LAMANYA aku menunggu. Kenapa dia lambat sangat? Kesian aku tengok Ardila tadi itu dirundung malang gara-gara mahu memperli diri ini. Haha! Jatuh buaian. Aku ketawa dalam hati tapi tidak aku menzahirkannya dan aku sebenarnya sentiasa ambil berat tentang dirinya itu. Kesakitan dia, kesakitan aku juga. Maklumlah aku jadi memang baik dengan dia sejak kecil lagi. Dia dan Irwandi memang baik dengan aku. Mereka saja yang setia dengan aku.
Asyik-asyik sebut fasal Irwandi, lama-lama jadi bosan pula. Dia sikit pun tidak ingatkan aku. Cuma aku saja yang lebih-lebih merinduinya. Biarlah.
Semenjak Ardila membela diri ini pada hari itu maka aku bertambah sayang padanya. Sahabat karib aku ini memang suka juga berseloroh tapi kalau dia cuba-cuba seloroh lebih-lebih, tengok saja tadi tali buaian terus putus. Merasa.
Aku tengok jam di tangan Ardila, sudah lebih masa aku berikan. Kalau lima minit lagi dia tidak datang juga maka aku akan angkat kaki. Biarlah dia. Menyusahkan aku saja. Kalau sudah berjanji susah betul mahu tepati. Inilah manusia. Memang mudah sakiti hati orang lain.
Aku mengeluh sendiri. Tidak kuasa menunggu lagi.
“Ardila, marilah kita balik, kita sambung esok sahaja,” kata aku.
“Mana boleh, kita kena selesaikan petang ini juga, sebab aku hendak bagi skrip baru ini pada kawan-kawan kita yang lain. Dan esok kita tinggal praktis semula.” ujar Ardila dengan bersungguh-sungguh.
“Ardila! Mari dekat sikit,” Aku memanggilnya untuk datang dekat dengan aku.
Dia berkerut dahi tetapi dia datang dekat juga.
“Kenapa?” soal Ardila.
“Dekatlah lagi,” pintaku.
“Sudah dekat! Kau hendak aku dekat berapa inci lagi? Mahu laga pipi ke?”
“Kau duduk diam dan jangan bergerak, sebab aku rasa deria rasa pada kulit kau ini sudah mati,” ucap aku.
Dia mengangkat kening dan memandang pelik ke arah aku. Aku meminta dia agar statik di situ lalu aku menghulurkan tangan dan membuka telapak ini seluas-luasnya.
‘Pap!’
“Hah! Mati pun,” ucap aku.
“Apa yang mati?” soalnya lagi dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau pun gatal.
“Dia sudah kenyanglah,” aku melapangkan tapak tangan ini.
“Apa yang kenyang,” tanya Ardila.
Aku terus menunjukkan kesan darah di telapak tangan kepada Ardila selepas aku menepuk dahinya sebentar tadi dan biar dia tahu bahawa seekor nyamuk telah kekenyangan. Waktu petang begini di tepi pantai masih ada nyamuk.
“O… nyamuk...” katanya meleret nada.
“Nyamuk. Kalau boleh aku tidak mahu ada lagi nyamuk yang cuba-cuba gigit kau,” ujar aku.
Sesungguhnya aku benar-benar sayangkan Ardila. Naluri ini memang menyayangi sahabat. Tuhan pasti tahu bagaimanakah perasaan aku tatkala ini. Kalau dihitungkan hari-hari yang lalu, saat berdepan dengan Ardila adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Ini adalah kerana Ardila semakin memahami aku meskipun seseorang yang sering aku rindu tidak pernah menghubungi aku lagi. Sedihnya hati aku. Menangis tidak berlagu.
Aku tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mereka namun cukuplah mereka tahu untuk menghargai diri ini. Namun harga rindu pada sahabat yang telah tinggalkan aku seperti tidak bernilai langsung. Ibarat kaca dan permata. Aku mungkin bagaikan kaca baginya.
“Adam…” Ardila menyebut nama aku tatkala diri ini mengelap darah berkenaan pada tiang wakaf.
“Ya kenapa?” aku bertanya pula.
Mungkin nyamuk juga ada gigit aku dan sedang lagut menghisap darah. Ardila mungkin mahu membunuh nyamuk itu. Tapi di manakah lokasinya? Di pipikah? Di tengkuk? Atau di mana? Tunggu sahaja Ardila membunuhnya.
“Duduk diam-diam,” pesannya.
Aku pun terus mendiamkan diri. Tapi aneh sekali. Ardila tidak menepuk mana bahagian anggota badan aku dengan tangan. Tetapi dia mengambil ranting kayu. Apa puncanya? Dia mahu memukul nyamuk dengan ranting kayu ke? Ini kerja gila. Aku Cuma mengesan sendiri lokasi nyamuk dengan menggunakan deria rasa pada kulit di mana terasa ada kesan gigitan. Tapi tidak pula aku merasainya. Apakah sel rasa aku juga telah mati? Pandai nyamuk ini menusuk jarumnya itu perlahan-lahan, duga aku.
Selepas Ardila mencapai ranting kayu itu lalu dia terus menguis sesuatu di atas kepala. Pelik benar.
“Hah! sudah tanggal,” katanya.
“Apa dia?”
“Itu…” Ardila menuding dengan ranting untuk menunjukkan satu objek yang cukup aku kenali itu berwarna hitam dan putih.
Bedebah sungguh! Tahi cicak rupanya. Kurang asam betul. Tidak ada tempat lain engkau hendak berak? Kepala aku juga menjadi sasaran kau! Aku memarahinya yang tidak mengerti.
Ardila terus melepaskan ketawanya itu setelah melihat aku marah-marah pada sang cicak yang melakukan kesalahan dengan membuang najisnya di merata-rata tempat. Tapi malangnya dia melepaskan buangan itu di atas kepala tanpa belas kasihan.
Aku menjadi bahan ketawa Ardila. Bencinya. Ingat ini raja lawak ke? Habislah rambut aku, pasti berbau. Geram sungguh.
Tidak beberapa lama kemudian Ardila berhenti ketawa, mungkin rahangnya sudah lenguh agaknya. Kalau tidak pasti dia akan terus ketawa sampai pucat. Kala ini pandangan mata ini dicuri dengan kehadiran sebuah kereta Proton Perdana berwarna merah. Ardila juga menoleh ke arah kereta itu.
“Itukah orang yang kau tunggu?” tanya Ardila.
Aku mengangguk. Baru sekarang dia sampai. Sekejap lagi aku mahu tanya dia kenapa lambat sangat ke sini. Tersasar jauh dari waktu yang ditetapkan.
“Tapi aku rasa seperti mengenali saja orang yang berada di dalam kereta itu,” kata Ardila.
Kereta itu diparkir dekat dengan wakaf di mana aku dan Ardila sedang duduk. Kemudian Abang Aziz terus meluru keluar dari perut kereta sambil tersenyum. Tiada langsung garis-garis serba salahnya kerana lewat tiba di sini.
“Itu Abang Aziz bukan? Kenapa kurus sangat? Lebih lemah lembut berbanding kau,” soal Ardila kehairanan dengan membanding antara aku dan Abang Aziz.
Dulu Abang Aziz berisi sekarang kekal langsing.
Ardila menoleh ke arah aku sambil terangkat kening kemudian menoleh semula ke arah Abang Aziz yang bergaya dengan pakaian ketatnya. Ardila seperti keliru. Aku pun tertanya-tanya. Ubat apa yang dia pakai sampai langsing begitu. Dulu berisi seperti Irwandi juga. Tapi perut Irwandi lagi besar dari Abang Aziz.
“Hai, maaflah abang lambat sampai kerana kereta buat hal tadi,” itu dia ucapan Abang Aziz yang pernah menjadi pak andam terkenal di kampung ini sewaktu aku masih kecil. Dengar khabar dia masih menguruskan perniagaan itu. Baguslah…
“Bagilah salam abang…” tetiba Ardila menegur.
Abang Aziz tersengih pula. Mungkin Abang Aziz tidak menduga pula yang Ardila mampu memperingati dirinya sebegitu. Biasalah Ardila… Dia memang nampak Muslimah sedikit tetapi bukan bagikan ustazah.
.
“Assalamualaikum adik-adikku…” ucapnya.
“Waalaikumussalam…” balas aku dan Ardila serentak.
Memberi salam adalah satu ucapan yang sungguh mulia. Ia adalah ucapan sejahtera. Kita mendoakan kesejahteraan. Dan menjawabnya pula adalah satu kewajipan. Tidak jawab berdosa pula. Dalam agama ucapan salam itu adalah melambangkan budaya indahnya Islam.
“Begitulah, baru betul…” kata Ardila tersengih sahaja sekilas menoleh ke arah aku.
Ardila mungkin terpegun melihat perubahan Abang Aziz yang lebih lembut dari biasa bersama imej berambut panjang. Aku nampak dia sedang melopong melihat gaya baru Abang Aziz yang berbaju sendat dan berseluar ketat.
Aku pun tidak tahu kenapa Abang Aziz keterampilan seperti itu? Mungkin juga kerana nalurinya. Entahlah aku tidak pasti kerana aku juga lembut. Mungkin juga dia selesa berkeadaan begitu. Bagaimana dengan aku? Aku begini sahaja.
Abang Aziz balik kampung kerana bercuti. Sudah lama dia tinggalkan kampung ini dan bekerja di Penang. Seronok hidup bebas seperti Abang Aziz itu. Dia kini tidak punya siapa-siapa lagi. Sebatang kara.
Petang ini aku terus dibantu oleh Abang Aziz. Dia menyumbang idea yang cukup baik. Ardila mungkin teruja dengannya kerana Abang Aziz seorang yang optimis.