AKU berbadan gemuk! Ramai orang mengata aku macam-macam. Kolesterol tinggilah dan lebih berat badan ini mengundang penyakitlah. Aku tahu semua itu membawa padah pada diriku. Apa boleh buat sudah pun badan aku begini. Cuma apa yang aku harapkan adalah aku bahagia.
Aku bukan minta jadi seorang yang gemuk gedempol. Memang selera makan aku tinggi. Kenapa kerana mahu kurus aku mesti berlaparkah? Yang penting! Aku tidak meminta sedekah dengan sesiapa.
Ya! I know about diet! Jangan cakap fasal diet. Aku jenuh mendengarnya. Dulu aku kurus. Ramai awek kiri kanan. Tapi apa mereka mahukan dari aku? Duit! Kalau aku taburkan duit saja, bersepah datang. Amboi hebatnya mereka.
Cuma aku ada seorang kawan perempuan yang sangat bagus. Setiap kali aku ada masalah dia pasti mendengar dan bagi pendapat pada aku. Natasha! Dia seorang gadis yang sangat baik, peramah dan tinggi budi pekerti. Aku akui bahawa aku sayang dia. Always kata orang putih.
Siapalah aku untuk memiliki gadis secantik dia. Muslimah dan menjaga tingkah laku. Sejuk perut ibu yang mengandungkannya. Hari-hari aku nampak dia. Memang dikatakan hampir setiap kalinya aku akan menatap wajahnya. Sungguh! Bila sehari aku tidak lihat dirinya, aku akan kerinduan. Apakah maknanya ini? Adakah ini C-I-N-T-A? Ah! Ada apa dengan cinta? Aku sendiri pun tidak mengerti.
Aku belek fail di atas meja aku. Fail yang dihantarkan oleh Natasha kepada aku. Hasil kerjanya sungguh baik. Aku suka bila dia hantar kerja secepat ini. Natasha memberikan penuh komitmennya pada kerja. Untuk aku ada setiausaha sepertinya.
“Bos! Apa yang bos menungkan? Jauh terbang…” tiba-tiba lamunanku terhenti sebaik sahaja Natasha menyapa. Rupanya dia masih berdiri di depan aku. Sungguh aku tidak perasan. He He He. Buat malu saja.
“Natasha…” panggilku.
Natasha tertunduk-tunduk malu. Apakah maknanya tanda malu itu? Aku mahu tahu. Belum apa-apa lagi aku sudah kuat berangan. Adakah orang gemuk sepertiku ini kuat berangan? Hakikatnya memang ya. Hurm…
“Ada apa bos?” soalnya Natasha melihat aku yang terpinga-pinga sendiri dan cuba menyembunyikan perasaan sendiri.
‘Kalaulah kau tahu aku sayangkan kau, adakah kau sudi menerima aku?’ desis hatiku sendiri sambil menatap wajah ayunya. Aku geram tengok lesung pipit dia itu. Sangat manis dipandang.
“Bos…” aku dipanggil lagi bersama lambaian di depan mataku. Nampaknya aku belum menjawab pertanyaan Natasha.
Apa sudah jadi terhadap diriku ini? Aduhai.
“Malam ini awak lapang tak?” cuba bertanya semoga mendapat jawapan yang memberangsangkan. Kalau sebaliknya mungkin aku sedikit hampa.
‘Aku berharap sangat kau free malam ni, Natasha,’ tidak henti-henti hatiku berbisik mengharapkannya.
Aku lihat Natasha ketap bibir sahaja. Seperti berfikir jawapan yang mahu diberikan padaku. Aku dengar dia mengemam perlahan. Cepat pula dia telan air liur. Bagaimana pula dengan aku? Aku sudah berkerdip-kerdip mata mengharapkan maklum balas darinya.
Semoga aku tidak pernah lupa protokol kerjaku dan aku berharap dia tidak menuduh diriku gatal. Tapi aku yakin dia tidak seperti itu. Sengaja aku membatukkan diri menandakan aku tidak sabar lagi ingin tahu.
“Lapang…”
“Yes!” aku benar-benar gembira.
Jawapan yang aku tunggu-tunggu. Tapi aku lupa satu perkara. Adakah masa lapangnya itu untuk aku? Ini yang aku takutkan takut sangat kalau dia ada hal lain pula pada penghujungnya. Aku bermain-main dengan jari-jemari menahan debaran di hati. Saat ini terasa berdetak kencang. Mala lebih deras dari biasa. Dub Dab! Dub Dab! Aku rasakan. Alahai!
“Tapi…” ini yang tidak sedap dengar. Masih ada tapinya lagi.
“Tapi apa?” cepat aku menyoalnya.
Natasha mengalihkan pandangannya pada jari-jemarinya. Kemudian dia memintal hujung selendangnya. Apakah maknanya? Natasha kena terangkan.
“Jawablah pertanyaan saya,” kataku.
Tergagap-gagap Natasha mahu menjawabnya. Aku tunggu dengan penuh kesabaran tatkala aku menaruh harapan. Oh! Aku mahukan perubahan dalam episod cinta sekali ini. Aku sengaja bukakan kembali hati ini pada ruang yang kekosongan dan kesepian. Aku tidak sanggup membujang selamanya.
“Bos hendak ajak saya keluarkan?” duganya pasti setelah menoleh ke arahku lagi.
Sememangnya ini yang aku bangga. Dia memang bijak membaca isi hatiku. Aku mahu ajak dia keluar makan malam.
Aku mengangguk perlahan. Terketap-ketap bibirku dan begitu juga pada bibir Natasha bak delima merekah.
“Saya memang lapang… saya punya orang tua, jadi…” kata-katanya terhenti di situ lalu mengalih lagi pandangannya. Malu agaknya.
Aku mengerti! Sungguh! Kalau hendak bawa keluar anak dara orang mesti dengan keizinan dari orang tuanya. Alahai mesti mak ayah dia akan cakap aku gatal. Tapi tidak salah rasanya. Aku punya hati dan perasaan. Aku manusia juga. Ingin bercinta. Kenapa? Orang seperti aku tidak layak untuk bercintakah?
***
KERETA Honda CR-V kepunyaanku dibawa laju membelah angin malam. Seperti diriku juga yang tidak sabar-sabar mahu sampai ke rumah Natasha. Alangkah indahnya kalau aku dan Natasha punya jodoh. Segera mahu bertentang mata dengannya. Aku tidak dapat berjauhan darinya. Sungguh!
Sekarang aku sudah sampai. Betul-betul depan rumah teres di mana dia tinggal bersama orang tuanya. ‘Natasha, abang datang,’ desis hati miangku. Miang ini miang bertempat. Jangan salah anggap.
Aku berdehem sekejap sebelum mengetuk pintu rumah. Setelah memberi salam aku terus ketuk pintu rumahnya. Aku tidak perlu menunggu terlalu lama kerana Natasha datang cepat membuka pintu. Dia seperti tidak sabar juga mahu bertemu denganku.
Aku lihat dia sungguh cantik berbaju kurung. Aku suka gadis seperti ini. Di bandar besar memang susah hendak jumpa gadis secantik Natasha yang mementingkan pakaian tradisi Melayu. Beginilah gadis idaman aku.
“Jemput masuk Encik Kimi,” pelawanya.
‘Aduhai! Kenapalah awak panggil saya ni Encik Kimi. Panggil Abang pun sudah cukup,’ hati miangku berbisik lagi. Ini sudah tahap kritikal.
“Ya, terima kasih,” balasku sambil menghulurkan sejambak bunga mawar merah yang sebentar tadi disorokkan dibelakang. Sengaja hendak bagi kejutan.
“Untuk saya ke?” tanyanya.
Aku mengangguk sudah pasti untuk dirinya. Mana mungkin untuk orang lain lagi. Apa yang aku tahu, Natasha memang suka bunga. Terutama sekali bunga ros merah. Aku tanya pada Watie, iaitu kawan baiknya apa kesukaan Natasha. MakaWatie beritahu bahawa Natasha suka bunga. Klise, sama kebanyakan gadis yang memang sukakan bunga. Normal.
Tapi apa yang penting adalah sifatnya yang lemah lembut. Aku sangat suka. Yang lain tidak penting, Aku mahu tambat hati dia. Aku tidak mahu rasa ini terbunuh mati. Malam ini aku mahu luahkan semuanya. Aku mahu katakan aku sayang dia. Itu sahaja.
Natasha mencium haruman dari bunga itu. Wajah ayunya terserlah. Dia letakkan bunga itu dalam balang berisi air. Sudah biasa terima bunga agaknya siap ada balang lagi. Aku mengumam sahaja sedikit kecewa. Mana boleh buruk sangka. Mana tahu dia belum berpunya. Harap aku belum terlambat.
“Mak….” Natasha memanggil ibunya yang kemungkinan berada di dapur.
Tidak berapa lama kemudian ibunya terpacul di depan aku. Ibunya masih nampak muda. Tidak nampak beza dengan Natasha. Mungkin mengamalkan petua awek muda agaknya.
“Mak, ini bos Tasha, Encik Kimi,” Natasha memperkenalkan aku pada ibunya.
Malu pula rasanya. Aku cuba menyembunyikan perasaan maluku ini. Dan lantas mengulum senyum.
“Oh! Awaklah Encik Kimi ya,” ucap ibunya.
Ayatnya itu seperti sahaja Natasha menceritakan perihal diriku pada ibunya. Jangan-jangan selalu mengumpat aku agaknya? Duga hati setan. Tidak baik buruk sangka. Aku menampar hatiku sendiri dengan panahan rasa ini.
“Ya mak cik, sayalah Encik Kimi, bos kepada Tasha, anak mak cik ni rajin buat kerja,” aku memuji Natasha depan ibunya.
Aku nampak pipi Natasha kemerahan. Seganlah itu.
“Dia memang rajin, di rumah ni pun semua dia yang buat. Mengemas, cuci pinggan mangkuk. Pendek kata tidak ada satu pun yang tertinggal,” puji ibunya melebih pula.
Hendak cari calon isteri mestilah cari yang rajin. Kira baguslah Natasha rajin orangnya. Tidak hanya di pejabat malah di rumah juga dia menjaga kebersihan. Lihat saja semua pakaiannya. Berbau harum dan wangi. Aku menelaah sekelilingnya dan Natasha masih tercegat.
“Encik Kimi, inilah ibu Tasha bernama Sabariah,” Natasha memperkenalkan ibunya pula pada aku. Sabariah namanya. Orang nama Sabariah memang penyabar orangnya. Harap sifat itu ada pada namanya.
Sabariah menoleh pada Natasha. Natasha kemudiannya menoleh padaku silih berganti.
“Tasha pergi buatkan air untuk Encik Kimi ni,” arah Sabariah. “Mari duduk dulu Encik Kimi, kenapa tercegat sahaja,” sambungnya.
Aku memang berdiri dari tadi. Sekarang baru diajak duduk. Mahu pandai-pandai duduk mana mungkin. Bukan rumah aku. Sabar sajalah. Aku mana tahan berdiri lama-lama. Lenguh jadinya. Ekor mataku memandang Natasha berlalu pergi ke ruang dapur.
“Encik Kimi ada hati pada anak saya ke?” Satu soalan maut ditujukan pada aku,
Serta-merta aku jadi gelabah. Kenapa tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul dari mulut Sabariah. Dengan malu-malu aku mengangguk. Aku tidak dapat menipu hatiku sendiri. Sabariah senyum sumbing. Nampaknya seperti mengejek. Dia menelaah aku dari atas sampai bawah.
“Encik Kimi cari saja orang lain kerana saya dah ada calon untuk anak saya, lebih kaya dari Encik Kimi, malah lebih tampan. Tak ada gemuk macam Encik Kimi ni,” sungguh kurang ajar si ibu ini. Tiada langsung ciri-ciri iru pada Natasha. Aku berharap Natasha bukan berperangai seperti ibunya ini.
Aku berkecil hati serta-merta. Robek! Calar! Semua ada! Ya ALLAH! Apa dosaku untuk mencintai? Aku sebak dari dalam. Aku sungguh berkecil hati namun aku tetap melebarkan senyuman. Orang yang berada di depan aku adalah si ibu pada gadis yang aku cintai.
“Encik Kimi dengar tak? Lupakan Natasha,” pinta Sabariah.
Aku kehilangan kata-kata, kerana tidak menyangka inilah balasannya. Aku juga tidak menduga begini sikap ibunya. Adakah aku kewujudan aku di dunia ini hanyalah semata-mata untuk dihina? Ya ALLAH.. KAU tebalkanlah kesabaran dalam diriku ini. Sesungguhnya aku insan yang lemah. Hanya padaMu aku memohon kekuatan ini. Tidak henti-henti aku memanjatkan doa di hati.
Sabariah mengecilkan anak matanya seperti mahu menelan aku. Tanpa membuang waktu aku terus mengangkat punggung. Fizikal aku jadi halangan cinta. Tergamak sungguh ibu Natasha.
“Terima kasih di atas penghinaan ini. Saya terima seadanya kekurangan yang ada pada diri saya, tetapi saya ada maruah. Jangan sesekali hina makhluk yang ALLAH ciptakan di atas muka bumi ini kerana Dia lebih Berkuasa dan Maha Mengetahui. Sekelip mata sahaja Dia akan menarik segala nikmat yang diberikan. Sedarlah Puan Sabariah,” aku berucap panjang dan terus berlalu pergi.
Aku kesal. Benar-benar berkecil hati. Tuhan saja yang tahu perasaan hatiku. Aku pergi tanpa meninggalkan pesan pada Natasha. Mungkin bukan dia jodohku. Aku seorang yang gemuk! Tiada siapa yang mahukan aku. Kalau Natasha mahu sekalipun masih terdapat halangan. Iaitu dari ibu Natasha sendiri.
Hairan! Aku benar hairan kenapa Puan Sabariah membenci orang sepertiku? Tidak mengapalah, Tuhan Maha Mengetahui. Apa yang aku harapkan mungkin Tuhan mahu jodohkan aku pada yang lebih baik dari ini. Insya-ALLAH.
***
SEKELIP mata berubah. Memang aku tidak menduganya. Natasha berhenti kerja. Tapi ada penggantinya. Nourul Ain. Cantik dan indah namanya seperti tuan empunya namanya. Mungkin dialah jodohku. Jodoh yang Tuhan tentukan untukku. Dia sama sepertiku. Berisi dan banyak lemak. Yang penting dia comel.
Kehadirannya merawat duka atas kekecewaan lalu. Kecewa dengan sikap orang tua Natasha. Tapi tidak mengapa. Nourul Ain ada di depan mata. Sekali dia senyum, jantung aku berdebar-debar. Dia selalu bagi semangat. Dia berikan aku
keyakinan. Mulai detik itu aku jadi tabah. Tabah dengan sokongan Nourul yang amat aku kagumi.
Cinta kolesterol antara aku dan dirinya. Sekuntum bunga mekar di taman hati. Semakin lama semakin berseri-seri. Akhirnya aku berumah tangga juga. Keluarga Nourul menerima aku seadanya. Bukan kerana anaknya juga gemuk tapi kerana dia yakin dengan ketentuan ILAHI berkenaan jodoh.
Kini sudah empat tahun aku mendirikan mahligai indah bersama Norul dan dikurniakan seorang cahaya mata. Haqim Najmi namanya diberi. Comel anak sulungku ini. Kehadiran cahaya mata ini, rezeki yang Tuhan beri melimpah ruah. Aku menadah tangan penuh kesyukuran ke Hadrat ILAHI.
Nourul yang berada di depan aku sekarang bukan Nourul yang seperti dulu. Dia kini langsing dan cantik. Aku cukup bahagia kerana dia menjaga penampilannya untuk si suami sepertiku. Dia nekad untuk menjadi yang terbaik untuk aku. Aku tidak minta dia berdiet tapi dia mahu. Aku bertuah kerana isteriku yang solehah ini menjaga aku dengan baik sekali. Aku tidak akan pernah mengabaikan tanggungjawab aku sebagai suaminya.
“Syukur seorang isteri terletak pada tapak kaki suami,” ucap Nourul.
Aku terus mengusap lembut rambutnya yang lurus itu. Pipinya yang gebu dan bulu matanya yang lentik memukau pandanganku. Isteriku memang arif tentang agama. Malah dialah Muslimah yang aku cari selama ini. Dialah jodohku.
Dengan lembut aku mengucup dahi si isteri sambil diperhatikan Haqim Najmi.
“Abang ni, depan anak pun buat macam tu,”
“Kasih sayang…” balasku.
Isteriku mengulum senyum lantas dia berkata,
“Siapa kata gemuk tak hebat….hehe” ucapnya sambil ketawa kecil.
Begitulah kisahku. Sungguhpun badanku begini tetapi aku punya keluarga bahagia. Kebahagiaan dalam rumah tangga bukan terletak pada luaran tetapi ia adalah dari dalam, iaitu hati. Dari hati akan menguji pula sejauh mana tahap keimanan kita. Dari iman akan lahirnya taqwa. Semua ini memerlukan ilmu. Tanpa ilmu siapalah kita.
-TAMAT-
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)