Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 20)

KERTAS berselerakkan setelah aku menggumpal-gumpalkannya. Aku menulis perkatan ‘Awak penipu’ berulang kali dan kemudian aku gumpal lagi. Hingga kering dakwat pen merah aku dan lenguh segala sendi tanganku. Jari-jemariku sudah mengejal tapi aku tetap menulisnya bagi melepaskan geram yang terbuku. Geram yang teramat sangat.

Aku sungguh kecewa dengan Irwandi kerana sampai sekarang tidak ada sepucuk surat pun dia kirimkan. Oleh sebab itu aku mengatakan dia itu penipu. Memang dasar penipu dan berjanji denganku untuk mengirimkan khabar dirinya. Waktu itu dia seolah-olah memberikan aku harapan tetapi dia sendiri memusnahknya lantas merenyuk-renyuk hatiku ini.

Mataku tertancap pada jam dinding menunjukan pukul 8.45 minit malam. Aku resah menanti seseorang. Seseorang yang mengatakan ingin datang ke rumahku malam ini. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Hasrudi yang beria-ria mengajak aku keluar makan malam di luar bersamanya. Aku berkata padanya kalau hendak juga keluar dengan aku maka dia harus datang ke rumah dan meminta keizinan dari ibuku sendiri. Aku tidak akan memujuk ibuku itu semata-mata untuk keluar bersama dengan dia.

Sehingga saat ini persoalan berkumpul di benakku. Aku tidak pasti apakah sebabnya kerana Cikgu Hasrudi merahsiakan tujuan sebenarnya aku diajak keluar makan bersama. Tatkala aku merengus geram terhadap Irwandi yang menipu diriku, mataku terpakur pada jam tangan pemberiannya yang telah rosak itu belum lagi aku perbaikinya. Aku biarkan sahaja ia berkeadaan seperti itu kerana jam tangan yang telah pecah cerminnya itu seakan serupa pecahnya relung hatiku yang berkaca ini mengenangkan penipuan Irwandi.

Tidak tahukah dia betapa aku merinduinya? Tidak sadarkan dia? Kenapa dia biarkan aku begini? Sungguh kejam lelaki gemuk itu! Aku memarahinya untuk melepaskan geram yang terbuku itu.

Jarum rindu menusuk kalbuku menanti saat ia terus berdarah dan menunggu ketika sahaja untuk menjadi semakin parah. Waktu yang berputaran ini berlalu begitu pantas hingga aku sudah lelah. Aku jenuh menyulam perasaanku sendiri. Hasruskah perpisahan ini berterusan? Oh Tuhan diriku amat merindui sahabatku itu. Kau kembalikanlah dia padaku. Berapa lama lagi dia mesti menyepikan diri?

Tidak senang duduk aku di kala ini. Aku mengitai dari jendela memandang suasana malam diluar rumah. Kemudian aku merenung bintang di dada langit. Aku bercakap dengannya. Aku mahu bintang yang sama juga dilihat Irwandi. Lihatlah bintang itu Irwandi, aku mahu wajahmu menjelma di situ kerana bintang hatiku adalah kamu yang bersinar terang. Kaulah sahabatku yang memahami aku. Tetapi sekarang kau menjauh dan kian menghilang. Aku tidak mahu namamu terus terpadam di jiwaku.

Lingkaran jiwaku terbelit rakus dengan memori lalu yang telah menjerut hulu hatiku. Sesuatu yang telah menyakitkan diriku setelah ia direnung sejauh itu. Untuk apa lagi aku menggamitnya kembali kerana Irwandi tiada lagi di sini. Adakah aku perlu hidup dalam kenangan bersamanya? Meniti hari-hari dengan sebuah mimpi kosong?

Bodohnya aku merindui seorang sahabat yang sengaja melupakan aku. Sahabat jenis apakah dia itu? Ah! Kau memang melampau Irwandi, bentak hatiku.

Pandangan mataku telah dicuri dengan kehadiran sebuah kereta waja berwarna kelabu yang telah berhenti di laman rumahku. Aku nampak jelas kereta itu kerana tingkap bilikku ini menghala ke laman itu. Seorang lelaki berpakaian segak dan berkaca mata itu telah keluar dari perut kereta. Kulit lelaki itu cerah. Memang aku nampak jelas kerana lampu beranda rumahku terpasang. Aku menyembunyikan diriku dibalik langsir sambil mencuri pandang dari celah-celahnya.

Cikgu Hasrudi benar-benar datang ke rumahku. Berkemeja lengan pendek dan berseluar sukan. Cuma bajunya tidak dimasukkan ke dalam seluar. Kalau bajunya berada di dalam seluar lagaknya seperti menghadiri majlis sukan. Mungkin tidak kerana dia berselipar sahaja.

“Assalamualaikum,” aku dengar dengan jelas suara Cikgu Hasrudi memberi salam.

Aku menjawab dalam hati salam yang diberi dan aku hanya membiarkan ibuku sahaja menyambutnya. Seorang yang telah berjanji untuk menjemputku pada malam ini benar-benar mengotakan janji-janjinya itu. Tetapi masih belum berjaya sekiranya keizinan belum lagi diberikan. Saat ini juga aku pula belum bersiap apa-apa lagi.

Tidak berapa lama kemudian pintu bilikku diketuk.

“Adam….buka pintu ada benda mak hendak cakapkan ini,” ibuku memanggilku di saat aku sedang berada di depan cermin.

Aku cepat-cepat mengemaskan kertas-kertas yang berselerak itu dan menyumbatkan ke dalam tong sampah. Foto Irwandi dan jam tangan itu aku sorotkan di bawah tilam. Aku harus sembunyikan segala-galanya termasuk menghilangkan kesan gincu yang aku pakai pada bibirku secepat mungkin. Sejurus kemudian aku membatukkan diriku.

Minatku begitu, suka bersolek secara sembunyi-sembunyi demi kepuasan diri. Hanya di situ sahaja dan aku tidak pernah menonjolkan diriku sebegitu. Hanya lip gloss sahaja akan aku bahawa ke mana-mana. Cikgu Hasrudi memang perampas. Dia merampas lip gloss aku. Mahal harganya. Kini aku terpaksa beli yang baru.

“Sekejap mak, nanti Adam bukakan pintu,” ujarku sambil mengetap lembut bibirku.

Aku tidak berpuas hati dan melihat semula di cermin. Aku perhatikan tiada lagi kesan merah pada bibirku. Setelah berpuas hati aku terus melangkah ke arah pintu bilikku dan memulas tombol pintu.

“Adam buat apa lama sangat di dalam itu?” soal ibuku yang tercegat di depanku.

“Tiada apa-apa mak. Kenapa mak panggil Adam?” soalku dengan berpura-pura tidak tahu.

“Cikgu Hasrudi ada di depan, dia mahu ajak Adam keluar,” ucap ibuku.

“Mak izinkan?” soalku bersungguh dengan mempamerkan ekspresi wajah yang sungguh teruja kerana ini adalah hari pertamaku keluar pada waktu malam bersama orang lain.

Tidak dapat dibayangkan betapa seronoknya hatiku bila ibuku mengangguk tanda setuju. Pada mulanya aku menjangkakan bahawa aku tidak akan dibenarkan keluar meskipun Cikgu Hasrudi telah memujuk ibuku. Tapi mengapa pula dengan begitu mudah ibuku membenarkan aku keluar bersama dengan Cikgu Hasrudi memandangkan ini adalah pertama kalinya? Ibuku tidak risaukan aku ke? Atau ibuku mahu menguji aku? Aku menelaah buat seketika dan bertanya pada diriku sendiri di manakah jawapannya.

Aku mencemikkan bibir bukan untuk mempamerkan rasa tidak berpuas hati tapi sekadar membeningkan kekeruhkan di jiwa setelah ibuku melangkah semula ke depan.

Kakiku melangkah masuk ke dalam bilik setelah meminta sedikit waktu untuk bersiap. Aku segera membelek mana-mana pakaianku yang sesuai untuk dipakai. Setelah berkenan dengan pakaian pilihanku sendiri lalu aku terus bersiap. Usai itu aku pula menilik wajah di kaca itu.

***

“MARI masuk,” pelawa Cikgu Hasrudi sambil menolong bukakan pintu keretanya disebelah tempat duduk pemandu untukku.

Layanan yang diberikan sungguh istimewa sambil diperhatikan ibuku di tangga rumah. Kala ini aku sudah pun berada di dalam perut kereta Cikgu Hasrudi. Aku menunggu di situ tatkala Cikgu Hasrudi mendekati ibuku. Apa pula yang dibualkan oleh mereka? Aku jadi penasaran.

Kuintai dari dalam dan kulihat ibuku sedang berkerut dahi. Diriku tidak mengerti hakikat itu kerana tiada suara yang dapat aku dengar melainkan bunyi enjin kereta Cikgu Hasrudi sahaja yang kendengaran. Sebaik dia hidupkan enjin kereta tadi, dia pergi ke arah ibu aku.

‘Kenapa aku perlu tunggu terlalu lama di dalam kereta? Apa yang mereka bicangkan?’ hatiku tertanya-tanya.
Bila persoalan kian membukit maka jiwaku ini makin merusuh mahukan jawapan. Namun ia akan kekal di dalam benakku sahaja.

Bagai ada perkara penting sahaja. Masih di situ nampaknya. Mengapa dia lengah-lengahkan masa? Pening aku melihatnya. Sesekali aku mengeluh panjang.

Beberapa minit kemudian barulah Cikgu Hasrudi tampil semula ke arah keretanya di saat kesabaran aku kian tipis. Mahu saja membatalkan janji ini.

“Maafkan cikgu sebab ada perkara yang dibincangkan sedikit dengan ibu kamu tadi,” kata Cikgu Hasrudi lalu memasukkan gear satu dan pedal minyak ditekan.

Aku tidak mengangguk dan tidak pula menggeleng. Hanya membiarkan sahaja ucapan itu menusuk telinga kananku dan keluar ke telinga kiriku sahaja meskipun di hati ini masih menagih jawapan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.