Entri Terkini :

E-Novel : Hati Syaitan (Bab 1)



BULAN menjadi saksi pada malam tragedi. Di saat itu ALLAH SWT telah membuktikan kekuasaan-Nya. Kuasa yang tiada tolak bandingnya lagi dan tiada siapa pun yang dapat menduga, apatah lagi untuk menghalangnya. Tragedi tanah runtuh di Kampung Air Jernih telah meranapkan berpuluh-puluh rumah yang berada di lereng bukit. Ia kekal menjadi titik hitam bersejarah di dalam minda si gadis yang berusia dua puluh empat tahun itu.
Tatkala dia sendirian termenung di pondok kecil dalam kawasan Bahtera Kasih sebuah tempat di mana anak-anak yatim tumpang berteduh, kejernihan pada wajahnya yang berlesung pipit itu mula berubah sugul di saat ingatannya kembali pada musibah yang melanda. Ainul Sofia nama gerangan si gadis yang cantik molek persis bidadari sedang berduka hati.
Seorang graduan dalam bidang kesusasteraan itu belum lagi mendapat peluang pekerjaan. Mungkin belum tiba rezekinya lagi. Kesabaran dan kecekalan yang tertanam dalam dirinya menampakkan dia sungguh tenang meskipun bebanan di hati itu sedang sarat sebenarnya. Sarat dengan detik duka. Terbungkam tatkala sepi. Bersedih tatkala duka bertamu. Tiada mimpi indah dan tiada senyum tawa di kala memori itu terbayang di fikiran.
“Mak! Abah!” laung si kecil dengan matanya liar menoleh kiri dan kanan.
Suasana kelam kabut. Gempa bumi yang melanda beberapa saat itu telah menjahanamkan persekitaran. Jeritannya seakan tidak didengari. Siapa yang akan mendengar jeritannya yang tersepit di celah bongkah batu? Mujurlah bebanan itu tidak memotong terus kedua-dua belah kakinya. Dia terkurung seperti di dalam kubur. Gelap sungguh keadaan itu.
Gara-gara gempa, tanah di lereng bukit terus runtuh. Rumahnya yang berada berhampiran dengan bukit tersebut menjadi mangsa. Mangsa tanah runtuh yang tidak terduga itu. Korbannya adalah ibu dan ayahnya serta adik beradiknya yang lain termasuk juga jiran tetangga.
“Mak! Abah!” jeritnya lagi sekuat hati tatkala menahan kesakitan cuba melepaskan diri. Gegaran berskala 7.5 skala richer itu sungguh kuat.
Ketika itu dirasakan hanya sekelip mata sahaja ianya berlaku. Sedang membelek buku sekolah untuk mengulang kaji pelajaran. Kerja rumah yang diberikan cikgu mesti disiapkan. Masa dia sedang lagut membaca dan menulis, dia merasakan cawan dan gelas bergetar hebat.
Ditoleh ke kiri dan matanya tertancap pada jam dinding yang kemudiannya terlepas dari tempatnya terus jatuh ke lantai. Dia masih mendengar lagi laungan ibunya memanggil namanya dengan penuh cemas.
“Sofia! Sofia! Cepat keluar cepat!” si ibu mengetuk pintu bilik Ainul Sofia yang ketika itu berusia lapan tahun.
Gegaran terhenti seketika. Ainul Sofia merasakan keadaan telah pun kembali sedia kala. Dia terus melangkah ke arah pintu bilik rumah kayunya. Kali ini ketukan pintu makin kuat. Dia mendengar suara ayahnya memanggilnya.
“Buka pintu ni Sofia! Buka pintu!” pekik si ayah yang mahu Ainul Sofia segera membuka pintu.
Tiba-tiba sahaja gegaran yang serupa menerpa lagi. Namun kali ini ia mengganas. Semakin kuat gegaran itu. Sejurus kemudian hujan lebat mula turun membasahi bumi. Ianya kian menggila. Belum sempat Ainul Sofia melangkah membuka pintunya. Langkah kakinya terhenti. Dia mendapati dinding rumahnya mula merapatinya bersama getaran dan keriuk bunyi papan dinding mula patah dan akan pecah pada bila-bila masa.
“Sofia!!!” itulah suara yang terakhir menjengah ke cuping telinganya.
Serta-merta dia rasa dunia ini gelap gelita. Tiada sedikit pun cahaya menerangi dirinya di saat itu. Walaupun dia menjerit sekuat hati, namun orang yang berada di luar tempatnya sekarang seperti pekak kedadak. Tidak langsung mendengar jeritannya. Usahanya hanya sia-sia.
Bantuan keselamatan cepat dihulurkan tatkala dia berada di dalam ruang kedap udara hanya menanti waktu dirinya kelemasan. Ainul Sofia belum lagi ditakdirkan untuk mati. Masih banyak rintangan yang berada di depan sedang menunggu. Tertulis buatnya satu macam cerita yang bakal dilakarkan dalam kehidupannya selepas dirinya terselamat dari bencana dengan gelaran anak yatim piatu.
Jari dipetik di hadapan matanya. Bayangan tadi berkecai dan dia terus tersedar dari lamunan bersama titisan air matanya berjuraian di pipi. Terpisat-pisat gadis bernama Ainul Sofia atau mesra dengan panggilan Sofia memandang Siti Syuhadah. Dengan pantas Ainul Sofia menyeka air mata jernih itu. Siti Syuhadah pula yang mesra dipanggil dengan nama Adah itu sedang berkerut dahi. Kemudian dia menghenyak punggungnya di tempat duduk dalam pondok itu. Desiran dedaun yang ditiup angin kedengaran tatkala masing-masing menyepi.
“Cantik bunga ros merah itu,” Ainul Sofia Sofia menyembunyikan rasa hiba yang bersarang dalam hati dengan memuji pula sejambak bunga yang segar di tepi pondok itu. Ia tertanam di dalam pasu.
Sekilas Siti Syuhadah menoleh ke arah jambangan bunga ros yang dimuncungkan bibir oleh Ainul Sofia sebentar tadi dan seterusnya mengheret ekor matanya menatap wajah Ainul Sofia yang putih gebu itu. Siti Syuhadah mengerling. Ainul Sofia terus mengeluh tatkala dirinya suka menyembunyikan apa-apa lagi dari Siti Syuhadah.
“Mata aku masuk habuk…” kata Ainul Sofia yang mereka alasan. Sengaja dia merahsiakan apa yang difikirkanya. Memang peristiwa tidak lama dulu amat menyeksakan hatinya kerana telah kehilangan keluarga tercinta. Namun tiada apa yang lebih besar melainkan Kekuasaan-Nya. Dia Maha Mengetahui setiap apa yang terjadi.
Saat ini Siti Syuhadah mengerling lagi dan kemudian memandang Ainul Sofia lama. Peristiwa yang dilalui oleh Ainul Sofia pada sebelum ini memang membuatkan Siti Syuhadah juga kasihan. Mereka berdua di besarkan di sini bersama-sama.
“Ya, aku teringatkan kisah lama,” katanya dengan jujur pula kerana dia tahu Siti Syuhadah tidak mempercayai ucapannya di awal tadi.
Siti Syuhadah tersengih. Dia tahu Ainul Sofia tidak akan dapat berselindung apa-apa darinya. Dia masak benar dengan sikap Ainul Sofia. Kalau Ainul Sofia bersendirian pasti memori lampau akan dikenang. Siti Syuhadah  juga tahu bahawa, Ainul Sofia bukan sengaja mengenangi  kisah silam itu akan tetapi ingatan itu begitu sukar diusir sebagaimana kesan parut yang sukar hilang di pergelangan kakinya.
“Aku ada berita gembira hendak beritahu kau,” ujar Siti Syuhadah dengan penuh rasa bahagia terpamer di wajahnya. Ada sesuatu yang ingin diberitahu kepada Ainul Sofia. Sesuatu yang amat menggembirakan itu.
Ainul Sofia tidak sabar-sabar ingin tahu apakah berita itu. Kali ini dia melebarkan senyuman. Baru sekarang dia akan menerima khabar gembira. Siti Syuhadah berkerdip-kerdip matanya sambil menongkat dagu. Lagak Siti Syuhadah begitu mendebarkan Ainul Sofia.
“Cepatlah cakap, jangan buat aku ternanti-nanti,” pinta Ainul Sofia yang bosan menunggu kerana hati dan perasaan ingin tahu. Kenapa Siti Syuhadah nampak seperti melambat-lambatkan sahaja berita itu?
“Cuba teka,” Siti Syuhadah mula bermain dengan silang kata dan sesungguhnya penantian itu amat menyeksakan bagi Ainul Sofia yang mengharapkan ia dipercepatkan.
‘Main teka pula, Adah ini ada-ada sahaja. Suka sangat buat kejutan,’ bisik hati Ainul Sofia tatkala otaknya cuma membuat telahan.
Ainul Sofia merasakan, barangkali Siti Syuhadah ingin beritahu tentang Mak Su yang hendak buat ketupat daun palas petang ini. Sebabnya Mak Su sudah lama tidak buat ketupat. Mesti mahu ajak dirinya menganyam ketupat bersama. Jauh benar fikiran Ainul Sofia menyimpang berbanding maksud sebenar Siti Syuhadah.
Tiba-tiba dia merasakan itu bukan perkaranya. Mungkin ada perkara lain. Mana mungkin Mak Su mahu buat ketupat sedangkan Mak Su balik kampung? Dia cuba menggali lagi untuk mentafsir dari raut wajah Siti Syuhadah yang sedang senyum sumbing itu.
Sudah penat otaknya cuba meneka sendiri. Siti Syuhadah pula dengan gaya mengembungkan pipi itu hanya berpeluk tubuh. Comel pula Siti Syuhadah buat begitu. Nampak tembam pula pipi Siti Syuhadah.
Kala ini Ainul Sofia buat-buat betulkan tudung tatkala fikirannya masih menelaah sampai senak. Susahnya bermain dengan teka teki sebegini. Sepanjang hidup jika bertembung dengan persoalan tanpa jawapan amat menyakitkan.
Belum sempat Siti Syuhadah mahu bersuara, mereka terdengar sesuatu. Sesuatu yang sungguh indah dan mengasyikkan sekiranya umat manusia mengamatinya dengan mata hati.
“Sudah azan,” kata Siti Syuhadah pada Ainul Sofia.
Azan berkumandang di surau Bahtera Kasih menandakan waktu Asar telah tiba. Siti Syuhadah tidak terus memberitahu Ainul Sofia malah dia menangguhkannya dan membiarkan ia tergantung. Dengan itu Ainul Sofia kekal tertanya-tanya tanpa terus memaksa Siti Syuhadah memberitahu apa yang ingin diperkatakan itu.
Siti Syuhadah mahu memberitahu Ainul Sofia selepas Solat Asar nanti. Sengaja ingin buat Ainul Sofia berfikir. Namun perkara yang wajib itu mesti didahulukan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kecualilah bila tiba waktu cuti tanpa gaji bagi perempuan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.