Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 27)

APABILA segala-galanya selesai, akhirnya aku kembali semua ke belakang pentas. Aku mendapat tepukan yang gemuruh. Nampak gayanya aku ada bakat yang terpendam untuk jadi seorang pelakon. Walau bagaimana pun aku kurang minat untuk berlakon. Itu bukan cita-cita aku.
“Hebatlah kau Adam,” Asraf memuji.
Aku bersalah pada Naqib sebab tidak menceritakan tentang hal ini. Aku sengaja mahu buat kejutan tetapi malangnya kejutan ini tidak menjadi. Malah Naqib pula bernasib malang. Biarpun aku tahu mereka kian sembuh namun hakikatnya aku masih bersalah padanya. Merahsiakan pementasan ini.
Pada awalnya aku mahu mengajaknya juga untuk turut serta tapi semuanya tidak berjalan baik tatkala peristiwa yang lalu. Aku berharap Naqib tidak akan memarahi diri aku.
“Kau juga tapi kau patut beri puji pada Ardila kerana dia pandai memainkan peranannya,” balasku.
Asraf menghadiahkan seulas senyuman lebarnya buat Ardila.
Memang benar, Ardila hebat juga orangnya. Cantik, manis dan berkeyakinan. Aku harap lakonan tadi dapat memberikan sedikit kesedaran buat kawan-kawan serta ibu bapa yang hadir. Walaupun aku tahu aku tidak bisa mengubah persepsi masyarakat mahupun stigmanya. Namun sedikit sebanyak aku dapat meluahkan apa yang terbuku di hati ini.
“Lepas ini apa yang akan kau lakukan? Maksud aku selepas kita tamat di sini?” soal Asraf.
Tanpa berlengah lagi aku memberikan sekeping kad pada Asraf dan Ardila. Mereka tertanya-tanya kad apakah itu. Tapi bagi aku, Ardila mungkin mengetahuinya.
“Jemputan kahwin? Apa?! Cigku Hasrudi?” Asraf terkejut kerana dia tidak menyangka bahawa Cikgu Hasrudi akan berkahwin dengan ibu aku di musim cuti persekolahan nanti.
“Ya, Cikgu Hasrudi akan jadi ayah tiri aku. Jadi aku rasa ia tidak memeranjatkan kamu semua. Lepas mereka disatukan nanti, maka aku akan melanjutkan pelajaran aku agar cita-citaku itu menjadi seorang tukang masak tercapai..he he he,” aku cuba menceriakan diri sendiri.
“Kau ada bakat memasak, asah bakat kau itu Adam. Dan aku sentiasa menyokong kau. Suatu hari nanti aku mahu tengok kita semua berjaya.” kata Ardila manakala Asraf mengangguk perlahan.
Aku mendengar dengan penuh teliti ucapan Ardila itu sekilas aku menoleh ke arah Asraf yang sedang mencebirkan bibirnya. Suka benar dia buat begitu sambil mengusap-usap dagu.
Tiba-tiba Ardila mencuit bahu aku sambil muncungkan mulutnya sebagai isyarat aku perlu melihat arahnya. Lantas aku menoleh dan melemparkan pandangan mataku ini kepada Naqib yang berada di depan pintu. Naqib datang tapi adakah dia melihat lakonan aku sebentar tadi?
Itu tidak penting dan apa yang penting sekarang Naqib ada di sini. Seandainya Naqib ada, adakah Ejam juga turut berada di sini? Mana mungkin kerana Naqib dengan Ejam sudah bermusuh.
Aku terus mengatur langkah dan menghampiri Naqib. Setibanya di depannya aku terus menyalaminya.
“Apa khabar, Naqib?” Aku menyoal Naqib bertanyakan status kesihatannya.
“Sihat, kau pula apa khabar, Adam?” Naqib menyoal aku semula.
“Aku sihat walafiat,” balas aku.
Aku berharap Naqib tidak berkecil hati kerana membuat pementasan ini tanpa memberitahunya. Aku mahu buat kejutan.
“Adakah kau marah pada aku?”
“Kenapa aku perlu marah?” Naqib bertanya.
“Sebab aku merahsiakan pementasan ini,”
“Aku okey sahaja. Lagipun nasib baik aku sempat melihatnya, kalau aku sudah tidak ada bagaiamana?”
“Jangan berkata begitu,” ujar aku.
“Takdir dari ILAHI, tiada siapa boleh lawan,” kata Naqib.
Ucapan Naqib kini sama seperti Irwandi. Benar-benar memberikan aku semangat.
Naqib tiba-tiba sahaja menarik tangan ini. Dia mahu aku mengikutnya. Dia ingin bawa aku ke mana? Aku tertanya-tanya sendiri. Dia terus memimpin tangan aku hingga tiba ke satu tempat iaitu di kolam ikan yang terdapat di sekolah ini dan barulah tangan aku dilepaskan.
Naqib membawa aku berjumpa dengan Ejam! Ejam ada di situ yang sedang berkerusi roda. Kaki dan tangannya masih berbalut simen.
“Aku mahu kau cerita pada dia tentang siapa yang telah selamatkan dia sewaktu dia melarikan diri selepas memukul aku. Cepat Adam! kau ikut aku. Aku mahu kau terangkan pada dia, sekarang!” tiba-tiba wajah Naqib berubah merah takut pula aku melihatnya dengan mata yang terjegil itu.
Aku dipaksa untuk menceritakannya. Adakah ayah Ejam telah menceritakan hal sebenar? Adakah Ejam tidak percaya? Tetapi ayahnya sudah berjanji dengan aku untuk tidak memberitahu Ejam akan siapa yang telah menolongnya. Aku mahu ia dirahsiakan. Tapi sekarang kenapa pula Naqib yang beria-ia memaksa aku? Aku jadi bingung. Perlukah aku menceritakan perkara itu. Mereka patut tahu ini adalah suratan.
Tidak berapa lama kemudian Encik Roslan tiba di situ. Mungkin juga ayahnya sudah menceritakan semuanya.
“Pak cik! Adakah pak cik beritahu mereka? Bukankah pak cik telah berjanji? Mengapa pak cik mengingkarinya?” aku terus melantunkan pertanyaan buat Encik Roslan.
“Maafkan pak cik kerana pak cik terpaksa memberitahunya kerana dia selalu bertanya, biarlah dia mendapat pengajarannya itu,” balas Encik Roslan.
Sudah aku jangkakan. Memang benar telahan ini lantas aku terus melemparkan pandangan tajam ke arah Ejam yang sedang tundukkan kepalanya cuba menyembunyikan wajah itu. Aku tahu dia sedang terseksa dengan keadaan dirinya saat ini.
“Siapalah diri saya ini, pakcik. Saya insan yang lemah. Hanya ALLAH sahaja yang Maha Esa. Walaupun saya begini, saya tetap seorang manusia. Saya suka membantu tetapi sekarang ini saya tidak tahu perasaan Naqib yang telah dipukul oleh Ejam. Selama ini mereka berkawan baik,” ucap aku meluahkan rasa kesal di atas tindak Ejam yang sudah melampau.
Naqib mendiamkan diri. Aku tidak tahu sama ada Naqib memaafkan tindakan bodoh Ejam itu yang memukul kawan sendiri. Lelaki seperti Ejam ini tidak layak dibuat kawan. Seandainya dia masih belum menginsafinya maka aku tidak tahu apa lagi yang patut aku lakukan dan aku juga tidak tahu apa pula yang bakal dia lakukan terhadap diri aku selepas dia sembuh nanti.
Emosi sungguh!
“Adam, pak cik minta maaf di atas semua kesalahan Ejam terhadap Adam. Pak cik harap Adam dapat memaafkan anak pak cik,” ucap Encik Roslan.
Dari raut wajah Encok Roslan itu aku dapat mentafsirkan bahawa dia begitu mengharapkannya. Tapi aku tidak yakin Ejam akan berubah selepas ini. Walau bagaimana pun aku perlu memberikan dia peluang dan melupakan perkara lalu meskipun ia agak pahit. Adakah aku perlu menyimpan dendam? Rasanya tidak kerana aku tidak bisa seperti itu. Aku mesti menjadi seorang yang bersikap pemaaf. Sedangkan Nabi ampunkan umatnya. Diri aku adalah umat Nabi Muhammad.
Tercalit rasa simpati melihat Ejam yang tidak berkata-kata itu. Mungkin dia segan untuk bercakap dengan aku tapi aku dapat membaca gerak hatinya. Dia mahu aku maafkan dirinya. Adakah dia percayakan aku yang selamatkan dia? Namun ALLAH Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati ini.
Mungkin kerana sifat aku. Personaliti ini menjadi batu penghalang untuk aku mendapat kawan. Aku mahukan keadilan. Semoga ALLAH menunjukkan sinar yang terang pada diri aku dan hati kawan-kawan aku. Ya ALLAH Ya Tuhanku, kekalkan mereka menjadi sahabat yang baik. Aku tidak henti-henti berdoa di setiap malam aku.
“Ejam! Kalau tidak ada Adam masa itu, aku tidak tahu apa akan jadi dengan kau. Cuba kau lihat lelaki lembut yang kau hina selama ini. Akhirnya dia juga yang bantu kau. Apakah kau tidak sedar? ALLAH murka pada hamba-Nya yang suka menyimpan perasaan benci,” getus Naqib.
Ejam masih menyepi. Lidahnya mungkin kelu.
Naqib membela diri aku. Sungguh tidak aku sangka bahawa Naqib telah jauh berubah. Tanggapannya terhadap aku juga berubah. Aku mula sayang pada Naqib sebagai kawan aku.
Pandangan tiba-tiba dicuri dengan kehadiran Joe dan Borhan. Mengapa dia juga ada di sini? Adakah mereka mahu memburukkan keadaan? Aku sudah tahu mereka semua berpakat untuk kenakan Naqib pada tempoh hari. Tapi Ejam yang melakukan tindakan bodoh itu. Joe dan Borhan tega menjadi batu api.
Naqib menoleh Joe dan Borhan sambil diperhatikan Encik Roslan. Aku juga merenung mereka berdua.
Di tempat itu menjadi ramai pula dengan kehadiran Ardila turut menyaksikan keadaan ini. Mereka mahu membuat perhitungan. Mungkin perhitungan damai atau pun sebaliknya. Aku tidak dapat membuat telahan yang tepat ekoran diri aku masih dalam kebingungan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.