SEGALA-GALANYA berakhir dengan kejernihan. Itulah yang diharapkan oleh sesiapa yang mahukan kedamaian. Seperti Adam Mursyid, dia memang mengharapkan kegembiraan mewarnai hari-harinya. Siapa sangka orang nakal seperti Ejam sudah menginsafi kekhilafannya. Dia yakin akan hikmah semua ini. Dia sendiri tidak menduga orang yang dicaci dan dicela itu yang membantunya. Seandainya Adam tiada di situ dan menyelamatkannya dengan menghubungi pihak hospital, Ejam mungkin tidak bernyawa lagi.
Tuhan telah mengaturkan semuanya maka perjalanan kisah ini mengikut rentak hidup mereka semua yang tertulis. Cuma tuhan tidak akan menentukan nasib seseorang itu melainkan orang itu sendiri mengubahnya. Begitu juga dengan keampunan, dosa sesama manusia tuhan tidak akan mengampunkan melainkan manusia itu sendiri mengampunkan dosa orang yang bersalah tersebut.
Mengenai hati dan perasaan, ia terlalu sensitif. Sekeping hati manusia boleh diumpamakan senipis kain sutera malah ia lebih nipis lagi dari itu. hati mudah terluka dengan kata-kata dan perbuatan. Ia memakan waktu yang lama untuk sembuh bahkan ada yang tidak sembuh langsung.
Adam Mursyid dapat mempelajari sesuatu dari apa yang sudah berlaku ke atasnya. Mungkin selepas ini lebih teruk lagi setelah dia menerpa alam yang baru iaitu hidup di dunia yang serba mencabar ini nanti. Secara tidak langsung ia perlu matang dalam berfikir kerana zaman remajanya di sekolah menengah bakal berakhir dan kehidupan baru akan bermula.
Kecantikan hati perlu diluhurkan dengan kesabaran. Ia mesti ditebalkan seboleh yang mungkin. Kalau boleh biarlah berperisai besi mahupun tembaga agar tidak ditembusi peluru jiwa yang bisa menggugat naluri. Anak panah kemelut hidup boleh mengubah cara dan tindakan seseorang maka jangan dibiarkan ia tertusuk di dada. Mesti dielakkan dengan kebijaksanaan. Adam Mursyid! Dia perlu tabah selepas ini.
***
PELAMIN indah terhias sudah. Raja dan permaisuri sehari berlangsung ceria tampak bergaya dan cantik seolah-olah sebuah persandingan di atas kayangan. Inai dipakai menyerikan lagi penampilan. Pakaian yang dipakai oleh ayah tiri Adam Mursyid nampak agam bersama tengkolok sutera manakala kebaya cantik yang dipakai si ibu pula nampak sungguh mempesonakan. Itulah hasil kreatif yang dipersembahkan dari Pak Andam yang telah lama berkecimpung dalam bidang andaman ini. Siapa lagi kalau bukan Abang Aziz.
Dia menawarkan khidmatnya buat perkahwinan Syaziela bersama Cikgu Hasrudi. Pakej lengkap diberikan dengan potongan harga yang memuaskan. Adam memuji-muji kecantikan ibunya di dalam hati. Tidak lupa juga dia sempat mengerling mata kepada Cikgu Hasrudi yang nampak malu-malu duduk di atas pelamin indah.
Ramai tetamu yang hadir bagi melihat ibu Adam duduk bersanding. Meskipun bercalit rasa sedih kerana ibunya berkahwin lain setelah ketiadaan ayahnya namun di dalam hatinya mendoakan kebahagiaan buat ibunya. Dia berharap Cikgu Hasrudi mampu membahagiakan ibunya yang tersayang.
“Mak kau nampak cantik dan berseri-seri,” Naqib berbisik di cuping telinga Adam yang lagut memerhatikan persandingan itu.
Adam terus menoleh dengan penuh rasa kaget.
“Ya, memang cantik, hasil tangan Abang Aziz,” balas Adam.
“Dan ayah tiri kau juga nampak tampan dan bergaya,” sambung Naqib lagi.
“Kau juga apa kurangnya Naqib, hitam manis lagi. Kalau kau bersanding nanti aku akan hadir ke majlis kahwin kau pula,” seloroh Adam.
Naqib mengerling matanya.
“Hei! Di sini kamu semua ya, aku tercari-cari sebentar tadi,” Ardila mencelah tiba-tiba.
“Kami tengok pengantin bersanding,” kata Naqib.
“Ya! bukannya tengok wayang pula,” sinis Ardila sambil mengerling matanya pada Naqib.
“He he he..” tawa Adam.
Ardila tetap dengan gayanya yang tersendiri ayu dan cantik dengan lirikan matanya yang menggoda. Sejak akhir-akhir ini Ardila selalu bersolek. Bersedia untuk menerima pinangan? Mungkin masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal kahwin kerana masa depannya belum lagi memberikan apa-apa jaminan.
Pada hari itu Joe dan Borhan juga turut hadir, tidak lupa juga Mak Piah yang suka bercakap itu tetap dengan omelan yang suka menyakat. Tapi setiap kali dia menyakat orang pasti dia pula yang tersakat. Bagaimana? Siapa mahu jawab? Adakah dia akan terkejut lagi sekiranya seekor katak masuk ke dalam gelas lalu dia meneguknya? Oh! Pastikan tidak! Rumah Syaziela tidak diserang katak pisang lagi.
Cuma ada seorang sahaja kawannya yang tidak datang, iaitu Ejam. Adam tidak dapat memaksa Ejam untuk datang kerana mungkin dia masih malu agaknya. Adam sudah melupakan semuanya. Suatu masa nanti Ejam mungkin dapat berdepan dengannya.
Adam garu kepala yang tidak gatal sambil melangkah menuju ke luar rumahnya. Hatinya terkancah ruap dengan kejituan rasa yang tidak menyenangkan hingga menerbangkan ingatannya terhadap Irwandi. Lantas perasaan itu meledak dengan kejenuhan harapan yang tidak putus-putus mahukan Irwandi kembali menemuinya.
Langkah kakinya tersasar berat hingga urat-urat menjadi kebas pejal lalu mematikan langkahnya di muka pintu merenung jauh nun jauh ke dasar hati menilik kelibat Irwandi di situ. Sudah lama dia tidak mengirim khabar. Sepucuk surat pun tidak dikirimkan.
Kepalanya melentok ke tiang pintu rumahnya dalam keramaian orang yang sedang sibuk ke hulur dan ke hilir membawa pinggan nasi. Lesu sahaja wajah yang dipamerkan. Adam sepatutnya bergembira bukannya berduka. Keadaannya itu telah membuatkan Ardila dan yang lain-lain tertanya-tanya.
“Adam, kenapa bermuram sahaja? Kau ada masalah?” Ardila menyoal Adam.
Naqib pula memaut bahu Adam tatkala dinding hati Adam sedang diketuk dengan pohon kerinduan. Rindu pada Irwandi. Kalaulah Irwandi ada di hari ini dia mungkin berasa lebih bahagia.
“Mari kita ke sana,” pinta Naqib yang mahu Adam mengikutnya ke tempat Joe dan Borhan sedang duduk.
Adam menurut sahaja. Badannya masih berasa letih sejak semalam lagi dalam persiapan majlis perkahwinan ibunya ini.
Mereka berborak di situ buat seketika sebelum kembali sibuk. Adam cuba menceriakan dirinya dan menyorok perasaan rindunya dari pengetahuan mereka. Dia memberi alasan lain kenapa dia bersedih. Maka ia kekal menjadi misteri.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)