SEPANJANG perjalanan aku hanya mendiamkan diri sahaja di sebelah tempat duduk pemandu. Tiada sebarang bicara yang dapat aku alunkan dan tiada pula rasa ingin berkata-kata. Aku menanti sahaja tutur kata dari Cikgu Hasrudi yang saat ini juga membisu seribu bahasa. Sesekali aku sengaja membatukkan diri namun seakan tidak dihiraukannya.
Peliklah dengan Cikgu Hasrudi ini. Mungkinkah dia hanya menumpukan penuh perhatiannya hanya pada pemanduan? Aku yang berada di sebelahnya seperti tidak wujud sahaja. Tanyalah sekurang-kurang satu soalan agar aku tidak terlalu bosan. Radio tidak pula terpasang. Maka aku ada sebab untuk bercakap dengannya.
“Boleh hidupkan siaran radio?” pintaku.
“Boleh,” balas Cikgu Hasrudi sepatah.
Setakat berkata boleh sesiapa pun boleh. Tapi haruslah tolong pasangkan, mana mungkin aku perlu gatal tangan untuk menyentuh barang yang bukan milikku. Aku cukup sedar aku sekarang berada di dalam perut kereta orang lain.
“Kamu mahu dengar radio ke?” soal Cikgu Hasrudi.
Sudah semestinya aku mahu mendengarnya. Kenapa harus aku bertanya kalau aku tidak menginginkannya? Oleh kerana aku terlalu bosan maka lebih baik aku mengalihkan perhatianku dengan hanya mendengar lagu di radio sahaja.
Demi sebuah hasrat maka aku mengangguk. Kemudian Cikgu Hasrudi memasangkannya. Baru enak telingaku. Rasa nyaman sedikit dari sepi sahaja. Kala ini kebetulan pula lagu Kak Ziana sedang mejerit-jerit lunak di situ. Lagu Menadah Gerimis judulnya. Aku ikut-ikut menyanyikan lagu tersebut dengan perlahan sahaja.
“Kamu suka lagu Ziana Zain ya?” soal Cikgu Hasrudi tiba-tiba.
Aku yang sedari tadi hanya melemparkan pandangan ke luar terus menoleh ke arah Cikgu Hasrudi sambil mengangguk. Memang aku minat dengan suara Kak Ziana.
“Kesemua albumnya saya ada,” dengan jawapan yang aku berikan pada Cikgu Hasrudi itu sudah cukup menunjukkan bahawa aku terlalu meminatinya. Harap Cikgu Hasrudi memahaminya.
“Ooh, minyak wangi apa yang awak pakai?” soalan yang tiada kena mengena pula ditanya oleh Cikgu Hasrudi dengan tiba-tiba.
Aduhai! Kenapalah dia tanya soalan begitu. Tanyalah soalan lain. Aku suka makan apa? Hobi aku atau pun cita-cita aku. Itu lebih akan lebih menarik perhatianku dari memperkatakan hal-hal begitu. Bukan apa seganlah untuk aku bercerita mengenainya.
“Kenapa, cikgu?” soalku.
“Wangi,” balasnya sepatah.
“Oh! Terima kasih,” ucapku sambil memalsukan senyuman.
Kemudian aku terus mendengar lagu itu sampai habis. Cikgu Hasrudi terus mendiamkan diri. Aku menoleh lagi ke arahnyan untuk melihat reaksi wajahnya sekarang ini. Wajahnya sungguh tenang tapi kenapa dia seperti acuh tidak acuh sahaja dalam berbicara? Atau dia sengaja sembunyikan sesuatu dari mata fikirannya?
“Cikgu..” sebutku perlahan.
“Ya saya,” balasnya sekilas memandang ke arahku sambil mengukir senyum.
“Erm.. abaikan sajalah,” aku membatalkan hasrat untuk meneruskan pertanyaanku.
“Cakaplah, erm tentu awak hendak bertanya kenapa saya pelawa awak keluar makan malam bersama, betulkan?” Cikgu Hasrudi menelah tepat.
Pandai betul Cikgu Hasrudi membuat telahan. Atau dia memang sudah tahu apa yang terkandung di relung hatiku kala ini? Oh! Memang aku sejak petang tadi lagi bertanya tentang itu. Maka aku tidak perlulah rasa terkejut.
“Memang saya tertanya-tanya,” ujarku.
“Selepas makan nanti kita sambung,” katanya.
Aku tidak sabar-sabar untuk mengetahuinya. Saat ini aku betul-betul mengharapkan masa berputar dengan deras agar aku mendapat jawapannya.
***
SUNGGUH enak sekali makanan ini. Tidak puas rasanya menikmati masakan ikan tiga rasa ini ditambah pula dengan sup ekor. Hidangan ini begitu membuka seleraku. Selalunya aku menjaga badan dan makan hanya sedikit tetapi tidak untuk kali ini. Aku sanggup menambah nasi. Kenapa dengan aku? Mungkin sahaja aku mahu melupakan keperitan rasa rinduku terhadap Irwandi barangkalinya.
Dengan lahap sekali aku menyatapi rezeki di depan mata. Seterusnya aku menyedut minuman jus oren sampai habis. Kenyang sungguh aku rasakan lantas aku menggosok perutku sendiri.
Usai itu aku terasa diriku sedang diperhatikan. Alamak! Malunya aku. Cikgu Hasrudi sejak tadi hanya perhatikan sahaja cara aku makan.
“Kenapa cikgu tersengih-tersengih?” soalku bagi menyembunyikan perasaan segan.
“Seronok tengok kamu makan. Sungguh berselera.” balas Cikgu Hasrudi.
Memang seronok dapat makan, tambah lagi ia percuma dan dibawa pula makan di restoran yang memang mempunyai hidangan yang lazat. Aku tidak mahu lepaskan peluang ini. Bukan aku mengharap sangat tapi sudah dipelawa. Kata orang tua-tua rezeki janganlah ditolak dan musuh jangan dicari.
“Makanannya sedap, rugi rasanya kalau saya tidak habiskan. Cikgu, sambunglah tentang hal itu, apa sebabnya cikgu ajak saya keluar?” aku memperingati semula pertanyaanku itu pada Cikgu Hasrudi.
Sejurus itu Cikgu Hasrudi mengelap bibirnya dengan tisu selepas dia menyedut minuman jus epalnya sampai habis dan tidak berbaki lagi. Memang aku akui bahawa minuman yang terdapat di restoran ini sungguh sedap sekali. Sekadar memuji kerana memang benar-benar sedap.
Mengapa renungan mata Cikgu Hasrudi sungguh tajam apabila aku meminta dia menceritakan hal itu. Salah ke pertanyaan aku itu? Cikgu Hasrudi menanggalkan kaca matanya dan diletakkan di sisi meja. Kemudian dia menungkat dagunya sambil memandang ke arahku. Lalu aku mengheret pandangan ke tempat lain kerana tidak berasa selesa dengan cara dia merenungku.
Aku masih lagi menanti ucapannya. Tapi dia masih membisu. Sampai bila perlu berkeadaan seperti ini. Aku bukan Tuhan untuk mengetahui apa yang berada di dalam isi hati Cikgu Hasrudi saat ini. Jadi aku perlu menyoalnya lagi.
“Cikgu… apakah hal yang sebenarnya?” Aku menyoal lagi setelah menoleh ke arahnya.
Lirik mata Cikgu Hasrudi membuat aku jadi serba tidak kena. Tidak senang duduk aku dibuatnya. Matanya penuh dengan watak penggoda. Eh! Atau hanya sangkaan aku sahaja barangkali. Mungkin ini adalah hasil dari perasaan yang sedang bersimpang siur. Hatiku dihujani dengan persoalan. Jadi aku harap Cikgu Hasrudi menyatakan tujuan dan sekali gus meleburkan batu resah di relung hatiku ini.
Dia hanya memandang aku sahaja dan aku mendengar dia mengeluh panjang. Kenapa dia harus mempamerkan ekspresi wajah yang tidak keruan itu di kala ini? Sepatutnya aku yang lebih merasainya bukannya dia.
Peninglah!
“Cikgu.. kenapa diam saja?” soalku lagi sambil meletakkan jari-jemari di atas meja.
“Ermm..” Cikgu Hasrudi hanya mengumam.
Tiba-tiba ada sesuatu yang berlaku. Aku tergamam memang benar-benar tergamam. Sungguh berani Cikgu Hasrudi. Jantungku berdegup kencang. Kali ini tersangat pantas. Tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Ya Ampun.
Cikgu Hasrudi memegang tanganku lalu di ramas-ramas lembut. Apa tujuan dia berbuat sedemikian. Haruskah aku membiarkannya? Dia juga lelaki seperti aku. Mungkin dia ada sesuatu untuk beritahu aku. Aku nampak garis-garis gusar diwajahnya. Aku perlu beri peluang padanya namun perlu ke sampai pegang tangan?
Dia tidak kisah ke dengan mata orang memandang? Dan aku sungguh tergamam bagaikan terkena kejutan eletrik. Mataku dibulatkan sebesar-besarnya. Nafasku turun dan naik dengan pantas. Aku dapat merasakan kehangatan tangannya tika dia sedang meramas-ramas jari-jemariku ini. Aku memang tidak memahami apakah makna semua ini.
“Cikgu..” Aku memanggilnya perlahan lantas aku menarik semula tanganku.
Cikgu Hasrudi mengangkat keningnya dan mempamerkan wajah yang tidak serba salah. Dia tersenyum sahaja hingga membuatkan aku rasa tidak kena. Pelik dengan tindakkan dia.
“Cikgu! Apa yang cikgu mahukan sebenarnya?” akhirnya aku keraskan nada suaraku dengan harapan dia memberitahu aku secepat mungkin.
“Adam, sebenarnya cikgu mahukan persetujuan..”
“Persetujuan apa?” Aku memotong kata-katanya.
“Cikgu ingin meminang mak kamu,”
“Apa?!” Aku sungguh terkejut mendengarnya.
Aku benar-benar kaget dengan ucapan itu. Selama ini Cikgu Hasrudi ada hubungan hati dan perasaan dengan ibuku tapi mengapa aku tidak pernah menghidunya dan sejak bila ia telah bermula? Ah!! Apakah semua ini? Ya Tuhan aku sungguh tidak mengerti. Darahku turun naik dengan pantas. Seorang duda mahu dijodohkan dengan seorang janda. Mengapa duda ini mencintai ibuku? Kenapa?! Kenapa?!
Ibuku mahu menduakan kasih ayahku dan sanggup mencari pengganti. Haruskan aku membiarkan semua ini berlaku?