LAGAKNYA seperti mahu menerkam aku bersama pandangan yang cukup tajam membuatkan aku jadi gerun. Oleh itu aku terpaksa berganjak sedikit kemudian tunduk. Aku dapat rasakan lelaki itu mula mendekati aku. Kenapa? Adakah dia mahu memukul aku?
Tolong jangan apa-apakan aku. Setelah aku merasakan lelaki itu mula berdiri dekat dengan aku. Dia menguis dagu aku supaya menatap wajahnya. Lambat-lambat aku angkat kepala.
“Kau mahu jadi pondankah? Lembik! Tiada ertinya kau kelihatan seperti ini! Sungguh mengotorkan pandangan mata aku bahkan pada orang lain juga,” lelaki bernama Asraf lantang bersuara menghina aku!
“Apa dosa aku? Apa yang telah aku buat pada kau sampai kau sakit hati dengan aku?” Aku benar-benar marah pada lelaki itu. Sungguh!
Aku tidak akan membiarkan diri ini dihina. Aku serik. Aku tidak mahu lagi berasa terhina. Bukan aku yang memilih. Bukan aku yang mahu dan bukan aku ingin jadi begini. Hidup aku! Mati aku! Semua ALLAH yang tentukan. Adakah aku yang minta jadi lembut? Ada aku berdoa pada Tuhan supaya menjadi lembut? Tidak! Aku tidak pernah berdoa sedemikian. Aku berdoa supaya ditabahkan hati aku. Kuatkan semangat aku. Aku juga mahu jadi seperti lelaki lain. Ya aku mahu jadi gagah perkasa!
“Kau kotor! jijik!” Asraf menghina aku. Kurang ajar sungguh!
Dia menolak aku dengan kuat. Aku hampir terpelanting! Dia bersikap biadab! Lebih biadab dari Ejam, Naqib, Joe dan Borhan. Menampar aku berkali-kali. Malah dengan sepak terajang lagi.
Aku tersungkur lemah. Aku menangis. Meraung sekuat hati dengan penuh emosi. Dengan deras aku menoleh. Aku menjegilkan mata. Aku mesti melawan. Aku tidak akan biarkan diri ini dianggap seperti binatang.
“Kenapa kau benci sangat pada aku hah? Selama ini aku mengganggu hidup kau? Kau muncul tiba-tiba lalu menghina aku,” Sungguh aku tertekan saat ini.
Aku ditampar lagi. Dia tendang aku. Kenapa? Apa haknya untuk buat aku begini? Ramai orang sedang melihat aku dipukul dan ditendang. Tetapi tiada seorang pun yang membantu. Mereka tentu seronok melihat aku dihina dan dipukul. Begitulah mahu mereka. Mahukan diri ini lenyap untuk selama-lamanya.
Dia pukul aku lagi. Kenapa Asraf marah pada aku? Apa yang telah aku buat hingga dia menghukum aku begini.
Akhirnya kawan-kawannya tiba lalu ketawakan aku yang rebah terkulai. Tiada seorang pun di antara mereka mahu membantu aku yang lemah. Sungguh terseksa bila diri dicaci. Kesalahan apakah yang aku lakukan hingga dibuli sekeras ini.
“Ayuh kawan-kawan, mari kita bogelkan dia!” kata salah seorang dari mereka dan yang lainnya bersorak termasuk Asraf.
Aku jadi takut. Sungguh mencemaskan.Adakah perkara ini akan benar-benar terjadi nanti? Perkara yang penah Naqib ceritakan dulu?
“Apa tunggu lagi? Biar dia rasa malu selepas ini! Kenapa dia mahu jadi pondan! Siapa suruh dia jadi pondan! Dia lelaki tapi gatal hendak jadi pondan!” Asraf senyum mengejek.
Aku cepat-cepat bangun. Aku terus berdiri dan tidak mahu membiarkan diri ini dimalukan sebegitu rupa. Mengapa? Kenapa? Aku mesti dibogelkan? Tidak! Aku tidak akan biarkan. Walaupun aku lembut aku punya maruah.
“Kau jangan ingat ALLAH akan lepaskan apa yang bakal kamu semua buat nanti?” aku bersuara mempertahankan diri aku.
“Takutnya…” ejek mereka.
“Jangan kau mempermainkan soal ini. Aku yakin dengan Kuasa ALLAH! Memang aku tidak berdaya saat ini tetapi kamu kena ingat. Siapa yang mencipta aku? Siapa? Dan siapa pula yang mencipta kau? Siapa?! ALLAH! ALLAH yang ciptakan aku dan kamu semua. Dia lebih tahu apa yang ada di dalam hati aku. Apa yang aku mahu dan apa yang aku alami. Kamu tahu apa yang ada di dalam hati aku? Tidak bukan? Aku juga tidak tahu apa yang ada di dalam hati kamu. Tapi melalui perbuatan maka aku akan nampak siapa kamu!” Aku bertegas.
Mereka diam.
“Aku juga ada hati dan perasaan, aku manusia! Aku bukan binatang yang senang untuk kau sepak terajang! Kenapa kamu tidak pernah memahami apa yang aku rasa? Kenapa?! Kenapa?!” bentak aku dengan penuh emosi.
Nampak gayanya aku kena stabilkan emosi aku. Aku tidak mahu terlebih atau kurang.
“Kau ada hati? Ada perasaan? Kalau kau ada semua itu kenapa kau tidak berfikir dengan waras, kenapa kau perlu memilih menjadi lembut?!” kata Asraf.
Asraf menunjal kepala aku. Dia merenung tajam. Aku mempamerkan keresahan kerana takut ditendang lagi. Saat ini Asraf masih mengacah.
Keadaan berubah suram. Rakan-rakan yang lain terkedu sahaja sambil melihat aku dan Asraf berdebat.
“Aku lembut bukannya dipinta dan aku tidak pernah memilihnya! Kenapa kau desak aku! Apa yang kau tidak puas hati dengan keadaan diri aku? Tuhan telah jadikan diri aku seperti ini dan aku tetap sedar dan aku tahu aku adalah lelaki! Tapi kau masih menghina aku! Kalau suatu hari nanti kau ada anak dan ditakdirkan anak kau jadi seperti aku baru kau tahu bagaimanakah rasanya!” kata aku dan terus berpaling untuk melarikan wajah yang kian sebak.
“Jangan kau berbicara mengenai takdir! Kau tidak akan tahu apa itu takdir kerana kau sendiri seperti melawan takdir-Nya!” kata Asraf mempertahankan kata-katanya.
Aku mendengar dengan penuh teliti. Mengerahkan segala daya pemikiran untuk membalasnya semula.
“Takdir telah menentukan aku adalah LELAKI! Aku tahu diri ini lelaki aku menerimanya. Tapi kau tidak mengerti aku yang sebenarnya dan kau yang tidak mahu menerima realiti hidup aku. Kau selalu menghina aku dan kau sering mencaci aku. Kau tahu! Aku juga mahu belajar, aku mahu bersekolah dan mempunyai kawan-kawan. Namun kau menganggap aku bagaikan pesalah besar yang tidak layak mempunyai kawan-kawan. Kenapa Asraf! Kenapa?!” Aku berucap dengan bersungguh-sungguh.
Apabila jiwa ini bergelora dan mahu meluahkan yang terpendam. Tiba-tiba air mata ini menitis deras. Tidak dapat aku menyekanya dan aku membiarkan sahaja ia berderai membasahi pipi.
Aku rebah melutut. Aku memandang ke lantai sambil menumbuk lantai berkenaan bertubi-tubi. Serta-merta aku jadi sebak. Kala ini Asraf mendekati aku. Dia terus menerus mencaci aku.
“Aku tidak melawan takdir-Nya. Kau yang sebenarnya tidak dapat menerima takdir-Nya ke atas diri kau. Ini bermakna kau melawan takdir Tuhan tapi bukan aku Asraf!” balas aku dengan deras sekali.
“Ah!! Lihat saja kau sekarang ini! Lemah! Sensitif seperti perempuan,” sinisnya.
“Hei!” tiba Ardila muncul sambil berkecak pinggang.
Aku terus menoleh ke arahnya. Saat ini Ardila melangkah mendekati diri ini yang sedang bersedih hati.
“Jangan kau ganggu Adam! Dia kawan aku! Kalau kau tidak suka berkawan dengan dia, kau boleh pergi dari sini! Kau dan kawan-kawan kau sama sahaja selalu menyusahkan hidup Adam! Adakah kau lupa apa yang telah kau buat pada Adam! Kau campak dia dalam sungai! Kau mengata dia yang bukan-bukan. Kau lebih kejam dari Ejam!” Ardila memarahi Asraf.
Aik! Ardila sudah lari skrip asal! Habislah dia marah Asraf sebagaimana memarahi Ejam! Aku sempat berbisik pada Ardila.
“Eh! Kenapa kau buat dialog sendiri? Kenapa kau sebut nama Ejam?” desis aku di telinga Ardila tatkala dia cuba memapah aku yang konon-kononnya lemah.
“Kalau kau nak tahu, Ejam memang ada di sini, di belakang sana. Aku mahu dia dengar,” balas Ardila perlahan.
Ardila memang sengaja rupanya. Alahai. Abang Aziz buat dialog cantik-cantik dia ubah pula. Tapi tidak mengapa asalkan pementasan ini berjalan lancar dan itu sudah cukup memadai sempena minggu perpisahan ini.
Kata Ardila, Ejam ada di sini? Betulkah? Dengan siapa dia ke mari? Malunya aku untuk meneruskan lakonan di atas pentas ini. Namun aku kena tamatkan juga. Aku tercari-cari juga kelibat Naqib tapi di manakah dia? Adakah dia datang pada hari ini?
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)