mempengaruhi fikiran Cikgu Hasrudi sampai sanggup mendera dirinya. Setiap hari suruh cuci kereta. Si Haziq goyang kaki seperti anak raja. Kononnya itulah aktiviti yang perlu Adam lakukan untuk jadi maskulin. Demi menjadi lelaki keras Adam lakukannya juga.
“Assalamualaikum,” tiba-tiba salam dihulurkan. Terpisat-pisat Adam memandang ke arah orang yang memberi salam.
Serta-merta Adam menguntum senyum yang tidak terhingga. Orang yang dicari sampai ke rumah selama ini telah muncul.
“Waalaikumussalam,” jawab Adam dengan sopan.
“Boleh saya duduk?” ucap Ejam yang ketika ini bersiglet putih berseluar jean.
Adam mempelawa Ejam duduk. Dengan itu Ejam menghenyakkan punggungnya di bangku. Dia menguntum senyum. Walaupun sedang tersenyum, di hatinya masih menyimpan rasa serba salah terhadap Adam.
“Mana awak pergi?” Adam menyoalnya.
Adam tidak berdendam dengan Ejam mahupun sesiapa lagi. Tuhan menganugerahkan Adam kesabaran yang tinggi. Seorang lelaki lembut yang dianggap cekal itu mula menapak di alam realiti selepas tamat persekolahan.
Ejam memandang Adam. Sesekali wajahnya dilarikan kerana masih rasa serba salah. Dia sekarang sudah sembuh sepenuhnya. Lelaki yang berkaca mata hitam untuk melindungi matanya dari sinaran matahari itu mula meninggalkannya. Terpamer sepasang mata yang sungguh cantik.
Sebelum dia menjawab pertanyaan Adam, dia menghulurkan bungkusan hadiah kecil buat Adam terlebih dahulu. Adam menyambutnya dengan rela hati dan juga dengan penuh perasaan ingin tahu.
“Untuk apakah ini?” tanya Adam.
“Bukalah dulu,” pinta Ejam.
Adam mengangkat keningnya kehairanan. Apakah tujuan sebenar Ejam berjumpa dengannya secara tiba-tiba ini dan dari mana pula Ejam tahu dia berada di sini? Mungkin Ejam bertanya pada Naqib atau pun Ardila agaknya.
Dengan perlahan-lahan Adam membuka kotak yang dibalut cantik dengan kertas warna ini. Ejam tersengih sahaja.
Sebaik sahaja Adam membukanya. Dia terus melompat ketakutan. Sungguh tidak diduga Ejam masih nakal! Ejam masih mengenakan dirinya lagi. Adam ingatkan Ejam sudah insaf tetapi rupanya tidak.
Adam melompat terkejut sekali. Sampai hati Ejam buat dia macam itu. Tanpa sedar Adam terpeluk Ejam gara-gara rasa traumanya datang lagi.
Ejam terus ketawa terbahak-bahak.
“Ejam!!!! Apa yang awak buat ini?” soal Adam menggigil.
Ejam dengan rasa teruja itu minta dilepaskan. Malah Adam makin erat memeluk Ejam gara seekor katak dibungkuskan dalam kotak itu. Menangis-nangis Adam, hilang semangat untuk menjadi lelaki maskulin secara tiba-tiba.
Tidak disangka Ejam masih buat begitu. Ejam memaut bahu Adam dan ditolak perlahan supaya Adam tidak memeluknya lagi.
“Itu bukan katak betul! Itu keychain yang saya hadiahkan untuk awak,” kata Ejam.
Adam menunjal dahi Ejam. Buat dia terperanjat. Walaupun itu hanyalah rantai kunci namun dia tidak sanggup menyimpannya. Adam cukup fobia. Fobia dengan katak. Cukuplah selama ini dia dibuli dengan benda-benda seperti itu.
Ejam tersengih sahaja dan dia terus bangun dan mengambil semula barang tersebut yang dicampakkan oleh Adam gara-gara terkejut tadi.
“Tolong jauhkan benda itu dari saya!” teriak Adam.
Dia masih berasa geli dan loya anak tekaknya bila terkenang katak dan telur katak yang pernah masuk ke dalam perutnya suatu ketika dulu.
Ejam menggeleng tanda enggan memberikannya semula kerana Adam tidak mahu. Tetapi dalam masa yang sama dia menghulurkan hadiah yang sebenarnya buat Adam. Jam tangan. Dia menggantikan jam tangan dan sekeping nota yang pernah dia rampas dari Adam dulu.
Mereka tidak sedar bahawa Cik Siti Rokiah telah menyaksikan apa yang berlaku di depan matanya. Dari luar pagar dia mengintai mahu melihat apa yang Adam lakukan di ceruk itu. Habislah. Mulut Cik Siti Rokiah tiada insurans. Pasti heboh satu kampung.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
POSTING BAB TERAKHIR DI BLOG INI, Chad mahu hantar kepada penerbit untuk dibuat penilaian cerita ini. Sama ada diterbitkan atau pun tidak, ianya bergantung pada rezeki ALLAH SWT. Chad sudah cuba yang terbaik dengan sokongan peminat semua... Syukur Alhamdulillah dengan sokongan yang diberikan Chad akan terus menulis .... teruslah menyokong diriku yang lemah ini... Terima Kasih di atas sokongan yang diberikan.. :-)