AKU dapat ayah baru! Cikgu Hasrudi sudah jadi ayah tiri aku. Sayang benar dia dengan ibu aku itu. Kasih sayang dan perhatian yang diberikannya sungguh memuaskan hati ibu. Kini usia perkahwinan mereka sudah tiga bulan dan tidak lama lagi keputusan peperiksaan SPM aku akan keluar. Tidak sabar-sabar rasanya aku mahu mengetahuinya.
Mata aku tertancap pada televisyen. Bila sudah tamat persekolahan ini rasa kebosanan pula. Tidak dapat lagi aku melihat wajah kawan-kawan aku yang lain. Aduhai memang melampau-lampau bosannya tetapi tidak mengapa, aku boleh membantu ibu untuk buat kuih. Karipap, donut, kuih pau dan bermacam-macam lagi. Seronok!
“Adam…” Cikgu Hasrudi memanggil aku.
Ops! Bukan Cikgu Hasrudi lagi tetapi ayah! Aku kena biasakan diri menyebut perkataan ayah meskipun agak janggal bagi aku yang selama sesi persekolahan aku dulu memanggilnya dengan nama Cikgu Hasrudi.
“Ya a..ayah,” tergagap-gagap aku mahu menyahutnya.
“Ayah nak tanya ni, tapi mari sini duduk dekat ayah,” dia mahu aku duduk di sebelahnya.
Tanpa penuh rasa curiga maka aku terus duduk di sebelahnya. Dia merenung ke dalam mataku. Tatkala ini ibu sedang membancuh kopi di dapur. Dengan pantas tangannya membelai-belai rambut aku. Eh! Kenapa?
Jantung aku berdetak kencang. Aku mula fikir yang bukan-bukan walhal hakikatnya itu adalah kebiasaan yang dilakukan oleh seorang ayah untuk menunjukkan rasa kasih sayangnya terhadap anak-anak. Memang betul tapi aku sudah lama tidak merasainya sejak ayah kandung aku pergi menemui ILAHI. Agak janggal bagi diri aku dianggap seperti budak kecil sahaja.
Aku berdeham sahaja menunjukkan isyarat aku sedang menanti ucapannya darinya.
“Tidak lama lagi keputusan SPM akan keluar. Ayah doakan Adam mendapat keputusan yang terbaik. Andai kata bagus Ayah akan belikan sesuatu untuk Adam,” ucap Cikgu Hasrudi.
Diri ini akan mendapat hadiah apabila keputusan yang bakal diterima nanti memuaskan tetapi aku tidak mengharapkannya. Kalau aku mendapat keputusan yang baik sekalipun aku mahu raikannya bersama kawan-kawan dan yang paling utama aku mahu Irwandi memahami perasaan aku.
“Terima kasih, ayah,” balas aku.
“Ayah ada perkara hendak bincangkan dengan Adam,” kata Cikgu Hasrudi sambil mempamerkan ekspresi wajah yang tenang.
Kala ini aku pula yang kaget.
“Bincang apa ayah?” Aku menyoal kehairanan kerana tiba-tiba sahaja ada perkara penting. Aku seperti kaget sekali.
Sementara itu ibu sedang menatang dulang membawa minuman lalu diletakkan di atas meja. Ibu terus melabuhkan punggungnya ke sofa dan tersenyum memandang ke arah aku. Lain macam sahaja aku rasakan kerana ia seperti ada sesuatu yang boleh membuatkan aku terkena serangan jantung apabila mengetahuinya. Tapi aku tidak dapat membuat telahan yang tepat.
“Begini...” sebut Cikgu Hasrudi dan dengan pantas aku mendengarnya dengan penuh khusyuk.
Aku sudah tidak sabar lagi.
“Ayah sudah berbincang dengan ibu kamu untuk latih kamu jadi seorang yang keras, biar anak ayah nampak tegap,” katanya.
Apa?! Tidak masuk akal! Perkara ini boleh membuatkan otak aku jadi miring sekejap. Apa semua ini? Macam pelik saja bunyinya. Aku dulu angkat besi pun tidak lepas inikan pula mahu latih aku jadi seorang yang gagah perkasa? Adakah aku perlu mencuba sekali lagi?
“Ayah! Apa ini?” soal aku pula.
“Adam.. dengar dulu apa yang ayah kamu nak terangkan,” ibu mencelah.
Aku terus mengecilkan mata ini tika memandang wajah ibu. Aduhai sungguh tidak berpuas hati aku rasakan. Kenapa Ayah aku seperti tidak dapat menerima keadaan aku. Adakah dia malu dapat anak tiri seperti aku?
***
KEESOKANNYA aku pergi berjumpa dengan Ardila. Aku mengadu hal dengannya. Sungguh aku tidak berpuas hati dengan niat Cikgu Hasrudi itu. Ya memang betul dia mahu aku tidak dibuli oleh sesiapa tapi kenapa aku perlu ikut cakap dia? Kenapa dia mahu mengatur hidup aku? Dan ibu aku pula menyokong, mudah sangat ikut telunjuk dia. Habis macam mana dengan tujuan aku untuk menyambung pelajaran nanti?
“Tidak salah rasanya kau ikut cakap ayah kau itu,” ucap Ardila.
“Mana boleh! Kalau aku tahu dia mahu mengatur hidup aku dari awal lagi aku tidak bersetuju dia kahwin dengan ibu aku itu,”
“Adam… perkara itu sudah berlalu tidak perlu kau ungkit lagi,” Ardila membela pula.
Panas ini! Panas sangat! Kenapa perkara ini boleh berlaku pula. Tidak berapa lama kemudian Naqib pun tiba. Nasib baik dia datang tepat pada waktunya. Kali ini aku perlu meminta pendapat Naqib pula. Kalau Ardila memang bersetuju sangat tapi aku mesti dengar Naqib akan kata apa.
Apabila aku menceritakannya pada Naqib, dia juga sependapat dengan Ardila. Habislah aku kali ini. Benci betul! Tidak adakah yang berbeza pendapat dari mereka. Sekarang baru aku ingat. Apa kata aku minta Naqib memanggil Ejam! Tapi, adakah dia mahu dengan aku?
“Apa kata kita bertiga pergi rumah Ejam,”
“Ejam?!” Ardila kaget. “Kenapa perlu jumpa dengan dia? Aku takut dia tidak mahu jumpa dengan kau saja,” sambungnya.
“Aku tidak kisah, mungkin dia boleh beri pendapat yang berbeza, jom!” aku mengajak mereka.
Ardila dan Naqib bersetuju. Maka kami bertiga pun pergi ke rumah anak ketua kampung itu dengan menaiki basikal. Aku sungguh gusar dengan niat ayah aku itu. Dalam hati ini memang tidak suka langsung. Benci sungguh! Benci! Tuhan saja mengerti perasaan aku.
Kami pun tiba di perkarangan rumah Ejam.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam serentak dengan Ardila dan Naqib.
Agak lama aku menunggu kata balas barulah kelibat ibu Ejam keluar dengan lagak seperti perempuan Melayu terakhir. Dia sempat menjeling ke arah aku. Aku tahu dia memang benci pada aku. Sungguh! Aku tahu sikap ibu Ejam itu.
“Hah! Apa kamu mahu?” soal Puan Harmiza.
Hidung tinggi!
“Kami ingin berjumpa dengan Ejam, mak cik. Dia ada?” aku memberanikan diri menyoal ibu Ejam.
“Apa mak cik! mak cik!? Panggil puan,” balasnya dengan angkuh.
Aku berasa lemah dengan keadaan ini. Aku menurut sahaja apa mahunya. Kalau aku berdegil mungkin kami tidak dapat berjumpa dengan Ejam.
“Ya puan, Ejam ada?” soalku sekali lagi.
“Dia tiada!” Puan Harmiza membalas dengan deras.
“Dia pergi mana?” Aku menyoal kagi.
“Jangan banyak tanyalah, aku kata dia tidak ada, tidak adalah! Sudah! Pergi dari sini,” balas Puan Harmiza sambil menunjukan isyarat tangannya.
Tiba-tiba Ardila mencelah dengan deras dan keras.
“Puan jangan biadab sangat bolehkah? Macam sudah cukup bagus! Mentang-mentang hidup senang lenang pakai gelang sampai paras siku mula hendak berlagak!” cetus Ardila.
Aku cukup terkejut dengan cara Ardilan berkata-kata. Agak pedas juga. Ardila sungguh hebat mempertahankan aku. Memang mulut boleh tahan tiada insurans. Tidak makan dek saman. Aku pula kekal dengan kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara.
“Kau siapa hendak mengajar aku? Sudah! Jangan hendak mengemis dekat sini! Aku memang tidak suka anak aku berkawan dengan kamu, sebab kamu anak aku menderita!” balas Puan Harmiza melepaskan geram.
Dia mahu salahkan aku sebab anak dia jadi begitu. Bukan tempang selamanya pun lama-lama sembuhlah, tapi hati aku ini siapa hendak jawab? Mujur sudah sembuh kerana Ejam meminta maaf dengan aku tidak lama dulu tapi kalau Puan Harmiza ini memang aku menyampah gila. Patutlah anak dia sebelum ini terlebih sangat biadabnya. Ibunya memang terlalu manjakan dia. Ibu aku juga memang manjakan aku tapi tidaklah seperti anak dia itu.
Kenapa aku jadi geram pula ini? Ah! Abaikan sementara. Tangan aku disentap kuat oleh Ardila. Naqib pula hanya diam sahaja tidak berkata apa-apa melainkan Ardila yang memang sudah jegil mata melihat wajah Puan Harmiza. Si puan itu mula mengecilkan anak matanya sambil berkecak pinggang.
“Adam! Mari kita pergi, kalau tunggu lama-lama depan rumah ini meluat pula aku rasa, tahu? Tengok lagaknya mengalahkan mak datin boleh tumbuh ketumbit pada mata aku nanti,” sinis Ardila.
Aku pun terus berlalu dari situ bersama Ardila dan Naqib.
“Sebab itu aku tidak suka kau hendak pergi rumah Ejam. Kau lihat sahaja sikap mak dia itu, terlebih dan tidak habis-habis mahu salahkan kau. Apa dia lupa bahawa kau yang membantu anak dia itu atau dia memang jenis yang tidak mengenang jasa?” gerutu Ardila sambil meneruskan kayuhan basikal.
“Entahlah Dila, biarkan sajalah,” desis aku.
Aku menoleh ke arah Naqib yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Tergerak hati ini ingin bertanya kenapa dia begitu. Muncung panjang sedepa dan dahi berkerut sahaja.
“Naqib! Kau dari tadi senyap saja, kenapa?” aku menyoalnya.
Naqib menggeleng sahaja.
“Naqib!” pekik Ardila.
Naqib mempercepatkan kayuhan terus ke pantai. Aku dan Ardila mengejarnya. Aduhai! Laju pula dia mengayuh basikalnya. Orang kuat memang begitu. Nampak gayanya terpaksalah aku minum kopi jantan untuk menambahkan daya kekuatan aku. Oh! Tidak!
***
“KAU fikir Ejam ada di rumah?”
“Tentu ada!” balas Ardila.
“Habis kenapa ya maknya tidak benarkan dia berkawan dengan kita?” aku tanya soalan bodoh! Sedangkan aku sudah tahu.
Puan Harmiza sudah tentu pandang diri aku ini jijik dan kotor. Tidak layak berkawan dengan anak dia. Mereka golongan berada. Aku pula sederhana sahaja.
“Kau jangan hendak sibuk-sibuk fasal dia, sekarang ini kau perlu fikir adakah kau sanggup masuk Kelab Wawasan Desa kampung ini dengan mengikuti aktiviti-aktiviti lasak seperti yang ayah kau mahukan itu?” desak Ardila.
Alahai! Ini yang aku jadi lemah! Sebut fasal itu aku jadi tidak keruan. Naqib menyokong demi kebaikan aku dan Ardila juga sama. Tapi mampukah diri ini menghadapi semua itu? Mengangkat benda-benda berat, buat kerja amal dan macam-macam lagilah!
Aku jadi bengang pula bila dipaksa begini. Mengharapkan aku jadi keras dan perkasa konon! Ingat senangkah?
“Adam!” pekik Ardila.
Aku terus menoleh.
“Kau dengarkah apa yang aku katakan?”
“Dengar!” balas aku.
“Habis itu bagaimana?” Ardila menyoal deras.
Aku jadi bertambah bingung dengan paksaan itu. Mengapalah aku mesti berdepan dengan masalah demi masalah. Ini adalah masalah yang cukup merumitkan aku.
“Nantilah aku fikir-fikirkan semula,” aku membalas.
“Tapi aku rasa kau tiada pilihan,” tiba-tiba Naqib mencelah.
“Kenapa?”
“Sebab kau juga mahukan perubahan jadi kau mesti sahut cabaran,” kata Naqib.
“Tidak! Aku tidak pernah kata mahukan perubahan seperti ini! Aku dipaksa! Dan aku memang tidak suka dipaksa! Kau! Kenapa di rumah Ejam tadi senyap sahaja?” Aku sengaja mengubah topik.
Naqib terus bangun sambil menepuk-nepuk sisa pasir yang melekat pada punggung seluarnya.
“Aku tidak sangka yang mak Ejam itu sanggup berucap seperti itu. Aku terasa juga dengan kata-katanya tadi. Tapi sekarang aku tidak mahu pedulikan dia. Aku mahu pedulikan hal kau yang dipaksa masuk kelab itu, kau setuju ke tidak?” Naqib menyoal lagi.
Susah aku mahu membuat keputusan. Kalau aku menolaknya nanti ibu aku tarik muka. Itulah padahnya menerima guru disiplin sekolah menjadi ayah tiri aku. Pesan ibu aku kena dengar cakap ayah! Baru anak yang soleh! Memanglah tapi kalau main paksa seperti itu naik rimas!
Tapi apa yang penting! Semua kawan aku risaukan aku. Sekarang aku nampak mereka mula mengambil berat kisah aku. Seronok! Tambah lagi Naqib si hitam manis ini pedulikan aku. Cuma Ejam sahaja yang disekat dari berkawan dengan aku. Apa punya ibu sanggup halang anak dari berkawan dengan orang seperti aku. Tapi aku tidak dapat nafikan bahawa diri ini sukar untuk diterima oleh masyarakat.
Mulai sekarang aku tidak kisah sangat kerana aku sudah ada Naqib, Joe dan Borhan sudi berkawan dengan aku. Sahabat yang dekat dengan aku sekarang ini sudah tentu Ardila. Soal Irwandi pula, hmmm.
Yang menjadi persoalannya, sudah lama aku tidak melihat Si Ejam! Ke mana dia pergi sebenarnya? Di rumahnya tidak ada malah ibunya seperti melindungi sesuatu dari aku. Aku harus bertanya pada Encik Roslan.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)